5 Rukun Islam Dalam Islam & Huraian Lengkapnya

Apakah rukun islam yang perlu anda tahu sebagai seorang Muslim? Artikel pada kali ini akan berkongsi kepada anda huraian lengkap mengenai rukun islam yang menjadi panduan hidup umat Islam dari dulu sehingga bila-bila.

Apakah rukun islam?

Makna Islam dalam sudut bahasa adalah taat dan patuh. Manakala dari sudut syarak pula ialah tunduk, taat, dan patuh kepada perintah Allah SWT sepertimana yang telah disampaikan oleh Rasulullah SAW.

Islam ini diasaskan oleh lima perkara dasar yang menjadi asas kepada umat Islam iaitu rukun islam. Setiap Muslim perlu menghayati dan berpegang teguh kepada lima rukun islam. Selain itu, kita juga haruslah mengaplikasikan rukun-rukun ini dalam kehidupan seharian dengan sebaik-baiknya.

Dalil mengenainya

Perbincangan mengenai rukun islam ini banyak dinyatakan dalam Al-Quran dan hadis:

عَنِ ابْنِ عُمَرَ رضى الله عنهما قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم “‏ بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَإِقَامِ الصَّلاَةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَالْحَجِّ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ “

Maksudnya: “Daripada Ibn ‘Umar RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: Islam dibangun atas lima (perkara), Syahadah La ilaha illallah dan Muhammad Rasulullah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, haji, dan puasa Ramadan.” – (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari)

قَالَ عَبْدُ اللَّهِ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم “‏ بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ “

Maksudnya: “Daripada Abdullah (Ibnu ‘Umar), beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: Islam dibangun atas lima (perkara), Syahadah La ilaha illallah dan Muhammad ialah hamba Nya dan Rasul Nya, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, haji di Baitullah, dan puasa Ramadan.” – (Hadis Riwayat Imam Muslim)

5 perkara dalam rukun islam

Muslim sejati haruslah faham akan perkara-perkara yang terkandung dalam rukun islam ini. Ibaratnya seperti paksi yang menjadi pelengkap kepada membentuk islam yang sempurna dalam hati. Rukun islam ini adalah berdasarkan syariat yang benar daripada Allah SWT dan Rasulullah SAW.

1. Mengucap dua kalimah syahadah

Lafaz kalimah syahadah iaitu:

Ashhadu al la ilaha illa llah
wa ash hadu anna muhammada rro sulu llah

Maksudnya: “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.”

Lafaz ini adalah kalimah manusia mengaku Allah sebagai Tuhan dan Nabi Muhammad SAW adalah pesuruhnya yang telah melakukan kebaikan terbesar di sisi Tuhan. Kalimah syahadah menjadi tunjang dalam keislaman dalam jiwa setiap Muslim.

Sebagaimana firman Nya;  

ذَٰلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلْحَقُّ وَأَنَّ مَا يَدْعُونَ مِن دُونِهِۦ هُوَ ٱلْبَٰطِلُ وَأَنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلْعَلِىُّ ٱلْكَبِيرُ

“Bersifatnya Allah dengan kekuasaan dan luas ilmu pengetahuan itu kerana bahawasanya Allah, Dialah sahaja Tuhan yang sebenar-benarnya, dan bahawa segala yang mereka sembah selain daripada Allah itulah yang nyata palsunya. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Tinggi (keadaan Nya), lagi Maha Besar (kekuasaan Nya).” – (Surah Al-Hajj, ayat 62)

2. Menunaikan solat lima waktu

Solat adalah tiang bagi agama Islam. Semua Muslim yang sudah akil baligh diwajibkan untuk mendirikan solat fardhu 5 waktu setiap hari iaitu solat subuh, zuhur, asar, maghrib, dan isyak.

Disebut oleh Mu’az bin Jabal RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda;

‏ رَأْسُ الأَمْرِ الإِسْلاَمُ وَعَمُودُهُ الصَّلاَةُ وَذِرْوَةُ سَنَامِهِ الْجِهَادُ ‏

“Pokok (yang terpenting) dalam segala urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat, dan kemuncaknya adalah jihad.” – (Hadis Riwayat Imam At-Tirmidzi)

3. Menunaikan zakat

Allah SWT berfirman;

خُذْ مِنْ أَمْوَٰلِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

“Ambilah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat) supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka (daripada akhlak yang buruk), dan doakanlah untuk mereka. Sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”  – (Surah At-taubah, ayat 103)

Zakat bermaksud mengeluarkan sebahagian daripada harta yang tertentu kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syaratnya. Zakat terbahagi kepada dua jenis iaitu zakat fitrah (untuk menyucikan jiwa dan hati) dan zakat harta (untuk menyucikan harta).

4. Berpuasa dalam bulan Ramadan

Berpuasa pada bulan Ramadan adalah ibadah yang wajib dilakukan jika tiada keuzuran. Syarat wajib puasa adalah Islam, baligh, berakal, dan berkemampuan.

Allah SWT, sebagaimana firman Nya;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” – (Surah Al-Baqarah, ayat 183)

5. Mengerjalan haji ke baitullah bagi yang mampu

Setiap orang Islam yang mampu wajib mengerjakan ibadah haji. Berkemampuan yang dimaksudkan adalah kita mempunyai kemampuan dari segi:

  • Belanja pergi dan balik.
  • Belanja untuk tanggungan yang ditiinggalkan.
  • Kesihatan yang baik.
  • Keselamatan perjalanan dan kenderaan.
  • Sempat masa perjalanan mengikut kadar perjalanan biasa.

Hal ini disebut oleh Allah SWT, sebagaimana berikut;

وَلِلَّهِ عَلَى ٱلنَّاسِ حِجُّ ٱلْبَيْتِ مَنِ ٱسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا ۚ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَنِىٌّ عَنِ ٱلْعَٰلَمِينَ

“Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkar akan kewajipan haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk.” – (Surah Ali-Imran, ayat 97)

Diharapkan perkongsian kali ini memberikan anda semua ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk kehidupan seharian. Panduan yang diberikan tidak lain hanya untuk memudahkan anda semua memahami rukun islam dengan mudah.

Sumber

  1. Rukun Islam. Masjid Taman Sutera
  2. Ensiklopedia Rukun Islam (Jilid 1 – 5)
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.