Solat Dalam Kenderaan: Cara Untuk Melakukan, dan Kelebihannya

Solat adalah salah satu rukun Islam yang penting dan menjadi tanggungjawab setiap Muslim. Dalam situasi tertentu, seperti dalam perjalanan jauh atau keadaan lain yang tidak memungkinkan untuk melakukan solat dalam posisi berdiri, berlutut, dan sujud, maka boleh melakukan solat dalam kenderaan.

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi berkenaan solat dalam kenderaan yang boleh anda praktikkan dalam kehidupan seharian jika berlaku keuzuran yang dibolehkan.

Solat pertalian hamba dengan Tuhannya

solat dalam kenderaan

Solat adalah penghulu bagi segala amal ibadah yang kita lakukan di dunia ini. Ini bermaksud, syarat sah untuk diterima ibadah yang lain adalah dari solatnya terlebih dahulu.

Ia adalah ibadah yang pertama akan dihisab. Oleh yang demikian, kita tidak mempunyai apa-apa alasan sekalipun untuk meninggalkannya.

Jika sakit tidak mampu menunaikan dengan berdiri, solat boleh ditunaikan dengan duduk. Tidak dapat duduk boleh secara berbaring.

Tidak dapat juga dengan berbaring boleh dengan isyarat. Tidak ada air boleh tayammum. Terlupa habis waktu, wajib ganti.

Bahkan jika musafir sekalipun, boleh dijamak (dihimpunkan). Mudahnya, ibadah solat ini wajib ditunaikan dalam keadaan apa atau di mana sekalipun.

Dalil tentang pelaksanaan solat dalam kenderaan

Kata Amir bin Rabi’ah:


 رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ عَلَى الرَّاحِلَةِ يُسَبِّحُ يُومِئُ بِرَأْسِهِ قِبَلَ أَيِّ وَجْهٍ تَوَجَّهَ وَلَمْ يَكُنْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصْنَعُ ذَلِكَ فِي الصَّلَاةِ الْمَكْتُوبَةِ

Aku telah melihat Rasulullah S.A.W dalam keadaan baginda sedang berada di atas haiwan tunggangan, baginda bertasbih dengan mengisyaratkan kepala baginda menghadap ke arah yang mana haiwan itu menghadap. Dan tidaklah baginda melakukan perkara sedemikian di dalam solat fardhu. - (Hadis Riwayat Bukhari)

Manakala dalam kitab Fathul Bari, Ibn Hajar ada memberikan pendapat Ibnu Battal ketika mensyarahkan hadis ini:

"Ulama berpesepakat tentang akan pensyaratan hal ini, sesungguhnya  tidak dibolehkan seseorang menunaikan solat yang fardhu di atas haiwan tunggangan tanpa ada sebarang  keuzuran."

Hukum solat dalam kenderaan

Berdasarkan hadis di atas tadi, haiwan tunggangan yang dimaksudkan adalah kenderaan yang digunakan oleh masyarakat pada zaman dahulu iaitu pada zaman Rasulullah SAW.

Jika dibuat perbandingan pada hari ini, kenderaan moden boleh dikategorikan seperti kereta, kapal terbang, keretapi, sampan, dan seumpamanya turut memakai hukum yang sama dengan haiwan tunggangan.

Berkenaan hukum solat dalam kenderaan, ia dibolehkan dalam Islam. Namun yang demikian, solat yang boleh dilakukan dalam keadaan berada di atas atau dalam sesebuah kenderaan adalah solat sunat sahaja

Sedangkan untuk solat fardhu pula, para ulama menyatakan bahawa hendaklah seseorang itu turun dari haiwan tunggangannya untuk melaksanakannya.

Dalam erti kata lain, tidak boleh untuk menunaikan sebarang solat fardhu dalam keadaan berada di atas haiwan tunggangan.

Bagaimana menentukan arah kiblat solat dalam kereta?

Kata al-Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani:

Jika berada dalam kenderaan dan boleh menghadap kiblat bagi keseluruhan solat dan menyempurnakan segala rukunnya atau sesetengahnya hendaklah kekal dengan keadaan itu. Jika tidak boleh berkekalan menghadap kiblat pada keseluruhan solat, maka memadailah menghadap ke arah kiblat ketika mengangkat takbirat al-ihram. Jika tidak boleh, tidaklah perlu menghadap kiblat. Rujuk Matla’ al-Badrain, Syeikh Muhammad bin Ismail (1/3).

Maka tuntutan menghadap kiblat sesama solat di dalam kereta adalah berbeza mengikut kepada perbezaan situasi dan keadaan orang yang melaksanakannya.

Manakala al-Imam al-Qadhi Abu Syuja’ Rahimahullah berkata bahawa:

‘’Dibolehkan untuk seseorang itu meninggalkan (menghadap ke arah) kiblat dalam dua keadaan iaitu ketika takut yang bersangatan dan juga solat sunat semasa permusafiran yang dilakukan di atas haiwan tunggangan’’. Lihat Matan al-Ghayah wal-Taqrib, Abu Syuja’ (Hlm. 62).

