10 Adab Masuk Tandas (Sebelum, Semasa dan Selepas) Beserta Doa
Setiap hari kita menggunakan tandas untuk mandi dan membuang air kecil atau besar. Mungkin tanpa kita sedar, ada adab masuk tandas yang kita tidak amalkan dan kurang fahami. Artikel pada kali ini, kami akan berkongsi kepada anda adab masuk tandas merangkumi aspek sebelum, semasa, dan selepas keluar dari tandas.
Adab masuk tandas (sebelum)
Berikut adalah adab masuk tandas atau lebih tepatnya perkara-perkara yang kita perlu lakukan sebelum masuk ke dalam tandas.
1. Jaga aurat dengan sebaik mungkin
Maksudnya: “Nabi SAW apabila pergi ke tempat pembuangan air, maka baginda menjauhi.” – (Hadis Riwayat Abu Dawud, An-Nasa’I dan Ibnu Majah)
Dalam hadis lain yang telah diriwayatkan oleh Habib bin Salih, “Apabila Rasulullah SAW memasuki tandas, baginda akan menggunakan kasut dan menutup kepalanya.” – (Hadis Riwayat al-Baihaqi)
2. Baca doa masuk tandas
Doa masuk tandas ini ada dalam hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, dalam sabda Rasulullah SAW. Doa tersebut berbunyi seperti ini:
“Allahumma inni. A ‘uzubika mnal khubusi wal khoba is”
Maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung kepada Mu dari syaitan lelaki dan syaitan perempuan.” – (Hadis Riwayat Bukhari)
Lafaz ta’awwuz adalah antara kalimah yang dianjurkan untuk dibaca sebelum masuk ke dalam tandas. Hal ini berdasarkan kepada hadis daripada Zaid bin Arqam RA:
إِنَّ هَذِهِ الْحُشُوشَ مُحْتَضَرَةٌ ، فَإِذَا أَتَى أَحَدُكُمْ الْخَلَاءَ فَلْيَقُلْ : أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ الْخُبُثِ
Maksudnya: “Sesungguhnya tempat membuang hajat didiami oleh syaitan, jika salah seorang di antara kalian ingin memasuki tandas, maka ucapkanlah: أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ الْخُبُثِ”. – (Hadis Riwayat Abu Daud).
Kalimah ta’awuz dilafazkan adalah bertujuan untuk memohon perlindungan daripada Allah SWT agar terhindar dari segala keburukan dan kejahatan.
3. Masuk ke tandas dengan kaki kiri
Al-Imam an-Nawawi dalam kitab beliau, Syarhu Shahih Muslim dan Al-Imam Ibnu Daqiqil ‘Id serta ada beberapa ulama’ lain lagi yang menyebutkan bahawa masuklah tandas dimulai dengan kaki kiri dan keluarlah tandas dengan kaki kanan berdasarkan hadis yang telah diriwayatkan daripada Aisyah RA:
عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ كَانَتْ يَدُ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْيُمْنَى لِطُهُورِهِ وَطَعَامِهِ وَكَانَتْ يَدُهُ الْيُسْرَى لِخَلاَئِهِ وَمَا كَانَ مِنْ أَذًى
Maksudnya : “Daripada Aisyah RA berkata bahawa tangan kanan Rasulullah SAW dipergunakan dalam bersuci dan makan. Adapun tangan kiri, digunakan untuk membersihkan bekas kotoran dari buang hajat dan perkara-perkara yang najis (najis).” – (Sunan Abu Daud)
4. Tidak menghadap kiblat
إذَا أَتَيْتُمُ الْغَائِطَ فَلَا تَسْتَقْبِلُوا الْقِبْلَةَ وَلَا تَسْتَدْبِرُوهَا وَلَكِنْ شَرِّقُوا أَوْ غَرِّبُوا. رواه البخاري
Maksudnya: “Jika kalian mendatangi tempat pembuangan air (untuk buang air), maka janganlah menghadap kiblat, dan jangan pula membelakanginya ketika kencing. Mahupun berak.” – (Hadis Riwayat Bukhari)
Hadis ini menekankan kepada kedudukan kita saat membuang air. Arah kiblat umat Islam adalah Kaabah. Justeru, kiblat umat Islam tidak sesuai dijadikan sama arah dengan membuang air.
