15 Amalan Ketika Haid Perlu Wanita Muslim Tahu

Apakah amalan ketika haid yang boleh kaum wanita lakukan untuk mengantikan ibadah fardhu yang lain?

Wanita adalah ciptaan cukup istimewa yang Allah SWT jadikan di atas muka bumi ini.

Martabat wanita dalam Islam dijelaskan dengan cukup sempurna oleh Al-Quran, hadis, dan sirah yang tercatit pada Islam sendiri.

Martabat wanita sebagai seorang ibu, anak perempuan, dan isteri telah diberikan pembelaan sebaiknya.

Malah pada hari-hari tertentu bila mana mereka dalam keadaan tidak suci, Islam membenarkan mereka untuk lakukan amalan ketika haid untuk dapat mengumpul pahala seperti orang lain juga.

Baca juga:

Pengenalan mengenai haid wanita

Haid diistilahkan sebagai darah yang keluar dari rahim seorang perempuan yang sihat yang tidak ada sesuatu sebab.

Kebiasaannya, perempuan yang didatangi haid ini boleh bermula seawal umur 9 tahun atau 12 tahun.

Tempoh keluar haid menurut mazhab Syafie adalah:

  • Minimum: sehari semalam.
  • Maksimum: 15 hari 15 malam

Contoh amalan ketika haid yang dilakukan

Antara beberapa contoh amalan ketika haid yang boleh kaum wanita lakukan adalah seperti yang berikut:

1. Mendengar bacaan Al-Quran

Sungguh tiada alasan hari ini untuk kita tidak mampu untuk dekat dengan Al-Quran.

Teknologi moden sekarang membolehkan kita untuk mendengar bacaan Al-Quran dari telefon bimbit melalui pemain MP3 atau secara online di YouTube.

Bahkan dengan pilihan qari dan qariah yang terkenal dan sedap bacaannya.

2. Membaca tafsir Al-Quran

Tafsir daripada ayat Al-Quran dalam bahasa yang kita mudah fahami iaitu Bahasa Malaysia lebih mudah untuk kita memahami ayat tersebut.

Hari ini juga terlalu banyak medium carian untuk kita membaca tafsir Al-Quran dengan mentadabbur dan mengkajinya dari isi Al-Quran.

3. Berzikir

Dari Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda,

Maksudnya: “Tidak ada kaum/seseorang yang berzikir kepada Allah kecuali mereka dikelilingi oleh malaikat-malaikat, di liputi oleh rahmat,

turun kepada mereka ketenteraman, dan Allah menyebut mereka sebagai orang-orang yang disisi.” – (Hadis Riwayat Muslim)

4. Membaca Al-Mathurat

Dalam Al-Quran, ada disebutkan tentang galakan membaca Al-Mathurat ini. Allah SWT berfirman:

Maksudnya: “Dan sebutkanlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut, dan dengan tidak pula menyaringkan suara pada waktu pagi dan petang.

Dan janganlah engkau menjadi orang-orang yang lalai.” – (Surah Al-Araf, ayat 205)

5. Berselawat

Lafaz bacaan selawat yang paling ringkas yang berdasarkan dalil sahih adalah:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Maksudnya: “Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya.” – (Dari hadis: An-Nasae’i: 1292, Sahih)

6. Berdoa

Firman Allah SWT dalam Al-Quran,

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.

Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.” – (Surah Ghafir, ayat 60)

7. Beristighfar

Banyakkan memohon taubat serta keampunan dari Allah melalui istighfar, dengan menyebut Astaghfirullah hal ‘aziim ( اَسْتَغْفِرُ اَللّهَ الْعَظِیْمَ ).

8. Mengulang hafalan surah

Terdapat beberapa pandangan dari ulama yang boleh kita ambil perhatian mengenai ulang hafalan surah dalam keadaan sedang haid.

