Solat Tarawih di Rumah: Panduan Ringkas Tapi Lengkap Ramai Cari

Solat tarawih menjadi antara amalan yang paling dinanti setiap kali tibanya bulan Ramadan kerana ia menyemarakkan suasana malam dengan ibadah dan ketenangan jiwa.
Kehadirannya bukan sekadar rutin tahunan, tetapi peluang untuk umat Islam meningkatkan kualiti rohani, memperbanyakkan doa serta memperkukuhkan hubungan dengan Allah SWT.
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda mengenai solat tarawih dengan panduan lengkap secara berjemaah dan berseorangan sepanjang 30 hari.
Pengenalan Solat Tarawih

Asal usul perkataan tarawih adalah bermula dari maksud berehat. Ia dinamakan sedemikian kerana bagi orang-orang yang mengerjakan solat tarawih, mereka akan berehat seketika pada setiap kali selesai empat rakaat.
Hal ini dijelaskan sendiri oleh al-Syarbini dalam kitabnya al-Iqna’:
“Dan setiap empat rakaat dinamakan tarwihah ( تَرْوِيحَة ) kerana mereka berehat selepasnya”
Dalam istilah yang lain, ada juga sebahagiannya yang berpendapat bahawa tarawih ini berasal daripada perkataan murawahah ( مُرَاوَحَة ) yang bermaksud berulang-ulang dalam perbuatan.
Pensyariatan Solat Tarawih
Pensyariatan solat terawih dapat dilihat melalui sebuah riwayat daripada Umm Al-Mu’minin A’isyah R.anha bahawa beliau berkata :
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم صَلَّى ذَاتَ لَيْلَةٍ فِي الْمَسْجِدِ فَصَلَّى بِصَلاَتِهِ نَاسٌ، ثُمَّ صَلَّى مِنَ الْقَابِلَةِ فَكَثُرَ النَّاسُ، ثُمَّ اجْتَمَعُوا مِنَ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ أَوِ الرَّابِعَةِ، فَلَمْ يَخْرُجْ إِلَيْهِمْ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم، فَلَمَّا أَصْبَحَ قَالَ قَدْ رَأَيْتُ الَّذِي صَنَعْتُمْ وَلَمْ يَمْنَعْنِي مِنَ الْخُرُوجِ إِلَيْكُمْ إِلاَّ أَنِّي خَشِيتُ أَنْ تُفْرَضَ عَلَيْكُمْ وَذَلِكَ فِي رَمَضَانَ
Maksudnya
Sesungguhnya Rasulullah SAW pada suatu malam sedang solat di dalam masjid. Maka orang ramai pun mengikut solat bersama baginda. Kemudian pada malam berikutnya, baginda solat sekali lagi dan jemaah yang mengikutnya semakin banyak.
Pada malam yang ketiga atau keempat, orang ramai berkumpul menanti ketibaan Rasulullah SAW sebaliknya baginda tidak keluar kepada mereka.
Apabila masuk waktu subuh, baginda bersabda kepada para jemaah : Sesungguhnya aku telah melihat apa yang kamu semua lakukan. Dan tidaklah yang menghalang aku dari keluar kepada kamu melainkan aku takut solat itu akan difardhukan ke atas kamu semua. Yang demikian itu berlaku pada bulan Ramadan.
(Hadis Riwayat Bukhari)
Berdasarkan hadis di atas, Rasulullah SAW pada malam hari pertama bulan Ramadan baginda keluar menuju ke masjid pada waktu malam dan mendirikan solat. Kemudian orang ramai yang berada di sekitar turut serta mengikuti solat malam Rasulullah SAW.
Demikian juga pada malam yang kedua. Cuma bilangan jemaah yang solat bersama baginda semakin ramai. Manakala malam yang berikutnya, bilangan jemaah semakin ramai sehingga memenuhi masjid.
Maka pada malam yang berikutnya, Nabi SAW tidak keluar ke masjid dan ramai orang pada ketika itu yang menanti kehadiran baginda. Sebaik sahaja waktu subuh, selepas sahaja solat baginda berpaling seraya mengatakan sebagaimana yang disebutkan dalam hadis di atas.
