Surah Al-Fatihah (الفَاتِحَة): Panduan Bacaan Yang Betul Teks Arab / Rumi

Artikel ini akan berkongsi kepada anda serba sedikit mengenai inti pati surah Al-Fatihah (الفَاتِحَة) yang sepatutnya anda perlu tahu.

Di sini juga disediakan audio bacaan surah ini dalam bentuk MP3 dan juga teks bacaannya dalam rumi untuk memudahkan pembacaan.

Pengenalan surah Al-Fatihah

surah al-fatihah

Surah Al Fatihah dikenali sebagai surah pembukaan yang diturunkan di Mekah selepas Surah Al-Muddathir.

Nama lain bagi surah Al Fatihah adalah Ummul Quran (ام القــرآن – Ibu Quran), Ummul Kitaab (ام الكتاب – Ibu Kitab), dan Sab’ul Mathani (tujuh ayat yang dibaca berulang- ulang) kerana menjadi induk dan intisari bagi keseluruhan 30 juzuk isi kandungan Al-Quran.

Ia mempunyai 7 ayat dan merupakan surah pertama yang diturunkan lengkap keseluruhan ayat bagi sebuah surah juga termasuk dalam golongan surah Makkiyyah.

surah al-fatihah

Ringkasan surah

Pada umumnya, surah Al Fatihah merangkumi semua perkara yang berkaitan dengan kehidupan manusia di dunia ini. Justeru jelaslah mengapa ia berada di awal surah dan menjadi rukun kepada solat.

Dalam masa yang sama penting juga untuk kita memahami maksud dari surah Al Fatihah ini. Seseorang yang faham akan maksud surah Al Fatihah akan lebih khusyuk dalam solatnya dan memahami apa sahaja yang dilafazkan.

Baiklah, secara umumnya terdapat enam perkara utama yang dibahaskan dalam dalam Al-Quran iaitu:

  • Tauhid
  • Risalah (kerasulan)
  • Akhirat
  • Ahkam (hukum dan undang-undang)
  • Keadaan orang yang taat
  • Keadaan orang yang derhaka

Tadi kita sebut tentang surah Al Fatihah yang menjadi induk dalam Al-Quran, maka sudah tentulah keenam-enam perkara di atas ada dibincangkan dalam surah tersebut.

1. Tentang tauhid disentuh dalam tiga ayat pertama

بِسمِ اللَّهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ

الحَمدُ لِلَّهِ رَبِّ العالَمينَ

الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ

2. Tentang akhirat disentuh dalam ayat

مالِكِ يَومِ الدّينِ

3. Tentang risalah (Kerasulan) disentuh dalam ayat

إِيّاكَ نَعبُدُ وَإِيّاكَ نَستَعينُ

dan

اهدِنَا الصِّراطَ المُستَقيمَ

Ayat إِيّاكَ نَعبُدُ وَإِيّاكَ نَستَعينُ mengajar tentang melakukan ibadat kepada Allah dan ayat اهدِنَا الصِّراطَ المُستَقيمَ adalah tentang memohon untuk ditunjukkan cara beribadat kepadaNya. Tanpa Nabi, kita tidak akan tahu cara buat ibadat.

4. Tentang ahkam, tentang undang-undang dan cara hidup Islam, disentuh dalam ayat

اهدِنَا الصِّراطَ المُستَقيمَ

Oleh itu, ayat ini juga adalah tentang ahkam selain daripada tentang risalah.

5. Keadaan mereka yang taat dan diberi hikmat disentuh dalam potongan ayat

صِراطَ الَّذينَ أَنعَمتَ عَلَيهِم

Ayat ini juga memberi isyarat kepada dua perkara: Orang yang taat dan juga merujuk kepada risalah (Kerasulan).

Kerana para Nabi dan para Rasul adalah antara mereka yang juga diberi nikmat.