Pertama, hukumnya haram. Ini berdasarkan pendapat jumhur Fuqaha yang melarang wanita membaca Al-Quran ketika dalam keadaan haid atau sedang berjunub. Daripada hadis Ibn Umr RA:

لاَ تَقْرَأ الْحَائِضُ وَلاَ الْجُنُبُ شَيْئًا مِنَ الْقُرْآنِ

Maksudnya: “Tidak dibolehkan wanita  dalam haid dan yang berjunub membaca walau sedikit daripada Al-Quran.”  – (Hadis Riwayat al-Tirmizi, 131)

Manakala kedua, hukumnya adalah harus.

Ini berdasarkan ulama’ Malikiyyah mengikut riwayat yang sahih iaitu dibolehkan untuk memegang Al-Quran bagi wanita yang haid dan dibolehkan membacanya bagi tujuan mengajar atau belajar.

Namun yang demikian, kelonggaran ini hanya diberikan kepada wanita yang dalam keadaan haid sahaja bukan sedang berjunub.

Kesimpulan yang diambil dari Mufti Wilayah Persekutuan, adalah dibolehkan mengulang hafazan atas sebab-sebab tertentu ini.

Hal ini termasuk kerana dibimbangi hafazan Al-Quran mereka akan terluput dalam ingatan. 

9. Baca bahan bacaan agama

amalan ketika haid

Kitab, majalah agama, makalah agama, atau apa-apa jua bacaan digital yang mempunyai ilmu pengetahuan dan manfaat dari segi agamanya boleh kita baca untuk menambah keilmuan dalam diri.

10. Mengikuti majlis ilmu atau kuliah agama

Rasulullah SAW bersabda,

Maksudnya: “Barangsiapa menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu, nsecaya Allah SWT menunjukkan jalan menuju syurga baginya.” – (Hadis Riwayat Muslim)

11. Memberi makan kepada orang yang berbuka

Rasulullah SAW bersabda,

Maksudnya: “Barang siapa yang memberi ifthar (hidangan untuk berbuka) orang-orang yang shaum/berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang shaum/berpuasa tanpa dikurangi sedikitpun.” – (Hadis Riwayat Bukhari Muslim)

12. Banyak bersedekah

amalan ketika haid

Menerusi firman Allah yang bermaksud:

“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya:

“Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh.” – (Surah al-Munaafiquun, ayat 10)

13. Bertaubat

Setiap manusia pasti tidak terlepas dari melakukan dosa dan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah orang yang rajin yang bertaubat.

Lantaran itu, kita dituntut untuk sentiasa bertaubat atas segala dosa dan perilaku perbuatan kita. Firman Allah SWT:

“Wahai orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah SWT dengan taubat nasuha.” – (Surah At-Tahrim, ayat 8)

14. Menyampaikan dakwah

Berpesan-pesan ke arah kebaikan, dan mencegah seseorang dari kemungkaran adalah dakwah yang kita bawa sebagai seorang Muslim.

Menyampaikan dakwah bukanlah menunggu kita berstatus seorang ustaz atau ustazah semata-mata.

Bahkan seorang insan biasa juga mempunyai kewajipan dan tanggungjawab dakwahnya tersendiri dengan cara yang termampu seperti yang pernah diberitahu di dalam hadis.

15. Mencuci pakaian solat

Rutin mencuci pakaian solat seperti telekung pada setiap kali datang haid adalah satu amalan yang baik.

Amalan ini membolehkan kita beribadah semula kepada Allah selepas suci dari haid dalam keadaan yang selesa dan khusyuk.

Semoga dengan panduan amalan ketika haid ini dapat memberikan kaum Hawa di luar sana sedikit pengetahuan yang bermanfaat untuk diamalkan.

Sumber:

  1. Amalan 24 Jam Wanita Haid. Fahrur Muis. Penerbitan PTS Publication
  2. Irsyad Al-Fatwa Khas Ramadhan Siri Ke 136: Amaln Wanita Haid Di Bulan Ramadhan. Mufti Wilayah Persekutuan
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.