Solat Asar Panduan Niat & Cara Solat Yang Lengkap

Solat fardhu mempunyai lima waktu yang wajib dilaksanakan mengikut waktu-waktunya yang tertentu. Pada kali ini artikel akan berkongsi kepada anda panduan lengkap cara solat asar dengan betul dan tertib mengikut syariat Islam. Bacaan akan dilengkapi dengan dua teks iaitu dalam Arab dan Rumi untuk kemudahan semua khususnya kepada mereka yang baru sedang belajar mengenal solat dan tidak berapa kukuh penguasaan jawi.

Apa itu solat asar

Solat asar  (صلاة عصر) adalah salah satu daripada solat fardhu yang diwajibkan ke atas seluruh umat Islam yang beragama Islam. Ia boleh dilakukan sama ada berseorangan ataupun berjemaah mengikut imam.

Solat ini adalah solat ketiga dalam turutan solat lima waktu iaitu selepas solat zuhur dan sebelum solat maghrib.

Bila waktu mendirikan solat asar?

Umumnya, waktu solat asar adalah bermula daripada habis waktu solat zuhur. Ia boleh ditandai dengan bayangan objek yang sama panjang dengan objek atau lebih sedikit dan berakhir apabila masuknya waktu maghrib iaitu apabila matahari terbenam di ufuk barat.

Solat ini mempunyai jumlah rakaat sebanyak empat rakaat dan wajib untuk dilaksanakan dalam apa keadaan dan situasi sekalipun. Waktu Malaysia, ia kira-kira dilakukan pada pukul 4.30 petang sehingga 6.50 petang.

Mengapa tidak boleh tidur selepas asar?

Menurut penjelasan dari Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri secara umumnya hadis berkenaan dengan hadis larangan tidur selepas asar adalah daif dan lemah namun tidak sehingga masuk pada tahap hadis palsu,

Oleh yang demikian, tiada dinyatakan terdapatnya hadis sahih untuk melarang seseorang itu tidur selepas waktu asar. Namun yang demikian, para ulama banyak berpendapat bahawa makruh hukumnya tidur selepas asar.

Perkara itu ada disebutkan dalam Kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah.

“Tambahan lagi, ‘Abd al-Karim al-Khudhair dalam syarahannya terhadap Bulugh al-Maram menyatakan, tidur selepas solat Subuh termasuk dalam perkara yang dilihat tidak baik dan begitu juga tidur selepas solat Asar.

Cara solat yang betul

Tatacara solat fardhu dalam waktu asar yang betul adalah seperti yang berikut:

1. Niat solat

niat solat asar

Usolli fardol Asri arba’a raka’atin ada’an lillahi taala. 

Maksudnya: “Sahaja aku solat fardu asar empat rakaat tunai kerana Allah Taala”

Di rakaat pertama:

1. Berdiri tengak menghadap kiblat kemudian baca lafaz niat dalam bahasa arab seperti di atas.

2. Takbiratul ihram dan mengangkat kedua-dua belah tangan sambil menyebut:

الله أكبر

Allahuakbar

Maksudnya: Allah Maha Besar

3. Membaca doa iftitah

“Allaahu akbaru kabiirawwalhamdu lillaahi katsiiraa. Wa subhaanallaahi bukratawwa aashiila. Wajjahtu wajhiya lilladzii fatoros samaawaati wal ardha haniifam-muslimaa. Wamaa anaa minal musyrikiin. Inna solaatii wa nusukii wa mahyaaya wa mamaatii lillaahi Rabbil ‘aalamiin. Laa syariikalahu wa bidzaalika umirtu wa anaa minal muslimiin”

Maksudnya: Allah Maha Besar, segala puji bagi Allah. Maha Suci Allah pagi dan petang. Aku hadapkan mukaku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, hal keadaannya bersih dalam Islam. Tidaklah aku dari golongan orang-orang yang mensyirikkan Tuhan. Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidup dan matiku bagi Allah, Tuhan yang memiliki alam keseluruhannya. Tidak ada bersekutu dengan-Nya sesuatu dan dengan demikian aku disuruh dan aku daripada golongan muslimin.

4. Membaca Al-Fatihah dengan tartil dan dilafazkan

Bismillahirahmanirahim. Alhamdulillah hirabbil alamin. Arrahmanirrahim. Maliki yaumiddin. Iyya kana’ budu iyya kanasta ‘in. Ihdinas sirotol mustaqim. Sirotollazina an’am ta’alaihim ghairil maghdu bi ‘alaihim waladhollin

Maksudnya: “Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah,Tuhan semesta alam. Maha Pemurah,Maha Penyayang. Memiliki hari Pembalasan. Hanya kepada Engkaulah kami menyembah,dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus, (iaitu) jalan orang –orang yang telah Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang murka, dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.”

5. Membaca mana-mana surah pilihan dalam Al-Quran mengikut kemahuan.

6. Rukuk sambil bertakbir

“Subhaa na rabbiyal a’zimi wabihamdih” (diulang sebanyak tiga (3) kali)

Maksudnya: “Maha Suci Tuhanku Yang Maha Besar dengan segala sifat-Nya yang terpuji.”

Dalam keadaan ini kedudukan kedua-dua belah tangan mestilah diletakkan di atas kedua-dua belah lutut kaki.

