Niat Puasa Ganti Ramadan: Perlu Sebut Setiap Hari atau Sekali Sahaja?

Niat puasa ganti sering menjadi persoalan dalam kalangan umat Islam, khususnya apabila tiba masa untuk menggantikan puasa Ramadan yang ditinggalkan. Ramai yang tertanya-tanya sama ada niat tersebut perlu dibuat setiap malam sebelum berpuasa, atau memadai dengan sat niat untuk beberapa hari sekaligus.

Kekeliruan ini timbul kerana puasa ganti termasuk dalam kategori puasa wajib yang mempunyai syarat niat tertentu berbanding puasa sunat.

Dalam artikel ini, kita akan menghuraikan secara jelas hukum dan pandangan ulama berkaitan perkara ini, termasuk waktu yang sah untuk berniat, cara melafazkannya serta beberapa kesilapan yang sering dilakukan tanpa disedari.

Apa itu Puasa Ganti

Puasa ganti ialah puasa yang dilakukan bagi menggantikan puasa Ramadan yang ditinggalkan atas sebab-sebab yang diizinkan oleh syarak.

Ia juga dikenali sebagai qada puasa, iaitu kewajipan mengganti semula hari puasa yang tidak sempat atau tidak dapat dilaksanakan dalam bulan Ramadan.

Dalam Islam, setiap Muslim yang memenuhi syarat wajib berpuasa perlu menggantikan semula puasa yang ditinggalkan, sama ada disebabkan haid atau nifas bagi wanita, sakit, musafir, hamil atau menyusukan anak (tertakluk kepada keadaan tertentu), ataupun sebab-sebab lain yang dibenarkan.

Jumlah hari yang perlu diganti mestilah sama dengan jumlah hari yang ditinggalkan. Puasa ganti wajib dilakukan sebelum tibanya Ramadan yang seterusnya.

Jika seseorang sengaja melengah-lengahkan qada puasa tanpa alasan sehingga masuk Ramadan berikutnya, maka dia bukan sahaja perlu menggantikan puasa tersebut, malah mungkin dikenakan fidyah mengikut pandangan jumhur ulama.

Dari segi pelaksanaan, puasa ganti boleh dilakukan pada bila-bila hari selain hari yang diharamkan berpuasa seperti Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.

Niat puasa ganti juga perlu dibuat pada waktu malam sebelum terbit fajar, kerana ia termasuk dalam kategori puasa wajib.

Mengapa Perlu Ganti Puasa?

Dalam agama Islam, berpuasa adalah salah satu dari lima Rukun Islam dan memiliki nilai ibadah yang tinggi.

Berpuasa ganti memungkinkan individu untuk memenuhi kewajiban agama mereka secara penuh, meskipun ada situasi atau keadaan tertentu yang menghalangi mereka untuk berpuasa selama bulan Ramadan.

Bukan mudah melaksanakan puasa di bulan Ramadan cukup sebulan penuh. Ada sebab-sebab yang tertentu menyebabkan seseorang itu terbatal puasanya di bulan

Ramadan khususnya bagi kaum wanita. Walaupun tertinggal puasa di bulan Ramadan, seseorang itu wajib niat puasa ganti untuk qada’ puasa yang telah ditinggalkan.

Lafaz Niat Puasa Ganti

Berikut adalah bacaan lafaz niat puasa ganti dalam teks rumi, teks arab, dan terjemahannya:

niat puasa ganti
Nawaitu shouma ghodin ‘an qodoo ‘in fardho romadoona lillahi ta’ala

Maksudnya

“Sahaja aku niat puasa esok hari kerana menggantikan fardhu Ramadan kerana Allah Ta’ala.”

Lafaz Niat Puasa Ganti yang Digabungkan dengan Puasa Sunat Enam Syawal

Berikut adalah bacaan lafaz niat puasa ganti yang digabungan dengan puasa enam dalam teks rumi, teks arab, dan terjemahannya:

Nawaitu sauma ghodin qodho ‘ie romadhona ma’a sittai syawaali lillahi ta’ala

Maksudnya

“Sahaja aku berniat puasa esok hari qadha fardhu Ramadan bersama pusa sunat enam hari bulan Syawal kerana Allah Ta’ala.”

