Sayyidul Istighfar (Penghulu Segala Istighfar Rumi)

Ramai orang tahu tentang lafaz istighfar tetapi mungkin masih ada yang tidak tahu akan penghulu segala istighfar iaitu sayyidul istighfar yang diajarkan oleh baginda Rasulullah SAW. Apakah yang dimaksudkan dengan sayyidul istighfar ? Jom kita ikuti perkongsian ini sehingga ke penghujungnya.

Apa itu istighfar?

Maksud istighfar adalah memohon keampunan daripada Allah SWT. Terdapat beberapa maksud istighfar yang dinukilkan oleh beberapa ulama.

Antaranya seperti permohonan ampun yang dibuat selepas melihat betapa buruknya maksiat dan berusaha berpaling daripadanya. Selain itu,  makna lain istighfar adalah memohon keampunan dan penghapusan dosa serta berlindung daripada kejahatan.

Bahkan istighfar juga adalah perintah dari Allah SWT untuk setiap hamba Nya mendapat keampunan Nya sebagaimaa yang telah disebutlah dalam Al-Quran.

Konsep istighfar melibatkan penyesalan kepada apa jua dosa yang kita lakukan termasuk maksiat kemudian kita memperbaiki perbuatan tersebut ke arah yang lebih baik serta istiqamah beribadah kepada Allah SWT.

Apakah yang dimaksudkan dengan sayyidul istighfar?

Penghulu Istighfar atau ia dinamakan sebagai Sayyid al-Istighfar. Daripada Syaddad bin Aus RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

سَيِّدُ الِاسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ: اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ

Maksudnya: “Sayyid al-Istighfar hendaklah kamu mengucapkan: Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Ilah yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba Mu. Aku di atas perjanjian Mu dan janji Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada Mu, maka ampunilah aku. Ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau.” – (Hadis Riwayat al-Bukhari, 6306)

Imam Ibn Hajar mengatakan dalam Fath Al-Bari bahawa di dalam hadis ini, Nabi SAW telah menghimpunkan seni makna-makna serta lafaz-lafaz yang indah dan dengan itu melayakkan ia digelar sebagai penghulu segala istighfar.

Bacaan sayyidul istighfar dan terjemahannya

Berikut adalah lafaz sayyidul istighfar yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

“Allahumma anta robbii laa ilaaha illaa anta, kholaqtanii wa anaa ‘abduka wa anaa ‘alaa ‘ahdika wa wa’dika mastatho’tu. A’udzu bika min syarri maa shona’tu, abuu u laka bini’matika ‘alayya, wa abuu u bi dzanbii, faghfirlii fainnahuu laa yaghfirudz dzunuuba illa anta”

Maksudnya: “Ya Allah Engkau adalah Tuhanku, Tidak ada sesembahan yang haq kecuali Engkau,Engkau yang menciptakanku, sedang aku adalah hamba Mu dan aku diatas ikatan janji Mu dan akan menjalankannya dengan semampuku, aku berlindung kepadamu dari segala kejahatan yang telah aku perbuat, aku mengakui Mu atas nikmat Mu terhadap diriku dan aku mengakui dosaku pada Mu, maka ampunilah aku, sesungguhnya tiada yang mengampuni segala dosa kecuali Engkau” – (Hadis Riwayat Bukhari)

Kelebihan istighfar dalam kehidupan

Banyak manfaat yang boleh kita perolehi dengan mengamalkan istighfar setiap masa selama mana kita hidup di dunia ini. Antara kelebihan yang sering dikaitkan adalah:

1. Diberi keampunan dosa-dosanya oleh Allah

Setiap manusia tidak akan pernah lari dari melakukan dosa dan kesalahan sepanjang hidupnya. Manusia jauh dari sifat kesempuaan kerana setiap orang mempunyai kelemahannya yang tersendiri.

Oleh yang demikian, sudah menjadi tugas kita sebagai seorang hamba Nya untuk memohon ampun atas segala dosa yang diperbuat.

Allah telah berfirman, “Wahai hamba-hamba Ku, setiap kalian pasti berdosa kecuali yang Aku jaga. Maka beristighfarlah kalian kepadaKu, nescaya kalian Aku ampuni. Dan barangsiapa yang meyakini bahawa Aku punya kemampuan untuk mengampuni dosa-dosanya, maka Aku akan mengampuninya dan Aku tidak peduli (beberapa banyak dosanya).”

Hadis Riwayat Ibnu Majah, Tirmidzi

2. Dimakbulkan segala hajat

Kisah Imam Ahmad Ibu Hambal dan seorang pembuat roti menginsafkan kita bahawa meletakkan rasa percaya dan yakin pada Allah SWT dengan memperbanyakkan istighfar menjadi kunci kepada doa mudah dimakbulkan.

Orang yang selalu melazimkan diri beristighfar memohon keampunan maka hatinya bersih dari noda dosa. Rentetan itu, mudahlah doa-doanya diperkenankan oleh Allah SWT kerana dekatnya dia di sisi Allah.

3. Kuat rohaninya

Di dalam sebuah hadis, diceritakan bahawa Nabi SAW beristighfar lebih daripada 70 kali sehari sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Sahih Imam al-Bukhari:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً

Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali.” – (Hadis Riwayat al-Bukhari, 6307)

Kekuatan rohani atau kekuatan dalaman lebih hebat berbanding kekuatan fizikal. Makanan kekuatan dalaman adalah dengan berzikir, berselawat, dan beristighfar

4. Menyejukkan hati yang sedang marah

Marah itu api sifat kejadian syaitan. Sifat marah memberi laluan untuk iblis kuasai manusia. Oleh yang demikian, amalkan selalu istighfar agar kita terhindar dari hasutan syaitan dan konco-konconya.

Diharapkan dengan artikel berkenaan dengan sayyidul istighfar ini dapat memberikan panduan yang betul untuk memudahkan umat Islam dalam memperbanyakkan zikir setiap masa. Kelak dengan zikir dan selawat yang kita lafazkan di bibir ketika di dunia akan membantu kita diakhirat.

Sumber:

  1. Irsyad Al-Hadith Siri Ke-168: Penghulu Segala Istighfar. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Kelabihan Istighfar Yang Patut Anda Tahu. Tzkrh
  3. AD-DIN
  4. Powernya Istighfar! Ikuti Kisah Teladan 3 Lelaki, 3 Masalah Bersama Imam Hasan Al-Basr. Mstar
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.