Lailatul Qadar, Doa & Amalan 10 Malam Terakhir Ramadan

Malam Lailatul Qadar adalah malam yang 10 malam terakhir di bulan Ramadan jadi,mari kita bersama-sama menggandakan amalan untuk merebut ganjaran 10 malam terakhir ramadan dan menjemputnya dengan penuh pengharapan.

Apakah amalan-amalan yang boleh kita mengerkannya bagi merebut ganjaran pahala yang besar pada malam tersebut. Penulisan artikel pada kali ini akan berkongsi serba sedikit mengenai amalan-amalan yang ditekankan pada malam yang mulia tersebut serta kelebihan yang ada padanya namun ramai yang tidak mengetahuinya.

Maksud Lailatul Qadar


Malam Lailatul qadar (لیلة القدر ) adalah malam yang dikenali sebagai salah satu malam yang sangat istimewa di Bulan Ramadan.

Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.”

-Surah al-Qadr: 1-3-

Perkatan Lailatulqadar adalah terdiri daripada dua kalimah yang berasal daripada “Lailah” yang membawa maksud apabila tenggelamnya matahari sehingga terbitnya fajar (malam).

al-Qadar pula ia membawa maksud kemuliaan atau hukum dan ketetapan.

Para ulama berbeza pendapat mengenai Qadar apabila ia disandarkan kepada malam. Terdapat ulama yang berpendapat bahawa ianya kerana kemuliaan dan terdapat juga pendapat-pendapat lain.

Manakala, menurut Ibn Qudamah yang berpendapat malam qadar ialah malam yang mulia, diberkati, diagungkan dan mempunyai banyak kelebihan lain pada malam tersebut.

Kelebihan Malam Lailatul Qadar


Para ulama, berpendapat, bahawa sebaik-baik amalan soleh adalah amalan yang dilakukan pada malam Qadar yang mana malam tersebut adalah malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Perkara ini, dapat dilihat berdasarkan nas yang terdahulu.

Antara kelebihan yang ada pada malam ini adalah:

1- Dikatakan lebih baik daripada seribu bulan.

Imam al-Qurtubi berkata:

“Malam Qadar mempunyai kelebihan kerana banyaknya keistimewaan dan malam tersebut dibahagikan kebaikan yang banyak yang tidak terdapat seumpamanya pada seribu bulan. Ramai ulama dan ahli tafsir berpendapat amalan dilakukan pada malam Qadar lebih baik daripada seribu bulan yang tiada padanya malam Qadar.

Hal ini, disokong oleh Abu al-‘Aliyah.


2- Malaikat dan Jibril turun pada malam tersebut.

Imam Qurtubi berkata:

“Mereka turun daripada setiap langit dan juga Sidratul Muntaha ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut hingga waktu fajar.

3- Turunnya malaikat dan Jibril membawa rahmat dengan perintah Tuhan.


4- Mendapat keselamatan dan kebaikan semuanya tanpa sebarang kejahatan hingga keluarnya fajar.

Al-Dahhaq berkata:

Allah tidak takdirkan pada malam tersebut kecuali keselamatan.

Sedangkan Mujahid berpendapat:

Ia merupakan malam selamat di mana syaitan tidak mampu untuk melakukan sebarang kejahatan pada malam tersebut.”

-Lihat Tafsir al-Qurtubi 20/133.-

Bilakah Berlakunya Lailatulqadar?


Malam Lailatul Qadar biasanya berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil di bulan Ramadan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Carilah Lailatulqadar pada sepuluh akhir bulan Ramadan dalam malam ganjil.”

Diriwayatkan daripada Sayidatina Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadan, Baginda menghidupkan malam tersebut dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya.

Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan yang bermaksud:

“Rasulullah SAW berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh akhir Ramadan malebihi usahanya daripada malam-malam lain.”

Terdapat beberapa ulama yang berpendapat mengenai bila berlakunya malam lailatul qadar ini antaranya adalah:

Pertama: Berlaku Pada Malam 27 Ramadan.

Pendapat ini merupakan antara pendapat yang terkuat mengikut para ulama yang menyatakan bahawa malam Lailatul qadar ini berlaku pada malam 27 Ramadan.

