Solat Dhuha: Panduan Lengkap Waktu Pagi Yang Berkat
Allah Ar-Razzaq, Maha Pemberi Rezeki yang memberikan rezeki kepada semua hamba-hambanya sama ada yang beriman ataupun tidak. Rezeki ini diistilahkan dalam konteks yang sangat luas termasuklah makan, minum, zuriat, pekerjaan, masa, lapang, keluarga, kesihatan, dan ketenangan. Sebagai Muslim, kita amat dianjurkan untuk solat dhuha untuk menjemput rezeki yang melimpah ruah terumatanya di waktu pagi.
Pengertian solat dhuha
Dhuha bermaksud matahari atau cahaya matahari. Sedangkan solat sunat dhuha adalah solat yang dilakukan pada waktu matahari baru terbit.
Solat ini juga merupakan salah satu dari solat sunat yang dituntut. Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
أَوْصَانِي خَلِيلِي صلى الله عليه وسلم بِثَلاَثٍ بِصِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَرَكْعَتَىِ الضُّحَى وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَرْقُدَ
Maksudnya: “Kekasihku telah berpesan kepadaku terhadap tiga perkara. (Iaitu) berpuasa sebanyak tiga hari dalam sebulan, dua rakaat solat dhuha, dan supaya aku melakukan solat witir sebelum aku tidur.”
Bilakah waktu solat ini didirikan?
Waktu solat sunat dhuha adalah bermula dari terbit matahari (selepas waktu syuruk) sehinggalah sebelum tergelincir matahari. Ia lebih kurang waktu matahari telah naik dengan sempurna sekitar satu galah tingginya (7 hasta) atau lebih tepat selama 20-30 minit selepas matahari terbit.
Ia berlaku sehingga menghampiri masuk waktu zuhur lebih kurang 10 minit sebelum zuhur. Namun yang demikian, waktu yang dikatakan terbaik adalah ketika pasir menjadi panas disebabkan matahari sudah mulai terpancar terik.
Solat yang dilaksanakan pada waktu tersebut digelar sebagai Solat Awwabin.
Ini berdasarkan sebuah hadis:
صَلَاةُ الأَوَّابِينَ حِينَ تَرْمِضُ الفِصَالُ
Maksudnya: “Solat Awwabin ialah solat yang dilakukan ketika pasir (di tanah lapang) menjadi panas (kerana matahari sudah terik).”
Bilangan rakaat
Solat sunat dhuha boleh dilakukan paling sedikit sebanyak dua rakaat. Atau juga empat, enam, lapan, dan bahkan 12 rakaat yang paling banyak. Menurut Irsyad Al-Hadith Siri ke-223, menerangkan bahawa 8 rakaat adalah bilangan rakaat yang paling afdhal.
Ini bertepatan dengan hadis oleh ummu Hani’ bin Abi Thalib RA berkata:
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW melaksanakan solat dhuha pada hari Fathu Makkah (pembukaan kota Makkah) sebanyak lapan rakaat yang mana baginda memberi salam setiap kali selepas dua rakaat.” – (Hadis Riwayat Abu Daud, no:1290)
Imam Al-Nawawi berkata, “Para ashab kami dan jumhur ulama berdalilkan dengan hadis ini dalam menyatakan istihbab (galakan) melakukan solat sunat dhuha sebanyak lapan rakaat.”
Cara mengerjakannya
1. Membaca lafaz niat solat sunat sunat dhuha:
أُصَلِّيْ سُنَّةَ الضُّحى رَكَعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى
“Sahaja aku solat sunat dhuha dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”
2. Rakaat pertama: Membaca surah Al-Fatihah dan diikuti oleh Surah Al-Syams.
3. Rakaat kedua: Membaca surah Al-Fatihah dan diikuti surah Ad-Dhuha.
Disebabkan tidak ditetapkan apa-apa surah untuk dibaca. Kita juga boleh membaca surah-surah lazim lain yang kita hafal seperti surah Al-Kafirun dan Al-Ikhlas.
Doa dhuha
Doa dhuha dibaca selepas memberi salam ketika habis solat. Hukum membaca doa dhuha ini adalah sunat menurut kitab I’anah al-Thalibin. Berikut adalah doa tersebut:
اللّهُمَّ إِنَّ الضّحَاءَ ضَحَاؤُك وَالْبَهَاءَ بَهَاؤُك
وَالْجَمَالَ جَمَالُكَ وَالْقُوَّةَ قُوَّتُكَ وَالْقُدْرَةَ قُدْرَتُكَ وَالْعِصْمَةَ عِصْمَتُكَ
اللّهُمَّ إِنْ كَانَ رِزْقِيْ فِي السَّمَاءِ فَأَنْزِلْه وَإِنْ كَانَ فِي اْلأَرْضِ فَأَخْرِجْهُ
وَإِنْ كَانَ مُعْسِرًا فَيَسِّرْهُ وَإِنْ كَانَ حَرَامًا فَطَهِّرْهُ وَإِنْ كَانَ بَعِيْدًا فَقَرِّبْهُ
بِحَقِّ ضَحَائِكَ وَبَهَائِكَ وَجَمَالِكَ وَقُوَّتِكَ وَقُدْرَتِكَ
آتِنِي مَا آتَيْتَ عِبَادَكَ الصَّالِحِيْنَ
“Ya Allah bahawasanya waktu dhuha itu waktu dhuha Mu, kecantikan itu ialah kecantikan Mu, keindahan itu keindahan Mu, kekuatan itu kekuatan Mu, kekuasaan itu kekuasaan Mu dan perlindungan itu perlindungan Mu. Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit, turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah. Jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu dhuha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaan Mu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah Engkau limpahkan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.”
Kelebihan menunaikan solat sunat dhuha
- Sunnah Rasulullah SAW yang tidak pernah ditinggalkan oleh baginda sehingga meninggal dunia.
- Akan dibangunkan sebuah rumah di syurga.
- Memperoleh rezeki dengan segera.
- Mendapat pahala umrah.
- Diampunkan dosa-dosa terdahulu oleh Allah SWT
Diharapkan artikel berkenaan dengan solat sunat dhuha dapat memberikan anda informasi yang bermanfaat dan berguna.
Sumber
- Irsyad Al-Hadith Siri Ke-223: Solat Dhuha Mendapat Istana Emas. Mufti Wilayah Persekutuan
- Asas-Asas Fardhu Ain, Ustaz Sulaiman Endut, terbitan Pustaka Haji Abdul Majid (2007)
- Ensiklopedia Solat, terbitan Telaga Biru (2011)