Cara Mandi Jenazah Wanita (Panduan Bergambar)

Bagaimanakah cara mandi jenazah wanita Islam yang betul menurut syarak?

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda tentang cara mandi jenazah wanita dengan betul berpandukan gambar yang diberikan.

Baca juga:

Perkara yang wajib dilaksanakan ke atas jenazah

Apabila seseorang Islam meninggal dunia maka fardhu kifayah kepada orang yang hidup melaksanakan perkara-perkara yang berikut seperti:

  • Memandikan
  • Mengkafankan
  • Menyembahyangkan
  • Mengkebumikan

Keempat-empat perkara tersebut adalah wajib dilaksanakan dengan sempurna dan segera kecuali orang yang mati syahid, maka hanya wajib dikafankan dan dikebumikan dan haram dimandi dan disembahyangkan.

Pengertian memandikan jenazah

Maksud memandikan jenazah adalah dengan meratakan air ke seluruh tubuh badan jenazah sesudah dibersihkan najis yang ada pada badannya sehingga kepada faraj yang terbuka di waktu duduk mencangkung dan ke bawah kulub zakar jika zakar itu boleh dibukakan.

Dalil tentang memandikan jenazah ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma:

اغْسِلُوهُ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ, وَكَفِّنُوهُ فِي ثَوْبَيْنِ

“Mandikanlah dia dengan air yang dicampur daun bidara dan kafanilah dengan dua helai kain." - (Hadis Riwayat Al-bukhari, No. 1265)

Cara memandikan jenazah

1.  Meletakkan jenazah di atas tempat yang khusus

Kedudukan jenazah yang akan dimandikan itu seharusnya lebih tinggi sedikit dari lantai tempat memandikan jenazah.

Anda boleh meletakkan jenazah diletakkan di atas tempat mandinya yang telah disediakan khusus.

2. Kedudukan jenazah

Kedudukan mayat di atas tempat mandiannya, seharusnya dalam keadaan terlentang bujur menghadap muka, dada dan tapak kakinya ke arah kiblat.

3. Tempat yang suci dan terlindung

Memandikan jenazah hendaklah pada suatu tempat yang keadaannya sunyi, terlindung daripada pandangan orang lain dan yang tidak ada orang lalu lalang seperti sebuah bilik.

4. Tutup badan jenazah

Semasa memandikan jenazah, seluruh tubuh badan jenazah hendaklah ditutup supaya auratnya tidak mudah terbuka dan tidak kelihatan oleh pandangan orang lain.

Seeloknya jenazah dimandikan dalam sehelai kain sarung yang nipis supaya air mudah menyerap masuk dan mudah bagi Juru Mandi Mayat berkenaan memasukkan tangan untuk menggosok dan membersihkan mana-mana bahagian badan jenazah yang dibersihkan.

5. Tutup muka jenazah

Sunat ditutup muka jenazah pada masa membawa atau mengusung jenazah ke tempat mandinya dan seterusnya sepanjang masa ia dimandikan.

6. Tinggikan kepala jenazah

Ketika jenazah dimandikan, seharusnya keadaan kedudukan jenazah berkenaan ditinggikan sedikit bahagian kepalanya supaya air mandinya mudah mengalir ke arah kakinya.

7. Letak bekas air

Bekas air yang berfungsi untuk memandikan jenazah seperti tempayan atau tong atau sebagainya hendaklah diletak agak jauh dari jenazah yang sedang dimandikan.

Hal ini supaya air di dalamnya tidak dimasuki semula oleh air yang telah digunakan semasa memandikan jenazah berkenaan.

8. Mengosongkan perut jenazah

Sebelum memulakan pemandian, hendaklah terlebih dahulu dikosongkan perut jenazah dari sebarang jenis benda-benda kotor yang boleh dikeluarkan.

Pastikan bahawa sebarang rupa kekotoran dan najis tidak ada lagi di dalam perut jenazah berkenaan sekaligus tidak keluar semasa ia dimandikan atau sewaktu ia dikafankan.

Untuk mengosongkan benda-benda kotor atau najis dalam perut jenazah, Juru Mandi hendaklah mengangkat sedikit badan jenazah lalu disandarkan kepada lutut kanannya serta meletakkan tangan kanannya ditengah-tengah belikat jenazah.

Sementara ibu jari kanan diletakkan dihujung tengkuk jenazah supaya kepala jenazah itu tidak terluka.

Tangan kiri Juru Mandi Mayat pula terus mengurut perut jenazah tersebut dengan perlahan berulang kali untuk mengeluarkan segala kekotoran dan najis dari dalam perut.

