Panduan Solat Tahiyatul Masjid & Kelebihannya (Lengkap Berserta Niat)

Masjid adalah tempat yang sangat dimulaikan khususnya kepada umat Islam oleh kerana di sini merupakan tempat ibadah kepada Allah SWT. Justeru itu kita sebagai umat Islam, wajib untuk menjaga kesucian rumah Allah ini contohnya dengan melaksanakan solat tahiyatul masjid.

Apa itu solat tahiyatul masjid?

solat tahiyatul masjid

Solat tahiyatul masjid adalah solat sunat yang dilaksanakan apabila seseorang itu masuk ke kawasan masjid atau surau, sebelum dia duduk. Tujuan utama mengapa kita melaksanakan solat ini adalah kerana untuk menjaga kehormatan masjid itu sendiri.

Hal ini kerana masjid adalah tempat yang sangat disukai oleh Allah SWT. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tempat yang paling dicintai Allah SWT adalah masjid-masjid Nya dan tempat yang paling Allah SWT benci adalah pasar-pasarnya.

(Hadis Riwayat Muslim)

Dalil tentang solat ini

Rasulullah sangat melazimi ibadah untuk melaksanakan solat sunat sebanyak 2 rakaat sebelum duduk di dalam masjid. Ini berpandukan daripada Abu Qatadah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Jika salah seorang daripada kalian masuk ke dalam masjid maka solatlah sebanyak dua rakaat sebelum dia duduk.” – (Hadis Riwayat Al-Bukhari, 444) & Muslim, 1687)

Imam Al-Nawawi menyatakan yang para ulama sepakat bahawa solat sunat tahiyatul masjid adalah sunnah dan jika tiada keuzuran maka makruh hukumnya untuk duduk sebelum dilakukan solat dua rakaat. – (Rujuk Al-Majmu’Syarh Al-Muhazzab)

Tempoh waktu untuk mendirikan solat ini

Solat sunat ini boleh dilakukan apabila seseorang itu masuk ke dalam masjid atau lebih tepat sebelum kita duduk.

Cara melaksanakan solat tahiyatul masjid

Solat sunat ini dilaksanakan sama sahaja seperti solat sunat yang lain. Bilangan rakaatnya adalah sebanyak 2 rakaat. Berikut adalah tatacara yang boleh anda jadikan panduan:

Rakaat pertama

1. Berdiri tengak menghadap kiblat kemudian baca lafaz niat dalam bahasa arab seperti ini.

Usolli sunnatan tahiyyatal masjid rak’ataini lillahi ta’ala

“Sahaja aku solat sunat tahiyyatul masjid dua rakaat kerana Allah Ta’ala”.

2. Takbiratul ihram dan mengangkat kedua-dua belah tangan sambil menyebut:

الله أكبر

Allahuakbar

Maksudnya: Allah Maha Besar

3. Membaca doa iftitah

“Allaahu akbaru kabiirawwalhamdu lillaahi katsiiraa. Wa subhaanallaahi bukratawwa aashiila. Wajjahtu wajhiya lilladzii fatoros samaawaati wal ardha haniifam-muslimaa. Wamaa anaa minal musyrikiin. Inna solaatii wa nusukii wa mahyaaya wa mamaatii lillaahi Rabbil ‘aalamiin. Laa syariikalahu wa bidzaalika umirtu wa anaa minal muslimiin”

Maksudnya: Allah Maha Besar, segala puji bagi Allah. Maha Suci Allah pagi dan petang. Aku hadapkan mukaku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, hal keadaannya bersih dalam Islam. Tidaklah aku dari golongan orang-orang yang mensyirikkan Tuhan. Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidup dan matiku bagi Allah, Tuhan yang memiliki alam keseluruhannya. Tidak ada bersekutu dengan-Nya sesuatu dan dengan demikian aku disuruh dan aku daripada golongan muslimin.