Siapa yang Perlu Ganti Puasa Ramadan

Tidak semua golongan perlu untuk mengantikan puasa Ramadan. Hanya beberapa golongan tertentu yang diwajibkan puasa ganti ke atasnya.

Antara orang yang wajib untuk niat puasa ganti adalah seperti:

  1. Orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja tanpa sebab yang dibenarkan oleh syarak.
  2. Orang yang sakit tenat dan tiada peluang untuk sembuh.
  3. Orang yang bermusafir atas tujuan yang baik dan melebihi dua marhalah.
  4. Wanita yang kedatangan haid dan nifas.
  5. Wanita yang menyusukan anak dan bimbang akan keselamatan dirinya untuk berpuasa pada bulan Ramadan.
  6. Orang yang sengaja untuk melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa.
  7. Orang yang pitam/mabuk atau serupa dengannya.
  8. Orang yang sangat lapar dan dahaga sehingga tidak memampukannya utuk meneruskan berpuasa pada bulan Ramadan.

Hukum Gabung Puasa ganti Ramadan dengan Puasa Enam

Sebelum mengetahui hukum mengabungkan puasa ganti Ramadan dengan puasa enam, adalah lebih baik kita membahas perbezaan pendapat dikalangan ulama mengenai mengabungkan niat puasa ganti Ramadan dengan puasa sunat enam syawal.

Imam Syihab al-Din al-Ramli dalam kitabnya Fatawa al-Ramli berkata,

“Dia memperoleh pahala qadha’ Ramadan bersama pahala puasa enam hari Syawal walaupun dia menggabungkan niat puasa qadha’ Ramadannya dengan puasa yang lain. Dia juga memperoleh ganjaran puasa enam hari di bulan Syawal.”

Perkara ini juga dibahas oleh ramai ulama yang lain. Maka terhasilah dua pendapat dalam mazhab Syafie:

1. Pendapat pertama

Perbuatan puasa seperti mana dalam bentuk ini adalah dilarang kerana kedua-duanya berbeza iaitu puasa ganti Ramadan dan puasa enam hari dalam bulan Syawal.

Ini termasuk dalam perkara ibadah yang dimaksudkan secara zatnya. Jelasnya, kedua-duanya ini tidak boleh saling memasuki niat antara satu sama lain.

2. Pendapat kedua

Harus hukumnya dengan menggabungkan antara niat puasa ganti dan puasa enam Syawal kerana tujuannya yakni yang dimaksudkan adalah menyibukkan hari-hari ini dengan berpuasa.

Seperti contoh qiyas solat tahiyyatul majid dengan mana-mana solat ketika memasuki masjid, dan qiyas terhadap mandi wajib daripada mandi sunat Jumaat.

Namun begitu, orang yang berpuasa dalam bentuk seperti ini tidak memperoleh pahala atau ganjaran kebaikan yang sempurna.

Ini berdasarkan kaedah fiqh yang menyebut:

مَا كَانَ أَكْثَرَ فِعْلًا كَانَ أَكْثَرَ فَضْلًا

Maksudnya

“Lebih banyak sesuatu perbuatan, lebih banyak fadhilatnya (kelebihan).”

Waktu yang Dibolehkan untuk Puasa Ganti

Niat puas ganti untuk mengantikan puasa yang ditinggalkan dalam bulan Ramadan boleh dibaca dan dilaksanakan sepanjang tahun (1 tahun) selepas bulan Ramadan hingga sampai pada bulan Ramadan tahun berikutnya.

Namun begitu, kita tidak boleh berpuasa pada hari-hari yang diharamkan untuk berpuasa seperti:

  • Hari pertama bulan Syawal (1 Syawal)
  • Hari raya Aidiladha (10 Zulhijjah)
  • Hari tasriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah)
  • Hari syak iaitu pada 30 Syaabab (bergantung pada tarikh bulan Ramadan)

Alternatif Bagi yang Gagal Mengantikan Puasa

Bagi yang tidak sempat atau tidak mampu mengantikan puasa gantinya pada jangka waktu yang telah ditetapkan sehingga tibanya 1 Ramadan tahun berikut (setelah setahun), dia perlu untuk membayar fidyah.

