Cara Tayammum Untuk Bersuci Bagi Orang Sakit (Bergambar)

Tayammum adalah penganti kepada wuduk bagi seseorang untuk mengerjakan solat ketika ketiadaan air atau ada air tetapi cukup hanya untuk keperluan hidup, atau mengalami keuzuran yang tidak membolehkannya terkena air.

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan panduan tayammum yang lengkap khusus untuk bersuci bagi orang sakit.

Baca juga:

Apa itu tayammum?

Dari segi bahasa, tayammum adalah meletakkan sesuatu dengan tujuan.

Manakala dari segi istillah pula adalah menyapu debu tanah yang suci ke muka dan kedua-dua belah tangan hingga ke siku dengan niat dan cara tertentu.

Ia dilakukan sebagai penganti kepada wuduk atau mandi wajib.

Dalil tentang tayammum

Dalil al-Qur’an tentang Tayammum adalah pada surah An-Nisa, ayat 43:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا وَإِن كُنتُم مَّرْضَىٰ أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِّنكُم مِّنَ الْغَائِطِ أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَفُوًّا غَفُورًا

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan.

Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.

Dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh dengan perempuan,

kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu, yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.

Kemudian dinyatakan juga pada surah Al-Maidah ayat 6:


وَإِنْ كُنْتُمْ مَرْضَى أَوْ عَلَى سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنَ الْغَائِطِ أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ مِنْهُ

Dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau kembali dari tempat buang air atau berhubungan badan dengan perempuan, lalu kamu tidak memperoleh air,

maka bertayammumlah dengan permukaan bumi yang baik (bersih); sapulah mukamu dan tanganmu dengan tanah itu”.

Adapun dalil dari As Sunnah adalah sabda Rasulullah SAW daripada sahabat Hudzaifah Ibnul Yaman RA,

 وَجُعِلَتْ تُرْبَتُهَا لَنَا طَهُورًا إِذَا لَمْ نَجِدِ الْمَاءَ

Dijadikan bagi kami (umat Nabi Muhammad SAW permukaan bumi sebagai thohur (sesuatu yang digunakan untuk bersuci (tayammum)) jika kami tidak menjumpai air.” – (Hadis Riwayat Muslim, No. 522)

Mengapa perlu bertayammum?

Umat Islam diperbolehkan untuk bertayammum bila mana:

  • Tida adanya air yang cukup untuk wuduk atau mandi wajib.
  • Tidak mampu menggunakan air seperti orang lemah, orang yang dipenjara, atau takut binatang buas.
  • Sakit atau memperlambatkan sembuh dari sakit bila menggunakan air.
  • Jumlah air sedikit dan lebih diperlukan untuk menyambung hidup.
  • Tidak adanya alat untuk menimba / mendapatkan air, meski pun airnya ada dalam perigi misalnya.
  • Takut habisnya waktu solat sedangkan untuk mendapatkan air sangat jauh.
  • Keadaan yang sangat dingin atau sebab tertentu yang tidak membolehkan seseorang itu untuk berwuduk seperti biasa atau memudaratkan kesihatan.

Syarat dan rukun tayammum

Berikut adalah antara syarat dan rukun tayammum yang perlu anda tahu:

Syarat-syarat tayammum

  • Menggunakan debu tanah yang suci.
  • Hilangkan najis terlebih dahulu
  • Masuk waktu solat.
  • Bertayammum bagi setiap ibadah fardhu.

Rukun tayammum

  1. Niat
  2. Menyapu debu tanah ke muka.
  3. Menyapu debu tanah pada kedua-dua belah tangan hingga ke siku.
  4. Tertib

Perkara sunat ketika tayammum

  1. Menghadap kiblat
  2. Membaca Basmalah
  3. Memulakan sapuan pada bahagian atas muka.
  4. Menipis debu tanah.
  5. Mendahulukan tangan kanan daripada tangan kiri.
  6. Berturut-turut antara sapuan dan tangan.
  7. Berdoa

Cara untuk bertayammum?

  1. Selepas berniat, hendaklah menepuk kedua-dua tangan untuk menipiskan debu.
  2. Tepukan pertama untuk disapu ke muka iaitu bermula dari bahagian atas ke bawah.
  3. Menyapu debu di tangan kiri ke tangan kanan hingga ke siku.
  4. Menyapu debu di tangan kanan ke tangan kiri hingga ke siku.
  5. Tidak diwajibkan tertib atau berurutan ketika melakukannya.

Perkara yang membatalkan tayammum

  • Melakukan perkara yang membatalkan wuduk.
  • Ada air sebelum waktu solat.
  • Sembuh daripada sakit.
  • Luput waktu solat.
  • Murtad.

Hikmah disyariatkan tayammum

Terdapat banyak hikmah dalam Islam mengapa umat Islam diperbolehkan untuk bertayammum. Antara hikmahnya adalah kerana:

1. Kemudahan

Islam adalah agama yang mengutamakan kemudahan dan tidak membebankan umatnya.

Dalam situasi di mana air tidak tersedia atau penggunaannya terbatas, atau ketika seseorang tidak mampu menggunakan air kerana alasan kesihatan, tayammum diperbolehkan.

2. Kesinambungan ibadah

Salah satu tujuan disyariatkannya tayammum adalah agar umat Islam dapat terus melakukan ibadah seperti solat, walaupun berada dalam situasi yang tidak memungkinkan untuk berwuduk atau mandi junub.

Dengan demikian, ibadah kepada Allah tidak terputus.

3. Keselamatan

Jika penggunaan air boleh membahayakan kesihatan, misalnya pada orang yang sakit.

Maka disyariatkannya tayammum juga merupakan bentuk perlindungan dan penghargaan Islam terhadap kehidupan dan kesihatan umat manusia.

4. Penjimatan air

Dalam situasi di mana air sangat terbatas, tayammum membantu dalam menjimatkan air.

Hal ini sejalan dengan prinsip-prinsip Islam tentang pelestarian sumber daya alam dan penggunaannya secara bijaksana.

5. Mendidik diri tentang fleksibiliti

Disyariatkannya tayammum juga mengajarkan kepada umat Islam tentang fleksibiliti dalam beragama. Islam mengizinkan penyesuaian dalam ibadah sesuai dengan keadaan dan situasi yang dihadapi.

Semoga panduan berkenaan dengan tayammum ini dapat memberikan anda informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan dalam hidup.

Sumber:

  1. Panduan Bersuci & Bersolat Bagi Pesakit. JAKIM
  2. Irsyad Al-Fatwa Ke-186: Hukum Bagi Mereka Yang Uzur dan Tidak Dapat Mengambil Wudhu Dengan Air. Mufti Wilayah Persekutuan
  3. Al-Kafi #561: Kaedah Wuduk Bagi Pesakit Yang Ditampal Jarum. Mufti Wilayah Persekutuan
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.