Niat & Cara Solat Jenazah Berserta Doa (Lelaki & Perempuan)

Bagaimanakah cara untuk mengerjakan solat jenazah bagi jenazah perempuan dan lelaki?

Panduan dibawah menunjukkan bagaimanakah cara untuk kita melaksanakan solat jenazah bagi jenazah lelaki dan perempuan secara lengkap dengan bantuan teks ejaan rumi.

Setiap panduan ini akan dibimbing secara langkah demi langkah sehinggalah selesai dan panduan solat jenazah ini diringkaskan demi memberi kefahaman kepada anda semua agar mudah difahami.

Maksud Solat Jenazah


Apakah yang dimaksudkan dengan Solat jenazah?

Sembahyang sunat jenazah adalah sembahyang yang dilakukan oleh orang hidup kepada orang yang tela meninggal dunia.

Tujuan utama ini dilakukan adalah untuk memohon keampunan, keredhaan serta rahmat daripada Allah SWT untuk si mati.

Maksud jenazah pula adalah berasal daripada perkataan arab iaitu kata dasar janaza ( جَنَزَ ) yang membawa maksud mengumpul, meletakkan dan menutupi.

Jenazah ( جنازة ) pula bermaksud orang yang telah mati yang diletakkan di dalam usungan, dan akan dibawa ke kubur untuk dikebumikan.

Walau bagaimanapun, sewajarnya bagi setiap umat islam itu mengambil kira bahawa solat itu merupakan suatu doa untuk mengurangkan bebanan si mati dan menambahkan lagi martabatnya di sisi Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

 مَا مِنْ رَجُلٍ مُسْلِمٍ يَمُوتُ فَيَقُومُ عَلَى جَنَازَتِهِ أَرْبَعُونَ رَجُلاً لاَ يُشْرِكُونَ بِاللَّهِ شَيْئًا إِلاَّ شَفَّعَهُمُ اللَّهُ فِيهِ

Maksudnya : 

Tidak ada seorang lelaki muslim yang meninggal dunia, kemudian terdapat empat puluh orang lelaki yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun mendirikan solat jenazah ke atasnya, melainkan Allah akan memberikan syafaat dari mereka buat dirinya (jenazah tersebut).

Sabdanya lagi:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَمُوتُ فَيُصَلِّي عَلَيْهِ ثَلاَثَةُ صُفُوفٍ مِنَ الْمُسْلِمِينَ إِلاَّ أَوْجَبَ

Maksudnya :

Tidaklah seorang muslim yang meninggal dunia lalu disolatkan ke atas jenazahnya itu tiga saf dari kalangan umat Islam melainkan wajib baginya (masuk ke dalam syurga).

Hukum Menunaikan Solat Jenazah


Apakah Hukum menunaikan sembahyang sunat jenazah?

Hukumnya adalah fardu kifayah iaitu orang yang masih hidup di kawasan tersebut.

Maksud fardu kifayah disini adalah sekiranya ada pihak yang telah melakukannya, walaupun seorang, maka terlepaslah kewajipan ke atas orang lain  di mana perlu ada orang yang arif menguruskan kematian dan cara solat jenazah pada sesuatu kawasan atau qariah.

Solat Jenazah ini disunatkan untuk dilakukan secara berjemaah. Namun solat jenazah juga boleh dilakukan seorang diri.

Antara dalil yang menunjukkan bahawa solat jenazah dituntut untuk dilakukan secara berjemaah adalah hadis riwayat Ibn Abbas yang menukilkan pendapat Imam Al-Nawawi yang menyebut bahawa:

تَجُوزُ صَلَاةُ الْجِنَازَةِ فُرَادَى بِلَا خِلَافٍ وَالسُّنَّةُ أَنْ يُصَلَّى جَمَاعَةً

Maksudnya:

Harus solat jenazah secara seorang diri tanpa khilaf (dalam kalangan para ulama) dan yang sunnahnya adalah ia didirikan secara berjamaah.
Rujuk Al Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (5/214)

Syarat Sah


  1. Menutup aurat.
  2. Suci daripada hadas kecil / besar dan juga bersih daripada najis.
  3. Menghadap kiblat kecuali bagi sembahyang sunat jenazah ghaib..

Rukun Solat Jenazah


panduan solat jenazah

Sembahyang sunat Jenazah tidak perlu dilaungkan azan atau iqamat.

Rukun solat jenazah terdiri daripada 7 rukun yang mana jika salah satu ditinggalkan maka, tidak sah sembahyang jenazah tersebut bahkan tidak sempurna tuntutan fardu kifayah.