Syeikh Syams Al-Haq Al-‘Azhim Abadi ketika mensyarahkan hadis ini beliau berkata:
‘’Baginda khuatir solat tarawih akan difardhukan ke atas mereka. Ini kerana boleh jadi berlakunya kefardhuan atas perbuatan qiyam Ramadhan secara berjamaah disebabkan ia dibuat secara berterusan’’. – (‘Aun Al-Ma’bud Syarah Sunan Abi Daud)
Hukum Melaksanakan Solat Tarawih
Hukum bagi solat terawih adalah sunat muakkad iaitu sunat yang sangat dituntut dalam Islam.
Rasulullah SAW sangat menggalakkan para sahabat dan umatnya untuk bersolat pada malam bulan Ramadan seperti mana yang ditulis dalam sebuah hadis:
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Maksudnya
“Sesiapa yang melakukan solat malam (Tarawih) pada Ramadan kerana keimanan dan mengharapkan keredhaan dan keampunan Allah semata-mata, maka diampunkan segala dosanya yang lalu.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Waktu & Bilangan Rakaat
Pada kebiasaannya, solat ini dilaksanakan secara berjemaah atau berseorangan selepas solat fardhu isyak.
Namun, waktu untuk mengerjakan solat sunat ini adalah bermula dari selepas solat sunat ba’diyyah isyak sehinggalah terbitnya fajar (subuh).
Dari segi bilangan rakaatnya pula, tarawih biasa dilakukan Rasulullah SAW adalah sebanyak 11 rakaat terdiri daripada 8 rakaat solat tarawih dan 3 rakaat solat witir.
Niat Solat Tarawih
Bacaan lafaz niat solat tarawih adalah seperti yang berikut:
Lafaz Niat Solat Sunat Tarawih (Imam)
اُصَلِّى سُنَّةَ التَّرَاوِيْحِ رَكْعَتَيْنِ إِمَامًا ِللهِ تَعَالَى
Maksudnya
“Sahaja aku solat sunat tarawih dua rakaat sebagai imam kerana Allah Taala.”
Lafaz Niat Solat Sunat Tarawih (Makmum)
اُصَلِّى سُنَّةَ التَّرَاوِيْحِ رَكْعَتَيْنِ مٌأمُومٌا للهِ تَعَالَى
Maksudnya
“Sahaja aku solat sunat tarawih dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala.”
Lafaz Niat Solat Sunat Tarawih (Sendiri)
اُصَلِّى سُنَّةَ التَّرَاوِيْحِ رَكْعَتَيْنِ أًدَاءٌ للهِ تَعَالَى
Maksudnya
“Sahaja aku solat sunat tarawih dua rakaat kerana Allah Taala.”
*Niat perlu dibaca setiap selesai mengerjakan dua rakaat solat sunat tarawih. Contohnya, jika kita hendak mengerjakan solat sebanyak 8 rakaat, maka niat perlu dibaca sebanyak 4 kali.
Cara Mendirikan Solat Tarawih

Secara umumnya, cara pelaksanaan solat sunat terawih sama sahaja seperti solat fardhu subuh. Cumanya yang berbeza pada niat dan jumlah rakaat.
Berikut ini adalah cara-cara solat sunat terawih 8 rakaat
- Memulakan solat dua rakaat (rakaat pertama dan kedua).
- Bacaan surah selepas al-Fatihah bagi rakaat pertama, Surah al-Takathur manakala rakaat kedua Surah al-Asr.
- Menyambung solat dua rakaat lagi (rakaat ketiga dan keempat). Bacaan surah selepas al-Fatihah bagi rakaat pertama, Surah al-Humazah manakala rakaat kedua Surah al-Fil
- Selesai solat, imam membaca doa.
- Seterusnya, solat disambung dua rakaat lagi (rakaat kelima dan keenam). Bacaan surah selepas al-Fatihah bagi rakaat pertama, Surah Quraisy manakala rakaat kedua Surah al-Ma’un.
- Menyambung solat dua rakaat lagi (rakaat ketujuh dan kelapan). Bacaan surah selepas al-Fatihah bagi rakaat pertama, Surah al-Kafirun manakala rakaat kedua Surah al-Nasr.
- Selesai solat, Imam membaca doa.
- Setelah selesai mengerjakan solat terawih sebanyak 8 rakaat, diikuti pula dengan solat witir sebanyak 3 rakaat.
*Caranya sama sahaja jika anda ingin lakukan bagi jumlah rakaat lain seperti 20 rakaat atau 36 rakaat. Hanya ulangi solat dua rakaat sehingga capai pada jumlah rakaat yang diinginkan.






Cadangan Susunan Surah
Bagi pemilihan surah yang dibaca ketika solat (selepas Al-Fatihah) ianya bebas mengikut kemahuan individu sendiri.
Namun, di sini kami cadangkan susunan surah yang boleh dibaca dari surah-surah lazim yang mudah dihafal.
| Rakaat | Surah | No. Surah | Rakaat | Surah | No. Surah |
| 1 | Al-Takathur | ke-102 | 11 | Al-Maa’un | ke-107 |
| 2 | Al-Ikhlas | ke-112 | 12 | Al-Ikhlas | ke-112 |
| 3 | Al-‘Asr | ke-103 | 13 | Al-Kauthar | ke-108 |
| 4 | Al-Ikhlas | ke-112 | 14 | Al-Ikhlas | ke-112 |
| 5 | Al-Humazah | ke-104 | 15 | Al-Kafirun | ke-109 |
| 6 | Al-Ikhlas | ke-112 | 16 | Al-Ikhlas | ke-112 |
| 7 | Al-Fil | ke-105 | 17 | Al-Nasr | Ke-110 |
| 8 | Al-Ikhlas | ke-112 | 18 | Al-Ikhlas | ke-112 |
| 9 | Quraish | ke-106 | 19 | Al-Masad | ke-111 |
| 10 | Al-Ikhlas | ke-112 | 20 | Al-Ikhlas | ke-112 |
Panduan Solat Sunat Tarawih JAKIM


Kelebihan Mengerjakan Tarawih
Nabi SAW mengelarkan solat tarawih sebagai “qiam Ramadhan”. Hal ini disebabkan oleh keistimewaan yang ada pada solat sunat ini sehinggkan Allah menjanjikan ganjaran pahala berganda dan diampunkan dosa kepada sesiapa yang mengerjakannya.
Diharapkan semoga perkongsian kami mengenai solat tarawih ini dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahua yang bermanfaat untuk dijadikan panduan dalam beribadah sepanjang bulan Ramadhan nanti.
Soalan Lazim Berkaitan Solat Terawih
Secara umumnya, tidaklah dilarang seseorang itu untuk membahagikan satu ayat yang panjang kepada beberapa bahagian dalam rakaat solat. Asalkan apa yang dibaca dan disebutkan itu masih memberi makna dan difahami.
Namun halnya yang demikian, perbuatan tersebut bertentangan dengan perkara yang lebih utama dan lebih afdal (khilaf aula) iaitu menyempurnakan bacaan ayat tersebut dalam satu rakaat tanpa memotongnya.
Ini kerana, kita lebih digalakkan dan selamat untuk menyempurnakan bacaan ayat dalam satu rakaat sahaja bagi menjaga makna dan maksudnya. (Irsyad Al-Fatwa Khas Ramadhan Siri Ke-167)
Adalah lebih afdhal untuk menunaikan solat sunat ba’diyah selepas isyak dahulu sebelum menunaikan solat sunat tarawih.
Solat sunat ba’diyah ini adalah solat sunat rawatib muakkad yang menjadi kelaziman Rasulullah SAW. (Irsyad Al-Fatwa Khas Ramadhan Siri Ke-143)
Para ulama berbeza pendapat sama ada solat tarawih boleh diqadakan atau tidak.
Namun disimpukan sendiri oleh Mufti Wilayah Persekutuan bahawa solat sunat tarawih boleh diqadakan apabila terlepas daripada waktunya. (Irsyad Al-Fatwa Khas Ramadhan Siri Ke-138)
Doa iftitah disunatkan untuk dibaca pada setiap permulaan rakaat pertama bagi setiap dua rakaat solat sunat tarawih.
Sungguuhpun ia sunat, namun doa iftitah sangat digalakkan dibaca untuk mencapai kesempurnaan dalam solat. (Irsyad Al-Fatwa Khas Ramadhan Siri Ke-184)
Seseorang perlu mengantikan solat-solat fardhu yang perlu diqadakan terlebih dahulu sebelum melakukan ibadah sunat yang lain termasuklah dalam solat tarawih.
Hal ini kerana, ibadah yang wajib adalah lebih utama dan perlu diutamakan berbanding ibadah sunat lain. (Irsyad Al-Fatwa Khas Ramadhan Siri Ke-182)
Menurut Mazhab Syafie yang menjadi pegangan di Negeri Selangor, solat sunat Tarawih dilaksanakan sebanyak 20 rakaat. Pandangan ini juga dipegang oleh jumhur ulama daripada Mazhab Hanafi dan Hanbali.
Manakala dalam Mazhab Maliki pula, solat sunat Tarawih dilaksanakan sebanyak 36 rakaat.
Walau bagaimanapun, solat yang diniatkan sebagai Tarawih tetapi tidak mencapai jumlah rakaat sebagaimana yang ditetapkan dalam pandangan Mazhab Syafie tetap dikira sah dan tidak sia-sia, selagi semua rukun dan syarat solat dipenuhi.(Jabatan Mufti Selangor)
Solat sunat yang dilakukan sebelum solat Isya’ tidak termasuk dalam solat sunat Tarawih atau qiyam Ramadan, sebaliknya ia hanyalah solat sunat biasa sebelum Isya’. Oleh itu, sekiranya seseorang datang lewat ke masjid dan imam telah memulakan solat Tarawih, dia hendaklah mengikuti imam tersebut dengan niat solat fardhu Isya’.
Apabila imam memberi salam, dia perlu bangun untuk menyempurnakan baki rakaat solat fardhu Isya’nya.
Dalam mazhab al-Syafi‘i, seseorang yang menunaikan solat fardhu di belakang imam yang menunaikan solat sunat adalah dibolehkan. (Zulkifli Al Bakri)
Hukum menunaikan solat terawih secara bersendirian adalah dibolehkan dan paling afdhal adalah menunaikannya secara berjemaah. (Mufti Wilayah Persekutuan)
Tidak menjadi kesalahan untuk memecahkan satu ayat yang panjang kepada beberapa bahagian dan membacanya dalam rakaat yang berbeza, selagi bahagian tersebut masih membawa makna yang jelas serta dapat difahami.
Cara ini sudah mencukupi untuk memperoleh pahala sunat yang dimaksudkan.
Walau bagaimanapun, perbuatan tersebut kurang bertepatan dengan amalan yang lebih utama dan afdhal (khilaf aula), iaitu menyempurnakan keseluruhan ayat dalam satu rakaat tanpa memotongnya.
Ini kerana membaca secara lengkap adalah lebih selamat serta lebih berhati-hati dalam menjaga kesinambungan dan kesatuan makna ayat tersebut. (Irsyad Hukum Khas Ramadhan Siri Ke-167)
Menurut pandangan mazhab Syafi‘i dan jumhur ulama, jumlah rakaat solat tarawih ialah dua puluh rakaat dengan sepuluh kali salam, tidak termasuk solat sunat witir. Namun begitu, solat tersebut tetap sah dan diterima walaupun dilaksanakan kurang daripada dua puluh rakaat.
Dari segi ganjaran pula, seseorang itu tetap memperoleh pahala solat sunat tarawih berdasarkan jumlah rakaat yang ditunaikannya. (Irsyad Fatwa Edisi Khas Ramadhan Siri Ke-219)
Menunaikan solat tarawih pada sepertiga malam atau di penghujung malam Ramadan adalah satu amalan yang digalakkan. Malah, sebahagian ulama berpendapat waktu tersebut lebih afdhal untuk dilaksanakan.
Sama ada dilakukan pada awal malam atau di akhirnya, ia tetap termasuk dalam amalan menghidupkan malam-malam Ramadan yang dikenali sebagai qiamullail.
Berkenaan pelaksanaan solat tarawih selepas tidur, para ulama tidak membincangkannya secara khusus dan terperinci.
