Niat Puasa 6 Pada Bulan Syawal, Cara & Kelebihan Yang Boleh Diperoleh

Berakhir sudah sebulan umat Islam berpuasa. 1 Syawal disambut dengan riang dan gembira. Memohon kemaafan dan meraikan kemenangan setelah penat mengumpul pahala ibadah bersama. Namun kegembiraan yang beribadah di bulan Ramadan perlu diteruskan pada Syawal juga. Jangan lupa niat puasa 6 pada bulan Syawal. Bagaimana caranya, ikuti perkongsian artikel ini sehingga ke penghujung.

Dalil disyariatkan niat puasa 6

Abu Ayyub Al-Ansari RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” – (Hadis Riwayat Muslim, no: 1164)

Hadis berkenaan ada menyatakan bahawa sesiapa yang niat puasa 6 hari selepas bulan Ramadan akan diberikan pahala seolah-olah berpuasa selama setahun. Maksud mengenai pahala seolah-olah berpuasa selama setahun ini dihuraikan oleh para ulama sebagai setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari dengan pahala sebanyak 10 kali ganda.

Puasa 30 hari di bulan Ramadan diganjari sebanyak 300 hari, manakala mereka yang niat puasa 6 hari pada bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari.

Hukum puasa 6 Syawal

Hukum bagi puasa 6 Syawal ada dua menurut beberapa mazhab. Mazhab Imam Syafie berpendapat hukumnya adalah sunat. Berkata Imam An-Nawawi RA: “Hadis ini jelas menjadi dalil bagi Mazhab Imam Syafie, Imam Ahmad, Daud, dan ulama sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa 6 hari di bulan Syawal.

Hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA, beliau berkata:

قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ذَاتَ يَوْمٍ ‏”‏ يَا عَائِشَةُ هَلْ عِنْدَكُمْ شَىْءٌ ‏‏قَالَتْ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا عِنْدَنَا شَىْءٌ ‏.‏ قَالَ ‏”‏ فَإِنِّي صَائِمٌ ‏

Maksudnya: Pada suatu hari, Rasulullah SAW telah berkata kepada aku, “Wahai Aisyah, adakah kamu mempunyai sesuatu (untuk dimakan)” Aisyah berkata, “Wahai Rasulullah, kita tidak mempunyai apa-apa” Baginda bersabda, “Maka sesungguhnya aku berpuasa”. – (Hadis Riwayat Muslim)

Imam Malik dan Imam Abu Hanifah berpendapatan hukumnya adalah makruh. Hal ini disebabkan, bimbang sekiranya orang ramai menyangka ia adalah sebahagian dari puasa wajib Ramadan sedangkan bukan.” – (Syarah Sahih Muslim 8/56).

Niat puasa 6 Syawal

Nawaitu souma ghodin ‘an sittatin min syaw walin sunnatan lillahi Ta’ala

Maksudnya: “Sahaja aku berniat puasa esok hari enam hari Syawal kerana Allah Ta’ala.”

Jika kita mahu mengabungkan niat puasa 6 Syawal dengan puasa ganti atau qadha Ramadan, niat di bawah ini boleh dibaca:

Nawaitu sauma ghodin ‘an qodho ‘ie romadhona ma’a sittati syawwaali lillahi Ta’ala

Maksudnya: “Sahaja aku berniat puasa esok hari qadha fardhu Ramadan bersama puasa sunat enam hari Syawal keraan Allah Ta’ala.”

Tatacara pelaksanaannya

Cara perlaksanaan puasa 6 di bulan Syawal secara umumnya sama sahaja seperti puasa wajib di bulan Ramadan, Hanya sahaja kali ini ia dilakukan pada bulan Syawal dan juga perlu niat puasa 6 seperti yang dikongsikan tadi.

1. Puasa Syawal dilakukan 6 hari di bulan Syawal.

Bilangan puasa sunat Syawal adalah sebanyak 6 hari sahaja selepas selesai berpuasa sebulan Ramadan.

2. Utama dilakukan sehari selepas 1 Syawal. Atau boleh juga pada bila-bila dalam bulan Syawal.

Puasa 6 boleh dilakukan pada bila-bila masa dalam bulan Syawal. Namun perkara yang baik sebaiknya, disegerakan dari ditangguh.

3. Lebih baik dilakukan secara berturutan, akan tetapi boleh dilaksanakan tidak berurutan.

Pandangan mengatakan puasa 6 ini boleh dilakukan secara terputus atau tidak berturutan yang penting jumlahnya enam hari dalam bulan Syawal. Hal ini disebabkan secara dasarnya, Rasulullah SAW hanya menyebut tentang puasa 6 tetapi tidak dinyatakan mengenai tempoh tertentu adakah ia berturut ataupun tidak.

Sungguhpun begitu, puasa 6 Syawal lebih baik disegerakan berbanding di tangguh. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” – (Surah Ali-Imran, ayat 133)

4. Menunaikan puasa ganti terlebih dahulu agar mendapatkan keutamaan puasa Syawal.

Sama ada melaksanakan puasa 6 hari dahulu atau menunaikan puasa ganti dulu jika seseorang itu memiiliki hutang puasa Ramadan yang perlu diqadhakan, ianya berlaku perbincangan di kalangan para ulama.

Lantaran itu maka ada dua pendapat yang dinyatakan. Pendapat pertama boleh melakukannya. Ini berdasarkan dalil bahawa Aisyah RA pernah mengakhiri hutang puasa Ramadan yang perlu diqadhakannya sehingga bulan Syaaban akan datang.

Aisyah RA berkata maksudnya,

“Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadan. Aku tidak mampu mengqadhanya kecuali pada bulan Syaaban. Kerana sibuk (melayani) Rasulullah SAW.” – (Hadis Riwayat Muslim, no: 1146, Al-Bukhari, no: 1950)

Pendapat kedua pula tidak boleh melaksanakannya. Ini berdasarkan hadis yang berbunyi, “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengirinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.”

Apakah hikmah puasa 6 Syawal?

  • Ibaratnya seperti berpuasa selama setahun
  • Menjadi pelengkap kepada amalan fardhu
  • Mengukuhkan hubungan dengan Allah SWT
  • Diberikan ganjaran pahala
  • Boleh masuk syurga melalu pintu Ar-Rayyan

Semoga artikel berkenaan dengan niat puasa 6 ini memberikan anda pengetahuan yang bermanfaat.

Sumber

  1. Puasa Enam dan Kelebihannya. Harakahdaily.net
  2. Irsyad Al-Fatwa Ke-120: Adakah Puasa 6 Di Bulan Syawal Perlu Dilakukan Secara Berturutan ataupun Boleh Dipisahkan (Julai, 2016). Mufti Wilayah Persekutuan
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.