5 Waktu Diharamkan Untuk Menunaikan Solat
5 Waktu Diharamkan Untuk Menunaikan Solat
Sebagai tanda kesyukuran kepada Allah, ibadah solat lima waktu sehari semalam yang wajib kita laksanakan. Namun begitu, terdapat juga waktu yang haram bagi kita untuk menunaikan solat yang wajib kita ketahui.
Adalah lebih baik dan sangat digalakkan untuk anda melakukan solat-solat sunat sebagai amalan tambahan untuk menutup ketidaksempurnaan solat fardhu yang anda lakukan.
Sering juga ditanyakan bilakah waktu haram solat? Walaupun begitu, ramai di kalangan kita masih keliru dan salah faham mengenai waktu-waktu yang diharamkan melaksanakan ibadah solat.
5 Waktu Yang Diharamkan Solat
Terdapat 5 waktu yang dilarang dalam menunaikan solat seperti yang disebutkan di dalam kitab al-Muqaddimah al-Hadhramiah iaitu:
تحرم الصَّلَاة فِي غير حرم مَكَّة وَقت طُلُوع الشَّمْس حَتَّى ترْتَفع قدر رمح وَوقت الاسْتوَاء إِلَّا يَوْم الْجُمُعَة حَتَّى تَزُول وَوقت الاصفرار حَتَّى تغرب وَبعد صَلَاة الصُّبْح حَتَّى تطلع وَبعد صَلَاة الْعَصْر حَتَّى تغرب
Maksudnya:
Diharamkan solat selain di Masjidil Haram di Mekah i) pada waktu terbit matahari sehinggalah ia naik pada kadar segalah. ii) Juga pada waktu istiwa’ (matahari rembang) kecuali pada hari Jumaat sehingga gelincir matahari. iii) Waktu senja sehingga terbenam matahari. iv) Waktu selepas solat Subuh sehingga terbit matahari. v) Waktu selepas solat Asar sehingga terbenam matahari
(Rujuk al-Muqaddimah al-Hadhramiah, 58)
- Selepas melaksanakan waktu solat subuh sehingga terbit matahari.
- Selepas melaksanakan solat asar sehingga terbenam matahari
- Ketika matahari terbit sehingga ia meninggi dengan kadar setombak: iaitu lebih kurang 4 darjah (12-15 minit selepas terbit matahari).
- Semasa matahari berada tegak di atas kepala dan sehingga gelincir matahari: kecuali pada hari Jumaat.
- Ketika matahari hampir terbenam.
Walaupun begitu, tidak semua jenis solat ditegah untuk dilakukan pada masa tersebut. Antara jenis solat yang haram untuk anda lakukan adalah pada masa yang disebutkan berikut:
- Solat yang tiada keperluan untuk dilaksanakan pada ketika itu, seperti solat sunat mutlak; Contohnya; solat sunat tasbih dan lain-lain solat yang tiada waktu khusus untuk dilakukan.
- Solat-solat sunat yang mempunyai sebab-sebab yang tertentu (sebab mutaakhir), seperti solat sunat istikarah, solat sunat ihram dan sebagainya.
Manakala, jenis solat yang dibolehkan (harus) untuk anda lakukan pada masa tersebut adalah:
- Solat yang dilakukan mempunyai sebab yang terdahulu (sabab mutaqaddim), seperti solat qadha’, solat jenazah, solat nazar, solat tahiyyatul masjid dan lain-lain.
- Solat yang sebab dilakukannya bersamaan atau seiringan dengan waktu itu seperti solat kusuf (gerhana).
Kesemua lima waktu haram solat ini dikecualikan bagi mereka yang berada di Tanah Haram, Makkah Al-Mukarramah.
Hukum solat ketika khutbah jumaat
Apabila khatib sedang berkhutbah di atas mimbar,maka diharamkan untuk solat walaupun solat itu adalah solat qada kecuali solat sunat tahiyat masjid dan diwajibkan untuk meringankan (mempercepatkan) solat tahiyat masjid itu dan tidak boleh menambah dua rakaat lagi selain dari solat tahiyat masjid yang tadi.
Ramai antara kita yang masih tidak sepenuhnya memahami soal waktu haram solat ini. Sebaiknya jika ada kemusykilan, anda ajukan kepada yang lebih selayaknya.
Semoga dengan sedikit perkongsian yang kami berikan dapat memberikan maklumat dan ilmu pengetahuan yang baru kepada anda semua dan dijadikan sebagai panduan dalam kehidupan seharian untuk menjalankan ibadah solat.
Rujukan:
- Al-Kafi #1857: Apakah Solat Sunat Yang Dibolehkan Pada Waktu Yang Diharamkan Untuk Solat. Mufti Wilayah Persekutuan.
- Waktu-Waktu Yang Diharamkan Untuk Solat. Masjid Wilayah.gov.my