Hujah mereka amat banyak, antaranya:

  • Mengikut Abu Ka’ab katanya: “Demi Allah sesungguhnya Ibn Mas’ud telah meyakinkan bahawa malam Lailatulqadar jatuh dalam bulan Ramadan, manakala Lailatulqadar pula jatuh pada malam ke-27. Akan tetapi, dia enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbangkan kamu tidak lagi berusaha mencarinya.”
  • Daripada riwayat Muawiyah yang bermaksud: “Bahawa Nabi SAW telah bersabda bahawa Lailatulqadar berlaku pada malam ke-27.”
  • Riwayat ini disokong oleh pendapat Ibn Abbas yang mengatakan bahawa surah al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yang ke-27 bagi surah itu terjatuh kepada dhamir (hia) yang kembalinya kepada Lailatulqadar.
  • Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma yang bermaksud: “Sesiapa yang mencari Lailatulqadar, dia hendaklah mencarinya pada malam yang ke-27, carilah kamu Lailatulqadar pada malam yang ke-27.”

Kedua: Pada Malam 23 Ramadan.

Inilah pendapat Imam Syafie.

Dan inilah juga pendapat Malik, Ibn Khuzaimah, Abu Awanah dan al-Tahawi.

Ia berdasarkan hadis riwayat Abdullah bin Unais bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ لَيْلَةَ ثَلَاثَ وَعِشْرِيْنَ

Maksudnya:

Carilah malam Qadar pada malam 23 Ramadan.”

Ketiga: Pada Malam 21 Ramadan.

Inilah juga pendapat yang dipilih oleh Imam Shafie.

Dia berdalilkan pada riwayat Abu Daud dan al-Baihaqi daripada Ibn Mas’ud bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اُطْلُبُوهَا لَيْلَةَ سَبْعَ عَشْرَةَ مِنْ رَمَضَانِ وَلَيْلَةَ إِحْدَى وَعِشْرِيْنَ وَلَيْلَةَ ثَلَاثِ وَعِشْرِيْنَ

Maksudnya:

“Tuntutlah malam 17,21 dan 23 Ramadan.”

Keempat: Pada Malam 24 Ramadan.

Ini berdasarkan hadis Ibn Abbas bahawa Baginda SAW bersabda:

اِلْتَمِسُوا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي أَرْبَعٍ وَعِشْرِيْنَ

Maksudnya:

“Carilah malam Lailatulqadar pada malam 24 Ramadan.”

— Riwayat Muhammad bin Nasr Ahmad daripada Bilal dan al-Tayalisi-

Kelima: Pada Malam Terakhir Ramadan.

Hal ini berdasarkan hadis Muawiyah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

اِلْتَمِسُوا لَيْلَةَ الْقَدْرِ آخِرِ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانِ

Maksudnya:

 “Carilah malam Qadar pada akhir malam Ramadan.”

-Riwayat Ibn Nasr-

Amalan-amalan Pada Malam Lailatul Qadar


Kita semua tahu yang mana malam lailatul qadar ini merupakan antara malam yang membawa kemuliaandan keagungan sehingga melebihi 1000 bulan.

Setiap amalan yang kita lakukan pada malam tersebut akan memperoleh pahala melebihi 1000 kali ganda.

Jadi, marilah kita sama-sama merebut peluang untuk melakukan amal ibadat dengan bersungguh-sungguh tanpa sebarang pengabaian.

Isikanlah malam tersebut dengan memperbanyakkan qiamullail, membaca al-Quran, zikrullah, manajat, berdoa dan memohon keampunan dan kerahmatan daripada-Nya.

Ibadah-ibadah boleh dilaksanakan secara bersendirian di rumah atau beramai-beramai.

Antara amalan yang dilakukan oleh Nabi SAW pada malam-malam tersebut adalah:

 1- Melakukan Solat Malam (Qiamullail)

Rasulullah SAW menganjurkan umatnya agar mencari dan menghidupkan 10 malam terakhir Ramadhan.

Daripada ‘Aisyah R.Anha, katanya:

Adalah Rasulullah SAW apabila masuk pada sepuluh akhir (Ramadan), Baginda SAW akan menghidupkan malamnya (dengan ibadah), mengejutkan ahli keluarganya, dan memperketatkan kain sarungnya (bersungguh-sungguh dalam beribadah dan melakukan kebaikan)”

2-Berdoa Memohon Keampunan Dan Dihapuskan Dosa Yang Lalu

Lailatul Qadar termasuk waktu yang mustajab untuk berdoa oleh kerana itu setiap Muslim boleh membaca doa apapun untuk kebaikan dunia dan akhiratnya.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah (Nabi Muhammad) bersabda:

Sesiapa yang melakukan qiamullail pada Ramadhan kerana keimanan dan mengharapkan pahala akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.”

-Hadis riwayat Bukhari dan Muslim-


3- Melakukan Iktikaf

Itikaf ini dikenali juga sebagai ‘Iktikaf Asyrul-Awahir’.

