Cara Solat Sunat Aidilfitri Berjemaah Di Rumah Atau Bersendirian & Amalan Yang Digalakkan

Setalah melalui sebulan puasa Ramadan, kita akan menyambut pula hari kemenangan di bulan Syawal iaitu Hari Raya Aidilfitri. Artikel kali ini kita akan berkongsi mengenai panduan dan tatacara lengkap bagaimana untuk solat sunat aidilfitri secara berjemaah ataupun berseorangan di rumah.

Dalil mengenai pensyariatan solat sunat aidilfitri

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Said al-Khudri RA, katanya,

“Bahawa Rasulullah SAW keluar pada Hari Raya Korban (Aidiladha) dan Hari Raya Puasa (Aidilfitri), Baginda memulai dengan solat. Setelah selesai solat dan memberi salam, Baginda berdiri menghadap orang ramai yang masih duduk di tempat solat mereka masing-masing.

ika Baginda mempunyai hajat yang ingin disampaikan, Baginda tuturkannya kepada orang ramai ataupun ada keperluan lain, maka Baginda akan memerintahkan mereka mengerjakannya.

Baginda selalu bersabda: ‘Bersedekahlah! Bersedekahlah! Bersedekahlah!

Baginda merupakan orang yang paling banyak bersedekah kepada kaum wanita. Kemudian Baginda beredar pulang.” – (Hadis Riwayat Muslim dan Sahih Muslim)

Hukum melaksanakan solat ini

Hukum bagi solat sunat hari raya adalah sunat muakkad iaitu sunat yang sangat dituntut dalam Islam. Hal ini disebabkan, Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya semenjak ia disyariatkan sehinggalah baginda meninggal dunia.

Waktu solat aidilfitri

Solat ini dilakukan pada 1 Syawal diantara waktu terbit matahari sehinggalah sebelum matahari tergelincir (waktu zuhur).

Selalunya di Malaysia, kita melaksanakan solat hari raya pada pukul 8.30 pagi atau 9.00 pagi.

Sebab perlu solat aidilfitri?

Alasan mengapa kita perlu solat aidilfitri adalah kerana:

  • untuk menunjukkan rasa syukur kepada Allah SWT setelah sebulan berpuasa.
  • untuk menggandakan pahala walaupun setelah habis puasa.
  • untuk memuji Allah SWT di atas kemenangan yang dikecapi.
  • mempereratkan pertalian silaturrahim di antara sesama Muslim.

Cara melaksanakan solat sunat aidilfitri

Untuk mendirikan solat sunat aidilfitri ia boleh dilakukan secara bersendirian ataupun berjemaah. Secara umumnya, cara solat sunat aidilfitri sama sahaja seperti solat yang lain. Namun ia mempunyai perbezaan dari segi niat dan pertambahan takbir dan tasbih dalam setiap rakaat.

Lafaz niat bersendirian

Usolli sunnatan ‘idilfitri rak’ataini sdaan lillahi Taala 

Maksudnya: “Sahaja aku sembahyang sunat Aidilfitri dua rakaat tunai kerana Allah Taala.”

Lafaz niat berjemaah (menjadi imam)

Usolli sunnatan ‘idilfitri rak’ataini imaman lillahi Taala 

Maksudnya: “Sahaja aku sembahyang sunat Aidilfitri dua rakaat sebagai imam kerana Allah Taala.”

Lafaz niat berjemaah (menjadi makmum)

Usolli sunnatan ‘idilfitri rak’ataini makmuman lillahi Taala 

Maksudnya: “Sahaja aku sembahyang sunat Aidilfitri dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala.

Rakaat pertama

1. Solat dimulakan dengan takbiratul ihram. Semasa mengangkat takbir, baca niat solat seperti di atas di dalam hati.

2. Kemudian, baca doa iftitah.

3. Selesai bacaan iftitah, lakukan pula takbir sebanyak 7 kali yang diselang-seli dengan bacaan tasbih. ( takbir 7 kali + tasbih 6 kali).

Bacaan tasbih seperti di bawah:

 Subhanallah walhamdulillah wala ilaaha illallahu wallahu akbar walaa haulawala quwwata illa billahil ‘aliyyil ‘adzim 

Maksudnya: “Maha Suci Allah, segala pujian bagi Allah, tiada Tuhan melainkan Allah, Allah Maha Besar, dan tiada daya dan upaya serta kekuatan (bagi kita) melainkan dengan kekuasaan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung.”

4. Membaca Al-Fatihah.

5. Baca surah-surah lazim.

6. Kemudian, rukuk dan sujud seperti biasa sehingga selesai rakaat pertama.

Rakaat kedua

7. Dimulai dengan lafaz takbir intiqalat.

8. Bertakbir sebanyak 5 kali yang selangi dengan bacaan tasbih.

9. Membaca Al-Fatihah.

10. Baca surah-surah lazim.

11. Rukuk dan sujud seperti biasa.

12. Kemudian, baca tahiyat akhir.

13. Memberi salam.

Amalan yang digalakkan untuk menyambut aidilfitri

Selain solat sunat, antara amalan lain yang boleh dilakukan adalah seperti:

  • Mandi sunat pagi raya.
  • Menjamah makanan sebelum pergi solat raya.
  • Berpakaian cantik atau baru ketika hari raya.
  • Pergi ke tempat solat melalui jalan lain yang balik melalui jalan yang lain.

Semoga panduan yang diberikan ini dapat memberikan anda semua ilmu pengetahun yang bermanfaat dalam kehidupan.

Sumber:

  1. Panduan Terkini Cara Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri. My Sumber
  2. Solat Sunat Hari Raya (Sept, 2009). Laman Fiqh Anda
  3. Panduan Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.