Lafaz Niat Puasa Sebulan & Harian: Dalam Teks Arab dan Rumi

Apakah niat puasa sebulan Ramadhan? Niat puasa adalah syarat sah bagi puasa. Hal ini bermakna seseorang yang mahu berpuasa wajib untuk berniat puasa terlebih dahulu.

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda mengenai lafaz niat puasa sebulan Ramadhan dan niat harian esok hari beserta dengan penjelasan hukumnya yang perlu anda tahu.

Niat puasa sebulan Ramadhan

نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كُلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى

Nawaitu souma syahri ramadhana kul’lihi lil’lahi ta’ala

Maksudnya: "Sahaja aku berpuasa keseluruhan pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta’ala."

Niat puasa esok hari Ramadhan

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ أَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى

Nawaitu souma ghadin ‘an ada ‘i, fardhi syahri ramadhana hazihis sanati lil’lahi ta’ala

Maksudnya: "Sahaja aku puasa esok hari pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta’ala."

Bacaan doa berbuka puasa (berseorangan)

اَللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَبِكَ آمَنْتُ وَعَلىَ رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ بِرَحْمَتِكَ يَاأَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ

Allahumma laka shumtu wa bika amantu wa’alaa rizqika afthartu birahmatika yaa arhamarroohimiin

“Ya Allah kerana-Mu aku berpuasa, Dengan-Mu aku beriman, kepada-Mu aku berserah dan dengan rezeki-Mu aku berbuka (puasa) dengan rahmat-Mu, Ya Allah Tuhan Maha Pengasih”

Bacaan doa berbuka puasa (beramai-ramai)

اَللَّهُمَّ لَكَ صُمْنَا وَبِكَ آمَناَّ وَعَلىَ رِزْقِكَ أَفْطَرْناَ بِرَحْمَتِكَ يَاأَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ

Allahumma laka shumna wa bika amanna wa’alaa rizqika aftharna birahmatika yaa arhamarroohimiin

“Ya Allah kerana-Mu kami berpuasa, Dengan-Mu kami beriman, kepada-Mu kami berserah dan dengan rezeki-Mu kami berbuka (puasa) dengan rahmat-Mu, Ya Allah Tuhan Maha Pengasih”

Adakah perlu perbaharui niat malam hari jika sudah niat puasa sebulan?

Mengenai hal perlu atau tidak seseorang itu memperbaharui niatnya pada setiap malam jika sudah niat puasa sebulan, para ulama telah membahagikannya kepada dua pendapat.

Pertama, boleh niat puasa sebulan untuk 30 hari sekali gus. Ini bertepatan dengan pendapat al-Imam Zufar dan al-Imam Malik.

Mereka mengatakan bahawa berpadalah bagi seseorang itu untuk berniat sekali sahaja iaitu dengan meniatkan sebulan berpuasa pada awal permulaan niat.

Kedua, perlu perbaharui niat setiap malam. Ini adalah pendapat jumhur berdasarkan keumuman hadith Hafsah R.Anha sebelum ini. 

Menurut mazhab Syafie, pendapat yang terpilih ialah kita wajib perbaharui niat setiap malam.

Tiada masalah juga untuk kita berniat untuk 30 hari sekaligus sebagai langkah berjaga-jaga dan bahkan ia digalakkan untuk dibuat.

Bagaimana jika terlupa untuk berniat puasa?

Niat puasa wajib dilakukan pada tiap-tiap malam dan hukumnya adalah wajib, Tanpa niat maka tidak sah puasa seseorang itu.

Hal ini kerana berpuasa adalah satu ibadah (ibadah mahdhoh) dan sesuatu ibadah itu tidak sah melainkan disertakan bersamanya niat seperti mana solat.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Bayyinah ayat 5:

وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ

Maksudnya: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya.”

Hal ini juga disebutkan secara jelas di dalam kitab-kitab fiqh, yang antaranya disebutkan Ibn Qasim: 

Kewajipan-kewajipan puasa itu ada empat perkara: Niat di dalam hati, sekiranya puasa yang fardhu seperti puasa Ramadhan atau puasa nazar, maka mestilah diniatkan pada waktu malam.”

Namun begitu, kita harus membezakan antara niat dan berniat. Sekiranya kita terlupa membaca (atau melafazkan) niat tetapi dalam hati sudah ingin berpuasa dan sudah tahu bahawa kita akan berpuasa, maka puasa kita tetap sah. 

Dalam Mazhab Syafie, membaca atau melafazkan niat itu sunat tetapi berniat (dalam hati) itu wajib. Sekiranya kita sudah sedia tahu untuk mengamalkan sesuatu, maka kita telah dikira berniat.

Diharapkan semoga perkongsian kami ini mengenai niat puasa sebulan Ramadhan ini dapat memberikan anda ilmu pengetahuan dan informasi yang bermanfaat.

Sumber:

  1. Irsyad Al-Fatwa Khas Ramadhan #74: Niat Puasa Setiap Malam atau Niat 30 Hari Sekaligus? Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Irsyad Al-Fatwa Khas Ramadhan Siri Ke-124: Adakah Dengan Bersahur Sudah Dikira Berniat Puasa? Mufti Wilayah Persekutuan
  3. Bagaimana Jika Terlupa Niat Untuk Berpuasa Di Bulan Ramadan. TZKRH
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.