Cara Mandi Wajib: Panduan Lengkap Untuk Lelaki & Perempuan
Cara mandi wajib atau juga dikenali sebagai mandi junub adalah kewajipan bagi setiap umat Islam.
Apakah cara mandi wajib yang betul bagi lelaki dan perempuan? Artikel ini akan mengulas lanjut mengenai panduan lengkap cara mandi wajib selepas haid, junub, dan nifas.
Apa itu mandi wajib?
Menurut Kamus Dewan Bahasa, mandi wajib adalah mencuci tubuh dengan air. Manakala dari segi istilah pula, mandi wajib boleh dimaksudkan sebagai mengalirkan air ke seluruh anggota badan dengan syarat dan niat-niat yang tertentu.
Islam memberi maksud secara dalam mengenai mandi wajib sebagai mengangkat atau juga menghilangkan hadas besar yang disebabkan oleh beberapa perkara yang diwajibkan oleh syarak seperti kadatangan haid, nifas, atau bersetubuh.
Bilakah diwajibkan mandi?
Mandi wajib ini hukumnya wajib dilakukan bagi orang yang berhadas besar.
Orang yang berhadas besar yang dimaksudkan ini akan terhalang dari melaksanakan ibadah fardhu seperti solat, berpuasa, dan bertawaf. Bahkan mereka juga diharamkam menyentuh Al-Quran dan membacanya.
Hadas besar boleh terangkat dengan mandi wajib. Antara jenis hadas besar yang diwajibkan mandi adalah seperti:
1. Keluar air mani
Air mani keluar ketika seseorang itu bersetubuh atau melakukan perkara-perkara yang menaikkan nafsu syahwat sama ada dengan sengaja atau tidak.
Air mani tidaklah dikategorikan sebagai najis tetapi ia diwajibkan mandi. Ia juga tidak membatalkan wuduk tetapi haram hukumnya untuk bersolat.
2. Datang haid
Haid adalah darah yang keluar dari faraj wanita setiap bulan. Menurut Mazhba Syafie, tempoh haid boleh datang dengan masa paling singkat selama 1 hari 1 malam, atau yang paling lama 15 hari 15 malam.
Walaupun di penghujung haid nanti keluarnya kesan kecoklatan dan kekuningan ia masih dikira sebagai haid.
3. Keluar darah nifas
Darah nifas adalah darah yang keluar dari faraj selepas melahirkan anak. Umumnya, darah nifas keluar selama 40 hari dan maksimum selama 60 hari.
Seseorang wajib mandi wajib apabila darah telah kering walaupun belum cukup 40 hari.
4. Wiladah
Wiladah bermaksud darah yang keluar sewaktu bersalin. Ia boleh berlaku sama ada dalam keadaan basah atau pun kering (jika melalui pembedahan). Hukumnya adalah berhadas besar dan perlu mandi wajib.
5. Mati selain mati syahid
Seorang Muslim yang meninggal dunia wajib dimandikan mayatnya kecuali bagi orang Islam yang mati syahid.
6. Muallaf
Mandi wajib bagi seorang mualaf yang baru memeluk agama Islam dalam Mazhab Syafie adalah tidak wajib sebaliknya ia adalah sunnah. Namun dianjurkan mandi besar sesaat setelah ia masuk Islam.
7. Berjimak (melakukan persetubuhan)
Suami isteri yang melakukan persetubuhan perlu mandi wajib walaupun tanpa mengeluarkan air mani.
Dalil tentang keperluan mandi wajib?
Dalam Surah An-Nisaa, ayat 4, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kalian melakukan solat di masjid dalam keadaan mabuk, sebelum kalian sedar dana mengerti apa yang diucapkan. Jangan pula kalian memasuki masjid dalam keadaan junub, kecuali bila sekadar melintas tanpa maksud berdiam didalamnya, sampai kalian mandi.”
Dari Abu Hurairah RA, ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Jika seseorang telah benar-benar melakukan hubungan intim dengan isterinya lantas bertemu dua kemaluan, ia diwajibkan untuk mandi.” – (Muttafaqun ‘alaih) [Hadis Riwayat Bukhari, no. 291 dan Muslim no. 348].
Syarat mandi wajib
Setiap ibadah yang difardhukan mempunyai syarat-sayarat yang wajib dipatuhi ini termasuklah mandi wajib. Antara syarat mandi wajib adalah:
- Islam
- Mumaiyiz
- Tida ada sesuatu yang menghalang air dari sampai ke kulit
- Tidak ada sesuatu pada tubuh yang boleh merubah air
- Tahu akan rukun-rukun mandi wajib
- Jangan mengikhtikadkan perkara yang rukun dalam mandi wajib sebagai sunat
Cara mandi wajib yang betul
Berikut ini adalah cara mandi wajb yang tepat dan betul untuk rujukan umat Islam.
1. Membaca niat
Nawaitu raf ‘al hadasil akbari lillahi ta’ala
Maksudnya: "Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Taala."
2. Membaca “Bismillah”.
3. Mencuci tangan sebanyak 3 kali
4. Mencuci kemaluan dengan tangan kiri.
5. Membersihkan atau menyucikan tangan kiri dengan sabun.
6. Berwuduk. Wuduk boleh dilakukan seperti biasa yang dilakukan sebelum mendirikan solat.
7. Membasuh kepala dengan mengusapkan rambut secara meratakannya lalu disiram sebanyak 3 kali dengan air.
Cara ini berdasarkan hadis dari Aisyah RA di dalam Sahih Bukhari:
Maksudnya: “Kemudian Baginda SAW memasukkan jari-jarinya ke dalam air, kemudian mengusap rambutnya, kemudian menyiram kepalanya 3 kali dengan kedua-dua tangannya.”
Ketika menyiram kepala, ia perlu dimulai daripada bahagian kanan diikuti dengan bahagian kiri seterusnya bahagian tengah. Ini berdasarkan hadis Aisyah RA yang bermaksud:
“Baginda menyiram kepalanya di bahagian kanan, kemudian bahagian kiri.”
8. Memulakan dengan bahagian kanan tubuh.
Dari Aisyah RA: “Sesungguhnya Rasulullah SAW suka mendahulukan bahagian kanan pada semua urusannya, ketika memakai kasut, ketika bersikat dan ketika bersuci.” – (Sahih Muslim).
9. Meratakan air ke seluruh tubuh badan.
10. Berwuduk untuk mengerjakan solat fardhu.
Kesimpulannya, bab taharah atau bersuci dalam Islam sangat penting untuk setiap Muslim.
Hal ini kerana, jika mereka lalai atau tidak faham cara yang benar dalam bersuci maka segala amal ibadah yang dilakukan adalah sia-sia dan tidak sah.
Diharapkan panduan berkenaan dengan cara mandi wajib ini memberikan anda pengetahuan yang bermanfaat.
Sumber
- Majalah Cahaya, Bil 106, Tahun 24, Isu 3/2012, Bahagian Penerbitan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). https://www.islam.gov.my/ms/
- Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-685: Adakah Tidak Sah Mandi Wajib Tanpa Didahului Dengan Basmalah? Mufti Wilayah Persekutuan