Berikut merupakan rukun-rukun solat jenazah yang perlu dipenuhi semasa menunaikan solat tersebut.

Pertama: Berdiri Betul Bagi Orang Yang Mampu

Berdiri bagi orang yang mampu merupakan rukun solat jenazah sebagaimana solat fardu.

Bagi yang mengalami keuzuran dan tidak mampu berdiri ia diberi kelonggaran untuk menunaikan solat tersebut secara duduk sama ada di atas kerusi atau di lantai.

Kedua: Niat

Wajib kepada seseorang itu untuk berniat ketika hendak menunaikan solat jenazah sebagaimana diwajibkan kepada kita berniat bagi setiap kali kita menuanaikan solat.

Ketiga: Mengangkat Empat Kali Takbir

Solat ini tidak mempunyai rukuk, sujud dan tasyahud.

Sebaliknya, menjadi rukun bagi sembahyang sunat jenazah mengangkat empat kali takbir termasuklah takbiratul ihram.

Jika tidak mencukupi takbir tersebut sebanyak empat kali menempati rakaat pada solat tersebut, maka solat tersebut wajib digantikan atau diulangi semula.

Keempat: Membaca Al-Fatihah

Bacaan Sural Al-fatihah merupakan rukun bagi semua jenis solat yang kita menunaikannya tidak kiralah sama ada solat fardu, sunat, qada, jenazah atau solat yang lainnya.

Bacaan surah al-Fatihah dalam solat jenazah dibaca perlahan dan tidak dibaca kuat. Tidak perlu membaca surah selepas surah al-Fatihah kerana hal itu tidak disunatkan.

Selain itu, disunatkan agar dapat membaca ta’awudz sebelum memulakan surah al-Fatihah dan menyebut “amin” selepasnya.

Kelima:  Membaca Selawat Ke Atas Nabi ﷺ

Membaca selawat ke atas nabi ﷺ merupakan salah satu yang terdiri daripada rukun solat jenazah yang harus kita membacanya apabila mengerjakan solat jenazah, jika tertinggal solat jenazah tersebut hukumnya menjadi tidak sah.

Diharuskan untuk membaca selawat ke atas Nabi ﷺ adalah selepas takbir yang kedua dan sebelum takbir yang ketiga. Justeru itu, tidak sah sembahyang jenazah jika selawat tidak dibaca selepas takbir yang kedua.

Membaca Selawat secara ringkas atau paling minimun adaalah dengan melafazkan bacaan selawat:

اللّٰهُمَّ صَلِّ عَلَي مُحَمَّدٍ

Atau membaca bacaan selawat yang sempurna adalah Selawat Ibrahimiyah sebagaimana yang dibaca dalam tasyahud akhir.

Keenam: Mendoakan Keampunan Buat Si Mati

Mendoakan keampuanan kepada si mati merupakan salah satu daripada 7 rukun yang terdapat dalam solat jenazah.

Dengan mendoakan keampuanan kepada si mati ia merupakan tujuan utama kenapa solat jenazah ini dilaksanakan. Ia juga bertujuan untuk mendapatkan keampunan daripada Allah SWT agar diterima segala amalan yang telah dilakukan oleh si mati sepanjang hayatnya di dunia.

Berdasarkan hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah ﷺ bersabda yang membawa maksud:

Apabila kamu bersolat ke atas jenazah, maka ikhlaskan berdoa untuk si mati

– Hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Majah

Doa yang dibaca kepada si mati hendaklah dikhususkan untuk disebutkan kepada jenazah tersebut.

Doa khusus yang akan dibaca buat jenazah adalah seperti:

  • Buat jenazah Lelaki

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاغْفُ عَنْهُ

  • Buat Jenazah Perempuan

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلَهَا وَارْحَمْهَا وَعَافِهَا وَاغْفُ عَنْهَا

Disyaratkan bacaan doa hendaklah dibaca selepas takbir yang ketiga dan tidak sah solat jenazah jika doa buat si mati dibaca pada takbir yang lain.

Ketujuh: Memberi Salam

Memberi salam selepas selesai keempat takbir tersebut merupakan rukun solat dalam sembahyang jenazah dan juga solat fardu yang lain.

Ucapan salam hanya sekadar memalingkan muka ke arah kanan dan juga kiri.

Memberi salam ini adalah wajib sebagai tanda kita selesai dalam melaksanakan solat yang didirikan.

Sunat memberi salam dengan suara yang nyaring (kuat).

Niat Solat Jenazah


Lafaz niat sembahyang sunat jenazah ini bergantung kepada jantina mayat yang hendak disembahyangkan sama ada lelaki atau perempuan.