Iktikaf ini merupakan sunnah muakkad jika dilakukan di bulan Ramadhan terutama pada 10 terakhir Ramadhan.

Pada hari-hari tersebut Rasululllah SAW telah mengajak isteri dan keluarga serta para sahabat Baginda untuk menghidupkan malam tersebut dan mengisinya dengan pelbagai kegiatan ibadah yang menunjukkan ‘taqarrub‘ (mendekatkan diri) kepada Allah SWT.

Daripada Abi Hurairah r.a telah berkata:

Bahawa Nabi SAW beriktikaf pada setiap kali Ramadhan pada 10 hari, tetapi beriktikaf 20 hari pada tahun kewafatan Baginda SAW.”

-Riwayat al-Bukhari, Abu Daud dan Ibn. Majah-

4- Sekurang-Kurangnya Melakukan Solat Fardu Secara berjemaah.

Imam Ibn Rajab al-Hanbali Rahimahullah menyatakan.

Sebahagian ulama mazhab Syafie menakalkan riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa:

Menghidupkan malam Lailatul Qadar akan terhasil apabila seseorang mendirikan solat ‘Isya’ secara berjemaah dan berazam untuk melakukan solat Subuh secara berjemaah jua. Imam Malik merekodkan dalam al-Muwatta’ bahawa Imam Ibn al-Musayyib berkata: Sesiapa yang bertemu dengan Lailatul Qadar bermaksud (yang mendirikan solat) dalam berjemaah (pada malam tersebut), maka dia akan memperolehi kebaikan malam itu. Begitu jualah yang dikatakan oleh Imam asy-Syafie rahimahullah dalam pendapat lamanya: Sesiapa yang mendirikan solat Isya’ dan Subuh pada malam Lailatul Qadar, maka dia akan memperoleh kebaikannya.”

-Lihat Lathaif al-Maarif (hal. 159).-

Oleh itu, marilah kita sama-sama mengandakan lagi setiap amal ibadah kita pada 10 malam terakhir ini dengan bersungguh-sungguh dengan memperbanyakkan :

  • Membaca al-Quran
  • Berzikir, beristighfar dan berdoa
  • Melaksanakan Solat Terawih dan Qiamullail pada Setiap Malam
  • Bersedekah
amalan-lailatul-qadar-

Doa Malam Lailatul Qadar


Antara Doa yang boleh diamalkan untuk dibaca ketika malam al-Qadr adalah:

Berikut doa malam lailatul qadar:

Allahumma Innaka ‘Afuwwun Tuhibbul ‘Afwa Fa’fu ‘Annii 

Maksudnya:

Ya Allah, sesungguhnya Engkau Zat Yang Maha Pemaaf dan Pemurah maka maafkanlah diriku”

Doa ini merupakan doa yang diajarkan oleh Baginda Rasulullah S.A.W. kepada Saidatina Aisyah agar memohon keampuanan daripada Allah S.W.T

Doa Supaya Dapat Bertemu Malam Lailatul Qadar


Antara doa yang boleh diamalkan supaya bertemu malam Lailatul Qadar sepanjang bulan Ramadan adalah dngan membaca:

 Allahummar-zuqna lailatul qodri fii hazihis-sanati wa fii kulli sanati, wa A-‘in-naa ‘alaa ihyaa ihaa qi yaa mihaa, birahmatika yaa arhamarrohimin 

Maksudnya:

Ya Allah, rezekikan kami Lailatul Qadar pada tahun ini dan juga pada setiap tahun. Dan bantulah kami untuk menghidupkan dan membangunkan malamnya Dengan RahmatMu, Wahai yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Penutup

Dengan memperbanyakkan amal ibadah pada 10 malam terakhir pada bulan Ramadan ini kita dapat diberi keampuanan daripada Allah S.W.T. selaku kita sebagai hambanya untuk meraih ganjaran syurga yang penuh dengan kenikmatan ini sepertimana yang telah dijanjikanNya di akhirat kelak.

Oleh itu marilah kita bersama-sama berusaha untuk menghidupkan 10 malam terakhir ini dengan memperbanyakkan ibadah secara bersungguh-sungguh.

Disini anda boleh muat turun panduan qiamullail yang telah dikongsikan oleh JAKIM sebagai rujukan kita bersama.

Rujukan

  1. Bayan Linnas Siri Ke-31: LailatulQadar…Carilah. Mufti Wilayah Persekutuan.
  2. Doa Malam Lailatul Qadar& Amalan Sunat Yang Dianjurkan. ecentral.my
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.