7. I’tidal sambil melafazkan bacaan ini:

“Sami’allahu liman hamidahu robbana lakalhamdu”

Maksudnya: “Allah mendengar perkataan mereka yang memuji-Nya. Ya Tuhan Kami, untuk-Mu segala pujian.”

8. Sujud sambil bertakbir dengan lafaz ini

“Subhana rabbiyal a’la wabihamdih”

Maksudnya: “Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dengan segala kepujiannya.”

9. Bacaan duduk antara dua sujud

“Rabbigfirli warhamni wajburni warfagni warzuqni wahdini wa a’fini wa’fu anni “

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ampunilah aku, rahmatilah aku, lindungilah aku dan angkatlah darjatku berilah aku rezeki, dan berilah petunjuk kepadaku, afiatkanlah aku dan ampunilah aku.”

10. Sujud kembali sambil bertakbir. Selepas sujud kedua, bertakbir dan bangun untuk meneruskan rakaat kedua.

Di rakaat kedua:

1. Ulang sahaja langkah 4,5,6,7,8,9 & 10 seperti yang dilakukan pada rakaat pertama.

2. Selepas sujud kedua, bangun dan duduk semula untuk sempurnakan tahiyat awal.

3. Bacaan tahiyat awal:

Attahiyyatul Mubarakaatush sholawaatuth thayyibatu lillaah, Assalaamu’alaika ayyuhan nabiyyu warahmatullaahi wabarakaatuh, Assalaamu’alaina wa’alaa ‘ibaadillaahish shoolihiin. Asyhadu allaa ilaaha illallaah, Waasyhadu anna Muhammadan rasuulullaah. Allahhumma sholli ‘alaa Saidina Muhammad wa ‘ala aalihi Saidina Muhammad

Maksudnya: “Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.”

4. Bangun semula untuk melaksanakan rakaat ketiga.

Di rakaat ketiga:

1. Berdiri tegak, kemudian membaca Al-Fatihah. Dalam rakaat keempat tidak perlu membaca surah-surah pilihan.

2. Ulang sahaja langkah 4,5,6,7,8,9 & 10 seperti yang dilakukan pada rakaat pertama.

3. Bangun semula untuk melaksanakan rakaat keempat.

Di rakaat keempat:

1. Berdiri tegak, kemudian membaca Al-Fatihah. Dalam rakaat keempat tidak perlu membaca surah-surah pilihan.

2. Rukuk sambil bertakbir.

3.  I’tidal (bangun dari rukuk).

4. Sujud sambil bertakbir.

5. Duduk antara dua sujud.

6. Sujud kedua. Bertakbir lalu sujud sekali lagi. Kedudukan dan bacaan sama seperti sujud pertama. Selepas sujud kedua, bertakbir dan bangun untuk sempurnakan tahiyat akhir.

7. Bacaan tahiyat akhir:

Attahiyatul mubarakatus solawatut taiyibatu lillah. Assalamu’alaika aiyuhan nabiyu warahmatullayhi wabarakatuh. Assalamu’alaina wa’la ‘ibadillahis salihin. Asyahadu alla illaha illallah. Wa’asyhadu anna Muhammadar Rasulullah. Allahumma solli’ala Muhammad wa’ala ali Muhammad. Kama sollaita’ala Ibrahim wa’ala aliIbrahim. Wabarik ‘ala Muhammad wa’ala ali Muhammad. Kama barakta ‘ala Ibrahim wa’ala aliIbrahim. Fil ‘alamina innaka hamidummajid.

Maksudnya: “Segala kehormatan, keberkatan, segala doa (solat) dan kebaikan untuk Allah, keselamatan, rahmat Allah dan berkatNya tetap kepadamu ya Nabi. Keselamatan mudah-mudahan tetap kepada kami dan hamba-hamba Allah yang soleh. Aku mengaku tiada tuhan yang disembah melainkan Allah. Dan aku mengaku Nabi Muhammad SAW ialah pesuruh Allah.

Ya Allah, berilah rahmat kepada Penghulu kami Nabi Muhammad dan keluarga Sayidina Muhammad. Sebagaimana Engkau merahmati Sayidina Nabi Ibrahim dan keluarga Sayidina Nabi Ibrahim. Berkatilah penghulu kami Sayidina Nabi Muhammad dan keluarga Penghulu kami Sayidina Muhammad. Sebagaimana Engkau memberkati Sayidinia Nabi Ibrahim dan keluarga Sayidina Nabi Ibrahim. Di alam semesta ini, Engkau sahajalah Yang Paling Terpuji dan Yang Paling Mulia.”

8. Memberikan salam

9. Berdoa mengikut kemahuan masing-masing.

Diharapkan dengan panduan solat kali ini sedikit sebanyak dapat membantu anda semua dalam menunaikan solat fardhu dengan betul dan sempurna. Sesungguhnya ibadah solat adalah ibadah yang paling tinggi dari mana-mana ibadah di dunia ini. Ia akan menjadi penentu atau kunci kepada amalan baik kita selama hidup sama ada diterima oleh Allah atau tidak.

Sumber:

  1. Ensiklopedia Solat: A-Z tentang solat, Dr. Nik Yusri Musa
  2. Modul Fardu Ain Diri, Keluarga dan Masyarakat Sepanjang Hayat, Dato’ Ismail Kamus, Mohd. Azrul Azlen Ab. Hamid
  3. Niat & Cara Solat Asar (Panduan Lengkap). Aku Muslim Asia
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.