5 Perkara Rukhsah Puasa Ibu Menyusu Perlu Anda Tahu
Apakah itu rukhsah ibu menyusu dan cara untuk mengantikannya semula?
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan rukhsah puasa ibu menyusu bayi atau yang sedang hamil.
Baca juga:
Apa itu rukhsah puasa?
Rukhsah adalah suatu ketetapan hukum yang disyariatkan disebabkan satu keuzuran dan kesusahan.
Antara contoh rukhsah adalah keharusan mengqasarkan solat fardhu empat rakaat kepada dua rakaat sewaktu bermusafir, keharusan bertayammum sebagai ganti kepada wudhu ketika ketiadaan air, keringanan untuk tidak berpuasa kepada golongan yang uzur dan sebagainya.
Rukhsah puasa diberikan oleh syarak kepada yang tidak mampu berpuasa antaranya wanita hamil atau menyusukan bayi.
Ini kerana dikhuatiri sekiranya wanita itu tersebut terus berpuasa ia boleh mendatangkan mudarat sama ada kepada diri sendiri atau janin dalam perut atau bayi yang sedang disusukan.
Dalil tentang rukhsah puasa ibu menyusu
Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 184 yang bermaksud:
وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ
"Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin."
Menurut kenyataan Imam al-Syafie ketika membahaskan ayat di atas bahawa wanita yang hamil sekiranya khuatir akan keselamatan janinnya maka dibolehkan untuk berbuka.
Ini sama juga bagi wanita yang menyusukan sekiranya memudaratkan susunya dengan mudarat yang jelas (maka dibolehkan berbuka).
Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى وَضَعَ عَنِ الْمُسَافِرِ الصَّوْمَ وَشَطْرَ الصَّلاَةِ، وَعَنِ الْحَامِلِ أَوِ الْمُرْضِعِ الصَّوْمَ أَوِ الصِّيَامَ
"Sesungguhnya Allah SWT memberi keringanan kepada orang yang musafir dengan separuh solat, wanita hamil dan wanita yang menyusukan anaknya." - (Hadis Riwayat Al-Tirmizi, No. 715)
Rukhsah puasa dan gantiannya
Berikut adalah beberapa keadaan wanita yang sedang hamil atau menyusukan untuk merukhsah puasa mereka dan cara mengantikannya.
- Sekiranya wanita hamil atau menyusukan anak itu bimbang keselamatan atau kesihatan dirinya, maka mereka dibolehkan untuk berbuka dan wajib menggantikan puasa sahaja.
- Sekiranya wanita hamil atau menyusukan anak itu bimbang akan diri dan juga anak mereka, maka dibolehkan untuk berbuka puasa dan wajib menggantikan puasa sahaja.
- Sekiranya wanita hamil atau menyusukan anak itu bimbang akan anak mereka sahaja, maka dibolehkan untuk berbuka puasa dan wajib menggantikan puasa tersebut dan membayar fidyah bagi setiap hari yang mereka tidak berpuasa.
Tanda bahaya ibu menyusu perlu berbuka
Ibu menyusu perlu peka dan ambil berat akan sebarang perubahan yang berlaku pada tubuh badan serta kesihatan diri mereka.
Terdapat beberapa tanda yang boleh anda pastikan dan menjadi simptom untuk anda berbuka puasa demi kesihatan diri.
- Pening, pengsan, lemah atau letih
- Loya atau muntah
- Berasa sangat dahaga atau air kencing berwarna gelap, berbau kuat dan kuantiti sedikit
- Berat badan tidak bertambah dan berkurang
- Rasa sakit dalam perut
- Sakit kepala atau demam
- Berpeluh dan badan menggeletar
Tips berpuasa bagi ibu menyusu
Secara umumnya, berpuasa tidak mendatangkan risiko bahaya kepada bayi. Hal ini kerana badan kita masih boleh menghasilkan susu semasa berpuasa.
Dan bahkan pengambilan kalori yang kurang seharusnya tidak menjejaskan jumlah penghasilan susu.
Kebiasaannya, wanita yang berpuasa dan tetap menyusukan bayi tidak akan mengalami sebarang masalah. Namun setiap orang berbeza-beza cara penerimaannya.
Justeru itu, di sini kami kongsikan beberapa tips berkesan bagi ibu menyusu yang ingin puasa full sebulan ketika bulan Ramadhan.
1. Minum air yang mencukupi
Air sangat penting kepada tubuh badan kita. Pastikan anda mengambil 2 – 3 cawan gelas air pada waktu sahur dan berbuka puasa untuk kekal hidrasi.
Begitu juga, sekiranya anda bangun pada tengah malam untuk menyusukan bayi, jangan lupa untuk minum sedikit air.
2. Minum smoothie pada waktu sahur
Ketika bersahur, amalkan minum smoothie bagi menambah jumlah kalori dalam badan.
Sekiranya anda tidak mampu untuk ambil segelas penuh smoothie, memadai dengan segelas smoothie ketika sahur.
3. Elak dari makan makanan bergoreng
Elakkan makanan yang bergoreng secara berlebihan kerana ia boleh memotong manfaat nutrisi yang diterima bayi.
4. Ambil pemakanan seimbang dan berkhasiat
Pastikan sajian yang anda makan itu seimbang iaitu mengandungi semua nutrisi yang penting dan berkhasiat.
Hal ini dapat membantu anda melakukan proses menyusu badan ketika berpuasa dengan lancar.
5. Makan suplemen tambahan
Anda boleh cuba mengambil suplemen tambahan atas nasihat doktor untuk membantu memberi tenaga yang diperlukan ketika menyusukan bayi.
Diharapkan perkongsian kami mengenai rukhsah puasa ibu menyusu ini dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.
Sumber:
- Irsyad Fatwa Khas Ramadhan Siri Ke-183: Hukum Rukhsah Berbuka Puasa Bagi Wanita Yang Mengandungkan atau Menyusukan Anak Zina. Mufti Wilayah Persekutuan
- Irsyad Usul Al-Feqh Siri Ke-36: Rukhsah atau ‘Azimah Yang Lebih Afdhal. Mufti Wilayah Persekutuan