Khutbah Jumaat: Maksud, Hukum, Soal & Jawab Tentang Khutbah

Khutbah Jumaat memainkan peranan yang mustahak setiap kali solat Jumaat. Namun seberapa fahamkah anda tentang khutbah tersebut dan perkara-perkara sunat sebagi seorang khatib dan makmum yang perlu anda tahu?

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda mengenai khutbah Jumaat yang penting dalam sesebuah solat Jumaat.

Pengertian Khutbah Jumaat

Dari segi istilah, khutbah bermaksud ucapan yang disampaikan oleh khatib sebelum solat Jumaat yang mengandungi nasihat, peringatan, dan pengajaran mengikut syarat tertentu.

Khutbah ini adalah salah satu rukun wajib dalam pelaksaan solat Jumaat. Ia bertujuan sebagai salah satu wadah bagi menyampaikan nasihat dan teguran semasa kepada masyarakat agar perjalanan harian mereka sentiasa selari dengan syariat agama Islam.

Pensyariatan Khutbah Solat Jumaat

Hukum khutbah ini adalah salah satu dari syarah sah solat Jumaat. Tanpa khutbah, solat Jumaat adalah tidak sah.

Dalam sebuah hadis, ia menyatakan bahawa maksudnya:

عن ابن عمر رضى الله عنه قال : كان رسول الله (ص) يخطب يوم الجمعة قائما ثم يجلس ثم يقوم

“Ibn Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW menyampaikan khutbah pada hari Jumaat secara berdiri, kemudian Baginda duduk, kemudian Baginda berdiri semula.”

Perkara sunat khutbah bagi khatib

khutbah jumaat
  1. Berkhutbah di atas mimbar.
  2. Duduk di atas mimbar sebelum menyampaikan khutbah.
  3. Menghadapkan wajahnya kehadapan tanpa menoleh ke kanan atau ke kiri.
  4. Memberi salam setelah naik ke atas mimbar.
  5. Menguatkan suara agar khutbah didengari oleh lebih daripada 40 jemaah (mastautin).
  6. Memendekkan kedua-dua khutbah. Khutbah kedua lebih pendek daripada khutbah pertama.
  7. Memegang tongkat dengan tangan kiri.
  8. Setelah khatib selesai berkhutbah disunatkan segera turun ke mihrab untuk menunaikan solat supaya tidak terputus pertuturan antara khutbah dan sembahyang.

Perkara sunat khutbah bagi makmum

khutbah jumaat
  1. Mendengar khutbah yang disampaikan.
  2. Melaksanakan solat sunat secara ringkas ketika khatib membaca khutbah.

Rukun khutbah

Terdapat lima rukun khutbah yang wajib dipenuhi, antaranya seperti:

  • Memuji Allah SWT sekurang-kurangnya dengan menyebut “الحمدلله”
  • Berselawat ke atas Nabi sekurang-kurangnya dengan mengucapkan “اللهم صل على محمد”
  • Mengingatkan jemaah supaya bertakwa kepada Allah dengan mengucapkan “إتقوا الله”
  • Membaca sekurang-kurangnya satu ayat Al-Quran sama ada dalam khutbah pertama atau kedua.
  • Mendoakan orang-orang Islam sekurang-kurangnya dengan mengucapkan “اللهم اغفر للمسلمين و المسلمات والمؤمنين والمؤمنات”

[Muat Turun] Senarai teks khutbah Jumaat setiap Negeri

Untuk anda yang ingin mendapatkan teks penuh khutbah Jumaat bagi setiap negeri untuk tahun 2023 ini, anda boleh memuat naik terus dari pautan yang kami sediakan di bawah ini:

  • Teks khutbah Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan, Putrajaya) : Download
  • Teks khutbah Negeri Selangor : Download
  • Teks khutbah Negeri Johor : Download
  • Teks khutbah Negeri Melaka : Download
  • Teks khutbah Negeri Sembilan : Download
  • Teks khutbah Negeri Pahang : Download
  • Teks khutbah Negeri Terengganu : Download
  • Teks khutbah Negeri Perak : Download
  • Teks khutbah Negeri Kelantan : Download
  • Teks khutbah Negeri Pulau Pinang : Download
  • Teks khutbah Negeri Kedah : Download
  • Teks khutbah Negeri Perlis : Download
  • Teks khutbah Wilayah Sabah : Download
  • Teks khutbah Wilayah Sarawak : Download

Soal jawab tentang khutbah Jumaat

1. Hukum berkata-kata ketika khutbah

khutbah jumaat

Bercakap-cakap termasuk dalam melakukan perkara yang lagha. Bagi sesiapa yang melakukan perkara tersebut, ia tidak membatalkan solat Jumaat atau dalam kata lain solat tetap sah.