6. Tentang keadaan orang yang derhaka, disebut dalam potongan ayat seterusnya

غَيرِ المَغضوبِ عَلَيهِم وَلَا الضّالّينَ

Secara tidak langsung, apabila kita baca surah tersebut ia seolah-olah mengingatkan kita juga pada keseluruhan ayat-ayat Al-Quran.

Hukum membaca Al Fatihah dalam solat

Para ulama khilaf dengan dua pendapat berkenaan dengan hukum membaca Al Fatihah dalam solat ini.

  • Pertama: Jumhur ulama dari kalangan Maliki, Syafi’e dan Hanbali berpendapat Al Fatihah merupakan rukun daripada rukun solat berdasarkan nas yang akan disebutkan nanti.
  • Kedua: Mazhab Hanafi berpendapat membaca Al Fatihah termasuk dalam wajib solat dan bukan rukun solat kerana sabitannya berdasarkan khabar wahid

Walau bagaimana pun Mufti Wilayah Persekutuan kita berpendapat bahawa hujah dari jumhur ulama adalah lebih kuat kerana itulah yang dilazimi oleh Rasulullah SAW, para sahabat, tabi’in dan salafus soleh.

Bacaan surah Al-Fatihah

اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ رَبِّ الْعٰلَمِيْنَۙ

Alhamdu lilahi robbil’alamin

Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam

الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِۙ

Ar rohmanir rohim

Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

مٰلِكِ يَوْمِ الدِّيْنِۗ

Maliki yawmiddin

Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari akhirat)

اِيَّاكَ نَعْبُدُ وَاِيَّاكَ نَسْتَعِيْنُۗ

Iyaka na’budu wa iyyaka nast’ain

Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. 

اِهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيْمَ ۙ

Ihdinos sirothol mustaqim

Tunjukilah kami jalan yang lurus.

صِرَاطَ الَّذِيْنَ اَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ ەۙ غَيْرِ الْمَغْضُوْبِ عَلَيْهِمْ وَلَا

الضَّاۤلِّيْنَ ࣖ

Sirothol-lazina an’amta ‘alaihim. Gh’oiril ma’dhubi ‘alaihim walad-dhollin

Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

Kesalahan dalam membaca Al Fatihah

Terdapat dua jenis kesalahan dalam membaca Al Fatihah iaitu kesalahan yang tidak mengubah makna dan kesalahan yang mengubah makna.

Berikut ini adalah beberapa contohnya:

Kesalahan yang tidak mengubah makna Al Fatihah

1. Membaca مالك (Maaliki) dengan menambah sabdu pada huruf lam atau kaf sedangkan huruf lam berbaris bawah.

2. Membaca tanpa dengung, pendek dan panjang harakat mad, tiada qalqalah dan sebagainya yang tidak mengubah makna.

3. Membaca الضالين (Ad-dholliin) dengan menukarkan huruf dhad dengan ẓa seperti الظالين (Az-Zholliin) mengikut qaul yang berbeza dengan asah, kerana sukar dibezakan kedua-dua. Ini adalah pendapat Imam Fakhrurrazi seperti yang disebut dalam tafsirnya.

4. Membaca المستقيم dengan menukarkan qaf dengan huruf gaf parsi, seperti yang disebut oleh orang Yaman, tetapi makruh menurut sebahagian ulama, dan sebahagian lain tidak memakruhkannya.

5. Membaca بسم الله dengan menukar ha’ di hujungnya yang berbaris bawah dengan baris hadapan.

Kesalahan yang mengubah makna Al Fatihah

1. Membaca أنعمتَ yang berbaris atas hujungnya, dengan baris depan atau bawah, atau إياكَ yang berbaris atas hujungnya dengan baris bawah.

2. Membaca المستقيم dengan mengidghamkan huruf sin dengan tha seperti المثتقيم. Keadaan seperti ini dipanggit أرت (Arat).

