8 Amalan Dilarang Ketika Haid Yang Berdosa Jika Dilakukan

Setiap bulan wanita akan mengalami datang haid. Inilah keunikan dan keistimewaan yang Allah jadikan kepada kaum hawa. Ketika haid, wanita mempunyai kebatasan tertentu dalam melaksanakan ibadah. Artikel pada kali ini, kami akan berkongsi kepada anda amalan dilarang ketika haid yang perlu dielakkan untuk wanita haid.

Kenapa adanya panduan amalan yang dilarang ketika haid untuk wanita?

Dengan adanya perintah dan panduan amalan dilarang ketika haid ini membolehkan wanita khususnya elak dari melakukan perkara yang dicegah apabila mereka dalam keadaan tidak suci.

Hal ini justeru penting, bagi memastikan kesucian agama Islam itu sendiri dan ibadah yang dilaksanakan oleh umat Islam baik dari segi ibadah fardhu mahupun sunat.

Pokok bagi sesuatu sesuatu ibadah adalah thaharah atau kita panggil sebagai bersuci iaitu bersih daripada sebarang najis dan kekotoran. Para ulama telah menetapkan dalam syariat Islam mengenai konteks bersuci ini kepada dua kategori:

  • Pertama: Bersuci dari hadas. Ini dikhusukan untuk badan seperti mandi, wudhu, dan bertayamum.
  • Kedua: Bersuci dari najis. Hal ini berlaku pada badan, pakaian, dan tempat.

Bagi mengetahui lebih lanjut, apakah amalan dilarang ketika haid, berikut adalah penjelasannya.

1. Membaca Al-Quran

Kesepakatan dari ulama dalam mazhab Syafie mengungkapkan bahawa wanita yang sedang haid adalah tidak dibenarkan untuk membaca Al-Quran. Sebabnya adalah kerana pada ketika itu, wanita tersebut dalam keadaan berhadas besar.

Pendapat ini justeru disokong oleh ulama mazhab Hanafi, Maliki dan sebahagian pendapat dalam mazhab Hambali. Hujah mereka ialah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar, Rasulullah SAW bersabda:

“Janganlah membaca sesuatu pun daripada Al-Quran semasa haid dan berjunub.” – (Hadis Riwayat al-Tirmidhi)

2. Memegang mushaf Al-Quran

Mashaf atau kata lainnya mushaf bermaksud “kulit” iaitu kulit buku, tetapi yang digunakan dalam konteks ini adalah merujuk kepada senaskah kitab al-Quran.

Syeikh Muhammad bin Umar ketika mendefinisikan maksud al-mushaf menyatakan:

Dan dimaksudkan dengan Mushaf adalah setiap benda yang ditulis padanya sesuatu daripada al-Quran dengan tujuan pembelajaran seperti kayu atau tiang atau dinding.

Bagi wanita datang haid, hukum bagi memegang mushaf Al-Quran adalah haram. Ini dinyatakan sendiri berdasarkan pandangan Mazhab Syafie:

“(Haram wanita haid memegang mushaf) walaupun pada tulisan nota kaki, antara garisannya, kertas putih diantaranya, jilid  awal dan akhir yang bersambung dengan mushaf. Haram juga menyentuh mushaf walaupun dengan lapik yang tebal.”

3. Mengambil wuduk

Wuduk mungkin kita tidak sangka ianya boleh menjadi antara amalan yang dilarang ketika haid. Wuduk yang diambil ketika haid justeru tidak memberikan apa-apa makna kepada hadas wanita tersebut.

Inilah yang menjadi kekhuawatiran bahawa ia boleh tergolong dalam perbuatan yang mempersendakan agama.

Namun begitu, bila mana wuduk sudah menjadi amalam setiap masa misalnya dijadikan amalan sunat sebelum tidur. Maka hukumnya adalah harus tetapi perlu berniat hanya sekadar untuk membersihkan diri dan selesakan badan.

4. Mengerjakan tawaf di Kaabah

Tawaf adalah salah satu dari rukun wajib umrah dan haji. Ada tiga jenis tawaf yang boleh kita sebagai umat Islam lakukan iaitu tawaf qudum, tawaf ifadah, dan tawaf wada.