Dalam masa yang sama, Juru Siram terus menyiram air dengan sebanyak mungkin untuk membasuh dan membersih kekotoran dan najis yang keluar dari perut jenazah tersebut.

Lebih baik dibakar gaharu atau setanggi atau kemenyan atau seumpamanya supaya keadaan tempat memandi jenazah berbau harum mengatasi kemungkinan bau tidak menyenangkan dari jenazah berkenaan kesan dan kekotoran serta najis yang keluar.

9. Baringkan semula jenazah

Setelah selesai membasuh segala kekotoran dan najis dari jenazah, jenazah hendaklah dibaringkan semula di atas tempat mandiannya dalam keadaan terlentang membujur seperti sebelumnya.

10. Bersihkan gigi, lubang hidung dan telinga jenazah

Bersihkan pula gigi, lubang hidung, telinga dan celah-celah kuku tangan dan kuku kaki jenazah menggunakan alat bersugi yang lembut sehingga bersih.

11. Wudukkan jenazah

Sebelum ia dimandikan, jenazah hendaklah terlebih dahulu diwudukkan dengan sempurna dengan niat seperti di bawah:

  • Bagi jenazah lelaki : “Sahaja aku mengambil Wudhu’ yang sunat bagi mayat lelaki ini kerana Allah Ta’ala.”
  • Bagi jenazah perempuan : “Sahaja aku mengambil Wudhu’ yang sunat bagi mayat perempuan ini kerana Allah Ta’ala”.

*Mengambil wuduk untuk jenazah sebelum dimandikan adalah sunat hukumnya.

12. Mula dimandikan jenazah

Setelah selesai mengambil wuduk, proses memandikan jenazah bermula. Didahulukan dengan kepala hingga hujung kaki merangkumi seluruh badan dengan niat seperti di bawah ini :

  • Bagi jenazah lelaki : “Sahaja aku memandi yang wajib bagi mayat lelaki ini, kerana Allah Ta’ala.”
  • Bagi jenazah perempuan : “Sahaja aku memandi yang wajib bagi mayat perempuan ini kerana Allah Ta’ala.”

13. Permulaan memandikan jenazah

Jenazah dimandikan bermula pada bahagian kepala dengan cara membasuh seluruh kepala, muka dan Iehernya dengan air yang dicampurkan dengan air perahan daun bidara atau sabun.

Bagi jenazah perempuan hendaklah diuraikan rambutnya supaya air mudah membasahi keseluruhan kepalanya.

Jika rambutnya gugur sewaktu dimandikan, wajib dipungut dan dimasukkan ke dalam kafannya semasa dikafankan.

Demikian juga segala rambutnya yang gugur sebelum ia dimandikan.

14. Memandikan bahagian hadapan sebelah kanan 

cara mandi jenazah wanita

Lalu membasuh rusuk dan bahagian belakang sebelah kirinya, juga meliputi bahu, belakang, punggung, peha, betis, tumit dan seterusnya tapak kaki sepertimana telah dilakukan pada sebelah kanannya tadi.

Sebaik sahaja selesai memandikan bahagian kepala dan Iehernya, diikuti pula dengan membasuh dan memandikan pada bahagian hadapan sebelah kanan jenazah.

Ini meliputi bahu, ketiak, lengan, tangan, dada, perut, kemaluan, celah-celah kangkang, peha, betis dan seterusnya sehingga ke hujung kaki (hujung kuku). 

15.  Memandikan bahagian hadapan sebelah kiri

Selesai sudah memandikan bahagian hadapan sebelah kanannya, maka beralih pula ke bahagian hadapan sebelah kirinya.

Ini juga meliputi bahu, ketiak, lengan, tangan, dada, perut, kemaluan, celah-celah kangkang, peha, betis dan seterusnya sehingga ke hujung kaki sebagaimana juga yang telah dilakukan pada sebelah kanan tadi.

16. Memandikan bahagian belakang sebelah kanan

Bila sudah selesai memandkan bahagian hadapan kanan dan kirinya, maka terus memandikan bahagian belakang sebelah kanannya dengan cara baringkan jenazah kesebelah kirinya.

Lalu membasuh (memandikan) lambung (rusuk) dan bahagian belakang sebelah kanannya, meliputi bahu, belakang, punggung, peha, betis, tumit dan seterusnya tapak kaki.

17. Memandikan bahagian belakang sebelah kiri

Sebaik sahaja selesai memandikan bahagian belakang sebelah kanannya, maka memandikan pula bahagian belakang sebelah kirinya dengan membaringkan jenazah ke sebelah kanannya.