3. Membaca مغضوب dengan menukar huruf ghain dengan ra’ seperti مرضوب. Keadaan ini dipanggil ألثغ (Althagh).

4. Membaca الضالين dengan menukarkan huruf dhad dengan zha seperti الظالين mengikut qaul yang paling sahih.

5. Membaca الذين dengan menukarkan huruf dzal dengan dal seperti الدين.

6. Membaca الحمد dengan menukar ha’ kepada ḥa’ seperti الهمد

7. Menghilangkan satu syaddah/sabdu yang empat belas dalam Fatihah.

Cara bacaan Al Fatihah yang betul dan tepat

Imam al-Baijuri ada menyebutkan secara ringkas sebelas syarat yang perlu dijaga ketika membaca surah Al Fatihah dalam sembahyang, iaitu:

1. Bacaan yang  dapat didengar  dengan jelas oleh telinganya sendiri (bagi yang sihat pendengaran).

2.  Membaca  dengan  tertib  (tersusun   mengikut  susunan ayat-ayatnya).

3.  Membaca secara berterusan (muwalah),iaitu bacaan yang tidak terputus-putus kecuali pada kadar untuk bernafas.

4. Menjaga  segala hurufnya, termasuk sabdunya  yang empat  belas. Tiga daripadanya  terdapat pada Basmalah (بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ).

5. Tidak melakukan kesilapan dalam bacaan yang boleh menukar makna.

6. Tidak membacanya dengan bacaan yang ganjil (syadz) yang merubah makna.

7. Tidak menukar perkataan-perkataannya.

8. Membaca  setiap ayatnya termasuk  Basmalahnya, kerana ianya adalah sebahagian daripada Al Fatihah.

9. Membacanya dalam bahasanya yang asal iaitu bahasa Arab dan tidak menterjemahkannya ke dalam bahasa lain, kerana jika diterjemahkan akan hilanglah mukjizat Al-Quran itu.

10. Khusus bagi orang yang tidak mampu membaca surah Al-Fatihah, hendaklah membaca penggantinya dari surah-surah lain juga dalam bahasa Arab. Lainlah halnya jika gantiannya itu terdiri daripada zikir ataupun doa, kerana ianya boleh diterjemahkan jika tidak mampu membacanya dalam bahasa Arab.

11. Membacanya dalam  keadaan qiyam (berdiri). Jika  tidak mampu berdiri, maka hendaklah dibaca dalam keadaan duduk, berbaring dan sebagainya.

Cara bacaan Al Fatihah yang disunatkan

Terdapat beberapa cara bacaan bagi surah Al Fatihah ini yang afdal atau disunatkan menurut para ulama. Antaranya adalah:

1. Sunat waqaf pada setiap ayat, termasuk juga dalam hal ini pada ayat Basmalah sebagaimana menurut pendapat muktamad dalam kitab Fath al-Mu‘in.

2. Tidak waqaf pada ayat أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ. Syeikh Ramli berkata dalam Kitab an-Nihayah: Adalah sunat untuk menyambungnya dengan ayat selepasnya kerana ayat tersebut bukanlah tempat waqaf dan bukan pula penghujung ayat.

3. Membaca secara tartil dan tidak terburu-buru sehingga merosakkan bacaan.

Bacaan Al Fatihah Syeikh Muhammad Kurayyim Rajih

Syeikh Muhammad Kurayyim Rajih adalah seorang Syeikhul Qurra’ yang sehingga ini menjadi Pakar Rujuk di dalam bidang Qiraat di negera Syiria dan seluruh dunia.

Beliau juga merupakan Pemegang Sanad Al-Quran Tertinggi Di Dunia & Merupakan Salasilah Ke-28 daripada Rasulullah SAW.

Berikut adalah bacaan Al Fatihah yang diajarkan oleh syeikh:

Soalan lazim berkenaan Al Fatihah

Di bawah ini adalah beberapa persoalan yang ada kaitannya dengan pengamalan Al Fatihah dalam solat atau kehidupan seharian:

1. Adakah dibolehkan baca Al Fatihah dalam solat dengan menggunakan bahasa Inggeris?

Ulama mempunyai perbezaan pendapat tentang penggunaan bahasa lain selain bahasa arab dalam membaca Al Fatihah ketika solat.

Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan bahawa individu yang tidak mampu baca al-Fatihah dalam bahasa Arab, bacalah ayat Al-Quran seperti membaca “بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ” yang diulang tujuh atau lapan kali seolah-olah sudah menyamai surah al Fatihah.

Untuk penjelasan lengkapnya, anda boleh rujuk pada kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan di sini: Bayan Linnas Siri Ke-177

2. Hukum mengulangi bacaan Al Fatihah ketika solat

Hukumnya adalah harus bagi sesiapa yang membuat bacaan ulangan pada ayat surah Al Fatihah ketika sedang solat.

Ia boleh disebabkan atas sebab-sebab tertentu atau tanpa sebab. Namun bagi kesalahan bacaan yang dibuat secara sengaja atau sehingga merubah maknanya, maka solat adalah terbatal dan perlu mengulanginya semula.

3. Apakah maksud “Amin” selepas membaca Al Fatihah?

Umumnya, perkataan “Amin” yang selalu kita sebut selepas membaca doa atau dalam solat berjemaah itu adalah bermaksud perkenankanlah.

Kita disunatkan untuk menyebut “Amin” selepas mmbaca Al Fatihah. Hal ini berdasarkan kepada hadis Abi Musa al-Asy’ari, sabda Rasulullah SAW:

“Apabila selesai membaca ayat akhir al-Fatihah, maka sebutlah Aamin nescaya diterima Allah SWT bagimu.” – (Hadis Riwayat Muslim, No 404)

4. Adakah sah solat jika bacaan Al Fatihah imam tidak tepat?

Berkenaan dengan isu ini ada dua situasi yang boleh anda perlihatkan.

Pertama, jika makmum sudah tahu bahawa imam yang diikuti mempunyai kelemahan dalam bacaannya seperti tidak membaca dengan betul sehingga mengubah makna, tetapi makmum masih tetap mengikutinya maka batal solatnya dan perlu mengulang solat semula.

Kedua, jika imam tersebut sama sahaja taraf bacaan Al Fatihah dengan makmum, maka tidak batal solat tersebut. Hal ini sama juga sekiranya kesalahan bacaan yang berlaku ringan sahaja di mana ia tidak mengubah maknanya.

5. Adakah perlu membaca bismillah ketika membaca Al Fatihah dalam solat?

Umumnya, ada perbezaan pendapat mengenai status “bismillah” dalam Al Fatihah.
Namun begitu, Mazhab Syafie berpendapat ia sebahagian daripada surah tersebut. Justeru, adalah wajib bagi kita membacanya sebelum membaca Al Fatihah dalam solat.

Hal ini berdasarkan kepada hadis yang dinyatakan oleh Abu Hurairah RA:
Sekiranya kamu membaca Alhamdulillah, hendaklah kamu membaca bismillahir rahmanir rahim. Ia (al-Fatihah) adalah Ummul Quran dan Ummul Kitab, dan ia mempunyai tujuh ayat. Bismillahir rahmanir rahim adalah salah satu ayatnya.

6. Adakah sah solat jika makmum baca Al Fatihah bersama imam?

Dalam Mazhab Syafie, makmum wajib membaca Al Fatihah pada setiap rakaat solat, sama ada dibaca nyaring atau perlahan, kecuali bagi makmum yang masbuk.
Namun begitu, berkenaan dengan persoalan adalah makmum dibolehkan baca Al Fatihah bersama-sama imam, sebahagian para ulama Syafie berpendapat hukumnya adalah makruh.

Hal ini berdasarkan kepada hadis Ibnu Abbas yang berkata pernah suatu ketika Baginda menjadi imam dan ada orang yang membaca di belakang Baginda.
Lalu Allah menegur perbuatan tersebut dengan menurunkan surah Al-A’raaf, ayat 204:

“Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya).”

