Maksud Darah Istihadah & Penjelasan Hukum Berkaitan
CARA MENGENALI & HUKUM BERKAITAN DARAH ISTIHADAH
Sangat menakjubkan bagi kaum wanita kerana mereka diberikan keistimewaan boleh mengeluarkan tiga jenis darah yang berbeza dari saluran yang sama. Dan bahkan setiap darah itu mempunyai hukum dan penjelasan yang berbeza-beza dari sudut agamanya.
Para ilmuwan Islam dan pakar perubatan menjelaskan tiga darah yang dimaksudkan ini adalah haid (mestruasi), nifas (metrorrhagia), dan istihadah / lokai (lochia).
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda semua mengenai darah istihadah dan ulasan lengkap yang perlu setiap wanita Muslim tahu tentangnya.
Pengertian Darah Istihadah
Dari segi fiqh, darah istihadah adalah darah penyakit yang keluar melalui urat di hujung rahim yang dikenali sebagai Al-Azil.
Manakala dari segi perubatan pula, ia bermakna pendarahan dari faraj selain dari masa kitaran haid normal ataupu pendarahan nifas selepas bersalin.
Selain itu, ia juga didefinisikan berbeza dari darah haid iaitu:
هي الدم الزائد على اكثر الحيض والنفاس او هي الدم الخارج من غير أيام الحيض والنفاس
Maksudnya: “Darah yang keluar melebihi tempoh sebanyak-banyak haid dan nifas atau darah yang keluar bukan pada hari-hari haid dan nifas.” – (Lihat: al-Taqrirah al-Sadidah, 1/167)
Hal ini bermaksud darah haid berlaku dalam tempoh tertentu berbeza dengan istihadah yang tidak mempunyai tempoh waktu tertentu.
Dari segi istilah, darah yang keluar itu adalah disebabkan penyakit atau kerosakan yang ebrlaku pada saluran darah di hujung kawasan rahim yang keluar bukan dalam tempoh haid dan nifas.
Punca Darah Istihadhah
Banyak sebab yang boleh membawa kepada seseorang wanita itu mengeluarkan darah istihadah. Namun masalah yang kerap berlaku adalah disebabkan oleh:
1. Mengandung
Kandungan yang bermasalah akan berlaku pendarahan berpanjangan sehingga 12 minggu berturut-turut. Ini juga dikenali dengan darah istihadah
2. Ovulasi
Ovulasi boleh mengeluarkan pendarahan tidak normal dari faraj.
3. Kanser
Kanser pada bahagian faraj khususnya seperti cervix, uterus dan sebagainya.
4. Pil perancang kehamilan
Wanita yang ingin merancang kehamilan akan mengambil pil perancang kehamilan untuk elak dari mengandung. Sebenarnya, ada sesetengah kes di mana pengambilan ubat-ubatan ini akan menyebabkan pendarahan tidak normal pada faraj.
5. Polycystic ovary syndrome (PCOS)
PCOS adalah masalah kesihatan yang berlaku disebabkan hormon yang tidak stabil. Ianya akan menganggu proses ovulasi seseorang menjadi tidak normal.
Dalil
Rasulullah SAW bersabda kepada Fatimah Binti Abu Hubaish,
“Jika darah haid, ia adalah darah yang dikenali kehitam-hitaman. Jika ia bersifat demikian janganlah bersolat dan jika sebaliknya maka berwudhulah dan dirikan solat kerana darah itu ialah darah daripada urat (darah penyakit).”
Soalan Fatimah Binti Abu Hubaish kepada Rasulullah SAW:
“Wahai Rasulullah! Aku perempuan yang di datangi darah istihadah dan masih belum bersuci, adakah aku perlu meninggalkan solat?
Jawab Baginda SAW: “Tidak perlu, kerana darah itu ialah darah penyakit, bukannya darah haid. Ketika kedatangan haid tinggalkanlah solat dan apabila tempohnya habis hendaklah kamu mandi membersihkan diri daripada darah, dan dirikanlah solat.”
Ummy Salamah meminta fatwa kepada Nabi SAW mengenai seorang wanita yang sentiasa mengeluarkan darah. Nabi SAW bersabda:
“Hendaklah perempuan itu mengenal pasti terlebih dahulu bilangan siang dan malam selama haid serta kadar hari-harinya setiap bulan. Setelah mengetahui waktu haid dan kadarnya itu, maka hendaklah ia menghentikan solat pada waktu-waktu tersebut.
