Niat Wudhu & Doa Selepas Wudhu (Dalam Teks Arab & Rumi) Serta Manfaatnya

Wudhu itu elemen penting dalam melakukan sesuatu ibadah khususnya solat. Tanpa wudhu sesetengah ibadah yang kita lakukan tidak sah. Oleh yang demikian sangat penting untuk kita mempelajari niat wudhu dan segala rukunnya serta syarat sah untuk memastikan wudhu tidak terbatal.

Apa itu wudhu?

Dalam konteks bahasa, wudhu atau bahasa pasarnya digelar sebagai air sembahyang adalah perbuatan menyucikan diri dengan air sebelum beribadah.

Sedangkan dari konteks syarak, wudhu bermaksud membersihkan sesuatu yang tertentu dengan beberapa perbuatan yang tertentu yang dimulakan dengan niat, iaitu membasuh muka, membasuh kedua-dua belah tangan, menyapu kepala dan akhirnya membasuh kedua belah kaki dengan syarat-syarat dan rukun-rukun yang tertentu.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali … ” – (Surah Al-Maai’dah, ayat 6)

Niat wudhu

Berikut adalah beberapa pilihan niat wudhu yang boleh anda baca ketika mengambil wudhu.

Pilihan 1

Nawaitu rafaal hadasi as ghori lillahi Taala 

Maksudnya: “Sahaja aku mengangkat hadas kecil kerana Allah Ta’ala.”

Pilihan 2

Nawaitul wudu a lilahi Taala

Maksudnya: “Saya niat berwuduk kerana Allah Ta’ala.”

Pilihan 3

Nawaitul wudu a liraf’il hadasil asghari fardhan lillahi taala

Maksudnya: “Saya niat berwudhu untuk menghilangkan hadas kecil fardu (wajib) karena Allah Ta’ala.”

Bacaan doa selepas wudhu

“Asy hadu an laa Ilaha illallahu. Wahdahu laa syarikalah. Wa asy hadu anna Muhammadan ‘abduhu warasuluh. Allahummaj ‘alni minat tauwabin, waj ’alni minal mutatahhirin. Waj ‘alni min ‘ibadikas solihin.”

“Aku bersaksi tidak ada Tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa. Tidak ada sekutu untuk Nya. Aku bersaksi juga bahawa Nabi Muhammad itu hamba dan utusan Nya. Ya Allah, jadikan aku daripada golongan orang yang bertaubat kepada Mu. Dan jadikanlah aku daripada golongan orang yang bersih. Dan jadikan aku daripada golongan hamba Mu yang soleh.”

Syarat sah berwudhu

Antara syarat sah berwudhu yang perlu anda tahu adalah seperti:

  1. Islam (orang bukan Islam tidak wajib berwudhu)
  2. Mumayyiz / tamyiz (dapat membezakan yang mana baik dan buruk iaitu yang telah berusia antara tujuh hingga sembilan tahun)
  3. Tidak berhadas besar (haid, nifas, dan junub)
  4. Berwudhu dengan air yang suci dan menyucikan
  5. Tidak ada penghalang air sampai ke kulit, rambut dan kuku seperti cat, lilin, getah, tatu, pewarna rambut, pewarna kuku, gincu bibir, eyeshadow, dan sebagainya
  6. Mengetahui mana yang wajib dan mana yang sunnah

Rukun wudhu

Rukun wudhu adalah merupakan hal-hal yang membentuk kesatuan wudhu yang telah ditentukan. Maksudnya di sini, sekiranya kita meninggalkan atau tidak melaksanakan salah satu dari rukun ini, maka wudhu menjadi batal.

Dalam al-Fiqh al-Manhaji menyatakan bahawa:

وفروض الوضوء ستة وهي: النية، وغسل الوجه، وغسل اليدين، مع المرفقين، ومسح بعض الرأس، وغسل الرجلين مع الكعبين، والترتيب

Maksudnya: Rukun-rukun wuduk itu enam iaitu: niat, membasuh muka, membasuh kedua tangan hingga siku, menyapu sebahagian kepala, membasuh kedua kaki sehingga buku lali dan tertib.

Begitu juga dalam mazhab al-Syafie rukun wuduk terbahagi kepada enam. Antara rukun wudhu yang perlu anda tahu adalah seperti:

1. Niat

Iaitu diniatkan di dalam hati ketika mengambil wudhu bacalah sewaktu mula hendak membasuh muka.

2. Membasuh muka

Mengalirkan air serta meratakannya ke seluruh muka yang dibasuh itu, dari dahi sampai ke dagu (jika ada janggut, hendaklah diratakan seluruhnya) dan dari telinga kanan hingga ke telinga kiri sebanyak 3 kali.

3. Membasuh tangan hingga ke siku

Dimulai dari hujung jari hingga siku. Mulakan dari tangan kanan dahulu dan diikuti tangan kiri, lakukan sebanyak 3 kali.

4. Membasuh kepala

Meratakan dan menyapu ubun kepala. Adalah baik menyapu seluruh kepala sebanyak 3 kali.

5. Membasuh kaki hingga ke buku lali

Mengalir dan meratakan air kepada dua kaki serta celah-celah jari kaki, tumit hingga buku lali atau mata kaki. Mulakan dari sebelah kanan ke kiri sebanyak 3 kali.

6. Tertib

Mengikut urutan. Yang dahulu didahulukan dan yang kemudian dikemudiakan.

Hikmah berwudhu dalam kehidupan

Banyak sebenarnya kebaikan jika kita mengamalkan wudhu setiap hari. Antara kelebihan yang boleh kita perolehi adalah seperti:

  • Menjadi sebahagian daripada iman
  • Mampu menghapuskan dosa-dosa kecil
  • Boleh mengangkat darjat manusia
  • Boleh mengelakkan gangguan syaitan
  • Tubuh badan sentiasa dalam keadan suci dari najis
  • Menjaga kesihatan kulit yang baik

Diharapkan panduan niat wudhu ini dapat memudahkan anda untuk mengerjakan ibadah solat setiap hari.

Sumber:

  1. Menyingkap Rahsia Bacaan Solat, Kunci Kelazatan Iman Solat Bestari (Cetakan 1, 2010). Karya Bestari, penulis Muhammad Nazir Mohammed Khalid.
  2. Cara Ambil Wudhu (Mengambil Wuduk Dengan Betul & Sempurna). The Rohani
  3. 5 Manfaat Berwudhu untuk Kehidupan Sehari-hari, Umat Muslim Wajib Tahu (Disember, 2020). Merdeka.com
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.