6 Amalan Sebelum Tidur Yang Pernah Diajarkan Oleh Rasulullah SAW

Apakah amalan sebelum tidur yang boleh dijadikan panduan untuk kita sebagai umat Islam? Artikel pada kali ini akan mengulas secara lanjut mengenai hal ini.

Bagaimana menjadikan tidur sebagai ibadah?

Apa sahaja amalan baik yang kita lakukan sebenarnya ia boleh menjadi ibadah dalam kehidupan kita ini termasuklah tidur. Caranya adalah kita hendaklah mengamalkan amalan sebelum tidur yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW seperti yang berikut:

1. Mengibas tilam sebelum berbaring

Riwayat daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا أَوَى أَحَدُكُمْ إِلَى فِرَاشِهِ، فَلْيَأْخُذْ دَاخِلَةَ إِزَارِهِ، فَلْيَنْفُضْ بِهَا فِرَاشَهُ، وَلْيُسَمِّ اللهَ، فَإِنَّهُ لَا يَعْلَمُ مَا خَلَفَهُ بَعْدَهُ عَلَى فِرَاشِهِ، فَإِذَا أَرَادَ أَنْ يَضْطَجِعَ، فَلْيَضْطَجِعْ عَلَى شِقِّهِ الْأَيْمَنِ، وَلْيَقُلْ : سُبْحَانَكَ اللهُمَّ رَبِّي بِكَ وَضَعْتُ جَنْبِي، وَبِكَ أَرْفَعُهُ، إِنْ أَمْسَكْتَ نَفْسِي، فَاغْفِرْ لَهَا، وَإِنْ أَرْسَلْتَهَا فَاحْفَظْهَا بِمَا تَحْفَظُ بِهِ عِبَادَكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Sekiranya salah seorang daripada kamu mendatangi tempat tidurnya, hendaklah dia mengambil (memegang) bahagian dalam kainnya, kemudian mengibas tempat tidurnya dengan kain tersebut serta sebutlah nama Allah (iaitu membaca Bismillah), kerana sesungguhnya tidak ada seorang pun yang tahu apa yang terjadi setelah dia meninggalkan tempat tidurnya. Sekiranya dia mahu berbaring, berbaringlah di sebelah rusuk kanannya dan berdoa; Maha suci Engkau, Ya Allah Wahai Tuhanku, dengan namaMu aku berbaring, dan dengan namaMu aku angkat pinggangku. Jika Engkau menahan nyawaku, maka berilah keampunan kepadanya dan jika Engkau melepaskannya, maka peliharalah sebagaimana hamba-hamba Mu yang soleh.” – (Hadis Riwayat Muslim, 2714)

Di dalam riwayat lain datang dengan lafaz:

إِذَا قَامَ أَحَدُكُمْ عَنْ فِرَاشِهِ ثُمَّ رَجَعَ إِلَيْهِ فَلْيَنْفُضْهُ بِصَنِفَةِ إِزَارِهِ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ

Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu bangun dari tempat tidurnya, kemudian dia kembali kepadanya, maka hendaklah dia mengibaskannya dengan hujung kainnya sebanyak tiga kali.” – (Hadis Riwayat al-Tirmizi, 3401)

2. Ambil wuduk sebelum tidur

Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا أَتَيْتَ مَضْجَعَكَ فَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلاَةِ

Maksudnya: “Jika kamu mendatangi tempat pembaringanmu, maka berwuduklah seperti mana wudukmu untuk melakukan solat.” – [Hadis Riwayat Al-Bukhari (247), Muslim (2710) & Abu Daud (5046)]

3. Membaca doa sebelum tidur

Dari Hudzaifah, ia berkata, “Apabila Nabi SAW hendak tidur, beliau mengucapkan: ‘Bismika allahumma amuutu wa ahya (Dengan nama Mu, Ya Allah aku ma ti dan aku hidup).’ Dan apabila bangun tidur, beliau mengucapkan: “Alhamdulillahilladzii ahyaana ba’da maa amatana wailaihi nusyur (Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah mematikan kami, dan kepada Nya lah tempat kembali).” – (Hadis Riwayat Bukhari)

4. Membaca surah 3 qul

Ini berdasarkan hadis Nabi SAW daripada `Aisyah RA:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ كُلَّ لَيْلَةٍ جَمَعَ كَفَّيْهِ ثُمَّ نَفَثَ فِيهِمَا فَقَرَأَ فِيهِمَا ‏{‏قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ‏}‏ وَ‏{‏قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ‏}‏ وَ‏{‏قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ‏}‏ ثُمَّ يَمْسَحُ بِهِمَا مَا اسْتَطَاعَ مِنْ جَسَدِهِ يَبْدَأُ بِهِمَا عَلَى رَأْسِهِ وَوَجْهِهِ وَمَا أَقْبَلَ مِنْ جَسَدِهِ يَفْعَلُ ذَلِكَ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ

Maksudnya: “Adalah Nabi SAW jika ingin tidur pada setiap malam akan menadah tangannya lalu dihembuskan pada keduanya dan dibacakan padanya Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Naas kemudian Baginda menyapu pada kedua tapak tangannya it uke bahagian badan (yang boleh dicapai) dimulai dengannya pada bahagian kepala. Muka dan bahagian depan badan Baginda dan Baginda melakukannya sebanyak tiga kali.” – (Hadis Riwayat al-Bukhari, 5017)

5. Berbaring dalam keadaan di sisi kanan

Menurut Ibn Qayyim, “Tidur berbaring pada sisi kanan dianjurkan dalam Islam agar seseorang tidak susah untuk bangun solat malam. Tidur pada sisi kanan lebih bermanfaat untuk jantung. Manakala, tidur pada sisi kiri juga bagus untuk badan tetapi membuat seseorag semakin malas.”

Berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW, “Berbaringlah di atas rusuk kananmu.” – (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

6. Amalkan baca dua ayat terakhir dalam surah Al-Baqarah

Di dalam riwayat yang lain, Nabi SAW mengajarkan umatnya agar membaca dua ayat terakhir daripada Surah Al-Baqarah. Daripada Abu Huraira RA bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ بِالْآيَتَيْنِ مِنْ آخِرِ سُورَةِ الْبَقَرَةِ فِي لَيْلَةٍ كَفَتَاهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca dua ayat terakhir Surah Al-Baqarah pada malam hari, maka ia sudah cukup.” – (Hadis Riwayat Al-Bukhari, 5009)

Manusia memang memerlukan rehat untuk mengecas semula tenaga selepas penat seharian dalam melakukan aktiviti mereka. Justeru itu keperluan tidur amatlah penting untuk menjaga kesihatan dan stamina berpanjangan.

Sumber:

  1. Irsyad Al-Fatwa Ke-192: Hukum Tidur Secara Meniarap, Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-429: Mengibas Tilam Sebelum Berbaring Di Atasnya, Mufti Wilayah Persekutuan
  3. 20 Amalan Rasulullah Sebelum Tidur yang Istimewa. Dalam Islam
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.