Imam Malik: Biografi dan Sejarah Lengkap Hidupnya
Artikel pada kali ini, kita akan mengupas tentang sejarah dan kehidupan tokoh Imam Malik secara lengkap tetapi ringkas.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti perkongsian artikel ini sehingga ke penghujung.
Bacaa juga:
Biodata Imam Malik
- Nama sebenar: Malik bin Anas bin Malik bin Amir Al-Harith.
- Tempat lahir: Madinah.
- Tarikh dilahirkan: 93 Hijrah / 713 Masihi ketika zaman pemerintahan khalifah Sulaiman bin Abdul Malik daripada kerjaaan Bani Umaiyah.
- Keturunan: Arab yang terhormat.
- Tarikh meninggal dunia: 179 Hijrah / 789 Masihi ketika berusia 86 tahun.
- Tempat dimakamkan: Perkuburan Al-Baqi, Madinah.
- Datuknya, Amir bin Al-Harith telah banyak berkorban bersama Nabi Muhammad SAW untuk menegakkan agama Islam.
- Dilahirkan dari keluarga yang susah, namum tetap berusaha menimba ilmu sehingga menjadi seorang ulama.
- Pernah menjadi guru ketika masih berusia 17 tahun.
- Majlis pengajian beliau dilakukan di Masjid Nabawi.
- Pengasas: Mazhab Maliki.
- Mazhab Maliki berkembang di beberapa tempat di dunia seperti Maghribi, Algeria, Libya, Iraq, dan Palestin.
Sifat peribadi
Berikut adalah sifat peribadi Imam Ahmad yang boleh kita contohi.
1. Memiliki kecerdasan akal yang hebat
Beliau sangat terkenal dengan kecerdasan akal fikirannya yang tinggi dan kuat ingatan sehingga mampu untuk menghafal Al-Quran pada usia yang sangat muda.
Beliau pernah menghafal 29 buah hadis daripada 30 buah hadis yang dibacakan oleh gurunya dalam satu hari sahaja.
Pandangannya yang bernas selalu diambil sebagai rujukan, berpendirian teguh, bijaksana, cerdas dalam berfikir dan menyampaikan hujah.
Ketinggian ilmu Malik bin Anad pernah diungkapkan sendiri oleh Imam Ahmad bin Hambal sebagai:
“Malik adalah penghulu dari para penghulu ahli ilmu dan dia pula seorang imam dalam bidang hadis dan fiqh. Siapakah gerangan yang dapat menyerupai Malik?”
2. Terkenal dengan sifat mulia
Antara sifat mulia yang selalu dikaitkan dengan beliau adalah bersopan-santun, gemar memakai pakaian yang bersih, kemas, dan mempunyai bau-bauan yang harum.
3. Hartawan
Beliau tidak lokek dan berkira dalam membelanjakan hartanya ke jalan Allah. Dengan kata mudah beliau adalah seorang yang hartawan.
4. Sangat menghormati hadis Rasulullah SAW
Pencinta Nabi dalam segala aspek. Lantaran itu, beliau sangat menghormati hadis-hadis baginda Rasulullah SAW.
Bahkan sejak kecil juga sudah dididik untuk menghormati ibu bapa, orang dewasa, dan para guru yang mengajarnya.
5. Tidak menunggang sebarang jenis kenderaan di Madinah
Menarik lagi tentang Imam Malik ini adalah beliau sanggup berjalan kaki dan tidak menunggang sebarang kenderaan di Madinah kerana sebegitu hormatnya beliau kepada jasad seorang Rasul.
Ujian dan cabaran
Imam Malik dicambuk dengan cemeti lebih kurang 70 kali sepanjang hayatnya oleh pemerintah kerana sering mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan kehendak pemerintah.
Latar belakang pendidikan
Beliau mendapat pendidikan awal di Kota Madinah ketika zaman pemerintahan Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik.
Kemudian, mempelajari Al-Quran dan menghafalnya semenjak dari kecil.
Guru pertama beliau adalah Abdul Rahman bin Harman iaitu seorang ulama besar Madinah yang telah memberi pendidikan kepada beliau selama 8 tahun.
Ramai mungkin tidak tahu bahawa Imam Malik mendapat julukan ahli hadis oleh kerana beliau sangat meminati bidang hadis Nabi SAW.
Bahkan semenjak kecil sudah pun melazimi pelbagai ulama di Madinah.
Keluarga terdekat iaitu datuknya sendiri merupakan ulama perawai hadis terkenal yang hidup sehingga Imam Malik berusia 10 tahun.
Apa yang pasti prinsip hidupnya mengenai ilmu adalah orang yang ingin belajar ilmu hendaklah berusaha mencarinya, bukan ilmu yang datang mencarinya.