4. Membaca Al-Fatihah dengan tartil dan dilafazkan

Bismillahirahmanirahim. Alhamdulillah hirabbil alamin. Arrahmanirrahim. Maliki yaumiddin. Iyya kana’ budu iyya kanasta ‘in. Ihdinas sirotol mustaqim. Sirotollazina an’am ta’alaihim ghairil maghdu bi ‘alaihim waladhollin

Maksudnya: “Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah,Tuhan semesta alam. Maha Pemurah,Maha Penyayang. Memiliki hari Pembalasan. Hanya kepada Engkaulah kami menyembah,dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus, (iaitu) jalan orang –orang yang telah Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang murka, dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.”

5. Membaca mana-mana surah pilihan dalam Al-Quran mengikut kemahuan.

6. Rukuk sambil bertakbir

“Subhaa na rabbiyal a’zimi wabihamdih” (diulang sebanyak tiga (3) kali)

Maksudnya: “Maha Suci Tuhanku Yang Maha Besar dengan segala sifat-Nya yang terpuji.”

Dalam keadaan ini kedudukan kedua-dua belah tangan mestilah diletakkan di atas kedua-dua belah lutut kaki.

7. I’tidal sambil melafazkan bacaan ini:

“Sami’allahu liman hamidahu robbana lakalhamdu”

Maksudnya: “Allah mendengar perkataan mereka yang memuji-Nya. Ya Tuhan Kami, untuk-Mu segala pujian.”

8. Sujud sambil bertakbir dengan lafaz ini

“Subhana rabbiyal a’la wabihamdih”

Maksudnya: “Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dengan segala kepujiannya.”

9. Bacaan duduk antara dua sujud

“Rabbigfirli warhamni wajburni warfagni warzuqni wahdini wa a’fini wa’fu anni “

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ampunilah aku, rahmatilah aku, lindungilah aku dan angkatlah darjatku berilah aku rezeki, dan berilah petunjuk kepadaku, afiatkanlah aku dan ampunilah aku.”

10. Sujud kembali sambil bertakbir. Selepas sujud kedua, bertakbir dan bangun untuk meneruskan rakaat kedua.

Rakaat kedua

1. Bangun lalu meneruskan dengan rakaat kedua.

2. Membaca Al-Fatihah dengan tartil dan dilafazkan

3. Membaca mana-mana surah pilihan dalam Al-Quran mengikut kemahuan.

4. Rukuk sambil bertakbir.

5. I’tidal (bangun dari rukuk), sujud, duduk diantara dua sujud, sujud semula dan diakhir dengan duduk tahiyat akhir dan salam.

Niat beriktikaf di masjid

Sejurus sahaja selesai melaksanakan solat sunat ini, kita digalakkan untuk berdoa dan berniat seperti lafaz yang berikut:

Nawaitul iktikafa fi hazal masjidi sunnatal lillahi ta’ala

Maksudnya: “Sahaja aku Iktikaf di dalam masjid ini kerana Allah Ta’ala”.

Kelebihan solat tahiyatul masjid pada manusia

  • Mendapatkan pahala yang berlipat kali ganda kerana melaksanakan perintah Allah dan mengerjakan sunnah dari Rasulullah SAW
  • Mendidik diri agar menghormati kesucian masjid
  • Meningkatkan rasa kehambaan dan keimanan kepada Allah SWT
  • Mendidik umat Islam untuk lebih berdisiplin

Diharapkan artikel berkenaan dengan solat sunat tahiyatul masjid ini dapat memberikan anda informasi yang bermanfaat dan berguna dalam kehidupan seharian.

Sumber:

  1. Himpunan Solat-Solat Sunat. Kamaruddin Mahmod
  2. #417: Antara Tahiyatul Masjid dan Jawab Azan Jumaat. Maktabah Al-Bakri
  3. Laksanakan Solat Sunat Tahiyyatul Masjid Sebagai Tanda Memuliakan Rumah Allah. Sinar Islam Plus
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.