Solat Tahajud – Waktu Paling Afdhal, Cara & Doa Selepas Tahajjud

Antara kurnia Allah pada hambaNya, sering bangun pada waktu solat tahajud.

Sekiranya sebelum tidur kita sudah pun berniat untuk bangun tahajjud, InsyaAllah sampai waktunya kita akan bangun.

Bagi anda yang sedang berusaha untuk melazimi tahajud, panduan solat tahajud ini khas untuk anda.

Waktu tahajud adalah saat dibukakanya pintu langit dan terkabulnya doa.

Bahkan daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda, “Sebaik-baik solat setelah solat fardhu ialah solat malam.” Ibadah yang lazim dilakukan selain berqiamullail adalah solat tahajud.

Apakah maksud tahajud?

solat tahajud

Makna dari “الْهُجُودُ” membawa maksud tidur. Sedangkan perkataan “التَّهَجُّدُ”  adalah wazan (timbangan kata), “تَفَعُّلٌ” pula membawa maksud mengusahakan perbuatan tersebut.

Dari sumber lain pula, tahajud daripada tafsirannya bermakna berjaya atau dalam kata lain bangun ketika waktu sahur atau malam.

Menurut Al-Jauhari, pengunaan perkataan tahajjud ketika berjaga malam atau apabila tidur di mana kedua-duanya adalah berlawanan.

Dari segi istilah pula, tahajud adalah solat tahajud yang menjadi ibadah sunat pada waktu malam selepas isyak setelah bangun daripada tidur atau berqiamullail.

Waktu solat tahajjud

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Muzammil ayat 1 hingga 4,

Maksudnya: “Wahai orang yang berselimut! Bangunlah sembahyang tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu, atau lebih daripada seperdua itu dan bacalah Al-Quran itu dengan perlahan-lahan.”

solat tahajud

Solat sunat ini sangat afdal didirikan pada waktu pertengahan malam atau dua pertiga malam lebih kurang 2 pagi ke atas. Suasana ketika itu sangat sunyi dan sepi makin menambahkan lagi kekhusyukan seseorang ketika bermunajat kepada Allah SWT.

Niat & rakaat solat sunat tahajud

Usolli sunnatat tahajjudi rak’ataini lillahi ta’ala

Maksudnya: “Sahaja aku solat tahajjud dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”

Bilangan rakaat solat tahajud tidak mempunyai rakaat tertentu untuk dilaksanakan. Ia tidak terbatas tetapi sekurang-kurangnya perlu dilakukan sebanyak 2 rakaat dengan satu salam bagi setiap dua rakaat.

Sama ada 2, 4, 6, 8, atau 12 rakaat sekalipun mengikut kemampuan kita. Ini berdasarkan hadis daripada Nabi SAW yang bermaksud:

“Solatlah daripada sebahagian malam sekalipun empat rakaat, solatlah sekalipun dua rakaat. Tidak ada daripada ahli keluarga yang dikenali yang mana mereka sentiasa bersolat malam kecuali akan diserukan kepada mereka oleh seorang penyeru: Wahai ahli keluarga ini! Bangunlah bersolat malam.” – (Hadis Riwayat Al-Baihaqi)

Cara mengerjakan solat tahajud

Tatacara pelaksanaan solat sunat tahajud ini sama juga seperti solat-solat sunat yang lain. Caranya adalah:

  1. Membaca lafaz niat ketika takbiratulihram.
  2. Rakaat pertama: membaca Al-Fatihah dan surah Al-Kafirun.
  3. Perbanyakkan bertasbih dan beristighfar ketika rukuk dan sujud.
  4. Beri salam kemudian teruskan dengan membaca doa solat tahajud.

Ini adalah cadangan untuk bacaan surah di setiap rakaat yang disarankan.

Pilihan 1:

  • Rakaat pertama: surah Al-Kafirun.
  • Rakaat kedua: surah Al-Ikhlas.

Pilihan 2:

  • Rakaat pertama: ayat kursi (7 kali).
  • Rakaat kedua: surah Al-Ikhlas (11 kali).

Pilihan 3:

  • Membaca 10 ayat terakhir surah Ali-Imran boleh dibahagikan antara dua rakaat.

Doa selepas solat tahajud

Doa solat sunat tahajud yang dikongsikan di bawah adalah diambil dalam Riwayat Ibn Majah daripada Abdullah Ibn Abbas dan Riwayat Al-Bukhari, no 1120, 6317, 7385, dan Muslim no 769):

Maksudnya: “Ya Allah, bagi Mu segala puji, Engkaulah penegak langit dan bumi serta segala isinya. Bagi Mulah segala puji, Engkau raja penguasa langit dan bumi. Bagi Mulah segala puji, pemancar cahaya langit dan bumi.

Bagi Mulah segala puji, Engkaulah yang benar, janji Mu adalah benar, perjumpaan Mu itu adalah benar, firman Mu adalah benar, syurga adalah benar, neraka adalah benar, para nabi adalah benar, Nabi Muhammad SAW adalah benar, dan hari kiamat adalah benar.

Ya Allah, kepada Mulah aku berserah diri, kepada Mulah aku kembali, kepada Mulah aku rindu, dan kepada Engkaulah aku berhukum. Ampuni aku atas kesalahan yang telah aku lakukan dan yang sebelumnya, baik yang aku sembunyikan mahupun yang dinyatakan.

Engkaulah Tuhan yang terdahulu dan Tuhan yang terakhir. Tiada Tuhan melainkan Engkau. Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan (kekuasaan) Allah.”

Hikmah disyariatkan solat sunat tahajud

Dalam Al-Quran dan hadis banyak diselitkan mengenai hikmah bagi sesiapa yang bangun pada malam hari untuk mengerjakan solat ini. Antaranya adalah:

  • Ditempatkan di kalangan orang yang terpuji.
  • Dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab.
  • Diampunkan segala dosa dan kifarah.
  • Dijauhkan dari semua penyakit.
  • Dikabulkan segala permintaan yang baik.
  • Dibangkitkan dari kubur dengan wajah berseri-seri.
  • Dapat menerima buku catatan amalan dari tangan kanan.
  • Dapat melalui sirat al-mustaqim dengan cepat seperti kilat.

Jika biasa kita dengar orang bercerita tentang kebaikan bangun untuk beribadah di pertengahan malam. Cubalah kita sendiri yang rasainya. Insha Allah setiap kebaikan yang kita lakukan ada pahala yang menanti.

Soalan Lazim

Bilakah waktu paling afdhal untuk solat tahajud?

Solat sunat tahajud lebih afdhal dibuat satu per tiga malam (kira-kira pukul 3 pagi)

Berapa rakaat solat tahajjud?

Solat tahajjud boleh dikerjakan 2 rakaat.

Apakah surah yang dibaca ketika tahajud?

Rakaat pertama alFatihah dan surah al-Kafirun. Rakaat kedua alFatihah dan surah al-Ikhlas.

Sumber

  1. Al-Kafi #793: Maksud Tahajjud dan Cara Melakukannya. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-286: Tidak Qiyamullail Adalah Petanda Allah Tidak Mahu Berjumpa? Mufti Wilayah Persekutuan
  3. Yahaya, M. H. (2011). Ensiklopedia solat. Kuala Lumpur: Telaga biru Sdn Bhd.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *