Sujud Sahwi Bacaan Rumi: Niat, Cara, dan Bila Waktu Untuk Dibaca

Apakah yang diertikan sebagai sujud sahwi dan bila pula ia menjadi keperluan untuk dibaca dalam solat? Ketahui ulasan ringkasnya dalam artikel ini.

Maksud sujud sahwi?

Dari segi bahasa sahwi membawa maksud lupa atau lalai melakukan sesuatu. Ia lebih cenderung meninggalkan sesuatu tanpa sengaja.

Manakala dari segi syarak pula, sahwi adalah kecatatan atau kekurangan yang dilakukan oleh seseorang ketika solat sama ada sengaja atau terlupa.

Tujuan sujud ini adalah untuk menutup segala kekurangan yang kita lakukan kerana sikap lupa tersebut.

Hukum melaksanakan sujud sahwi

Hukum melakukan sujud sahwi adalah sunat muakkad. Walau bagaimanapun, solat tidak terbatal sekiranya kita terlupa atau sengaja tidak melakukannya.

Sabda Rasulullah SAW yang dirawayatkan oleh Al-Bukhari daripada Abu Hurairah RA katanya:

Nabi SAW bersolat Zuhur atau Asar bersama dengan kami, kemudian Baginda memberi salam (selepas dua rakaat). Lalu Zul-Yadain bertanya; ‘Wahai Rasulullah, adakah solat telah dikurangkan?’. Nabi SAW bertanya kepada sahabat-sahabatnya: ‘Benarkah apakah yang dikatakannya?’ Mereka menjawab: ‘Ya’. Lalu Baginda bersolat dua rakaat dan setelah itu bersujud sebanyak dua kali. Saad (bin Ibrahim) berkata: ‘Saya melihat ‘Urwah bin al-Zubair bersolat maghrib dua rakaat dan memberi salam. Dia bercakap-cakap, kemudian bersolat rakaat yang tertinggal serta dua kali sujud’. Katanya: ‘Demikiankah yang dilakukan oleh Nabi SAW.’ – (Hadis Riwayat Al-Bukhari dalam Sahih Al-Bukhari)

Bagaimana melaksanakannya?

Waktu untuk mengerjakan sujud sahwi adalah setelah selesai membaca tahiyyat akhir sebelum memberi salam. Berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Abdullah bin Buhainah RA telah berkata:

إِنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَامَ مِنِ اثْنَتَيْنِ مِنَ الظُّهْرِ لَمْ يَجْلِسْ بَيْنَهُمَا. فَلَمَّا قَضَى صَلاتَهُ سَجَدَ سَجْدَتَينِ، ثُمَّ سَلَّمَ بَعْدَ ذَلِكَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah berdiri setelah dua raka‘at bersembahyang fardhu Zuhur tanpa duduk untuk membaca tahiyyat awal. Setelah selesai Baginda bersembahyang (sebelum memberi salam), Baginda pun melakukan sujud sebanyak dua kali sujud (sujud sahwi) lalu memberi salam.” – (Hadis Riwayat Imam Bukhari) 

Bacaannya dalam rumi

Berikut adalah bacaan yang perlu dibaca jika mahu melaksanakan sujud ini:

Subhaa na man laa ya naa mu walaa yas huu 

Maksudnya: “Maha Suci Allah yang tidak tidur dan tidak lupa.”

Faktor-faktor yang disunatkan untuk sujud sahwi

Berdasarkan dari mazhab As-Syafi‘e, penyebab utama sujud sahwi ada dua, iaitu terlupa sesuatu yang disuruh atau pun melakukan sesuatu yang ditegah dalam solat iaitu sama ada dengan sengaja atau sebaliknya.

Bagi penyebab yang pertama iaitu terlupa sesuatu yang disuruh dalam sembahyang terbahagi kepada dua perkara:

1. Terlupa rukun-rukun sembahyang

  • Niat
  • Berdiri betul
  • Takbiratul ihram
  • Membaca surah al-Fatihah
  • Rukuk serta tamakninah
  • I‘tidal serta tamakninah  
  • Sujud serta tamakninah  
  • Duduk di antara dua sujud serta tamakninah
  • Membaca tahiyyat akhir
  • Duduk membaca tahiyyat akhir
  • Membaca selawat ke atas Nabi Muhammad SAW ketika tahiyyat akhir
  • Memberi salam
  • Tertib

*Mereka yang terlupa melaksanakan rukun-rukun solat perlu melakukan rukun yang tertinggal itu dahulu sebelum melaksanakan sujud ini.

2. Terlupa sunat-sunat ab’adh

  • Membaca dan melakukan tasyahhud awal
  • Membaca dan melakukan qunut subuh atau qunut witir
  • Selawat ke atas Nabi SAW ketika tasyahhud awal
  • Selawat ke atas Nabi SAW ketika qunut
  • Selawat ke atas Nabi SAW ketika tasyahhud akhir

*Memadai untuk sujud sahwi sahaja sekiranya kita terlupa sunat ab’adh.

3. Perkara yang jika dilakukan dengan sengaja tidak akan membatalkan solat

  • Menoleh ke kiri dan kanan
  • Berfikir dalam solat
  • Melangkah tidak sampai tiga langkah berturut-turut

*Tidak disunatkan untuk melakukan sujud ini sama ada  membuatnya secara sengaja ataupun tidak, selagi mana dia tidak mengubah rukun-rukun dalam solat.

4. Perkara yang jika dilakukan dengan sengaja akan membatalkan sembahyang

  • Makan
  • Berkata-kata yang banyak
  • Memindahkan rukun fi‘li
  • Menambah ataupun mengurangkan ruku‘ dan sujud

*Mereka yang berada dalam situasi ini, tidak perlu melakukan sujud sahwi sebaliknya wajib mengulangi solat tersebut kerana ia sudah terbatal.

Sumber:

  1. Al-Kafi #1804: Lafaz Sujud Sahwi dan Hukum Meninggalkan Zikir Ketika Duduk Antara Dua Sujud Sahwi. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Al-Kafi #982: Bagaimana Jika Terlupa Sujud Sahwi? Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Mufti Wilayah Persekutuan
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.