Namun, perbuatan tersebut adalah dibolehkan, malah dianggap lebih baik berdasarkan kenyataan Saidina Umar RA sebagaimana yang diriwayatkan dalam hadis sahih al-Bukhari. (Irsyad Hukum Khas Ramadan Siri Ke-193)
Sekiranya seseorang itu sememangnya bersifat pelupa, maka perkara tersebut adalah dibolehkan. Namun begitu, ada nas menyebut bahawa makmum hendaklah diam dan mendengar ketika imam sedang membaca.
Walau bagaimanapun, para ulama menjelaskan bahawa jika imam membaca al-Fatihah dengan cepat, seperti yang sering berlaku ketika solat tarawih, sedangkan makmum pula membacanya secara perlahan, maka dibenarkan untuk memulakan bacaan lebih awal.
Hal ini bertujuan bagi mengelakkan makmum kerap tertinggal atau tidak sempat menyempurnakan bacaan al-Fatihahnya.(Al-Kafi #870)
i. Sesiapa yang mempunyai hutang solat fardu, sama ada ditinggalkan kerana uzur syarie seperti terlupa atau tertidur, mahupun tanpa uzur syarie seperti meninggalkannya dengan sengaja, maka wajib ke atasnya untuk menggantikan (qada) solat tersebut.
ii. Solat berjemaah adalah sah bagi individu yang menunaikan solat qada dengan mengikut imam yang sedang solat fardu. Begitu juga sah jika orang yang solat qada berimamkan individu yang menunaikan solat sunat. Namun, dalam isu mengqadakan solat fardu ketika solat sunat tarawih, ia bergantung kepada keadaan solat yang ditinggalkan:
Jika solat ditinggalkan dengan sengaja tanpa uzur syarie:
Wajib untuk segera mengqadakan solat tersebut sebelum melakukan amalan sunat lain termasuk solat sunat tarawih. Hal ini kerana tuntutan ibadah wajib perlu didahulukan berbanding ibadah sunat. Justeru, dia digalakkan mengerjakan solat qada dengan mengikuti imam yang sedang menunaikan solat tarawih supaya tetap memperoleh kelebihan solat berjemaah.
Jika solat ditinggalkan kerana uzur syarie:
Disunatkan untuk menyegerakan qada solat tersebut. Dalam keadaan ini, individu berkenaan mempunyai pilihan sama ada mengqadakan solat fardu sebelum atau selepas menunaikan solat sunat tarawih, ataupun mengqadakannya dengan berimamkan imam yang sedang mendirikan solat tarawih secara berjemaah.
(Irsyad Hukum Edisi Khas Ramadan Siri Ke-276)
Memegang mushaf terjemahan al-Quran serta membacanya ketika berada di belakang imam dalam solat tarawih adalah dibolehkan dan tidak membatalkan solat. Namun demikian, hendaklah memastikan tiada pergerakan atau perbuatan lain yang boleh menjejaskan kekhusyukan sepanjang menunaikan solat tersebut. (Al-Kafi #307)
Setiap amalan ibadah seperti puasa, solat, membaca al-Quran, berzikir serta segala perkara yang mendekatkan diri kepada Allah SWT tetap diberikan ganjaran dan dihitung di sisi-Nya.
Namun begitu, tidak timbul keperluan untuk menentukan mana yang lebih utama selepas solat Isyak pada bulan Ramadan sama ada menunaikan solat sunat tarawih atau menghadiri tazkirah dan ceramah khas Ramadan.
Ini kerana kedua-dua amalan tersebut mempunyai fadilat dan kelebihan tersendiri. Malah, kedua-duanya juga merupakan amalan yang afdal serta sangat digalakkan dalam usaha menghidupkan malam-malam sepanjang bulan Ramadan. (Irsyad Fatwa Edisi Khas Ramadhan Siri Ke-212)
Menurut Mazhab Syafi’e, solat terawih perlu dilakukan secara dua rakaat satu salam.
Jika dilakukan selain daripada cara ini, seperti 4 rakaat satu salam, atau lapan rakaat satu salam, maka solatnya tidak sah.(Irsyad Hukum Khas Ramadhan Siri Ke-104)
Baca juga:



