13 Perkara Yang Membatalkan Solat Elak Ibadah Sia-Sia

Apakah yang dimaksudkan dengan perkara yang membatalkan solat?

Artikel pada kali ini, kami akan menerangkan mengenai perkara yang membatalkan solat untuk anda jadikan panduan.

Baca juga:

Jenis perkara yang membatalkan solat

Terdapat beberapa perkara yang membatalkan solat apabila dilakukan. Berikut adalah penjelasan lengkapnya untuk panduan anda:

1. Berkata-kata dengan sengaja

Dalam solat, perkataan yang boleh disebutkan hanyalah bacaan zikir dalam solat atau surah-surah yang perlu dibaca.

Selain daripada itu, jika kita mengeluarkan apa-apa perkataan atau kata-kata lain ia boleh membatalkan solat.

Contohnya, berdoa atau berniat dalam bahasa Melayu ketika solat juga tidak boleh dilafazkan sebaliknya perlu dalam hati sahaja.

Dari sisi lain sekiranya seseorang mempunyai kelainan yang tidak disengajakan seperti melatah.

Menurut fatwa dari Mufti Wilayah Persekutuan, ianya tidak menyebabkan solat terbatal.

2. Menambah atau mengurangkan perbuatan dalam rukun solat

Solat adalah perkara taabbud dan tauqifi yang berlandaskan apa yang ditunjuk oleh Rasulullah SAW secara bulat-bulat.

Hal ini bermakna, kita tidak boleh menukar, mengurangi, menokok tambah perbuatan rukun solat walau dalam keadaan apa sekalipun.

Daripada Malik bin Huwairith RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

Maksudnya: “Solatlah kalian sebagaimana kalian melihat aku solat.”

3. Datang hadas

Imam Abu Syuja’ menyebutkan enam sebab-sebab berlakunya hadas dari rujukan Matan Al-Ghoyah wa Al-Taqrib, 18 iaitu:

  • Keluar sesuatu daripada dua jalan (qubul dan dubur).
  • Tidur yang tidak tetap punggungnya.
  • Hilang akal disebabkan oleh mabuk atau penyakit.
  • Menyentuh jantina yang lain tanpa berlapik.
  • Menyentuh kemaluan dengan telapak tangan.
  • Menyentuh halaqah dubur.

Semua yang disebutkan di atas akan membatalkan wuduk.

Dan bila mana terbatal wuduknya maka terbatallah juga solatnya seperti mana yang ada disebutkan oleh Imam Nawawi dalam kitabnya, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab bahawa:

فإذا أحدث المصلي في صلاته باختياره بطلت صلاته بالإجماع، سواء كان حدثه عمداً أو سهواً، سواء علم أنه في صلاة أم لا، وإن أحدث بغير اختياره بأن سبقه الحدث بطلت طهارته بلا خلاف

Maksudnya: “Sekiranya seseorang yang mendirikan solat itu berhadas dalam solatnya dengan perbuatannya dalam solat, maka batal solatnya secara ijma’.

Tidak kira sama ada dia berhadas secara sengaja ataupun tidak, samada dia perasan dia berada di dalam solat atau tidak perasan.

Jika sekiranya dia berhadas dengan tanpa perbuatannya, seperti dia telah berhadas sebelumnya, maka batal wuduknya juga tanpa khilaf.” – (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5:88)

4. Mengubah lafaz niat

Niat termasuk dalam 13 rukun solat yang menentukan sama ada solat yang dilaksanakan itu sah ataupun tidak.

Tanpa niat yang betul, maka solat juga akan terbatal. Misalnya, kita mahu solat Zuhur tetapi kta melafazkan niat untuk solat Asar.

Disebabkan itu solat Zuhur kita automatik akan terbatal. Contoh yang lain pula, biasanya berlaku ketika dalam solat.

Kita sudah berniat dengan betul dan sedang solat, tiba-tiba sesuatu berlaku dan terdetak di hati kita untuk meninggalkan solat.

Dalam keadaan itu, maka terbatallah solat yang dilakukan.

5. Dada tidak menghadap kiblat

Kita solat menghadap kiblat, iaitu bermaksud menghadapkan dada ke arah kiblat.

Menghadap kiblat adalah salah satu daripada syarat sah solat sama ada ada solat fardu, solat qada dan solat solat sunat pada waktu selain solat sunat ketika musafir dan solat khauf.

Sekiranya kita memulakan solat dalam keadaan tidak menghadap kiblat maka tidak sah solat itu.

Namun sekiranya, kita yang beralih daripada kiblat ketika solat secara sengaja maka batallah solat itu.

6. Makan atau minum, atau kedua-duanya

Kita amatlah digalakkan untuk membersihkan gigi dengan memberus gigi dan berkumur-kumur sebelum solat bagi memastikan sisa makanan tidak melekat di celah-celah gigi atau gusi.

Hal ini kerana, sekiranya masih terdapat sisa makanan atau minuman di dalam mulut, dan kita tertelannya ketika solat maka itu boleh menyebabkan solat terbatal.