Berikut merupakan lafaz niat bagi solat jenazah untuk lelaki dan perempuan:

Lafaz Niat Bagi Solat Jenazah Lelaki

Usolli ‘Ala Hazal-Mayyiti Arba’a Takbiratin Fardol Kifayati Makmuman Lillahi Taala  

Maksudnya:

Sahaja aku solat ke atas jenazah lelaki ini empat kali takbir fardu kifayah menjadi makmum kerana Allah Taala.

Lafaz Niat Bagi Solat Jenazah Perempuan

Usolli ‘Ala Hazihil-Mayyitati Arba’a Takbiratin Fardol Kifayati Makmuman Lillahi Taala 

Maksudnya:

Sahaja aku solat ke atas jenazah perempuan ini empat kali takbir fardu kifayah menjadi makmum kerana Allah Taala.
panduan solat jenazah
Sumber: Mywilayah.com

Cara Solat Jenazah Lelaki & Perempuan


Diigatkan cara perlaksanaan solat jenazah ini TIDAK sama seperti mana kita melaksanakan solat fardu atau solat sunat yang lain.

Solat jenazah ini hanya dilakukan dalam keadaan berdiri sahaja. Perlu diingatkan dekat sini bahawa Solat jenazah ini TIADA rukuk dan sujud mahupun iktidal.

Cara malaksanakan solat jenazah bagi lelaki dan perempuan adalah seperti berikut:

Semasa mengangkat takbir, sertakan sekali niat solat di dalam hati. Kemudian diikuti pula dengan membaca surah Al-Fatihah:

bacaan solat jenazah
Bismillāhir-Raḥmānir-Raḥīm. Al-Ḥamdu Lillāhi Rabbil-‘Ālamīn. Ar-Raḥmānir-Raḥīm. Māliki Yaumid-Dīn. Iyyāka Na‘Budu Wa Iyyāka Nasta‘Īn. Ihdinaṣ-Ṣirāṭal-Mustaqīm. Ṣirāṭallażīna An‘Amta ‘Alaihim, Gairil-Magḍūbi ‘Alaihim Wa Laḍ-Ḍāllīn.

Maksudnya:

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

Setelah selesai membaca Surah Al-Fatihah, teruskan dengan takbir yang kedua.

Pada takbir yang kedua, haruslah membaca selawat ke atas Nabi Muhammad SAW seperti berikut sekurang-kurangnya:

 “Allahumma Solli Ala Muhammad Wa Ala aali Muhammad”

atau boleh juga memba selawat ibrahim iaitu selawat seperti bacaan tahiyat akhir:

Allahumma salli ‘ala Muhammadin, Wa ‘ala ali Muhammadin, Kama sallaita ‘ala Ibrahima, wa ‘ala ali Ibrahima, wa barik ‘ala Muhammadin, wa ‘ala ali Muhammadin, Kama barakta ‘ ala Ibrahima, Wa ‘ ala ali Ibrahima, Fil a’lamina innaka hamidun Majid. 

Maksudnya:

“Ya Allah berilah rahmat kepada junjungan Nabi Muhammad saw, dan berilah kesejahteraan kepada junjungan kami Nabi Muhammad saw sebagaimana Engkau memberikan kepada Nabi Ibrahim dan keluarganya. Berkatilah Nabi Muhammad saw dan keluarganya sebagaimana Engkau telah memberikan keberkatan kepada Nabi Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya atas alam-alam ini, Engkaulah zat yang terpuji dan Maha mulia.”

Setelah selesai membaca Selawat Keatas Nabi Muhamad SAW, teruskan dengan takbir yang ketiga.

Selesai sahaja mengangkat takbir yang ketiga, diteruskan dengan membaca doa untuk memohon keampunan si mati:

Doa Untuk Solat Jenazah Lelaki

  Allahumagfirlahu Warhamhu Wa ‘Aafihi Wagfu ‘Anhu 

Maksudnya:

Ya Allah ampunilah dia dan rahmatilah dia, afiatkan dia dan maafkanlah kesalahannya

Doa Untuk Solat Jenazah Perempuan

*Sekiranya jenazah perempuan tukarkan “hu” kepada “ha”

 Allahumagfirlaha Warhamha Wa ‘Aafiha Wagfu ‘Anha  

Maksudnya:

Ya Allah ampunilah dia dan rahmatilah dia, afiatkan dia dan maafkanlah kesalahannya

Setelah selesai membaca doa untuk memohon keampunan kepada si mati, kemudian teruskan dengan takbir yang keempat.

