Hari Haram Puasa Dalam Islam & Penjelasannya

Hari Haram Puasa & Penjelasannya

Sebagai umat Islam, memahami konsep berpuasa adalah sangat penting agar kita tidak melakukan sesuatu amalan itu dengan sia-sia semata-mata kerana mengejarkan pahala.

Bahkan Rasulullah SAW sendiri sentiasa berpuasa tidak secara berterusan tetapi secara berkala sepanjang tahun.

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda mengenai beberapa hari haram puasa, sunat dan makhruh yang perlu anda ketahui.

Mengenal Hukum Puasa Dalam Islam

Ibadah puasa merupakan salah satu dari Rukun Islam yang wajib dilakukan oleh setiap umat Islam di bulan Ramadhan.

Selain daripada itu, terdapat juga hukum lain mengenai ibadah puasa yang perlu anda ketahui iaitu haram puasa, sunat puasa, dan makhruh puasa.

Hari Haram Puasa


1. Hari Syak

Hari Syak jatuh pada hari ke 30 bulan Syaaban yang mana pada ketika itu adalah haram puasa bagi setiap umat Islam.

Hal ini kerana, pada hari tersebut anak bulan masih tidak kelihatan. Justeru itu ia masih diragui sama ada merupakan hari terakhir bulan Syaaban atau sudah masuk hari pertama bulan Ramadhan.

Puasa pada hari Syak diharamkan berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ، فَإِنْ غُبِّيَ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا عِدَّةَ شَعْبَانَ ثَلاَثِينَ

Maksudnya: “Berpuasalah kamu apabila melihatnya (anak bulan Ramadhan) dan berbukalah (berhentilah puasa) juga apabila melihatnya (anak bulan Syawal). Sekiranya ia terlindung daripada (penglihatan) kamu, maka sempurnakan jumlah bilangan bulan Syaaban tiga puluh hari.” – (Hadis Riwayat al-Bukhari, 1909 dan Muslim 1081)

2. Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha

Dari Abu Hurairah RA, katanya:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ صِيَامِ يَوْمَيْنِ يَوْمِ الْأَضْحَى وَيَوْمِ الْفِطْرِ

“Rasulullah SAW melarang puasa dua hari kebesaran iaitu pada Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijjah) dan pada hari Aidilfitri (1 Syawal).” – (Hadis Riwayat Muslim)

Para ulama telah bersepakat bahawa larangan atau haram puasa pada dua hari kebesaran dalam Islam dengan alasan apa pun sama ada berpuasa kerana nazar, puasa sunat dan kafarrah.

Hal ini kerana Hari Raya Aidilfitri adalah hari kemenangan bagi umat Islam yang telah berjaya mengharungi cabaran berpuasa pada bulan Ramadhan.

3. Hari-hari tasyrik

Hari Tasyrik adalah haram puasa bagi umat Islam. Hari tersebut jatuh pada 11, 12, dan 13 Zulhijjah mengikut Kalender Hijrah yang merupakan tiga hari selepas Hari Raya Aidiladha.

Larangan berpuasa pada Hari Tasyrik disampaikan Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan oleh Sahih Muslim:

“Hari-hari Tasryik adalah hari makan dan minum.” – (Hadis Riwayat Muslim, no 1141)

Keutamaan Hari Tasyrik sebagai waktu yang dianjurkan untuk memperbanyakkan zikir, dan doa disamping melakukan qurban.

4. Puasa sunat seorang isteri tanpa izin suaminya

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, seorang isteri adalah wajib untuk meminta izin suaminya terlebih dahulu apabila hendak melakukan puasa ganti atau puasa sunat sekiranya suami berada di rumah.

Hal ini kerana isteri wajib bagi memenuhi hak bagi suaminya. Ini sepertimana yang dijelaskan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haithami di dalam kitabnya:

وَيَحْرُمُ عَلَى الزَّوْجَةِ أَنْ تَصُومَ تَطَوُّعًا أَوْ قَضَاءً مُوَسَّعًا وَزَوْجُهَا حَاضِرٌ إلَّا بِإِذْنِهِ أَوْ عَلِمَ رِضَاهُ

Maksudnya: Dan diharamkan ke atas seorang isteri untuk berpuasa sunat atau puasa qadha’ sekiranya tempoh menggantikannya masih berpanjangan dan suaminya datang kepadanya melainkan dengan keizinan suaminya atau dia mengetahui suami meredhainya berpuasa.” – (Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 3/461)

Hari Sunat Puasa


1. Puasa hari Isnin dan Khamis

Puasa sunat yang popular dilakukan adalah puasa hari Isnin dan Khamis. Walaupun hukumnya adalah sunat sahaja, namun banyak kelebihannya buat mereka yang mengamalkannya.