Justeru yang sebaiknya adalah makmum perlu berdiam sahaja ketika imam sedang membacakan Al Fatihah.

Masa yang afdal untuk makmum membacanya adalah ketika saktah imam (iaitu ketika imam berdiam sejenak selepas membaca Al Fatihah) atau sewaktu imam sedang membaca surah.

Walaupun begitu, sekiranya makmum tahu bahawa imam tidak akan membaca surah selepas Al Fatihah atau hanya membaca surah yang pendek sehingga makmum itu tidak mungkin dapat menyempurnakan bacaan Al Fatihah, maka dia dibolehkan membacanya bersama ketika imam juga membacanya.

Kelebihan membaca Al Fatihah

Sungguhpun surah ini pendek dan hanya terdiri dari tujuh ayat sahaja, namun tidak dinafikan banyak kelebihannya yang boleh kita perolehi.

Berikut adalah antara kelebihan yang boleh kita dapatkan:

1. Tiang solat

Solat adalah tiang kepada agama dan setiap kali solat surah Al Fatihah adalah surah yang wajib untuk dibaca.

Bahkan solat seseorang tidak sah apabila tidak membaca surah Al Fatihah ini. Menurut hadis sahih al-Bukhari No. 756, diriwayatkan oleh ‘Ubada bin As-Samit, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

Jika seseorang tidak membaca surah al-Fatihah dalam solatnya, maka solatnya menjadi tidak sah.” – (Dipetik dari at-Tirmizi)

2. Penawar kepada penyakit

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, surah ini tergolong sebagai ayat Al-Quran yang berfungsi sebagai penawar, syifa, ruqyah atau penyembuh.

Imam al-Nawawi berkata:

Sunat membaca kepada orang yang sakit dengan Al Fatihah berdasarkan hadis Nabi SAW:

وَمَاأَدْرَاكَأَنَّهَارُقْيَةٌ؟

Maksudnya: “Tidakkah kamu ketahui bahawa surah Fatihah bersifat ruqyah” – (Hadis Riwayat al-Bukhari, 5736) dan Muslim, 2201)

3. Diturunkan hanya untuk Nabi SAW

Surah Al Fatihah diturunkan hanya untuk NabI SAW yang mana tidak  pernah diturunkan surah yang seumpamanya melalui kitab Taurat, Injil dan Zabur.

Daripada satu hadis Abu Hurayrah dan Ka ‘ab RA berkata maksudnya:

“Rasulullah SAW bersabda, “Tidak pernah Allah SWT menurunkan dalam Taurat atau Injil seperti Umm al-Quran, iaitu surah yang mempunyai tujuh ayat yang bersifat al-Mathani dan surah ini terbahagi antara-Ku dan hambaku dua bahagian, dan bagi hamba-Ku yang separuh itu apa yang mereka pinta.” – (Hadis Riwayat Al-Tirmidhi, al-Nasa’i, dan Ahmad)

4. Tujuh ayat yang sering diulang

Surah yang paling kerap diulang dalam Al-Quran adalah surah Al Fatihah. Ia juga disebut dalam surah al-Hijr ayat 87 yang bermaksud:

Dan sesungguhnya Kami telah berikan kepadamu tujuh ayat yang dibaca berulang-ulang dan al-Quran yang agung.”  

Semoga dengan panduan membaca surah Al Fatihah ni dapat menjadikan kita semua semakin sayang dan mencintai kitab Al-Quran serta menghayati setiap bait ayatnya untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

Sumber:

  1. Al Quran dan Terjemahannya
  2. Irsyad Al-Hadith Siri Ke-429: Hadith Nama-Nama Bagi Surah Al-Fatihah. Mufti Wilayah Persekutuan
  3. Kenapa Surah Al-Fatihah Berada Di Awal Al-Quran. Islam Itu Indah
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.