7. Aurat terbuka secara sengaja atau tidak

perkara yang membatalkan solat

Tuntutan menutup aurat adalah wajib ke atas lelaki mahupun perempuan mengikut paras aurat yang ditetapkan oleh syarak. Begitu jugalah halnya dalam solat.

Seseorang yang terbuka auratnya ketika solat akan menyebabkan solatnya terbatal.

Contohnya seperti, telekung singkat, baju singkat, kain jarang, terselak, atau sebagainya. 

8. Menggerakkan anggota badan tiga kali berturut-turut

Tidak boleh sama sekali menggerakkan badan 3 kali berturut-turut iaitu secara berterusan tanpa henti.

Pergerakan yang dimaksudkan ini adalah gerakan yang tidak ada di dalam solat seperti menggaru-garu, mengusap muka, dan sebagainya.

9. Murtad

Murtad berasal dari perkataan riddah. Ia bermaksud kembali dari sesuatu kepada selainnya.

Dari segi istilah syarak, murtad bererti keluar daripada Islam dan kembali kepada kufur serta membebaskan diri daripada Islam.

Hal ini sama ada dengan niat atau perbuatan atau perkataan sama ada diucapkan dengan gurauan atau penentangan atau iktikad.

Dalam hal ini, mereka yang murtad akan terbatal solatnya kerana mereka sudah tidak menganuti agama Islam lagi.

10. Baca Al-Fatihah tidak betul

Surah Al-Fatihah wajib dibaca ketika solat kerana ia termasuk dalam rukun qauli (ucapan/perkataan).

Ia perlu dibaca secara lisan iaitu dengan lidah bukannya di dalam hati.

Surah al-Fatihah perlu dibaca dengan bacaan yang betul lagi sahih dengan meraikan bacaan dengan baris yang betul berserta dengan tajwid dan makhrajnya.

Bacaan surah Al-Fatihah yang boleh membatalkan solat adalah bacaan yang merubah maknanya.

Contohnya, kita membaca أَنْعَمْتُ (an’amtu) dengan dhommah (baris hadapan) dengan sengaja sedangkan bacaan yang sebetulnya adalah أَنْعَمْتَ (an’amta) dengan fathah (baris atas) maka batal solatnya.

Namun jika terlupa, maka perlu untuk mengulangi bacaan surah Al-Fatihah yang dibaca.

11. Tidak berdiri lurus

Berdiri tegak bagi yang mampu berdiri ketika solat fardhu termasuk dalam rukun solat.

Sekiranya kita dengan sengaja tidak berdiri lurus walaupun tiada sebarang keuzuran, maka solat tersebut terbatal.

12. Tidak thuma’ninah dalam rukuk dan sujud

Thuma’ninah bermaksud kestabilan atau penetapan sejenak anggota badan pada satu masa.

Menurut jumhur ulama seperti mazhab syafie, thuma’ninah adalah wajib untuk dilakukan dalam solat sama ada solat fardhu atau sunat.

Empat rukun solat yang diwajibkan untuk thuma’ninah adalah rukuk, i’tidal, sujud, dan duduk antara dua sujud.

Kenyataan ini berdasarkan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA  ketika Rasulullah SAW membetulkan solat seorang lelaki, Baginda bersabda:

“Jika engkau mendirikan sembahyang maka bertakbirlah, kemudian bacalah ayat al-Qur’an yang mudah bagimu (surah Al-Fatihah).

Kemudian ruku‘lah sehingga ruku‘ dengan thuma‘ninah. Kemudian bangkitlah sehingga berdiri dengan i‘tidal. Kemudian sujudlah sehingga sujud dengan thuma‘ninah.

Kemudian bangkitlah sehingga duduk dengan thuma‘ninah. Kemudian lakukanlah yang demikian itu kesemuanya dalam sembahyangmu.” – (Hadis Riwayat Muslim)

13. Hilang ingatan kerana gila, pitam atau mabuk

Antara syarat sah solat adalah berakal. Ini bermakna, orang gila dan yang tidak berakal tidak sah solatnya.

Sabda Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan daripada Sayidina Ali bin Abi Talib RA:

Diangkatkan Al-Qalam (taklif) darpada tiga golongan manusia raitu daripada orang yang tidur sehingga bangun, kanak-kanak kecil sehingga baligh dan orang gila sehingga pulih.” – (Sahih Riwayat Imam Abu Dawud: 4403; Imam At- Tirmizi: 1423)

Diharapkan artikel berkenaan dengan perkara yang membatalkan solat dapat memberikan anda informasi yang bermanfaat untuk dipraktikkan dalam hidup dan dikongsikan bersama.

Sumber:

  1. Hal-Hal Yang Membatalkan Solat Anda. Ali Hasan. Al-Hidayah House of Publishers Sdn Bhd
  2. #540: Membatalkan Solat untuk Jawab Panggilan Penting. Maktabah Al Bakri
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.