Solat Sunat Nikah: Niat, Panduan Lengkap Solat dan Doa

Bagaimana cara solat sunat nikah yang betul beserta dengan doa yang boleh dibaca?

Artikel pada kali ini, kami akan berkongsi kepada anda panduan yang mudah dan lengkap untuk melalukan solat sunat nikah.

Baca juga:

Apa itu solat sunat nikah?

solat sunat nikah

Nama lain bagi solat sunat nikah adalah “Solat Az-Zawaj” (صلاة الزواج) yang merupakan solat sunat bagi menandakan kesyukuran kepada Allah SWT bagi setiap pasangan suami isteri yang baru sahaja memulakan alam rumah tangga.

Antara empat perkara sunat yang boleh dilakukan selepas akad nikah adalah mendirikan solat sunat ini.

Selain itu, pasangan mempelai juga boleh sujud syukur, isteri bersalaman dengan suami, dan suami mendoakan isteri dengan meletakkan tapak tangan diatas ubun-ubun isteri.

Hukum pelaksanaannya

Pelaksanaan solat sunat ini bukanlah dilaksanakan secara langsung sejurus sahaja akad nikah.

Namun ia biasanya boleh dilakukan ketika mana si suami mendatangi dan menemui si isteri di dalam bilik.

Solat ini dilakukan bersama-sama yang mana si isteri menjadi makmumnya.

Ini sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah di dalam Musannafnya yang mana seorang lelaki telah datang berjumpa dengan Abdullah bin Mas’ud RA lalu berkata:

إِنِّي تَزَوَّجْتُ جَارِيَةً شَابَّةً، وَإِنِّي أَخَافُ أَنْ تَفْرَكَنِي قَالَ: فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ: إِنَّ الْإِلْفَ مِنَ اللَّهِ، وَالْفَرْكَ مِنَ الشَّيْطَانِ، يُرِيدُ أَنْ يُكَرِّهَ إِلَيْكُمْ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكُمْ، فَإِذَا أَتَتْكَ فَمُرْهَا أَنْ تُصَلِّيَ وَرَاءَكَ رَكْعَتَيْنِ.

Maksudnya: “Sesungguhnya aku telah berkahwin dengan seorang hamba perempuan yang masih dara dan aku takut dia akan membenciku.

Berkata Abdullah bin Mas’ud: “Sesungguhnya rasa kasih sayang serta kelembutan itu daripada Allah, dan kebencian itu daripada syaitan.

Dia (syaitan) mahu menyemai rasa kebencian kepada kalian apa yang telah Allah halalkan.

Sekiranya kamu mendatangi isterimu, arahkan dia untuk solat di belakangmu dua rakaat.” – (Riwayat Ibn Abi Syaibah di dalam Musannafnya, 17156)

solat sunat nikah

Dalam sebuah athar yang lain diriwayatkan daripada Abu Sa’id maula Abu Usaid al-Ansari telah berkata:

تَزَوَّجْتُ وَأَنَا مَمْلُوكٌ ، فَدَعَوْتُ نَفَرًا مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ – صلى الله عليه وسلم – فِيهِمْ ابْنُ مَسْعُودٍ وَأَبُو ذَرٍّ وَحُذَيْفَةُ – رضي الله عنهم – فَعَلَّمُونِي فَقَالُوا: إذَا أُدْخِلَ عَلَيْكَ أَهْلُكَ فَصَلِّ عَلَيْكَ رَكْعَتَيْنِ، ثُمَّ سَلْ اللهَ تَعَالَى مِنْ خَيْرِ مَا دَخَلَ عَلَيْكَ، 

Maksudnya: “Aku telah berkahwin dan aku masih dalam keadaan seorang hamba yang dimiliki.

Aku telah mengajak sebahagian sahabat Nabi SAW dan di kalangan yang hadir itu adalah Ibn Mas’ud, Abu Dzar dan Huzaifah R.Anhum.

Mereka telah mengajarkanku dengan mengatakan: 

“Jika kamu masuk menemui isterimu, maka solatlah dua rakaat kemudian mintalah kepada Allah SWT kebaikan daripada isterimu dan mohonlah perlindungan daripada keburukan isterimu dan kemudian urusanmu dan juga isterimu.” – (Riwayat Ibn Abi Syaibah di dalam Musannafnya, 17153)

Waktu pelaksanaannya

Waktu atau tempoh pelaksananan solat ini sama sahaja seperti solat sunat yang lain.

Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa yang dirasakan sesuai oleh suami dan isteri tanpa penetapan waktu yang khusus.