Selesai sahaja mengangkat takbir yang keempat, kita disunatkan untuk membaca doa seperti berikut atau boleh juga diam sehinggalah rukun salam selesai. Doanya adalah seperti:

Sumber: bersamadakwah.net
“Allahumma la tahrimna wala taftinna ba’dahu waghfirlana walahu”

Maksudnya:

“Wahai Allah janganlah Dikau mengharamkan bagi kami pahala jenazah ini, dan jangan pula engkau uji kami sesudahnya, dan ampunkanlah kami dan dia.”

Setelah selesai keempat-empat takbir, kemudian diteruskan dengan memberi salam ke kiri dan ke kanan seperti biasa dalam keadaan berdiri.

Setelah selesai kemua rukun, kita disunatkan untuk membacakan doa selepas doa jenazah adalah seperti yang di bawah.

Doa


doa solat jenazah
Bismillahi Rahmanirrahim
Alhamdulillahi Robbil ‘Alamin. Wassolatu Wassalamu ‘Ala Asyrafil ‘Anbiya’i Wal Mursalin Wa ‘Ala Alihi Wa Sohbihi Ajmain.
Allahumma Bihaqqi Muhammadin Wa Ali Muhammadin Ala Tuazziba Hazal Mayyiti *(Mayyitati).
Allahummaj-‘Al Qobrohu *(Qobraha) Raudhotan Min Riyadhil Jannati Walaa Taj’al Qobrohu *(Qobraha) Hufratan Min Hufarinniirani.
Wasollallahu ‘Ala Sayyidina Muhammadin Wa ‘Ala  Alihi Wa Ashaabihi Ajmain Walhamdulillahi Robbil ‘Alamin.

Maksudnya:

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas Junjungan kami Nabi Muhammad semulia-mulia rasul dan ke atas kaum keluarga serta para Sahabat sekalian. Ya Allah, dengan kemuliaan Nabi Muhammad dan ahli keluarganya, janganlah Engkau siksa jenazah ini. Ya Allah jadikan kuburnya sebagai taman daripada taman-taman syurga dan janganlah Engkau jadikan kuburnya sebagai lubang daripada lubang neraka. Selawat dan salam Allah ke atas Junjungan kami Muhammad, dan ke atas keluarganya serta para sahabatnya. Segala puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam.

Kedudukan Jenazah Bagi Lelaki & Perempuan


Kedudukan Bagi Jenazah Lelaki:

Bagi kedudukan jenazah lelaki, setelah selesai jenazah diletakkan di hadapan imam:

  • Kedudukan kepada bagi jenazah lelaki semasa hendak disembahyangkan mestilah berada di sebelah kiri imam.
  • Imam pula berada bertentangan dengan kepala jenazah.
Sumber: Aku Muslim
Imam selari dengan kepala jenazah lelaki

Kedudukan Bagi Jenazah Perempuan:

Bagi kedudukan jenazah perempuan, setelah selesai jenazah diletakkan di hadapan imam:

  • Kedudukan kepada bagi jenazah lelaki semasa hendak disembahyangkan mestilah berada di sebelah kanan imam.
  • Imam pula berada selari dengan pinggang jenazah perempuan tersebut.
Sumber: Aku Muslim
Kedudukan imam selari dengan pinggang jenazah perempuan

Perkara-perkara Sunat Dalam Sembahyang Sunat Jenazah


Terdapat beberapa perkara sunat semasa melakukan Solat Jenazah antaranya adalah seperti:

  1. Sunat mengangkat tangan ketika takbir
  2. Meletakkan tangan di atas pusat sebagaimana solat fardu yang lain.
  3. Membaca doa selepas takbir keempat:
  4. Hendaklah menbuat sekurang-kurangnya tiga saf.
  5. Imam hendaklah berdiri berdekatan dengan pinggang mayat sekiranya mayat tersebut jenazah perempuan, dan berdekatan dengan bahu sekiranya jenazah tersebut lelaki.
  6. Memandang sebelah kanan dan kiri semasa memberi salam.
  7. Sunat mendirikan sembahyang jenazah secara berjemaah, tetapi diharuskan melakukannya seorang diri.

NOTA: Jenazah Ghaib

solat jenazah ghaib jakim
Sumber: JAKIM

Setiap yang hidup pasti akan kembali kembali kepada penciptanya.

Ambillah pengajaran daripada setiap kematian yang berlaku. Semoga dengan ilmu yang dicurahkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.

Selain itu, apabila berlakunya kematian kita dituntut untuk menguruskannya terutamnya apabila berlaku dari kalangan keluarga.

Semoga panduan ini menjadi manfaat kepada kita semua.

Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.