Gabung Niat Puasa Ganti dan Sunat:Hukum dan Lafaz Niat

Gabung niat puasa ganti dan sunat sering menjadi persoalan dalam kalangan umat Islam, khususnya bagi mereka yang ingin menggantikan puasa Ramadan sambil mengejar kelebihan pahala puasa sunat.

Situasi ini biasanya timbul apabila seseorang berhasrat berpuasa pada hari-hari tertentu seperti Isnin dan Khamis, Arafah atau enam hari Syawal.

Oleh itu, penting untuk memahami hukum gabung niat puasa ganti dan sunat menurut pandangan ulama, termasuk penjelasan berkaitan lafaz niat yang betul agar ibadah puasa yang dilakukan sah dan diterima.

Apakah itu Puasa Ganti

Puasa ganti atau qada puasa bermaksud mengantikan puasa yang ditinggalkan pada bulan Ramadhan.

Bagi lelaki atau perempuan yang mukallaf adalah diwajibkan bagi mereka untuk mengantikan puasa sama ada dengan keuzuran atau tanpa keuzuran.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 184:


أَيَّاماً مَّعْدُودَاتٍ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضاً أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ فَمَن تَطَوَّعَ خَيْراً فَهُوَ خَيْرٌ لَّهُ وَأَن تَصُومُواْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu maka sesiapa diantara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain…

Bagi yang telah meninggalkan puasa tetapi tidak terdaya untuk mengantikannya semula, maka mereka wajib untuk membayar fidyah. Ini dinyatakan:

….dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tuanya dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin (secupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasa) maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang di tentukan itu maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah) kalau kamu mengetahui ”.

Siapakah yang Wajib Mengantikan Puasa Ramadhan?

Berikut adalah golongan yang diwajibkan untuk mengantikan puasa Ramadhan:

  • Orang yang sengaja meninggalkan puasa tanpa sebab
  • Orang sakit yang ada harapan sembuh.
  • Orang yang bermusafir (bukan kerana maksiat) melebihi dua marhalah.
  • Orang yang kedatangan haid dan nifas.
  • Perempuan yang menyusukan anak dan bimbang keselamatan dirinya jika berpuasa Ramadan.
  • Orang yang sengaja melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa.
  • Orang yang pitam / mabuk sewaktu bulan Ramadhan.
  • Orang yang sangat lapar dan dahaga yang tidak membolehkannya berpuasa pada bulan Ramadan.

Waktu yang Dibenarkan Puasa Ganti

Seseorang itu bebas boleh mengantikan puasa ganti pada bila-bila masa sahaja sepanjang tahun selepas bulan Ramadhan sehinggalah pada sampai bulan Ramadhan tahun berikutnya.

Namun begitu, kita tidak boleh untuk mengantikan puasa ganti pada hari-hari yang diharamkan untuk berpuasa.

Contohnya seperti hari syak, Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha, dan hari tasyrik (11,12 & 13 Zulhijjah).

Bagi memudahkan pemahaman, berikut ialah jadual ringkas hari-hari yang tidak dibenarkan untuk berpuasa ganti.

Hari Haram Puasa GantiTarikh (Kalender Hijri)Sebab Diharamkan
Hari Raya Aidilfitri1 SyawalHari perayaan, kegembiraan, makan dan minum
Hari Raya Aidiladha10 ZulhijjahHari perayaan, kegembiraan, makan dan minum
Hari Tasyrik11, 12, 13 ZulhijjahSambungan Aidiladha, makan daging korban, kegembiraan
Hari Syak30 SyaabanKeraguan masuk Ramadan, elak tersalah niat Ramadan
Hari Jumaat (bersendirian)Setiap JumaatMakruh, elak menyerupai ibadah agama lain
Bulan RamadanBulan RamadanBulan puasa wajib, fokus pada puasa Ramadan

Hukum Gabung Niat Puasa Ganti dan Sunat

Dalam persoalan gabung niat puasa ganti dan sunat ini berlaku dua khilaf di kalangan ulama. Terdapat dua pandangan yang boleh kita fahami iaitu:

  • Pandangan pertama: jumhur ulama mengatakan kita kena puasa ganti ramadan terlebih dahulu, kemudian selepas itu barulah dibuat Puasa Sunat Enam. (pendapat ini lebih afdal).
  • Pandangan kedua: sebahagian kecil fuqaha berpandangan bahawa kita boleh melakukan puasa ganti sekaligus dengan Puasa Sunat Enam Syawal. Kita akan dapat dua-dua pahala (qadha dan sunat).

