Takbir Raya Aidilfitri & Aidiladha (Dalam Teks Rumi & Arab Berserta Maksud)

Menjelang hari raya Aidilfitri dan hari raya Aidiladha selain umat Islam digalakkan untuk solat sunat hari raya, kita juga sangat disarankan untuk melafazkan takbir hari raya aidilfitri bersama-sama. Takbir boleh berkumandang dari rumah-rumah, dan masjid-masjid.

Mengapa perlu bertakbir?

Takbir raya aidilfitri dan aidiladha adalah cara untuk kita mengagungkan dan membesarkan Allah SWT sebagai tanda kesyukuran kepada Nya setelah berjaya menunaikan ibadah berpuasa sebulan lamanya dalam bulan Ramadhan dan ibadah korban pada bulan Zulhijjah. Hukumnya adalah sunat berdasarkan firman Allah SWT:

وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: “Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan mudah-mudahan kamu bersyukur. – (Surah Al-Baqarah, ayat 185)

Jenis-jenis takbir raya

Para ulama mengkategorikan jenis takbir kepada dua jenis iaitu takbir mursal dan takbir muqayyad.

Takbir MursalTakbir Muqayyad
Takbir Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya AidiladhaTakbir Hari Raya Aidiladha
Juga digelar Takbir Mutlak kerana boleh dilaksanakan tanpa terikat pada waktu solatTakbir ini terikat kepada pelaksanaan solat-solat maktubah (solat fardhu lima waktu)
Dilafazkan apabila tenggelam matahari pada malam Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha sehingga takbiratulihram Solat Hari Raya (disunatkan bertakbir sepanjang masa)Takbir Muqayyad ini disunatkan untuk dilafazkan selepas setiap kali solat fardhu apabila masuk waktu bertakbir Hari Raya Aidiladha. Ianya hendaklah dilakukan secara jahar (bacaan nyaring)
Ulama menyatakan bahawa Takbir Mursal lebih ditekankan perlaksanaannya pada Hari Raya Aidilfitri berbanding Hari Raya AidiladhaTakbir ini hanya dilaksanakan pada Hari Raya Aidiladha serta tidak disunatkan pada malam Hari Raya Aidilfitri (kecuali Takbir Mursal)

Waktu untuk takbir raya Aidilfitri dan Aidiladha

Waktu bertakbir bagi kedua-dua hari raya terdapat berbezaannya. Bagi hari raya Aidilfitri, ia dilaksanakan selepas terbenam matahari pada malam raya, iaitu masuk waktu Maghrib 1 Syawal sehinggalah takbiratulihram bagi solat Hari Raya Aidilfitri pada keesokan paginya.

Manakala untuk hari raya Aidiladha pula mempunyai 3 tempoh masa iaitu:

  • Mulai waktu Subuh Hari Arafah dan berterusan sehingga tamat waktu Asar pada Hari Tasyriq yang ketiga.
  • Disunatkan bagi orang yang tidak pergi menunaikan Haji, apabila masuk waktu Subuh 9 Zulhijjah, bertakbir setiap kali selesai menunaikan solat fardhu sehinggalah waktu Asar 13 Zulhijjah. (menjadikan waktu bertakbir tersebut 5 hari 4 malam).
  • Bagi yang menunaikan Haji, disunatkan bertakbir mulai gelincir matahari, iaitu masuk waktu Zuhur Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijjah) sehingga terbit fajar sadiq (masuk waktu Subuh 13 Zulhijjah). Tetapi jika mereka telah selesai bertahallul yang kedua, maka mereka boleh bertakbir sehingga waktu Asar, sama seperti orang lain.

Lafaz takbir raya Aidilfitri dan Aidiladha

Antara lafaz masyhur untuk bertakbir adalah berdasarkan lafaz yang warid daripada Rasululllah SWT antaranya yang ditulis dalam kitab Sunan al-Kubra oleh al-Baihaqi (no.6280):

اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ اللهُ أَكْبَرُ وَأَجَلُّ اللهُ أَكْبَرُ عَلَى مَا هَدَانَا

Selain itu, Imam An-Nawawi turut menyebut dalam kitabnya al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab (2/81) lafaz yang berikut:

اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ

Maksudnya: “Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Tidak ada sembahan yang benar melainkan Allah, dan Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan untuk Allah segala pujian.”

Selepas itu, disunatkan juga untuk menambah lafaz yang berikut:

اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَلَا نَعْبُدُ إلَّا إيَّاهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ [ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ ] وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ [ اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ]

Maksudnya: “Allah Maha Besar dengan sebenar-benar Kebesaran-Nya, dan pujian bagi Allah sebanyaknya. Maha suci Allah di waktu pagi dan petang. Tiada Tuhan melainkan Allah dan tidaklah kami menyembah melainkan-Nya dengan tulus ikhlas menuruti Agama-Nya, sekalipun dibenci oleh orang kafir. Tiada Tuhan melainkan Allah sahaja. Dia membenarkan janjinya, membantu hambanya dan memuliakan tenteranya serta mengalahkan pakatan tentera Ahzab secara bersendirian. Tiada Tuhan melainkan Allah. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan bagi Allah segala pujian”

Bacaan rumi takbir raya

Allahu Akbar, Allahu Akbar ,Allahu Akbar, La illaha il Allah , Allahu Akbar, Allahu Akbar walilahil Hamd , (3 kali)

Allahu Akbaru Kabeera wal-Hamdulilahi katheera wa Subhan allahi bukratan wa aseila .

La illaha il Allah sadaqa wa’dah ,wa nasara abda, wa a’azza jundahu wa hazamal-ahzaaba wahdah ,

La illaha il Allah ,wa laa na’budu illa iyyah, mukhlessena lahud-deena ,walaw karehal-Kafeeroon.

La illaha il Allahu wallahu Akbar, Allahu Akbar walillahil Hamd

Maksud terjemahan takbir

Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar Allah Maha Besar dan bagi Allah segala puji-pujian Dan Subhanallah (Maha Suci Allah) pagi dan petang Tidak ada Tuhan melainkan Allah, Kami tidak menyembah kecuali kepada-Nya, 

Dengan ikhlas untuk Agama (Islam), Walaupun dibenci oleh golongan kafir Tidak ada Tuhan melainkan Allah yang Esa, Yang benar janji-Nya, Dan yang menolong hamba-Nya, Dan yang memuliakan tentera-tentera-Nya (tentera Muslimin), Dengan mengalahkan tentera Ahzab dengan keesaan-Nya Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan bagi Allah segala puji-pujian

Diharapkan perkongsian mengenai takbir raya ini dapat memberikan anda semua ilmu pengetahuan yang bermanfaat dalam meraikan hari kemenangan bagi umat Islam. Sambutlah hari raya ini dengan rasa syukur dan penuh kemuliaan.

Sumber:

  1. Irsyad Al-Fatwa Haji dan Korban Siri Ke-20: Kaifiat dan Waktu Takbir Hari Raya Aidiladha. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Al-Kafi #1805: Bolehkah Takbir Raya Selain Daripada Hari Raya Dan Benarkah Mayat Menangis Apabila Mendengar Takbir Raya Selain Daripada Hari Raya. Mufti Wilayah Persekutuan
  3. #1063 Waktu Bermulanya Takbir Muqayyad bagi Hari Raya Korban. Maktabah Al Bakri
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.