Namun begitu, Mantan Mufti Kerajaan Arab Saudi, Syeikh Bin Bazz RH ketika ditanya berkaitan waktu mengerjakannya.

Beliau menjawab adalah ketika sebelum si suami ingin bersama dengan isterinya. 

Tetapi tiada pengkhususan waktu yang jelas disebut dalam hadis.

Manakala, fatwa daripada Mufti Wilayah Persekutuan juga berpendapat bahawa solat sunat ini dilakukan ketika si suami memasuki bilik bertemu isterinya.

Ini bermaksud ia bukannya dilakukan secara terbuka selepas nikah bagi memelihara aurat isteri. Bahkan tidak menjadi kesalahan sekiranya solat ini tidak dilakukan.

Cara melaksanakan solat sunat nikah

Jumlah keseluruhan solat sunat nikah adalah sebanyak 2 rakaat dengan satu salam serta disusuli sujud syukur selepasnya. Dari segi rukun solat adalah sama seperti solat biasa yang lain namun dengan niat yang berbeza.

1. Baca niat solat

Lafaz niat solat:

أصلي سنة النكاح ركعتين الله تعالى

Usolli sunnata ba’dan nikahi rak’ataini lillahi Ta’ala

Maksudnya: “Sahaja aku solat sunat nikah dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”

2. Rakaat pertama

Pada rakaat pertama, membaca surah Al-Fatihah dan surah Al-Kafiruun.

3. Rakaat kedua

Pada rakaat kedua, membaca surah Al-Fatihah dan surah Al-Ikhlas. Selesai rakaat kedua, beri salam.

4. Sujud syukur

Selesai memberi salam, kita digalakkan untuk melakukan sujud syukur.

Lafaz sujud syukur:

سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ

Subhanallah walhamdulillah walaa ilaha illallah wallahu akbar

Maksudnya: “Maha Suci Allah, Segala Puji Bagi Allah, Tiada Tuhan Melainkan Allah, Allah Maha Besar.”

Doa selepas solat nikah

Berkenaan dengan doa, suami sebenarnya boleh membaca apa jua doa-doa yang baik dan dirasakan sesuai.

Antara doa yang boleh dibaca dari Abdullah Ibn Mas`ud adalah seperti:

اللَّهُمَّ، بَارِكْ لِي فِي أَهْلِي، وَبَارِكْ لَهُمْ فِيَّ، اللَّهُمَّ ارْزُقْنِي مِنْهُمْ، وَارْزُقْهُمْ مِنِّي، اللَّهُمَّ، اجْمَعْ بَيْنَنَا مَا جَمَعْتَ إِلَى خَيْرٍ، وَفَرِّقْ بَيْنَنَا إِذَا فَرَّقْتَ إِلَى خَيْرٍ

Maksudnya: “Ya Allah! Berkatilah diriku dengan apa yang ada pada keluargaku, dan berkatilah keluargaku dengan apa yang ada pada diriku.

Ya Allah! Rezekikanlah aku daripada apa yang ada pada keluargaku, den rezekikanlah mereka daripada apa yang ada padaku.

Ya Allah! Satukanlah antara kami dengan pertemuan ke arah kebaikan, dan, jika engkau takdirkan perpisahan, pisahkanlah kami (juga) ke arah kebaikan.” – (Riwayat ‘Abd al-Razzaq, 10460)

Doa sambil memegang ubun-ubun isteri

solat sunat nikah

Selain solat sunat, suami juga boleh membaca doa memohon kebaikan isteri sambil meletakkan tangan di ubun-ubun isteri.

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِهَا وَخَيْرِ مَا جَبَلْتَهَا عَلَيْهِ ، وَأَعُوْذَ بِكَ مِنْ شَرِّهَا وَشَرِّ مَا جَبَلْتَهَا عَلَيْهِ

Allahumma inni as’aluka khairiha wa khairi ma jabaltaha ‘alaihi, wa a’udzubika min syarriha wa syarri ma jabaltaha ‘alaihi.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu kebaikan dirinya dan kebaikan yang Engkau tetapkan atas dirinya.

Dan aku berlindung kepada-Mu daripada keburukan dirinya dan keburukan yang Engkau tetapkan atas dirinya.” - (Hadis Riwayat Abu Daud)

Diharapkan panduan solat sunat nikah ini dapat memudahkan bakal pengantin di luar sana untuk memperoleh keredhaan Allah dalam majlis perkahwinan itu nanti.

Sumber:

  1. Al-Kafi li al-Fatawi: Soalan 186: Adab Selepas Pernikahan. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. #673: Solat Sunat Selepas Akad Nikah. Maktabahalbakri
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.