Solat Sunat Sebelum Subuh Lebih Baik Dari Seisi Dunia
Banyak dari kita yang tidak tahu amalan solat sunat sebelum subuh mendatangkan banyak kebaikan buat diri kita jika dilakukan dengan istiqamah.
Bagaimanakah tatacaranya dan hikmah yang boleh diperoleh? Ikuti perkongsiaan artikel ini sehingga ke penghujung.
Baca juga:
Apakah solat sunat sebelum subuh?
Solat sunat sebelum subuh dikenali sebagai solat qabliyah subuh dan solat sunat fajar.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah RA katanya:
لَمْ يَكُنِ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى شَيْءٍ مِنَ النَّوَافِلِ أَشَدَّ مِنْهُ تَعَاهُدًا عَلَى رَكْعَتَيِ الفَجْرِ
Maksudnya: “Nabi SAW tidak pernah memberi perhatian terhadap amalan-amalan sunat sebesar perhatian Baginda terhadap (solat sunat) dua rakaat Fajar.
Waktu yang ditetapkan & bilangan rakaat
Waktu yang tepat untuk melaksanakan solat sunat sebelum subuh adalah selepas berkumandangnya azan subuh atau sebelum mendirikan solat fardhu subuh.
Bilangan rakaat yang ditetapkan untuk solat sunat ini adalah sebanyak 2 rakaat. Ini berdasarkan daripada Saidatina Aisyah RA meriwayatkan bahawa:
“Rasulullah SAW memendekkan solat sunat subuhnya sehingga aku berasa ragu-ragu sama ada baginda membaca Al-Fatihah atau pun tidak.” – (Hadis Riwayat Ahmad)
Cara solat sunat sebelum subuh
1. Berdiri dengan betul, tegak, dan menghadap kiblat
Antara syarat sah solat adalah dengan menghadap kiblat. Hukumnya sendiri adalah wajib berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW:
إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلاَةِ فَأَسْبِغِ الوُضُوءَ، ثُمَّ اسْتَقْبِلِ القِبْلَةَ فَكَبِّرْ
Maksudnya: “Apabila engkau hendak bersolat berwudhu’lah dengan sempurna, kemudian menghadaplah ke kiblat dan bertakbir.” – (Hadis Riwayat al-Bukhari, 6251 & Muslim 397)
2. Membaca niat solat
Niat solat sunat sebelum subuh adalah seperti yang berikut:
Usolli sunnatal fajri rak’ataini lillahi taala
Maksudnya: “Sahaja aku menunaikan solat sunat fajar dua rakaat kerana Allah ta’ala”
3. Takbiratul ihram dan mengangkat kedua-dua belah tangan sambil menyebut
الله أكبر
Allahuakbar
Maksudnya: “Allah Maha Besar.”
4. Membaca doa iftitah
“Allaahu akbaru kabiirawwalhamdu lillaahi katsiiraa. Wa subhaanallaahi bukratawwa aashiila. Wajjahtu wajhiya lilladzii fatoros samaawaati wal ardha haniifam-muslimaa. Wamaa anaa minal musyrikiin.
Inna solaatii wa nusukii wa mahyaaya wa mamaatii lillaahi Rabbil ‘aalamiin. Laa syariikalahu wa bidzaalika umirtu wa anaa minal muslimiin”
Maksudnya: Allah Maha Besar, segala puji bagi Allah. Maha Suci Allah pagi dan petang. Aku hadapkan mukaku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, hal keadaannya bersih dalam Islam.
Tidaklah aku dari golongan orang-orang yang mensyirikkan Tuhan. Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidup dan matiku bagi Allah, Tuhan yang memiliki alam keseluruhannya.
Tidak ada bersekutu dengan Nya sesuatu dan dengan demikian aku disuruh dan aku daripada golongan muslimin
5. Membaca Al-Fatihah dengan tartil dan dilafazkan
Bismillahirahmanirahim. Alhamdulillah hirabbil alamin. Arrahmanirrahim. Maliki yaumiddin. Iyya kana’ budu iyya kanasta ‘in. Ihdinas sirotol mustaqim. Sirotollazina an’am ta’alaihim ghairil maghdu bi ‘alaihim waladhollin
Maksudnya: “Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah,Tuhan semesta alam. Maha Pemurah,Maha Penyayang. Memiliki hari Pembalasan.
Hanya kepada Engkaulah kami menyembah,dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan.
Tunjukilah kami jalan yang lurus, (iaitu) jalan orang –orang yang telah Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang murka, dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.”
6. Membaca mana-mana surah pilihan dalam Al-Quran mengikut kemahuan
Kita boleh memilih mana-mana surah dalam Al-Quran untuk dibaca sama ada panjang atau pendek. Cadangan surah adalah Surah Al-Kafirun dan Surah Al-Ikhlas.
7. Rukuk sambil bertakbir
“Subhaa na rabbiyal a’zimi wabihamdih” (diulang sebanyak tiga (3) kali)
Maksudnya: “Maha Suci Tuhanku Yang Maha Besar dengan segala sifat-Nya yang terpuji.”
Dalam keadaan ini kedudukan kedua-dua belah tangan mestilah diletakkan di atas kedua-dua belah lutut kaki.
8. I’tidal sambil melafazkan bacaan ini
Sami allahu liman hamidah. Rabbana lakal hamdh
9. Sujud sambil bertakbir dengan lafaz ini
“Subhana rabbiyal a’la wabihamdih”
Maksudnya: “Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dengan segala kepujiannya.”
Berbeza bagi keadaan yang sebelum tadi, bagi sujud pula kedua-dua tapak tangan harus diletakkan di atas lantai atau pelapik yang digunakan untuk sujud biasanya sejadah. Kedudukannya lebih kurang separas bahu sahaja.
10. Bacaan duduk antara dua sujud
“Rabbigfirli warhamni wajburni warfagni warzuqni wahdini wa a’fini wa’fu anni “
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ampunilah aku, rahmatilah aku, lindungilah aku dan angkatlah darjatku berilah aku rezeki, dan berilah petunjuk kepadaku, afiatkanlah aku dan ampunilah aku.”
11. Sujud kembali sambil bertakbir
12. Berdiri semula sambil bertakbir dan ulangi dengan membaca surah Al-Fatihah sehingga habis dan sujud di rakaat kedua
13. Duduk tahiyat akhir
14. Memberikan salam
Doa selepas solat sebelum subuh
Allahumma robbu jibrila wa israfila wa mika i la wa muhammadin nabiyyi sollallahu alayhi wassalam. A’uzuu bika minan narr.
Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Israfil, Mikail dan Nabi Muhammad SAW, aku memohon perlindungan Mu daripada api neraka.”
Hikmah mengerjakannya
- Lebih baik daripada dunia dan isinya.
- Lebih penting dari nyawa sendiri.
- Sunnah yang sangat dipelihara oleh Rasulullah SAW.
- Mendekatkan diri manusia kepada Allah SWT.
Diharapkan artikel berkenaan dengan solat sunat selepas subuh ini dapat memberikan anda informasi yang bermanfaat.
Jangan lupa mulai hari ini kita pasakkan niat untuk bangun awal dan mendirikan solat sunat sebelum subuh kerana banyak manfaat yang boleh diperoleh jika diamalkan sentiasa.
Sumber:
- Al-Kafi #1726: Bilakah Waktu Menunaikan Solat Sunat Subuh. Mufti Wilayah Persekutuan
- Amalan Orang Soleh, Ustaz Muhadir Haji Joll. Penerbit Galeri Ilmu