7 Perkara Yang Membatalkan Puasa Ramadhan
Berpuasa tanpa memahami apakah perkara yang membatalkan puasa ibaratnya seperti melakukan amal kebaikan tetapi tidak sedar akan syarat ia diterima. Sayang sekali kita sudah penat-penat berpuasa 30 hari tetapi akhirnya ibadah puasa tidak diterima kerana ada perkara yang membatalkan puasa kita lakukan.
Perkara yang membatalkan puasa
Berikut adalah perkara yang membatalkan puasa seseorang di bulan Ramadhan khususnya. Larangan ini juga terpakai untuk apa jua puasa sunat yang digalakkan dalam Islam.
1. Makan dan minum
Allah SWT berfiman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 187:
“Dan makan serta minumlah sehingga terang bagimu benang putih dan benang hitam, iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga (datangnya) malam.”
Mereka yang makan dan minum walaupun sedikit atau mempunyai sisa makanan di celahan gigi atau mulut dengan sengaja dikira batal puasanya.
Rasulullah SAW ada bersabda:
“Jika seseorang itu terlupa sehingga dia makan dan minum, hendaklah dia menyempurnakan puasanya, kerana sesungguhnya Allah yang memberinya makan dan minum.” – (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/135) dan Muslim (1155))
2. Sampainya ain kepada rongga tengah badan melalui laluan yang terbuka
Ain yang dimaksudkan di sini adalah zat. Perbuatan memasukkan sesuatu walaupun sedikit dalam rongga yang terbuka adalah dilarang. Namun begitu, sesuatu yang meninggalkan kesan seperti bauan, rasa panas atau sejuk, atau sebagainya tidak dikira sebagai ain.
Antara saluran terbuka yang dimaksudkan adalah seperti tengkuk, dalam telinga, dalam hidung, qubul, saluran susu, dan dubur.
3. Sengaja muntah
Muntah yang boleh menyebabkan puasa terbatal adalah mengeluarkan muntah dengan sengaja. Ia seperti memasukkan jari ke dalam mulut sehingga muntah dengan sengaja.
Jika tidak mengeluarkannya dalam keadaan dia mampu, maka puasanya dikira masih sah.
Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang terpaksa muntah, maka tidak wajib baginya untuk mengqadha puasanya, dan barangsiapa muntah dengan sengaja, maka wajib baginya mengqadhakan puasanya.” – (Hadis Riwayat Abu Dawud (3/310), at-Tirmidzi (3/79), Ibnu Majah (1/536) Ahmad (2/498)
4. Persetubuhan
Kisah seorang lelaki bersetubuh dengan isterinya di siang hari ketika berpuasa ada diceritakan dalam hadis Rasulullah SAW.
Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW katanya; Celaka aku, wahai Rasulullah. Nabi SAW berkata; Apakah yang mencelakakan engkau? Jawab lelaki itu: Aku telah bersetubuh dengan isteriku pada waktu siang di bulan Ramadhan.
Rasullah SAW berkata: Sanggupkah engkau memerdekakan hamba? Jawab lelaki itu: Tidak sanggup. Rasulullah SAW berkata: Hendaklah engkau berpuasa dua bulan berturut-turut? Jawab lelaki itu tidak mampu.
Kata Rasulullah SAW: Adakah engkau mempunyai makanan untuk diberikan kepada enam puluh orang miskin? Jawab lelaki itu: Tidak. Kemudian lelaki itu duduk, sekejap lepas itu datang seseorang kepada Nabi SAW dengan memberi satu bakul besar berisi tamar.
Lalu Rasulullah SAW bersabda: Sedekahkanlah kurma ini, kata lelaki itu: Kepada siapakah? Kepada yang lebih miskin daripada aku? Demi Allah tidak ada penduduk kampung ini yang lebih berhajat kepada makanan selain dari kami seisi rumah. Nabi SAW tertawa sehingga terlihat gigi taringnya dan berkata: Pulanglah, berikanlah kurma itu kepada ahli rumahmu.” – (Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)
Berjimak atau melakukan persetubuhan walaupun tidak mengeluarkan air mani adalah dilarang sama sekali.
5. Onani
Onani atau melancap ia adalah termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa. Aktiviti mengeluarkan mani dengan apa cara sekalipun sama ada memadang, berfikir, cium, sentuh, atau sebagainya dengan sengaja ia dikira batal.
Sebaliknya keluar mani kerana bermimpi tidak membatalkan puasa tersebut.
6. Datang darah haid atau nifas
Setiap bulan, kaum wanita akan mengalami haid atau bagi ibu yang sudah melahirkan ia mengeluarkan darah nifas. Kedua-duanya ini menandakan yang wanita tersebut tidak suci untuk melakukan ibadah puasa.
Namun begitu, solat baginya tidak perlu diqada tetapi wajib baginya untuk mengqada puasa mengikut bilangan hari yang telah ditinggalkan.
Allah SWT ada berfirman yang bermaksud: Dari Aisyah RA katanya: Kami disuruh oleh Rasulullah SAW mengqada puasa dan tidak disuruhnya untuk mengqada’ sembahyang.” – (Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari)
7. Gila dan murtad
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat, 217 maksudnya:
“Dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan akhirat.”
Sesiapa yang dalam keadaan tidak siuman atau gila mahupun murtad atau terkeluar dari Islam, maka gugurlah perintah berpuasa kepadanya. Hal ini kerana, orang gila tidak diwajibkan untuk berpuasa.
Diharapkan perkongsian mengenai perkara yang membatalkan puasa ini dapat memberikan anda semua informasi yang berguna dan bermanfaat untuk dijadikan panduan dalam menjalani ibadah puasa Ramadhan.
Sumber:
- Al-Fiqh Al-Manhaji Mazhab Al-Syafie, Jilid 1
- Al-Kafi #395: Perkara-Perkara Yang Membatalkan Puasa. Mufti Wilayah Persekutuan