Namun begitu, ia boleh menyebabkan pahala Jumaatnya berkurang dan tidak mendapat kelebihan yang sepatutnya dan diharapkan.

Hal ini bertepatan dengan hadis di dalam Sunan Abi Daud, daripada Ali RA bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

ومَنْ لَغَا فَلَيْسَ لَهُ فِيْ جُمُعَتِهِ تِلْكَ شَئ

Maksudnya: “Dan barangsiapa yang lagha maka dia tidak mendapat bahagiannya daripada Jumaatnya itu.” (Hadis Riwayat Abu Daud, No. 1051)

2. Khutbah terlalu perlahan, sah atau tidak?

Dalam memahami sah atau tidak khutbah itu disebabkan sesuatu perbuatan yang dilakukan, kita perlu berbalik kepada syarat dua khutbah yang ada dikemukan dalam Al-Fiqh Al-Manhajj.

Antara syarat tersebut adalah:

  • Ketika membaca khutbah, khatib hendaklah berdiri jika mampu. Di antara kedua-dua khutbah tersebut hendaklah diselangi dengan duduk.
  • Khutbah tidak dikemudiankan daripada solat Jumaat.
  • Khatib hendaklah suci daripada hadas kecil dan besar serta menutup aurat.
  • Rukun-rukun khutbah hendaklah dibaca dalam bahasa Arab. 
  • Berturut-turut antara rukun-rukun khutbah yang pertama dan kedua, dan antara khutbah kedua dengan solat Jumaat.
  • Rukun dua khutbah hendaklah didengar 40 orang jemaah yang memenuhi syarat-syarat wajib solat Jumaat.

Oleh yang demikian, sah solat Jumaat itu jika ia telah didengari oleh 40 orang yang bermastautin.

Sekiranya, jemaah selain daripada 40 orang itu tidak mendengar, ia tidak menjejaskan sahnya khutbah Jumaat itu. 

3. Hukum tidur semasa khutbah

Hukum tidur dengan sengaja ketika khatib sedang berkhutbah adalah ditegah dan ia dikategorikan sebagai lagha.

Namun begitu, jika seseorang itu tertidur secara tidak sengaja oleh kerana terlalu letih, maka ini tidaklah termasuk di dalam larangan tersebut.

4. Mencatit nota ketika khutbah

Perbuatan menulis khutbah sebenarnya tidak termasuk dalam larangan kerana menulis itu adalah untuk menambahkan perhatian dan kefahaman.

Namun yang demikian, hukum menulis isi khutbah ketika khutbah Jumaat adalah afdal ditinggalkan perbuatan menulis isi khutbah ketika khutbah Jumaat sedang dilangsungkan.

Hal ini kerana bagi membolehkan seseorang itu untuk memberikan sepenuh perhatian, pendengaran dan perbuatannya, kepada isi khutbah yang disampaikan khatib.

Dalam teknologi yang serba canggih ini, semua teks khutbah boleh diakses dan dimuat turun terus dari laman sesawang Majlis Agama Islam Negeri masing-masing.

5. Hukum menyampaikan khutbah dalam bahasa asing

Mengikut Mazhab Syafie, penggunaan bahasa Arab disyaratkan hanya pada rukun-rukun khutbah yang lima sahaja.

Sekiranya khatib tidak dapat menyampaikan khutbah dalam bahasa Arab, ia boleh menyampaikannya dalam bahasa lain.

Dalam masa yang sama khatib perlulah juga berusaha untuk mempelajari penyampaian dan bacaan rukun tersebut dalam bahasa Arab.

Walaupun begitu, ucapan dan peringatan di luar rukun khutbah boleh disampaikan dengan bahasa lain.

Diharapkan semoga perkongsian kami ini mengenai khutbah Jumaat dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan panduan dalam meraih lebih banyak pahala ketika solat Jumaat.

Sumber:

  1. Al-Kafi #1902: Hukum Menyampaikan Khutbah Jumaat Dalam Bahasa Asing. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Al-Kafi #1494: Hukum Tidur Semasa Khutbah Jumaat. Mufti Wilayah Persekutuan
  3. Al-Kafi #539: Khutbah Jumaat Terlalu Perlahan, Sah atau Tidak. Mufti Wilayah Persekutuan
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.