Cara Wuduk Orang Sakit: Anggota Yang Luka dan Berbalut

Wuduk perkara yang sangat penting dalam melakukan sesuatu ibadah khususnya solat. Jika seseorang itu tidak berwuduk sebelum solat, maka dikirakan solatnya itu tidak sah selagi mana mereka tidak bersuci terlebih dahulu.

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda mengenai cara wuduk orang sakit.

Apa itu wuduk?

cara wuduk orang sakit

Dari segi bahasa, wuduk adalah perbuatan menyucikan diri dengan air sebelum beribadah.

Manakala dari segi syarak pula, wuduk bermaksud membersihkan sesuatu yang tertentu dengan beberapa perbuatan yang tertentu yang dimulakan dengan niat, iaitu membasuh muka, membasuh kedua-dua belah tangan, menyapu kepala dan akhirnya membasuh kedua belah kaki dengan syarat-syarat dan rukun-rukun yang tertentu.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Maai’dah, ayat 6 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali … ” 

Hukum solat bagi orang sakit

Umat Islam diberikan kelonggaran untuk bersuci dan melaksanakan solat mengikut keupayaan diri masing-masing.

Hal ini berdasarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Imran Husain bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Solatlah dengan berdiri, kalau tidak kuat maka duduklah, kalau (masih) tidak kuat maka berbaringlah dengan posisi miring." - (Hadis Riwayat oleh Imam Bukhari, Tirmizi, Ibnu Majah dan Abu Daud)

Cara wuduk bagi pesakit yang ditampal jarum (jabirah)

Bagi pesakit yang dipasangkan jarum di atas tapak tangan untuk dimasukkan drip air dan ubat, anda perlu memastikan sekiranya dicabut adakah mendatangkan kemudaratan tertentu?

Sekiranya tidak mendatangkan kemudaratan, maka anda boleh mencabutnya dan ambil wuduk seperti biasa.

Tetapi jika sebaliknya, yakni mendatangkan kesakitan dan lebih parah maka bolehlah disapu air di atas pelekat itu seperti hukum sapuan atas jabirah (balutan luka) dan bertayammum sebagai ganti wuduk anggota luka.

Jabirah ini adalah ikatan, balutan atau ubat yang diletakkan (dilekatkan) di atas anggota yang sakit dan anggota yang sakit itu adalah anggota wuduk atau anggota tayamum.

Cara Wuduk Orang Sakit dan Tayammum


  • Mengambil wuduk dengan membasuh anggota yang tidak sakit dengan air.
  • Kemudian, menyapu air ke atas jabirah yang melekat pada anggota yang sakit. Ia bertujuan menggantikan basuhan biasa ke atas anggota yang sakit itu.
  • Bertayammum bagi menggantikan basuhan pada anggota yang sakit.

Cara wuduk bagi anggota berbalut

cara wuduk orang sakit

Anggota badan pesakit yang berbalut juga termasuk dalam kategori jabirah. Seseorang yang berjabirah wajib wuduk pada anggota yang tidak berjabirah dan bertayamum pada anggota yang ada jabirah.

Namun yang demikian, sekiranya anggota jabirah lebih dari satu anggota maka kekerapan tayamum mengikut bilangan anggota wuduk yang dilekatkan jabirah.

Contohnya, jika terdapat empat anggota wuduk yang jabirah, bilangan tayammumnya akan berlaku sebanyak 3 kali. Iaitu pertama muka, kedua pada kedua-dua belah tangan dan ketiga pada kedua-dua belah kaki.

Bagi kepala pula, tidaklah diwajibkan untuk bertayammum. Sebaliknya anda boleh menyapu sedikit air di bahagian yang tidak melekat jabirah.

Berbeza sekiranya keseluruhan kepala kita berjabirah. Maka wajiblah untuk bertayammum sebanyak 4 kali.

Cara wuduk bagi anggota yang luka

Ada jenis kecederaan ringan yang biasanya hanya memberi kesan luka kecil pada anggota badan tanpa jabirah atau balutan. Sungguhpun lukanya kecil, anggota badan tersebut akan berasa pedih dan sakit apabila terkena air.

Bagi situasi ini, kita wajib untuk  berwuduk pada anggota yang boleh terkena air dan bertayamum bagi menggantikan wuduk pada anggota yang tidak boleh terkena air.

Cara wuduk bagi pesakit yang tidak boleh bergerak

Pesakit yang tidak boleh bergerak sama sekali tetapi tidak mempunyai jabirah atau dalam kata lain boleh berwudhu boleh meminta bantuan orang lain untuk membantu ambil wuduk seperti biasa.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, menggunakan spray air untuk mengambil wuduk adalah sah sekiranya cukup syarat-syarat sahnya.

Syarat sah wuduk terbahagi kepada perkara yang berikut, seperti:

  1. Menggunakan air yang suci ketika berwuduk, dan disyaratkan untuk mengetahui bahawa air yang digunakan itu adalah air mutlak walaupun secara dzhan (sangkaan).
  2. Tidak terdapat perkara yang menghalang, iaitu perkara yang menghalang air daripada terkena pada anggota wuduk.
  3. Mengalirkan air pada anggota yang dibasuh.
  4. Tidak terdapat perkara yang ditegah untuk berwuduk seperti haid, nifas, menyentuh kemaluan dan lain-lain.
  5. Mengetahui cara-cara berwuduk.
  6. Menghilang kekotoran dan najis pada anggota wuduk.

Hukum orang sakit minta bantuan berwuduk

Hukum bagi orang sakit meminta bantuan berwuduk dari orang sihat yang lain adalah harus sekiranya dia tidak mampu untuk berwuduk atau bertayamum dengan sendiri kerana uzur.

Manakala hukum bagi orang sakit yang mampu untuk berwuduk sendiri tetapi meminta bantuan orang lain adalah makruh.

Cara berwuduk bagi pesakit yang tidak boleh terkena debu tanah

Dalam keadaan tertentu, ada sesetengah pesakit yang tidak boleh terkena debu tanah untuk berwuduk. Dan bahkan jika dipaksa untuk bertayammum sekalipun ini boleh memberi mudharat dan kesakitan kepada pesakit misalnya luka terbakar.

Oleh yang demikian, pesakit tersebut perlu solat tanpa bersuci dan wajib untuk mengulangi solat apabila sembuh nanti.

Kesimpulannya

Diharapkan semoga perkongsian kami berkenaan cara wuduk orang sakit ini dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan panduan bersama.

Sumber:

  1. Al-Kafi #561: Kaedah Wuduk Bagi Pesakit Yang Ditampal Jarum. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Orang Sakit Minta Bantuan Berwuduk dan Jamak Solat. Mufti Perlis
  3. Panduan Bersolat, Bersuci & Berpuasa Bagi Pesakit. Mufti Penang
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.