Untuk mengerjalan tawaf, seseorang itu perlu bersih dari apa jua hadas besar. Ini sudah dijelaskan dalam sebuah hadis daripada Ibn Abbad RA bahawa Nabi SAW bersabda:

الطَّوَافُ حَوْلَ البَيْتِ مِثْلُ الصَّلاَةِ ، إِلاَّ أَنَّكُمْ تَتَكَلَّمُونَ فِيهِ ، فَمَنْ تَكَلَّمَ فِيهِ فَلاَ يَتَكَلَّمَنَّ إِلاَّ بِخَيْرٍ

Maksudnya: “Tawaf mengelilingi Kaabah sama seperti solat, hanya sahaja kamu (boleh) bercakap di dalamnya (ketika tawaf). Sesiapa yang mahu bercakap-cakap tatkala tawaf, maka hendaklah mengucapkan ucapan yang baik.”

5. Melakukan persetubuhan dengan suami isteri

Mana-mana wanita yang didatangi haid atau nifas, mereka dilarang untuk melakukan hubungan seks dengan pasangan masing-masing.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 222:

Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: “Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguh Nya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

Ijmak para ulama juga bersepakat bahawa hukum menyetubuhi wanita ketika haid dan nifas adalah haram.

6. Berpuasa wajib atau sunat

Sebulan umat Islam berpuasa pada setiap kali tiba bulan Ramadhan. Tetapi ada seorang insan yang diberikan tempoh rehat untuk tidak berpuasa kerana didatangi oleh haid. Insan yang cukup istimewa dimaksudkan itu adalah para wnaita yang kedatangan haid.

7. Mendirikan solat fardhu atau sunat

Solat menjadi tiang agama bagi setiap orang. Ia bank yang menjadi “platform” untuk kita menampung segala amal baik lain yang dibuat.

Namun begitu, sama ada solat fardhu atau solat sunat, kedua-duanya adalah dilarang untuk dilakukan ketika haid.

Hal ini kerana, syarat sah solat merangkumi anggota badan, pakaian, dan tempat untuk bersolat mestilah dalam keadaan suci seluruhnya.

Yakni bersih daripada hadas besar dan hadas kecil. Jika solat tetap didirikan ketika haid, maka solat tersebut tidak sah dan perbuatan itu dianggap mempersendakan agama.

8. Memasuki masjid

Mengenai perbuatan wanita masuk ke dalam masjid dalam keadaan haid, ia sebenarnya mempunyai pandangan ulama yang berbeza. Dua pandangan membawa kepada pengharamannya manakala ada juga yang mengharuskan.

Bagi institusi fatwa yang mengharamkannya adalah Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-49, dan Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor 2001.

Ini dijelaskan dalam Surah Al-Nisaa, ayat 43 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.

Adapun begitu, ulama yang mengharuskan wanita haid masuk ke masjid adalah seperti  Imam al-Muzani (anak murid Imam al-Syafie), salah satu pandangan Imam Ahmad, Daud al-Zahiri dan Ibn Hazm al-Andalusi. 

Mereka bersandarkan kepada hadis Nabi SAW:

لَمَّا جِئْنَا سَرِفَ حِضْتُ فَقَالَ اَلنَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم اِفْعَلِي مَا يَفْعَلُ اَلْحَاجُّ غَيْرَ أَنْ لَا تَطُوفِي بِالْبَيْتِ حَتَّى تَطْهُرِي

Lakukanlah apa yang diperbuat oleh seorang yang berhaji kecuali jangan engkau Thawaf di Ka’bah.” – (Sahih Bukhari)

Dari satu pandangan yang lain pula iaitu menurut Darul Ifta’ Al-Misriyyah, wanita yang sedang haid ke masjid hukumnya adalah harus jika dia mempunyaii keperluan untuk berbuat demikian.

Contoh keperluan yang dimaksudkan adalah seperti menghadiri kuliah agama atau sebagainya.

Diharapkan dengan perkongsian amalan dilarang ketika haid tadi dapat memberi manfaat yang berguna kepada kaum wanita Islam di luar sana.

Sumber:

  1. Amalan 24 Jam Wanita Haid, Karya Fahrur Muis. PTS Publications
  2. Fathul Qarib Al-Mujib Fi Syarhi Alfaz At-Taqrib, Karya Ibnu Qasim Al-Ghazali
  3. Al-Kafi #906: Hukum Wanita Haidh Masuk Ke Masjid. Mufti Wilayah Persekutuan
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.