Justeru itu, terpulanglah kepada anda untuk mengambil pendapat pertama atau kedua.

Pada pandagan Mufti Wilayah Persekutuan pula, boleh untuk menggabungkan niat puasa qadha’ dengan puasa sunat, serta dia memperoleh ganjaran pahala kedua-duanya.

Lebih-lebih lagi, bagi mereka yang waktunya sempit dan khuatir terlepas daripada mendapat ganjaran pahala sunat yang khusus seperti puasa hari ‘Arafah, hari ‘Asyura’ dan seumpamanya.

Akan tetapi orang yang berpuasa dengan bentuk seperti ini tidak memperoleh ganjaran yang sempurna. Dalam kata lain, berpuasa secara berasingan juga akan menambahkan lagi ganjarannya.

gabung niat puasa ganti dan sunat
Kredit: Mufti Selangor
Kredit: JAKIM

Lafaz Niat Puasa Ganti

Berikut adalah lafaz niat puasa ganti dalam lafaz Bahasa Arab, rumi dan terjemahannya:

  Nawaitu shouma ghodin ‘an qodoo’in fardho romadoona lillahi ta’ala 

Maksudnya: Sahaja aku niat puasa esok hari kerana mengganti fardu ramadhan kerana Allah Taala.

Lafaz Gabung Niat Puasa Ganti dan Sunat Enam Syawal

Berikut adalah lafaz gabung niat puasa ganti dan sunat enam syawal dalam lafaz Bahasa Arab, rumi dan terjemahannya:

Nawaitu sauma ghodin ‘an qodho’ie romadhona ma’a sittati syawwaaLi lillahi taala  

Maksudnya: Sahaja aku berniat puasa esok hari qadha fardhu Ramadhan bersama puasa sunat enam hari bulan Syawal kerana Allah Taala.

Lafaz Gabung Niat Puasa Ganti dan Sunat yang Lain

Niat mengabungkan puasa ganti dan sunat yang lain boleh dilafazkan dalam rumi sahaja dan hukumnya adalah harus.

Contohnya seperti:

Sahaja aku berniat puasa esok hari qadha fardhu Ramadan bersama puasa sunat hari isnin kerana Allah Taala.

Atau boleh juga seperti:

Sahaja aku berniat puasa esok hari qadha fardhu Ramadan bersama puasa sunat hari putih kerana Allah Taala.

Cara Melaksanakan Puasa Ganti

Syarat niat puasa ganti adalah sama dengan puasa wajib iaitu berniat di malam hari, sebelum terbut fajar keesokan harinya.

Sedangkan untuk pelaksanaan puasa adalah sama seperti ibadah puasa yang lain. Yang berbeza hanya lafaz niat puasa ganti itu sahaja sama ada dilakukan secara berasingan dengan puasa sunat atau disatukan sekaligus.

Tips Konsisten Puasa Ganti

Puasa ganti merupakan tanggungjawab yang perlu diselesaikan oleh setiap Muslim yang mempunyai hutang puasa Ramadan.

Namun, ramai yang berdepan kesukaran untuk konsisten melaksanakannya. Oleh itu, beberapa tips berikut boleh membantu agar puasa ganti dapat ditunaikan dengan lebih teratur dan berterusan.

1. Sediakan jadual puasa ganti

Membuat jadual puasa ganti adalah langkah paling berkesan untuk kekal konsisten. Senaraikan jumlah puasa yang tertunggak dan tentukan hari-hari tertentu untuk berpuasa.

Dengan adanya jadual yang jelas, kita lebih mudah berdisiplin dan tidak menangguhkan puasa ganti tanpa sebab.

2. Selesaikan puasa ganti secepat mungkin

Puasa ganti sebaiknya dilakukan seawal mungkin dan tidak ditangguhkan terlalu lama. Semakin lama ia ditunda, semakin sukar untuk mengekalkan momentum dan mengingati jumlah puasa yang masih berbaki.

Menyegerakan puasa ganti juga menunjukkan kesungguhan dalam melaksanakan kewajipan agama.

3. Pertimbangkan fidyah jika tidak mampu

Bagi individu yang benar-benar tidak mampu menunaikan puasa ganti disebabkan faktor tertentu seperti sakit kronik atau uzur berpanjangan, pembayaran fidyah boleh menjadi alternatif.