Oleh yang demikian, mengambil kira keadaan dan persekitaran laluan jalan raya di dalam negara kita pada hari ini, adalah dibolehkan untuk seseorang yang menunaikan solat sunat sama ada solat sunat dhuha dan selainnya di dalam kereta untuk tidak menghadap ke arah kiblat.

Cara solat dalam kenderaan

Kaifiat atau cara solat dalam kenderaan agak berbeza dengan solat yang kita lakukan secara biasa.

Hal ini kerana, solat di dalam kenderaan hanya melibatkan isyarat dan pergerakan kepala seperti mana yang ditunjukkan oleh beberapa riwayat. Antaranya seperti:

Riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma dengan katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يُصَلِّي فِي السَّفَرِ عَلَى رَاحِلَتِهِ، حَيْثُ تَوَجَّهَتْ بِهِ، يُومِئُ إِيمَاءً، صَلاَةَ اللَّيْلِ إِلاَّ الْفَرَائِضَ، وَيُوتِرُ عَلَى رَاحِلَتِهِ‏

Adalah Nabi SAW solat di dalam permusafiran di atas haiwan tunggangannya. Dari sudut apabila haiwan itu menghadap ke arahnya, baginda mengikut ke arahnya dengan isyarat. Solat malam melainkan solat-solat fardhu, dan baginda juga melakukan solat sunat witir di atas haiwan tunggangannya. - (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Hadis ini turut dijadikan hujah oelh Imam Al-Khatib Al-Syarbini yang menyebut bahawa:

'Memadailah buatnya (orang yang solat di atas haiwan tunggangan) untuk melakukan isyarat (untuk ruku’ dan sujudnya) dan sujudnya adalah lebih rendah dari ruku’nya’’

Panduan penuh solat dalam kenderan

  1. Duduk dengan menegakkan badan di tempat duduk dalam kenderaan.
  2. Menghadap ke arah kiblat dengan berpandukan kompas atau kaedah yang sesuai walaupun tidak semestinya tepat. Memadai juga jika kita meyakini arah kiblat itu hanya pada awal solat sahaja ketika takbitarul ihram.
  3. Niatkan solat yang hendak kita tunaikan itu ketika takbiratul ihram.
  4. Bacaan surah dalam solat adalah sama sepertu solat biasa.
  5. Rukuk hendaklah dilakukan dengan isyarat iaitu dengan menundukkan sedikit kepala serta badan dan kedua tangan di letakkan pada lutut.
  6. Sujud pula dilakukan dengan menundukkan kepala dan badan terkebawah sedikit dari isyarat rukuk.
  7. Duduk diantara dua sujud, duduk tahiyat awal dan akhir masih kekal sepertu biasa dengan duduk di kerusi kenderaan.
  8. Kita tidak perlu mengubah tempat duduk untuk membetulkan arah kiblat jika kenderaan yang kita naiki itu sering bertukar arah.

Hikmah disyariatkan solat dalam kenderaan

Hikmah atau kebijaksanaan di balik disyariatkannya solat dalam kenderaan adalah:

1. Memudahkan ibadah

Salah satu hikmah disyariatkannya solat dalam kenderaan adalah memudahkan umat Islam untuk melaksanakan ibadah mereka, terutama dalam situasi yang sulit seperti dalam perjalanan jauh.

Ini menunjukkan bahwa Islam adalah agama yang memahami dan memudahkan umatnya dalam menjalankan ibadah.

2. Menjaga konsistensi

Solat adalah kewajiban yang harus dipenuhi oleh setiap Muslim setiap hari. Oleh kerana itu, disyariatkannya solat dalam kenderaan memastikan bahwa kewajiban ini dapat tetap dilakukan meskipun dalam situasi yang tidak biasa atau sulit.

3. Meningkatkan ketaqwaan

Ketika seseorang melakukan solat dalam kenderaan, mereka akan merasa lebih dekat dengan Allah kerana mereka tetap melaksanakan ibadah meskipun dalam situasi yang tidak ideal. Ini akan membantu meningkatkan ketaqwaan mereka.

4. Mengingatkan tentang kehadiran Allah

Solat dalam kenderaan juga boleh menjadi pengingat kuat bahwa Allah selalu ada dan melihat kita, tidak peduli di mana kita berada. Ini boleg membantu memperkuat keyakinan dan iman kita.

Diharapan semoga panduan solat dalam kenderaan ini dapat memberikan anda informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.

Sumber:

  1. Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-225: Hukum Solat Di Dalam Kereta. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. #196: Solat dalam Kereta Api dan Kiblatnya. Maktabah Al Bakri
  3. Bayan Linnas Siri Ke-53: Solat Di Atas Kapal Terbang: Hukum dan Caranya. Mufti Wilayah Persekutuan
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.