Doa Makan Sebelum & Doa Selepas Makan Dalam Rumi
Doa makan adalah salah satu adab yang diajarkan oleh agama Islam kepada seluruh umat Islam. Ia menunjukkan akan rasa syukur kita atas rezeki yang diberikan oleh Allah.
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan doa makan sebelum dan doa selepas makan yang boleh anda jadikan panduan ketika menjamu selera.
Doa makan (sebelum)
Lafaz ini diambil daripada satu hadis yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amr.
الَّلهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيمَا رَزَقْتَنَا، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Allahumma bariklana fima rozak tana waqina ‘azabannar
Maksudnya: “Ya Allah berkatilah segala apa yang Engkau rezekikan kepada kami dan jauhilah kami daripada azab neraka.”
Imam al-Tabrani dalam al-Duʻa’ meriwayatkan doa ini melalui jalur ‘Abdullah bin ‘Amr mengatakan bahawa Nabi SAW apabila dihidangkan makanan kepadanya maka Baginda akan membaca doa:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيمَا رَزَقْتَنَا، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، بِسْمِ اللَّهِ
Allahumma bariklana fima rozak tana waqina ‘azabannar. Bismillah
Maksudnya: “Ya Allah berkatilah segala apa yang Engkau rezekikan kepada kami dan jauhilah kami daripada azab neraka, Bismillah (dengan nama Allah).
Dalam riwayat yang dibawa oleh Ibn Aʻbud lebih ringkas iaitu dengan lafaz berikut:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيمَا رَزَقْتَنَا
Allahumma bariklana fima rozak tana
Maksudnya: “Ya Allah berkatilah segala apa yang Engkau rezekikan kepada kami.
Riwayat Hisyam bin ‘Urwah pula didatangkan dengan lafaz yang lebih panjang, iaitu:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي هَدَانَا، وَأَطْعَمَنَا وَسَقَانَا، وَنَعَّمَنَا، اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُمَّ أَلْفَتْنَا نِعْمَتُكَ بِكُلِّ شَرٍّ، فَأَصْبَحْنَا مِنْهَا وَأَمْسَيْنَا بِكُلِّ خَيْرٍ، نَسْأَلُكَ تَمَامَهَا، وَشُكْرَهَا لَا خَيْرَ إِلَّا خَيْرُكَ، وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ، إِلَهَ الصَّالِحِينَ، وَرَبَّ الْعَالَمِينَ، الْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، مَا شَاءَ اللَّهُ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ، اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيمَا رَزَقْتَنَا وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Segala puji bagi Allah yang memberi hidayah kepada kami, memberi makan, minum dan nikmat. Allah Maha Besar. Ya Allah, nikmat-Mu tetap ada walaupun wujud setiap kejahatan kami, dengan nikmat-Mu kami menjalani waktu pagi dan petang dalam kebaikan. Kami memohon kesempurnaan nikmat itu dan kesyukuran atas nikmat-Mu. Tiada kebaikan melainkan kebaikan-Mu, tiada Tuhan melainkan Engkau, Tuhan orang yang soleh dan Tuhan sekalian alam. Segala puji bagi Allah, tiada tuhan melainkan Allah, tiada yang berlaku melainkan dengan kehendak Allah, tiada daya dan kekuatan melainkan dengan Allah. Ya Allah berkatilah segala apa yang Engkau rezekikan pada kami dan jauhilah kami daripada azab neraka.
Terdapat riwayat lain yang mempunyai makna hampir sama namun dengan lafaz berbeza bahawa Nabi SAW bersabda:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَأَطْعِمْنَا خَيْرًا مِنْهُ
Allahumma bariklana fihi waath ‘imna khoiron min hu
Maksudnya: “Ya Allah, berkatilah makanan kami ini dan berilah kami kebaikan daripada makanan tersebut.”
Doa makan (selepas)
Hadis yang direkodkan oleh Imam al-Tarmizi dalam karyanya Sunan al-Tarmizi, lafaznya adalah seperti berikut:
الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذي أطْعَمَنَا وَسَقانا وَجَعَلَنا مُسْلِمِينَ
Alhamdulillah illazi ath ‘amana wasaqona waja ‘alna muslimin
Maksudnya: “Segala puji bagi Allah yang memberikan kami makan dan minum serta menjadikan kami dalam kalangan orang Islam.
Adakah memadai dengan menyebut “bismillah”?
Membaca “bismillah” sebelum makan adalah termasuk dalam perkara sunat dan adab-adab makan sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Nabi SAW.
Dan bahkan lafaz basmalah yang paling baik dan sempurna ialah:
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
Tetapi sekiranya seseorang itu hanya membaca (بِسْمِ اللَّهِ) sahaja pun sudah cukup memadai baginya, dan dia tetap mendapat fadilat serta kelebihan basmalah tersebut sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Imam al-Nawawi.