Fidyah dibayar mengikut kadar yang ditetapkan dan dapat meringankan beban mereka yang tidak berupaya berpuasa.

4. Jaga kesihatan tubuh badan

Kesihatan yang baik sangat membantu dalam memastikan puasa ganti dapat dilaksanakan dengan lancar.

Amalkan pemakanan seimbang, minum air yang mencukupi dan dapatkan rehat yang cukup. Tubuh badan yang sihat akan memudahkan seseorang untuk berpuasa tanpa rasa terlalu letih atau lemah.

Soalan Lazim Berkaitan Gabung Niat Puasa Ganti dan Sunat

1. Bolehkah menyatukan puasa qadha dengan puasa sunat?

Ya, boleh menyatukan puasa qadha dengan puasa sunat, namun hukumnya bergantung kepada sebab seseorang meninggalkan puasa Ramadan.

Jika puasa Ramadan ditinggalkan kerana uzur syar‘ie, maka dibenarkan untuk menyatukan niat puasa qadha dengan puasa sunat seperti puasa Isnin Khamis, Arafah, Asyura atau enam hari Syawal.

Namun, jika puasa ditinggalkan tanpa uzur syar‘ie, maka wajib mengqadha puasa terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang puasa sunat.

2. Apakah kelebihan puasa enam hari di bulan Syawal?

Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka dia akan mendapat pahala seolah-olah berpuasa sepanjang tahun. Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Ayyub al-Ansari RA dalam Sahih Muslim.

3. Jika ada hutang puasa Ramadan, bolehkah niat puasa enam Syawal digabungkan dengan puasa qadha?

Boleh, sekiranya puasa Ramadan ditinggalkan kerana uzur syar‘ie seperti haid, nifas, sakit atau musafir.

Dalam keadaan ini, seseorang dibenarkan menyatukan niat puasa qadha dengan puasa enam Syawal. Namun, ganjaran pahalanya tidak sama seperti orang yang berpuasa Ramadan penuh dan kemudian berpuasa enam hari Syawal secara berasingan.

4. Bagaimana pula jika puasa Ramadan ditinggalkan dengan sengaja?

Jika seseorang meninggalkan puasa Ramadan tanpa uzur syar‘ie, maka haram baginya melakukan puasa sunat, termasuk puasa enam Syawal, selagi belum selesai mengqadha puasa yang ditinggalkan tersebut. Dalam keadaan ini, tidak dibenarkan menyatukan niat puasa qadha dengan puasa sunat.

5. Adakah pahala diperoleh jika menyatukan niat puasa qadha dan sunat?

Menurut Syeikh Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah, jika seseorang berniat kedua-duanya sekali, iaitu puasa wajib dan puasa sunat, maka dia akan memperoleh ganjaran pahala bagi kedua-duanya. Namun jika hanya berniat salah satu, maka hanya pahala puasa yang diniatkan sahaja diperoleh.

6. Bagaimanakah lafaz niat puasa qadha yang digabungkan dengan puasa sunat?

Contoh lafaz niat bagi orang yang mengqadha puasa Ramadan kerana uzur syar‘ie dan ingin menggabungkannya dengan puasa sunat ialah:

“Sahaja aku berniat puasa esok hari qadha fardhu Ramadan bersama puasa sunat enam hari bulan Syawal kerana Allah Ta‘ala.”

Dengan niat ini, seseorang akan mendapat pahala puasa qadha dan pahala puasa sunat.

7. Bolehkah ganti puasa pada hari Isnin atau Khamis?

Ya, boleh dan sangat digalakkan. Puasa Isnin dan Khamis merupakan puasa sunat yang utama. Dengan menyatukan niat, seseorang boleh memperoleh pahala puasa qadha dan pahala puasa sunat Isnin atau Khamis.

8. Jika hutang puasa masih banyak dan Ramadan hampir tiba, apa yang perlu dilakukan?

Yang penting ialah berusaha dan merancang jadual puasa ganti sebaik mungkin. Jika tidak sempat menggantikan semuanya sebelum Ramadan seterusnya, teruskan menggantinya selepas Ramadan. Islam menilai usaha dan keikhlasan seseorang, bukan semata-mata hasilnya.

9. Jika terlupa dan berpuasa ganti pada hari yang diharamkan, adakah puasa batal?

Puasa tersebut sah, namun seseorang itu berdosa kerana melanggar larangan. Jika tersedar ketika sedang berpuasa, disunatkan untuk segera berbuka, kemudian bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah SWT.

Baca juga:

Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.