Dalam riwayat Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

“Diangkat amalan seseorang pada Isnin dan Khamis, maka aku lebih suka amalanku diangkat dalam keadaan aku berpuasa.” – (Hadis Riwayat Tarmizi)

Diriwayatkan bahawa hari Isnin dan Khamis merupakan hari di mana amalan-amalan kita dibentangkan di hadapan Allah SWT.

Baginda SAW pun amat menyukai jika amalannya dibentangkan dalam keadaan Baginda sedang berpuasa kerana ia adalah salah satu amalan yang sangat besar di sisiNya.

2. Puasa hari-hari putih

Puasa Hari Putih atau dikenali sebagai Ayyamul Bidh. Hari putih adalah hari pada pertengahan bulan Islam, iaitu 13, 14 dan 15 hari bulan Qamariah.

Menurut Imam Nawawi, tidak ada pengkhususan hari yang ditetapkan dalam melaksanakan puasa tiga hari setiap bulan.

Namun puasa ini dilaksanakak pada setiap bulan berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah SAW.

“Kekasihku, iaitu Rasulullah SAW memberikan tiga perkara sebagai wasiat kepadaku: Berpuasa tiga hai pada setiap bulan, melakukan dua rakaat solat dhuha dan melaksanakan solat witir sebelum tidur.”

3. Puasa hari Asyura dan hari Tasu’a

Puasa hari Tasu’a adalah hari ke 9 Muharram manakala puasa Asyura adalah hari ke 10 Muharram.

Adalah disunatkan untuk berpuasa pada 10 Muharram berdasarkan hadis Rasulullahh SAW:

Maksudnya: “Berpuasa pada Hari Asyura sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya.”

4. Puasa dalam bulan Syaaban

Bulan Syaaban merupakan bulan yang paling banyak Rasulullah SAW berpuasa sunat berbanding bulan-bulan lain.

Justeru itu kita disarankan untuk memperbanyakkan amal pada bulan Syaaban seperti puasa sunat, solat sunat, sedekah, membaca al-Quran dan lain-lain sebagai persiapan bertemu bulan Ramadhan.

5. Puasa 6 hari dalam bulan Syawal

Puasa enam adalah puasa yang dilakukan selama 6 hari sama ada berselang-seli, berturut-turut, atau mana-mana hari dalam bulan Syawal.

Amalan ini disarankan oleh Rasulullah SAW dengan bersabda:

“Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian meneruskan dengan enam hari di bulan Syawal sepertinya dia berpuasa selama setahun.” – (Hadis Riwayat Muslim)

Selain dari diberikan pahala berganda, puasa enam juga mendekatkan diri kita kepada Allah dan menjadi pelengkap akan kekurangan serta kecatatan pada ibdah puasa di bulan Ramadhan lalu.

6. Puasa hari arafah

Hari Arafah berlaku pada 9 Zulhijjah. Bagi sesiapa yang tidak mengerjakan haji, sangat disarankan untuk berpuasa Hari Arafah kerana begitu besar fadilat yang boleh diperoleh.

Nabi SAW bersabda maksudnya:

“Puasa hari Arafah, aku mengharapkan pahala kepada Allah bahawa ia menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan dosa setahun selepasnya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Hari Makruh Puasa


1. Puasa pada hari Jumaat sahaja (ditunggalkan)

Hukum puasa sunat pada hari Jumaat sahaja adalah makruh di sisi mazhab Syafie.

Jika hendak berpuasa sunat pada hari Jumaat, ia harus digandingkan dengan satu hari sebelumnya atau satu hari selepasnya.

Maksudnya, puasa Jumaat itu boleh sekiranya kita berpuasa pada hari Khamis dan Jumaat, atau hari Jumaat dan Sabtu. Selain itu, makruh.

2. Berpuasa sepanjang tahun

Hukum bagi mereka yang berpuasa sepanjang tahun adalah makhruh.

Dalam hal ini, terdapat riwayat daripada Abdullah bin Amr R.Anhuma berkata: Rasulullah SAW bersabda:

لَا صَامَ مَنْ صَامَ الْأَبَدَ

Maksudnya: “Tidak ada puasa bagi siapa yang berpuasa selama-lamanya.” – (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

3. Puasa pada hari ‘Arafah bagi orang yang mengerjakan haji

Puasa hari Arafah adalah sunnah yang dilaksanakan oleh umat Islam jika tidak melakukan ibadah haji.

Namun bagi mereka yang berpuasa tetapi ketika mengerjakan haji maka hukumnya adalah makhruh.

Penutup

Diharapkan semoga perkongsian kami mengenai contoh-contoh hari haram puasa berserta penjelasannya ini dapat memberikan anda ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.

Sumber:

  1. Hari Syak dan Hukum Berpuasa Padanya. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Al-Kafi #1748: Perlukah Isteri Mendapat Keizinan Suami Untuk Qadha Puasa. Mufti Wilayah Persekutuan
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.