5 Perkara Yang Membatalkan Wudhu Yang Wajib Anda Tahu
Tiga tujuan kita mengambil wudhu adalah kerana mahu mendirikan solat, menyentuh Al-Quran dan bertawaf di Baitullah. Namun dalam masa yang sama kita juga wajib mengambil tahu dan serius berkenaan dengan perkara yang membatalkan wudhu bagi memastikan kesucian anggota tubuh zahirnya sebelum melakukan ibadah.
Pengertian wudhu dalam Islam
Wudhu (الوضاءة) dari segi bahasa bermaksud perbuatan menyucikan diri dengan air sebelum beribadah.
Sedangkan dari konteks syarak, wudhu didefinisi sebagai membersihkan sesuatu yang tertentu dengan beberapa perbuatan yang tertentu yang dimulakan dengan niat, iaitu membasuh muka, membasuh kedua-dua belah tangan, menyapu kepala dan akhirnya membasuh kedua belah kaki dengan syarat-syarat dan rukun-rukun yang tertentu.
Allah SWT ada berfirman dalam Surah Al-Maai’dah, ayat 6:
“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali … ”
Perkara yang membatalkan wudhu
Berikut adalah perkara yang membatalkan wudhu mengikut dalam mazhab Imam Al-Syafie:
1. Tidur dalam keadaan tidak tetap
Tidur yang tidak tetap penggungnya dikategorikan sebagai perkara yang membatalkan wudhu. Sedangkan tidur dalam keadaan duduk dan tetap penggungnya tidak membatalkan wudhu.
Ini bermakna tidur dalam keadaan mengiring atau penggung tidak menyentuh permukaan lantai juga membatalkan wudhu. Ini bertepatan dengan satu hadis yang bermaksud:
“Siapa yang tidur maka hendaklah dia berwudhu.” – (Hadis Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)
Untuk langkah berjaga-jaga adalah lebih baik untuk kita mengambil wudhu semula apabila mahu mendirikan solat seusai bangun dari tidur atau berbaring.
2. Keluarnya sesuatu dari dua saluran (qubul dan dubur)
Keluar sesuatu dari dua kemaluan iaitu lubung dubur atau qubul sama ada tahi, kencing, darah, nanah, cacing, angin, air mazi, air wadi, dan sebagainya.
Dalam kuantiti yang sedikit mahupun banyak keluarnya, wudhu tetap akan terbatal. Namun begitu, apabila yang keluar adalah air mani, kita wajib untuk melakukan mandi hadas besar terlebih dahulu sebelum berwudhu.
Berdasarkan kata-kata Ibn Abbas R. Anhuma :
“Wudhu itu disebabkan sesuatu yang keluar dan bukannya disebabkan sesuatu yang masuk.” (Hadis Riwayat Ibn Abi Syaibah, 535)
3. Hilang akal (mabuk atau sakit)
Hilang akal dikategorikan dalam hilang kewarasan atau kesedaran seperti gila atau tidak siuman. Ia bahkan boleh juga berlaku ketika seseorang berada dalam keadaan mabuk, pengsan, pitam, dan tidur.
Kecuali, tidur dalam keadaan duduk yang tetap punggungnya di atas tempat duduk. Bagi masalah hilang akal, sama ada tempoh waktunya sekejap atau lama, ia tetap akan terbatal.
Atau dalam kata lain, perlu untuk ambil semula wudhu jika mahu mendirikan solat atau melakukan apa jua ibadah yang diwajibkan untuk berwudhu.
4. Menyentuh qubul atau dubur dengan tapak tangan tanpa berlapik
Apa yang dimaksudkan dengan qubul bagi lelaki ialah zakar dan bagi perempuan ialah dua bibir faraj. Ada pun selain daripada kedua-dua ini tidak membatalkan wudhu seseorang jika tersentuh.
Sedangkan dubur pula ialah bulatan tempat keluar najis. Selainnya seperti dua papan punggung tidak membatalkan wuduk jika tersentuh.
Selain itu, jika sentuh kemaluan dengan selain tapak tangan seperti dengan tapak kaki atau betis atau dahi atau siku atau belakang tapak tangan atau disentuhnya kemaluan dengan memakai sarung tangan atau dari luar kain maka tidak membatalkan wuduk.
Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Busrah binti Sofwan R.anha, beliau telah mendengar Rasulullah SAW bersabda :
“Sesiapa yang menyentuh kemaluannya, maka berwudhu’lah.” – (Hadis Riwayat Abu Dawud (181), al-Nasaie (163), Ibn Majah (479))
5. Bersentuh kulit antara lelaki dan wanita yang halal nikah tanpa berlapik
Bersentuhan dalam konteks ini bermaksud kulit lelaki dan kulit perempuan tanpa berlapik sama ada bersentuhan dengan sengaja atau tidak. Jika persentuhan berlaku dengan berlapik sekalipun dengan suatu yang nipis maka tidak batal wuduk.
Imam al-Nawawi menyebut di dalam kitabnya :
“Sesungguhnya persentuhan kulit seorang lelaki dan perempuan yang ajnabi adalah perkara yang membatalkan wudhu’ sama ada dengan bersyahwat atau tidak. Tetapi, persentuhan tersebut tidak membatalkan wudhu’ sekiranya terdapat halangan (berlapik) walaupun nipis.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/30)
Walau bagaimanapun, bersentuhan selain dari kulit seperti kuku, rambut, misai, janggut atau gigi maka tidak batal wuduk.
Ini sama juga apabila bersentuhan dengan anak kecil seperti berumur lima atau enam tahun maka tidaklah persentuhan itu membatalkan wuduk.
Semoga dengan perkongsian mengenai dengan perkara yang membatalkan wudhu ini dapat memberikan anda semua ilmu pengetahuan yang bermanfaat berserta hujah dan huraian untuk diambil ikhtibar.
Wudhu demi bertujuan menyucikan diri kita dari hadas kecil sebelum memulakan sesuatu ibadah seperti solat dan tawaf. Hal ini jelas sekali menunjukkan bahawa Islam sangat menjaga soal kebersihan diri dan persekitaran.
Sumber:
- #849: Menyentuh Najis Membatalkan Wuduk. Maktabah Al Bakri
- Perkara Yang Membatalkan Wuduk (Perlu Ambil Air Sembahyang Lagi). The Rohani
- Kifayatul Akhyar Imam Taqiyuddin Ad-Dimasyqi As-Syafi’e