Guru-guru dan pendidik Imam Malik
Direkodkan beliau mendapatkan pelajaran dan belajar dari 900 sheikh. Di mana 300 orang darinya adalah golongan tabi’in manakala 600 lagi adalah dari golongan tabi’ tabi’in.
Beliau mengamalkan sikap tegas dan penuh berhati-hati ketika menuntut ilmu.
Bukitnya, beliau sendiri yang memilih guru-guru dari beberapa kriteria iaitu taat dalam agama, tinggi ilmunya, serta kaedah dan syarat meriwayatkan hadis.
Beliau mengelak dari mengambil perawai hadis yang mempunyai hutang dan suka membawa mana-mana riwayat yang tidak dikenali.
Antara guru beliau adalah seperti:
- Abu Radih Nafi bin Abd Al-Rahman
- Nafi’
- Rabiah bin Abdul Rahman
- Muhammad bin Yahya Al-Anshari
- Abu Hazim Salmah bin Nidar
- Ja’far Ash-Shadiq
- Yahya bin Sa’id
- Hisyam bin Urwah dan lain-lain
Murid-murid Imam Malik
Imam Malik mula mengajar ketika usianya baru 17 tahun. Para ulama seperti Az-Zuhri dan Rabiah turut mengiktiraf kebolehan beliau sebagai seorang guru.
Lantaran itu, tidak peliklah jika majlis ilmu yang diadakan beliau sering mendapat sambutan yang sangat hebat dan mengalakkan disebabkan kebolehan beliau dalam mengajar.
Bahkan ia bukan sahaja dihadiri oleh orang awam, atau murid-muridnya sendiri malah alim ulama dan gurunya juga hadir seperti Mohammad Muslim Az-Zuhri.
Tidak sekalipun beliau berungut apabila memberi pendidikan kepada anak muridnya.
Malah beliau akan sentiasa bersusah payah memberi kefahaman kepada anak muridnya dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
Antara murid beliau yang terkenal adalah seperti:
- Al- Imam As-Syafi’e
- Abdullah bin Abdul Hakam
- Abdul Rahman bin Qasim
- Muhammad bin Nuskim Al-Auhri
- Yahya bin Zaid Al-Anshori
- Muhammad bin Anjal
- Salim bin Abi Umayah
- Muhammad bin Abdurrahman bin Abi Ziab
- Abdul Malik bin Juraih
- Muhammad bin Ishak
- Sulaiman bin Mahram Al-Amasi dan lain-lain
Keilmuan Imam Malik diiktiraf oleh seluruh dunia kesarjanaan ilmu Islam pada masa hidupnya lagi. Sufyan bin Uyainah berkata:
“Malik adalah ulama ahli Hijaz. Beliau hujah untuk ahli ilmu pada zamannya.” Imam Syafie pernah mengulas,” Apabila disebut nama-nama ulama, maka Maliklah bintangya.”
Karya yang dihasilkan
Kitab terbesar yang dihasilkan oleh Imam Malik adalah Muwatta’ yang ditulis pada tahun 144 Hijrah.
Ia dihasilkan dengan lengkap pelbagai masalah agama termasuklah ilmu hadis, ilmu fikah, dan sebagainya.
Aliran pemikiran dalam kitab Al-Muwatta’ inilah yang menghasilkan mazhab Maliki.
Imam Al-Zahabi merumuskan:
“Setelah zaman tabiin, tidak ada seorang ulama di Madinah yang menandingi Imam Malik dalam ilmu, fiqh, kewibawaan, dan hafalannya.”
Selain itu beliau juga menulis kitab lain seperti:
- Risalah fi Al-Qadr Wa Ar-Radd ‘ala Qadariyah
- Kitab fi An-Nujum: Hisab Madar Az-Zaman wa Manazil Al-Qamar
- Risalah fi Al-Aqdhiyyah
- Risalah fi Al-Fatwa
- Risalah fi Al-Adab wa Al-Mawa’idh
- At-Tafsir li Gharib Al-Quran
- Risalah fi Ijma’ Ahl Al-Madinah
Kesimpulannya, Imam Malik adalah seorang tokoh yang sangat hebat tetapi zuhud dalam perjuangannya memartabatkan Islam.
Sumbangan beliau pastinya meninggalkan kesan yang sangat besar kepada umat Islam di seluruh dunia.
Sumber:
- Biografi Imam Malik (Silsilat Al-Aimmah Al-Mushawwarah (3) : Al-Imam Malik). Pengarang Dr, Tariq As-Suwaidan.
- Pemikiran Hukum Islam Imam Malik bin Anas (Pendekatan Sejarah Sosial), Danu Aris Setiyanto.