Fidyah adalah keringanan yang diberikan oleh mereka yang tidak mampu bayar puasa.

Cara pelaksanaannya, kita perlu membayar dan memberikan kepada golongan fakir miskin mengikut bilangan hari puasa yang ditinggalkan.

Kadar fidyah yang dikenakan adalah sebanyak satu mud, lebih kurang satu cupak (700± gram) bagi setiap satu puasa yang ditinggalkan.

Hukum bagi fidyah adalah wajib bagi mereka yang tiak mampu mengantikan puasa ganti Ramadhan.

Apa yang menjadi kewajipan kita di dunia ini sebaiknya selesaikanlah ia dengan segera. Jangan ditangguh-tangguh kerana kematian tidak menunggu kita bila akan bersedia.

Soalan Lazim Berkaitan Niat Puasa Ganti

1. Adakah sah puasa ganti jika saya hanya berniat dalam hati seperti, “Esok aku nak puasa ganti” tanpa melafazkan niat penuh qadha Ramadan? Atau adakah wajib menyebut lafaz lengkap seperti, “Sahaja aku berpuasa esok hari kerana menggantikan fardhu Ramadan kerana Allah Taala”? Jika sebelum ini saya hanya berniat secara ringkas, adakah puasa ganti saya tetap sah?

Menurut Jabatan Mufti Selangor, tuntutan niat sebenarnya merujuk kepada keazaman dalam hati. Sesuatu niat dianggap sah apabila seseorang telah menetapkan dalam hati dan fikirannya untuk melakukan puasa tersebut, maka memadailah ia sebagai niat yang sah.

Syeikh Nawawi bin Umar al-Jawi al-Bantani dalam kitab Kasyifat al-Saja Syarh Safinat al-Naja menyatakan:

Maksudnya: (Rukun puasa) pertama: Berniat di waktu malam pada setiap hari bagi puasa yang fardu. Tempat niat ialah di dalam hati. Oleh itu, hendaklah didatangkan dalam fikiran hakikat puasa tersebut iaitu perbuatan menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa sepanjang hari serta melakukan kewajipan yang mana ia sebahagian daripada amalan bulan Ramadan, kemudian berniat bahawa dia akan melakukan perkara yang dibayangkan tersebut.

Adapun lafaz yang disebut itu dinamakan sebagai lafaz niat. Melafazkan niat hukumnya sunat dalam mazhab Syafi‘i kerana ia membantu menghadirkan niat di dalam hati. Oleh itu, puasa tersebut tetap sah.

Namun begitu, disarankan agar niat dibuat secara ta‘yīn, iaitu dengan menentukan jenis puasa yang dilakukan seperti puasa ganti Ramadan.

2. Apakah lafaz niat puasa ganti?

Lafaz niat puasa ganti adalah seperti berikut:

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ قَضَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ لِلَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Sahaja aku niat puasa esok hari kerana menggantikan fardhu Ramadan kerana Allah Ta’ala.”

3. Jika seseorang sudah berniat puasa ganti sebelum Subuh tetapi masih ragu-ragu sama ada mahu menggabungkannya dengan puasa sunat, lalu masuk waktu Subuh, adakah puasa gantinya sah atau tidak?

Menurut Jabatan Mufti Selangor, niat merupakan rukun yang menentukan sah atau tidaknya sesuatu puasa dan ia wajib dilakukan. Puasa tidak dianggap sah tanpa niat kerana ia termasuk dalam ibadah yang mesti dilakukan dengan keikhlasan kepada Allah SWT, sebagaimana juga solat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sedangkan mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya.” (Surah al-Bayyinah: 5)

Untuk puasa qada’, niat hendaklah ditetapkan sebelum terbit fajar. Manakala bagi puasa sunat, niat masih dibolehkan selagi belum masuk waktu gelincir matahari. Dalam keadaan yang dinyatakan, puasa tersebut hanya dikira sebagai puasa sunat.

