Niat Puasa Asyura Di Bulan Muharram Serta Kelebihannya
Islam mengguna pakai kalender Hijrah dalam menentukan tarikh dan bulan. Bulan pertama dalam kalender Hijrah adalah bulan Muharram. Bulan ini mempunyai banyak kelebihan yang telah Allah nyatakan di dalam Al-Quran juga hadis dari Rasulullah SAW. Khususnya bagi satu tarikh yang sangat istimewa iaitu pada 10 Muharram, umat Islam boleh niat puasa asyura.
Maksud Asyura
Asyura berasal dari perkataan Bahasa Arab iatu “asyara” yang bermaksud sepuluh. Oleh kerana itulah, puasa asyura dilaksanakan pada setiap hari kesepuluh dalam kalender Islam iaitu 10 Muharram.
Amalan soleh pada bulan Muharram adalah berpuasa contohnya seperti niat puasa asyura. Ini berdasarkan daripada Abu Hurairah RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Seafdal-afdal puasa setelah bulan Ramadhan adalah berpuasa pada bulan Allah al-Muharram dan sesungguhnya solat yang paling afdal setelah solat fardhu adalah solat malam (Qiyamullail).” – (Hadis Riwayat Abu Daud, 2429)
Tambahan lagi, terdapat hadis tentang seorang lelaki yang bertanyakan kepada Rasulullah apakah yang diperintahkan untuk dirinya setelah berpuasa pada bulan Ramadan.
Rasulullah SAW menjawab:
إِنْ كُنْتَ صَائِمًا بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ فَصُمِ الْمُحَرَّمَ فَإِنَّهُ شَهْرُ اللَّهِ
Maksudnya: “Sekiranya kamu hendak berpuasa setelah bulan Ramadhan maka berpuasalah kamu pada bulan al-Muharram kerana sesungguhnya ia adalah bulan Allah.” – (Hadis Riwayat al-Tirmizi, 741)
Peristiwa di sebalik puasa asyura
Bulan Muharram termasuk dalam bulan yang diharamkan untuk berperang. Bulan ini sangat dimuliakan dengan amalam-amalan berpuasa serta mempunyai kedudukan yang tinggi berbanding bulan-bulan yang lain.
Allah SWT berfirman dalam Surah At-Taubah, ayat 36:
Maksudnya: “Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram (suci). Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu.”
Menurut Imam Nawawi, bulan Muharram ini antara bulan yang paling utama untuk memperbanyakkan puasa sunat. Antara puasa sunat yang dianjurkan adalah seperti:
- 1 Muharram: puasa awal tahun Hijriah
- 9 Muharram: puasa tasu’a
- 10 Muharram: puasa hari asyura
- 13 Muharram: puasa sunat hari putih
- 14 Muharram: puasa sunat hari putih
- 15 Muharram: puasa sunat hari putih
- puasa isnin dan khamis
Selain itu, hari asyura juga dikaitkan dengan banyak peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah Islam. Ini termasuklah dalam peristiwa Nabi Musa As dan Bani Israel yang diselamatkan oleh Allah daripada kekejaman Firaun dan para pengikutnya.
أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم لَمَّا قَدِمَ الْمَدِينَةَ وَجَدَهُمْ يَصُومُونَ يَوْمًا، يَعْنِي عَاشُورَاءَ، فَقَالُوا هَذَا يَوْمٌ عَظِيمٌ، وَهْوَ يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ فِيهِ مُوسَى، وَأَغْرَقَ آلَ فِرْعَوْنَ، فَصَامَ مُوسَى شُكْرًا لِلَّهِ. فَقَالَ “ أَنَا أَوْلَى بِمُوسَى مِنْهُمْ ”. فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ.
Maksudnya: “Rasulullah SAW tiba ke Madinah dan baginda dapati golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Kata mereka: Ini adalah hari yang mulia yang mana Allah selamatkan Musa dan kaumnya pada hari ini. Hari ini juga Allah menenggelamkan firaun dan kaumnya. Lalu Musa berpuasa pada hari ini sebagai tanda kesyukuran. Kata Rasulullah SAW: Aku lebih utama ke atas Musa berbanding mereka. Maka baginda pun berpuasa dan memerintahkan untuk berpuasa pada hari tersebut.” – (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Niat puasa asyura
Niat puasa asyura adalah seperti yang berikut:
Nawaitu shauma ‘aasyuuraa sunnatan lillahi ta’ala
Maksudnya: “Sahaja aku berpuasa sunat hari kesepuluh (di bulan Muharam), kerana Allah Ta’ala.”
Kelebihan puasa bulan Muharram
Banyak sebenarnya kelebihan puasa bulan Muharam khususnya bagi yang niat puasa asyura pada waktu itu. Antara kelebihannya adalah:
1. Dihapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya
Daripada Abu Qatadah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
صِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ إِنِّي أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ
Maksudnya: “Berpuasa pada hari ‘Asyura sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya.” – (Hadis Riwayat Ibn Majah, 1783).
2. Memperoleh doa yang mustajab
Daripada Abu Qatadah RA mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Berpuasa pada hari ‘Asyura sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya.” – (Hadis Riwayat Ibn Majah)
3. Sunnah yang sangat digemari oleh Rasulullah
Kata Ibn Abbas RA apabila ditanyakan mengenai puasa Asyura, beliau berkata:
مَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَتَحَرَّى صِيَامَ يَوْمٍ فَضَّلَهُ عَلَى غَيْرِهِ، إِلاَّ هَذَا الْيَوْمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ
Maksudnya : “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW mengejar satu hari yang fadhilatnya lebih berbanding hari hari yang lain melainkan hari ini – iaitu hari ‘Asyura.” – (Hadis Riwayat al-Bukhari, 2006)
Melazimi puasa sunat setiap bulan adalah ibadah yang digalakkan untuk menampung kecatatan bagi ibadah wajib yang kita laksanakan.
Sumber:
- Irsyad Al-Fatwa Ke-135: Adakah Puasa 10 Muharram Perlu Disertai Dengan Hari Selepasnya. Mufti Wilayah Persekutuan
- Irsyad Al-Hadith Siri Ke-413: Peringkat Puasa Asyura’. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Mufti Wilayah Persekutuan
- Niat Puasa Hari Asyura, Amalan & Kelebihan Hari Tasu’a 9, 10, 11 Muharam. Harian Post