Niat Mandi Wajib Dalam Rumi Berserta Makna Yang Betul Untuk Lelaki & Perempuan

Sebelum ini kita ada membincangkan berkenaan dengan perihal lengkap mandi wajib dan tatacaranya untuk dijadikan panduan kepada semua. Pada kali ini, artikel akan berkongsi pula berkenaan dengan beberapa jenis niat mandi wajib yang boleh kita praktikkan sebelum memulakan mandi wajib.

Jangan pandang remeh soal mandi wajib

Berkongsi dalam satu hantaran posting di media sosial Ustazah Asma’ Harun, seorang pendakwah terkenal mengulas lanjut mengenai ibadah yang tidak sah oleh kerana sesetengahnya yang memandang remeh soal mandi wajib. Dia menerima beberapa soalan “basic” mengenai mandi wajib seperti:

  • Apakah tatacara mandi wajib yang betul?
  • Bagaimana jika ada anggota badan yang tidak terkena air seperti celah pelipat, sebahagian rambut, kulit kepala, dan lain-lain?

Kesan daripada mandi wajib yang tidak sempurna akan menyebabkan ia tidah sah. Sekaligus membuatkan segala ibadah yang kita lakukan selama ini juga tidak sah kerana diri masih berhadas besar.

Khususnya bagi remaja yang sudah baligh, mereka wajib diajarkan mengenai cara mandi wajib yang betul kerana ia adalah fardhu ain yang perlu dipelajari.

Jenis-jenis niat mandi wajib

Umumnya kita biasa mendengar mandi wajib bagi wanita sahaja iaitu selepas kedatangan haid untuk mensucikan diri mereka kembali boleh melaksanakan ibadah seperti biasa.

Namun sebenarnya, mandi ini terbahagi kepada beberapa jenis iaitu:

Niat mandi selepas haid

Niat ini khusus bagi kaum wanita yang mahu mengangkat hadas besar haid. Mandi wajib tidak sah sekiranya niat ini dibaca bagi hadas besar selain haid.

Nawaitul ghusla ‘anil haidhi lillahi Ta’ala

Artinya: “Sahaja aku mengangkat hadas haid kerana Allah Ta’ala.”

Niat mandi kerana junub

Niat ini khusus bagi kaum wanita yang mahu mengangkat hadas besar junub. Mandi wajib tidak sah sekiranya niat ini dibaca bagi hadas besar selain junub.

 Nawaitul ghusla ‘anil janabati lillahi ta’ala 

Maksudnya: “Sahaja aku mandi junub kerana Allah Ta’ala.”

Niat mandi kerana nifas

Niat ini khusus bagi kaum wanita yang mahu mengangkat hadas besar nifas. Mandi wajib tidak sah sekiranya niat ini dibaca bagi hadas besar selain nifas.

Nawaitul ghusla ‘anin nafasi lillahi Taala 

Maksudnya: “Sahaja aku mengangkat hadas nifas kerana Allah Ta’ala”

Niat mandi wajib kerana keluar mani, haid, dan nifas (umum)

Niat mandi wajib (umum) ini boleh dibaca sekiranya kita ingin mengangkat beberapa hadas besar serentak. Biasanya ini berlaku bagi kaum perempuan yang kedatangan haid dan nifas dalam masa yang sama.

Nawaitu raf ‘al hadatsil akbari lillahi ta’ala

Maksudnya: “Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Ta’ala.”

Menurut ulama Fekah, sekiranya seseorang itu mengalami dua hadas besar atau lebih, hukumnya adalah sah jika dia mengangkat kesemua hadas tersebut sekaligus dengan satu mandi sahaja.

Adab-adab mandi wajib

Imam Ghazali menjelaskan dalam kitab Bidayatul Hidayah secara terperinci mengenai adab mandi wajib, antaranya:

  1. Sewaktu masuk ke bilik mandi ambil air terlebih dahulu, basuh kedua tangan sebanyak tiga kali.
  2. Bersihkan segala kotoran atau najis yang masih melekat di badan.
  3. Berwuduk.
  4.  Ratakan air di kepala sebanyak tiga kali disertai dengan niat.
  5. Ratakan air ke bahagian badan sebelah kanan tiga kali, kemudian bahagian badan sebelah kiri tiga kali.
  6. Gosokkan bahagian depan dan belakang badan tiga kali.
  7. Selakan jari di celah rambut dan janggut (sekiranya ada). Pastikan air mengalir ke setiap lipatan kulit dan pangkal rambut.

Kesimpulannya, janganlah kita mengambil mudah dan memandang remeh mengenai bersuci. Hal ini kerana, bimbang dan dikhuatiri ianya boleh menjejaskan ibadah yang kita lakukan dalam tempoh jangka masa yang panjang. Baik-baik hendak kumpul pahala dengan bersolat dan membaca Al-Quran, tiba-tiba yang kita dapat hanyalah dosa demi dosa yang tidak kita perasan setiap hari.

Semoga panduan ini berguna untuk membantu anda memperoleh ibadah yang sah dan diterima oleh Allah SWT.

Sumber:

  1. Niat Mandi Wajib (Mandi Hadas /Junub) Dalam Rumi. Ringkas & Mudah Hafal. Sirap Limau
  2. Rupanya Sudah 15 Tahun Ibadah Tidak Sah Gara-Gara Tidak Sempurna Mandi Wajib. Sinar Islam Plus
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.