Sujud Tilawah: Panduan, Cara Bacaan, dan Kelebihannya
Semua orang tahu tentang perbuatan “sujud”. Namun, mungkin tidak semua yang faham tentang sujud tilawah dan keperluannya dalam kehidupan kita.
Artikel pada kali ini, kami akan kongsikan butiran lengkap mengenai sujud tilawah, bagaimana cara pelaksanannya, dan manfaat yang boleh kita perolehi.
Apa itu sujud tilawah?
Sujud sajadah adalah sujud yang seseorang lakukan selepas membaca dan mendengar ayat-ayat sajadah. Panggilan lain bagi sujud sajadah ini adalah sujud tilawah.
Sujud ini terbahagi kepada dua keadaan iaitu sujud di dalam solat dan sujud di luar solat.
Hukum pelaksanaan sujud ini adalah sunut. Tempoh waktu untuk kita sujud adalah sejurus sahaja selepas mendengar atau membaca ayat sajadah.
Sekiranya ia dilakukan sebelum atau bukan pada ayat sajadah, maka perbuatan tersebut dikira sebagai membatalkan solat.
Lain halnya ketika berada dalam solat berjemaah, keputusan sama ada makmum perlu sujud atau tidak bergantung kepada imam. Sekiranya imam tidak sujud tilawah, maka makmum tidak perlu melakukannya juga kerana makmum wajib mengikuti gerakan yang dilakukan oleh imam.
Syarat-syarat sujud tilawah
Berikut ini adalah syarat-syarat wajib bagi melaksanakan sujud tilawah yang perlu kita tahu:
- Perlu suci daripada sebarang hadas
- Dalam keadaan berwudhu
- Menutup aurat baik lelaki mahupun perempuan
- Sujud sebaik sahaja membaca ayat sajadah
- Ketika solat berjemaah. Sekiranya imam melakukan sujud tersebut, makmum perlu ikut sama. Sekiranya makmum tidak mengikut perilaku imam, maka terputuslah jemaah tersebut. Namun jika imam tidak sujud, maka tidak perlu sujud.
Ayat sajadah dalam Al-Quran
Dalam Al-Quran, terdapat 114 surah yang terkandung di dalamnya diawali dengan Surah Al-Fatihah dan diakhiri oleh Surah An-Nas.
Namun begitu, bagi ayat sajadah ianya terdiri daripada 15 ayat dalam Al-Quran. Berikut ini adalah ayat-ayat yang mengandungi ayat sajadah:
- Surah 7 (Al-A’raf) Ayat 206
- Surah 13 (Ar-Ra’ad) Ayat 15
- Surah 16 (Al-Nahl) Ayat 50
- Surah 17 (Al-Israa’) Ayat 109
- Surah 19 (Maryam) Ayat 58
- Surah 22 (Al-Hajj) Ayat 18
- Surah 22 (Al-Hajj) Ayat 77
- Surah 25 (Al-Furqaan) Ayat 60
- Surah 27 (An-Naml) Ayat 26
- Surah 32 (As-Sajdah) Ayat 15
- Surah 38 (Shaad) Ayat 24
- Surah 41 (Fussilat) Ayat 38
- Surah 53 (An-Najm) Ayat 62
- Surah 84 (Al-Insyiqaq) Ayat 21
- Surah 96 (Al-‘Alaq) Ayat 19
Tanda sajadah dan maksudnya
Sekiranya kita sukar untuk menghafal senarai ayat sajadah yang ada, kita juga boleh mengenal ayat tersebut berpandukan tanda atau simbol sajadah pada akhir ayat.
Simbol kubah seperti ini adalah maksud bahawa ayat tersebut ayat sajadah. Maka kita disunatkan untuk melaksanakan sujud tilawah.
Tatacara melakukan sujud sajadah
Sujud tilawah boleh berlaku untuk dua keadaan iaitu ketika di dalam solat dan di luar solat.
1. Ketika di dalam solat
Pertamanya solat seperti biasa. Namun apabila tiba pada ayat sajadah dalam Al-Quran maka teruslah sujud, dan membaca doa sujud sajadah.
Selesai membaca, berdiri semula dalam keadaan solat tanpa perlu mengangkat tangan. Teruskan dengan sambungan ayat Al-Quran yang dibaca tadi.
2. Ketika di luar solat
Situasi sujud sajadah berlaku di luar solat biasanya ketika seseorang itu sedang membaca Al-Quran. Apabila sampai sahaja pada ayat sajadah, maka angkatlah tangan sambil bertakbir dan terus sujud.
Baca doa sujud sajadah. Setelah selesai, bangun daripada sujud, duduk, dan berikan salam seperti dalam solat.
Bacaan sujud sajadah
Sajada wajhiya lilladzi kholaqohu, wa showwarohu, wa syaqqo sam’ahu, wa bashorohu bi khaulihi wa kuwwatihi fatabarakallahu ahsanul kholiqiin
Maksudnya: “Wajahku bersujud kepada Dzat yang menciptakannya, yang membentuknya, dan yang memberi pendengaran dan penglihatan, Maha berkah Allah sebaik-baiknya pencipta.” – (Hadis riwayat Ahmad, Tirmidzi, Abu Daud, Hakim dan An-Nasaie)
Kelebihannya
Perbuatan memperbanyakkan sujud kepada Allah melatih diri kita untuk sentiada tawaduk dan merendah diri sebagai seorang hamba.
Dalam masa yang sama, syaitan juga tidak suka akan orang yang banyak bersujud. Syaitan apabila diperintahkan Allah untuk bersujud dia enggan dan tidak mahu bersujud.
Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
“Apabila anak Adam membaca ayat Sajdah, lalu ia sujud, maka syaitan akan melarikan diri serta menangis dan berkata, “celaka, ia diperintahkan untuk sujud lalu ia sujud dan baginya syurga. Dan aku pernah diperintahkan untuk sujud, aku enggan dan bagiku neraka.” – (Hadis Riwayat Muslim dan Ibnu Majah)
Diharapkan semoga artikel berkenaan dengan sujud tilawah dapat memberikan anda informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan panduan dalam hidup.
Sumber:
- Al-Kafi #1543: Membaca Ayat Sajadah Di Dalam Solat Dengan Tujuan Untuk Melakukan Sujud Tilawah. Mufti Wilayah Persekutuan
- Al-Kafi #1890: Hukum Sengaja Tidak Sujud Tilawah Ketika Membaca Atau Mendengar Ayat Sajadah. Mufti Wilayah Persekutuan
- Panduan Lengkap Sujud Tilawah. Al-Hidayah Publication