18. Bilasan seluruh badan jenazah

Setelah selesai memandikan seluruh badannya, bahagian hadapan kanan dan kiri, bahagian belakang, kanan dan kiri, maka hendaklah membilas seluruh tubuh badan jenazah dengan air yang dicampurkan dengan apa bahan sekailpun, untuk menghilangkan segala kesan bau daun bidara tadi.

19. Dimandikan dengan kapur barus

Pada akhirnya, mandikan pula dengan air yang dicampurkan dengan sedikit debu kapur barus ke seluruh tubuh badan jenazah berkenaan.

Bermula dari hujung rambutnya hingga hujung kaki seluruh bahagian hadapan dan belakang.

Dengan memandikan jenazah bersama air yang dicampurkan dengan air kapur barus tadi, maka selesailah cara mandi jenazah wanita mengikut yang wajib pada hukumnya.

20. Sunat diulang-ulang

Memandikan jenazah sama ada lelaki atau perempuan, baik jenazah orang dewasa mahupun kanak-kanak adalah sunat diulangkan sehingga menjadi sekurang-kurangnya tiga kali.

21.  Sunat ditambah bilangannya

Berdasarkan keadaan dan keperluannya, maka sunat ditambah bilangannya hingga menjadi lima atau tujuh kali atau seterusnya.

22. Lapkan badan jenazah

Setelah selesai memandikan jenazah, hendaklah dilapkan seluruh badannya sehingga benar-benar kering sebelum diangkatkan ke tempat kafannya untuk dikafankan.

Siapa yang boleh memandikan jenazah?

1. Jika jenazah adalah perempuan, orang yang berhak untuk memandikannya juga adalah perempuan. Tidak boleh sama sekali jenazah perempuan dimandikan oleh lelaki kecuali suami atau mahramnya.

2. Namun apabila seseorang perempuan meninggal dunia dan di tempatnya tidak ada perempuan, suami atau mahramnya juga tidak ada, maka jenazah itu hendaklah ditayamumkan sahaja. Tidak boleh dimandikan oleh orang lelaki yang lain.

3. Akan tetapi sekiranya jenazah itu kanak-kanak perempuan, maka bolehlah ia dimandikan oleh orang lelaki.

4. Orang-orang yang berhak untuk memandikan jenazah jika ada mestilah diutamakan. Contohnya seperti keluarga yang hampir dengan jenazah tersebut yang mengetahui kewajipan mandi serta dipercayai. Tetapi jika tidak didapati, berpindahlah hak memandikan jenazah itu kepada orang yang lebih jauh berpengetahuan serta boleh dipercayai.

Hikmah memandikan jenazah

cara mandi jenazah wanita

Memandikan jenazah memiliki banyak hikmah dan manfaat, baik secara fizikal mahupun spiritual. Berikut adalah beberapa hikmah memandikan jenazah:

1. Kewajipan agama

Bagi umat Islam, memandikan jenazah adalah kewajiban (fardu kifayah).

Dengan melaksanakan tugas ini, kita sebagai umat Islam menghormati hak jenazah dan membantu untuk memberikan persiapan terakhir sebelum jenazah dikuburkan.

2. Membersihkan jenazah

Proses pemandian jenazah melibatkan membersihkan tubuh jenazah dari kotoran dan zat-zat yang mungkin melekat di kulit.

Ini merupakan bentuk penghormatan terakhir terhadap jenazah, menunjukkan bahawa kebersihan dan kesucian dijaga selama proses terakhir sebelum dimakamkan.

3. Menjaga kehormatan

Pemandian jenazah dilakukan dengan rasa hormat dan penghargaan terhadap jenazah.

Hal ini mencerminkan penghormatan terakhir terhadap kehidupan dan keperibadian orang yang meninggal, serta mengingatkan kita tentang nilai-nilai kesopanan dan adab dalam melayani sesama manusia.

4. Pembersihan spiritual

Selain membersihkan fizikal, memandikan jenazah juga dianggap sebagai upaya membersihkan jiwa dan mempersiapkan jenazah untuk perjalanan akhirat.

Bagi umat Islam, memandikan jenazah diiringi dengan doa-doa dan bacaan-bacaan dari Al-Quran, yang diyakini membantu jenazah dalam perjalanannya menuju kehidupan setelah mati.

Diharapkan semoga perkongsian kami mengenai panduan cara mandi jenazah wanita ini dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat.

Sumber:

  1. Al-Kafi #1050: Tatacara Pemandian Jenazah Yang Betul. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Panduan Pengurusan Jenazah dan Pusara Orang Islam Menurut Syarak. Mufti Penang
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.