Sesudah waktu haid itu berakhir, dia dikehendaki menampalkan kemaluannya dengan sehelai kain, laku kerjakanlah solat.”
Cara Mengenali Darah Istihadah
Untuk mengenali darah istihadah ini, terdapat beberapa cara untuk membezakannya. Antara caranya itu adalah seperti:
Warna darah
Kaedah utama dalam mengenal jenis darah adalah dari meneliti warna dan sifat darah yang keluar. Sekiranya darah tersebut kehitaman, bererti ia adalah darah haid, tetapi apabila ia berubah menjadi warna merah ia adalah darah istihadah.
Biasanya darah ini berwarna cerah atau merah segar, cair dan tidak berbau.
Tempoh darah keluar
Terdapat beberapa jenis istihadah boleh dilihat dari segi tempoh ia terjadi iaitu:
- Kurang daripada tempoh minima haid iaitu kurang daripada sehari semalam.
- Melebihi tempoh haid iaitu lebihh 15 hari.
- Sebelum didatangi haid dan selepas putus haid (menopaus).
- Melebihi tempoh maksima nifas iaitu melebihi 60 hari.
- Melebihi kebiasaan tempoh bagi haid dan nifas serta melangkau tempoh yang paling lama bagi kedua-duanya.
Kategori hadas
Hukum darah istihadah tidak sama dengan darah haid dan nifas. Ini bermakna, mereka yang mengalami istihadah tergolong dalam kategori hadas kecil.
Atau dalam kata lain, seorang wanita yang terkena istihadah adalah wajib untuk solat dan berpuasa di bulan Ramadhan seperti biasa.
Hanya sahaja mereka perlu membersihkan darah tersebut dan memperbaharui wudhu setiap kali ingin mendirikan solat fardhu.
Bau
Darah akan berbau sehingga pada hari kesepuluh ia keluar. Kemudian seterusnya tiada lagi bau. Darah yang berbau itu adalah darah haid, manakala yang tidak berbau adalah istihadah.
Cara Mengira Tempoh Darah Istihadah
Sebelum mengira darah istihadah ada dua perkara yang perlu kita tahu iaitu pegangan mazhab yang diguna dan juga tempoh kiraan haid yang berlaku setiap bulan.
Bagi mazhab Syafie tempoh minimum bagi haid adalah sehari semalam (24 jam). Manakala tempoh maksimum bagi haid adalah selama 15 hari. Jika darah yang keluar selepas daripada itu, maka ia dihukum sebagai darah istihadah atau darah yang berpenyakit.
Pengurusan ibadah wanita didatangi istihadah
Hukum Ibadah Ketika Istihadah
- Wajib solat fardu & boleh menunaikan solat sunat.
- Berpuasa
- Boleh melakukan Tawaf
- Boleh Membaca al-Quran
- Boleh Menyentuh mashaf
- Boleh Masuk ke dalam masjid
- Boleh beriktikaf di dalam masjid
Kelainan bagi wanita yang didatangi istihadah ini sedikit berbeza dengan wanita suci yang lain. Terdapat lima perkara yang membezakannya iaitu:
- Wajib berwudhu setiap kali hendak mendirikan solat. Hal ini berdasarkan kepada hadis Nabi SAW, “Kemudian berwuduklah setiap kali hendak solat.” – (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
- Tidak berwudhu melainkan setelah masuknya waktu solat. Jika solat itu tidak mempunyai waktu, maka berwudhulah sebelum menunaikannya.
- Membasuh kemaluan setiap kali sebelum berwudhu untuk mendirikan solat
- Disunatkan kepadanya agar menutup kemaluan dengan kain atau sebagainya setiap kali sebelum mendirikan solat.
- Bersegera melakukan solat pada awal waktu dan tidak melengahkannya dengan perkara yang tidak berkaitan dengan solat seperti makan, minum, dan sebagainya.
Diharapkan semoga perkongsian kami mengenai darah istihadah ini dapat menambahkan ilmu pengetahuan dan informasi yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan setiap masa.
Sumber:
- Al-Kafi #1830: Kaedah Menentukan Darah Sama Ada Haid atau Istihadah. Mufti Wilayah Persekutuan
- Haid Berlarutan Hingga Sebulan Tanda Darah Istihadhah, Boleh Ke Bersama Dengan Suami? Hello Doktor
- Perkara Ramai Keliru Tentang Darah Haid, Istihadah, Wiladah & Nifas. Sirap Limau