Oleh itu, hindarilah perasaan ragu-ragu dan was-was. Jika ia timbul, bacalah:
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم.

4. Adakah dibolehkan niat puasa ganti untuk sebulan?

Menurut bekas Mufti Wilayah Persekutuan, tidak dibenarkan berniat puasa untuk sebulan penuh sekaligus atas sebab-sebab berikut:

Menurut mazhab al-Syafi‘i, niat mesti dibuat pada setiap malam bagi puasa keesokan harinya. Justeru, niat secara sekaligus untuk sebulan tidak memadai dan tidak sah.

Manakala menurut mazhab Maliki, niat sebulan penuh hanya dibolehkan bagi puasa Ramadan yang ditunaikan pada waktunya kerana ia wajib dilakukan secara berturut-turut (التتابع). Adapun bagi puasa qada’, ia tidak disyaratkan dilakukan secara berturut-turut dan bersifat terpisah (masrud), maka tidak harus berniat sebulan sekaligus.

Seseorang juga wajib menggantikan puasa mengikut jumlah hari yang ditinggalkan. Jika dia meninggalkan puasa sepanjang sebulan Ramadan, maka wajib baginya menggantikan sebanyak jumlah hari tersebut.

Namun, dia tidak diwajibkan menggantinya secara berturut-turut. Walaupun dia memilih untuk melakukannya berturut-turut, dia tetap perlu memperbaharui niat pada setiap malam bagi setiap hari puasa secara berasingan.

5. Apakah hukum membatalkan niat puasa ganti sebelum terbit fajar?

Menurut bekas Mufti Wilayah Persekutuan, tiada larangan untuk menarik balik niat puasa ganti selagi belum masuk waktu fajar, kerana ketika itu belum bermula tempoh wajib berpuasa.

Namun, apabila fajar telah terbit, tidak dibenarkan membatalkan puasa tersebut tanpa sebarang keuzuran yang diiktiraf oleh syarak.

6. Bolehkah puasa ganti dilakukan pada hari Jumaat?

Hukumnya harus, tetapi dengan syarat ia digabungkan dengan hari Khamis atau Sabtu supaya tidak menyerupai amalan ritual agama lain. Berpuasa hanya pada hari Jumaat semata-mata adalah tidak dibenarkan.

7. Adakah niat puasa qada perlu dilakukan pada waktu malam dan sahur sahaja?

Waktu paling afdal untuk berniat puasa ganti Ramadan ialah pada waktu malam sebelum terbit fajar, termasuk ketika bersahur.

8. Bolehkah menggabungkan puasa qada dengan puasa sunat-sunat lain seperti hari Isnin dan Khamis atau hari-hari putih?

Menggabungkan niat puasa qada dan puasa sunat dalam satu hari adalah dibolehkan, khususnya apabila ia bertepatan dengan hari-hari yang digalakkan berpuasa seperti puasa enam Syawal, hari-hari putih, serta puasa Isnin dan Khamis.

Sebahagian ulama berpendapat bahawa niat tersebut perlu ditentukan secara jelas (ta‘yīn), manakala sebahagian yang lain tidak mensyaratkannya.

9. Adakah boleh kita batalkan puasa qada disebabkan ada jemputan makan

Puasa ganti Ramadan ialah kewajipan yang mesti ditunaikan dan tidak boleh dibatalkan dengan sengaja kerana perbuatan tersebut adalah berdosa. Oleh itu, puasa qada hendaklah disempurnakan sehingga selesai, kecuali jika terdapat keuzuran syarie seperti sakit, haid atau musafir.

10. Jika saya sudah berniat puasa qada pada waktu malam tetapi tidak meneruskannya keesokan hari, adakah saya perlu mengganti satu hari lagi sehingga jumlah puasa ganti bertambah?

Jumlah puasa ganti tersebut tidak bertambah menjadi 11 hari kerana keadaan itu. Ia kekal wajib digantikan sebanyak 10 hari sahaja.

Sebagaimana firman Allah SWT :

أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ ۚ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ

Maksudnya “Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain” (al-Baqarah : 184)

Baca juga:

Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.