Di antara kelebihan membaca basmalah sebelum makan ialah memohon kepada Allah agar memberkati makanan tersebut serta memberi manfaat buat diri kita. Selain itu juga, adalah supaya dijauhi daripada syaitan.
Bagaimana jika terlupa baca doa?
Sekiranya seseorang itu terlupa untuk membaca basmalah sebelum makan dan hanya teringat ketika sedang makan, hendaklah dia membaca :
بِاسْمِ اللَّهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ
Bismillahi awwalahu wal akhir
Maksud: “Dengan nama Allah aku memulakannya dan mengakhirinya.”
Daripada Aisyah RA, baginda SAW menyebut:
إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَذْكُرِ اسْمَ اللَّهِ تَعَالَى، فَإِنْ نَسِيَ أَنْ يَذْكُرَ اسْمَ اللَّهِ تَعَالَى فِي أَوَّلِهِ فَلْيَقُلْ بِسْمِ اللَّهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ
Maksud: “Apabila seseorag daripada kamu ingin makan, maka sebutlah nama Allah Taala. Sekiranya dia lupa menyebut nama Allah pada awalnya (sebelum daripada makan), maka bacalah: Dengan nama Allah, aku memulakannya dan aku mengakhirinya.” – (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 3767. Syeikh Syu’aib al-Arnouth menilai hadis ini sebagai sahih li ghairihi)
Melalui Sahih Ibn Hibban ada disebutkan sebuah riwayat daripada Abdullah bin Mas’ud RA, Baginda SAW bersabda:
من نَسِيَ أَنْ يَذْكُرَ اللَّهَ فِي أَوَّلِ طَعَامِهِ, فَلْيَقُلْ حِينَ يَذْكُرُ: بِسْمِ اللَّهِ فِي أَوَّلِهِ وآخره
Maksud: “Barangsiapa yang terlupa menyebut nama Allah pada awalnya (sebelum makan), maka bacalah ketika dia ingat (bahawa dia belum menyebut nama Allah); “Dengan nama Allah, aku memulakannya dan aku mengakhirinya.” – (Hadis Riwayat Ibnu Hibban, no. 5213)
Adab-adab sebelum, semasa dan selepas makan
Adab makan adalah serangkaian norma dan etika yang harus diikuti sebelum, semasa, dan selepas makan.
Berikut adalah contoh adab makan sebelum, semasa, dan selepas makan:
Sebelum makan:
- Bersuci: Sebelum makan, penting untuk membersihkan diri terlebih dahulu. Contohnya seperti mencuci tangan dengan sabun dan air bersih.
- Membaca doa sebelum makan: Ini adalah ungkapan syukur kepada Tuhan atas rezeki yang diberikan.
Semasa makan:
- Menjaga sikap: Saat makan, penting untuk menjaga sikap yang baik. Duduk dengan tegak, tidak bersandar, dan menghindari berbicara dengan mulut penuh.
- Menggunakan tangan yang betul: Jika menggunakan tangan saat makan, gunakan tangan kanan untuk mengambil makanan. Hindari menggunakan tangan kiri, kecuali jika ada alasan tertentu.
- Mengunyah dengan perlahan: Mengunyah makanan dengan perlahan membantu pencernaan dan memungkinkan anda menikmati makanan dengan lebih baik. Hindari makan terlalu cepat.
- Menghormati makanan: Hargai makanan yang disajikan dengan tidak menghambur-hamburkan makanan atau mengambil lebih dari yang anda mampu makan.
Selepas makan:
- Mengucapkan syukur: Setelah selesai makan, penting untuk mengucapkan “Alhamdulillah” yang berarti “Segala puji bagi Allah.” Ini adalah ungkapan syukur atas rezeki yang telah diberikan.
- Membersihkan tempat makan: Pastikan untuk membersihkan dan merapikan tempat makan setelah selesai makan. Ini termasuk mengambil piring dan peralatan makan ke tempat pencuci piring.
- Mencuci tangan: Setelah makan, jangan lupa mencuci tangan kembali untuk menjaga kebersihan dan kesihatan.
- Menjaga tingkah laku yang baik: Setelah makan, hindari melakukan tindakan yang tidak diizinkan, seperti merokok atau mengambil minuman beralkoho
Diharapkan semoga perkongsian kami mengenai himpunan doa makan ini dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.
Sumber:
- Irsyad Al-Hadith Siri Ke-575: Adakah Doa Sebelum dan Selepas Makan Bersumberkan Hadis Yang Sahih? Mufti Wilayah Persekutuan
- Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-381: Memadaikah Membaca Basmalah Tanpa Al-Rahman Al-Rahim Sebelum Makan? Mufti Wilayah Persekutuan