Adab masuk tandas (semasa)
Berikut adalah adab semasa di dalam tandas yang boleh kita ikut dan contohi.
1. Memakai penutup kepala dengan kain
Berdasarkan athar yang sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi Rahimahullah:
رُوِىَ فِى تَغْطِيَةِ الرَّأْسِ عِنْدَ دُخُولِ الْخَلاَءِ عَنْ أَبِى بَكْرٍ الصِّدِّيقِ ، وَهُوَ عَنْهُ صَحِيحٌ
Maksudnya: Diriwayatkan pada perbuatan menutup kepala ketika masuk ke dalam tandas daripada Abu Bakr al-Siddiq dan perkara ini sahih daripada beliau.” – [Sunan al-Kubra, al-Baihaqi (1/96)].
Sungguhpun begitu, perbuatan menutup kepala semasa dalam tandas tidaklah disandarkan kepada mana-mana hadis yang sahih. Namun masih boleh diamalkan kerana ia adalah perbuatan yang baik dilakukan oleh para sahabat.
2. Memakai alas kaki atau selipar
Memakai selipar ketika berada dalam tandas adalah salah satu adab masuk tandas yang ramai orang terlepas pandang. Nampak perkara ini remeh, namun dari segi kebersihan ia mungkin menyelamatkan kita dari ribuan bakteria atau virus.
3. Menggunakan air dengan sebaik mungkin
Berdasarkan firman Allah SWT:
إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا
Maksudnya : “ Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-mara syaitan-syaitan dan adalah syaitan itu sangat mengingkari akan Tuhan Nya” – ( Surah al-Israk, ayat 27 )
Berjimat cermat dalam menggunakan air adalah salah satu cara untuk kita kekal elak dari berlaku pembaziran.
4. Jaga kebersihan tandas
Jadilah individu yang bertanggungjawab dengan menjaga kebersihan sebelum dan selepas menggunakan tandas. Hal ini penting bagi memastikan orang lain yang mahu menggunakan tandas tersebut berasa selesa.
Adab keluar tandas
Berikut adalah adab keluar tandas atau lebih tepatnya perkara-perkara yang kita perlu lakukan selepas selesai urusan dalam tandas.
1. Keluar dari tandas dengan kaki kanan
Hadis berkenaan dengan keluar tandas dengan mendahului kaki kanan boleh dirujuk dari hadis di bawah:
Maksudnya : “Daripada Aisyah RA berkata, Rasulullah S.A.W sangat menyukai mendahulukan yang kanan ketika memakai sandal, ketika menyisir rambut dan ketika bersuci, juga dalam setiap perkara yang baik-baik.” – (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hal ini jelas, bahawa perbuatan yang baik Rasulullah SAW akan sentiasa mendahulukan dengan anggota kanan. Sedangkan Rasulullah SAW akan mendahulukan dengan anggota kiri apabila melakukan perbuatan yang melibatkan kekotoran.
2. Baca doa keluar tandas
Doa keluar tandas adalah seperti yang berikut:
“Ghuf ronaka. Alhamdulillahillazi azhaba a’nni aza wa ‘afani”
Maksudnya : “Aku memohon keampunan Mu (Ya Allah), Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan dariku sesuatu yang menyakiti dan menyihatkan aku.”
Semoga dengan perkongsian mengenai adab masuk tandas ini dapat memberikan anda ilmu pengetahuan yang bermanfaat dan dijadikan amalan setiap masa demi kebersihan diri dan sekeliling.
Sumber:
- Irsyad Al-Hadith Siri Ke-75: Doa Masuk Tandas Serta Feqahnya. Mufti Wilayah Persekutuan
- Ikuti Sunnah Rasulullah Ketika Masuk Ke Tandas. TZKRH
- Adab Memasuki Tndas. Mufti Negeri Perlis