Zikir Jumaat Dalam Rumi, Fadhilat Dengan Terjemahannya
Zikir harian adalah amalan zikir yang sangat dianjurkan untuk umat Islam baca setiap hari. Artikel pada kali ini, kami akan berkongsi kepada anda zikir Jumaat untuk dibaca, dihafal, dan diamalkan.
Zikir Jumaat yang boleh diamalkan
Panduan zikir Jumaat ini disertakan dalam Bahasa Arab, Bahasa Rumi, terjemahan zikir, serta kelebihan atau fadhilat dalam pengamalannya. Berikut ini adalah antara zikir yang boleh dibaca.
ِيَا اللهُ
Ya Allah
Maksudnya: “Ya Allah.”
Kelebihan hari Jumaat
Daripada Abdullah bin Amr, sabda Rasulullah SAW: “Tidak seorang Muslim yang mati pada hari Jumaat atau pun malam Jumaat, melainkan diselamatkan oleh Allah SWT daripada fitnah kubur.” – (Hadis Riwayat Tarmizi)
Ibnu Abbas Radhiyallahu ‘anhu berkata, Rasulullah SAW bersabda:
“Hari ini adalah hari besar yang Allah tetapkan bagi Umat Islam, maka siapa yang hendak menghadiri solat Jumaat hendaklah mandi terlebih dahulu.” – (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Sabda Rasulullah SAW: “Solat lima waktu (sehari semalam) dan Jumaat hingga Jumaat merupakan penebus-penebus dosa (ketika itu) selama tidak dikerjakan dosa-dosa besar.” – (Hadis Riwayat Muslim)
Aus bin Aus berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, kemudian bersegera berangkat menuju masjid, dan berada di saf hadapan kemudian dia berdiam,
maka setiap langkah yang dia ayunkan akan mendapat pahala puasa dan solat selama satu tahun, dan itu adalah hal yang mudah bagi Allah.” – (Hadis Riwayat Ahmad dan Ashabus Sunan, Didakwa sahih oleh Ibnu Huzaimah).
Hari Jumaat ini dikaitkan dengan hari di mana berlakunya hari kiamat atau hari pembalasan.
Dalam suatu hadis, Rasulullah SAW ada menyebut bahawa:“Pada hari Jumaat juga Kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.” – (Hadis Riwayat Muslim)
Keistimewaan Hari Jumaat
Hari Jumaat dikenali dengan panggilan Saiyyidul Ayyam yang bermaksud penghulu bagi segala hari.
Dikatakan banyak keistimewaan hari Jumaat ini, yang mana dari Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda yang membawa maksud:
“Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah hari Jumaat. Pada hari tersebut diciptakan Nabi Adam AS, dia dimasukkan ke dalam syurga dan dia dikeluarkan daripadanya.
Dan pada hari tersebut, terdapat satu waktu yang mana jika seseorang Muslim berdiri Muslim berdiri mendirikan solat dan berdoa kepada Allah SWT akan sesuatu hajatnya. Nescaya Allah SWT akan memberi apa yang dihajatkannya tersebut.” – (Hadis Riwayat Al-Bukhari no, 935)
Amalan Sunnah Hari Jumaat
Antara amalan-amalan sunat ketika hari Jumaat adalah seperti berikut:
1. Bersedekah
bn Qayyim Al-Jawziyah dalam kitabnya, Zad Al-Maad menyatakan: “Bersedekah pada hari Jumaat ini lebih mulia berbanding hari-hari lain.
Dalam Al-Quran, Allah berfirman juga yang bermaksud:
“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji.
Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan Nya.” – (Surah Al-Baqarah, ayat 261)
2. Bersugi dan bersiwak
Menjaga dan mengekalkan kebersihan mulut dan gigi, memakai wangi-wangian dan memakai pakaian yang terbaik memang sangat digalakkan bahkan mendapat pahala sebelum datang ke masjid.
“Tidak mandi seorang lelaki pada hari Jumaat dan membersihkan dirinya setakat yang termampu, seterusnya beliau meminyakkan rambut, mengenakan wangi-wangian harum yang dimilikinya di rumah, lantas dia keluar (ke masjid)
dan dia tidak mencelah di antara dua orang (di dalam masjid), lalu dia bersolat apa yang diwajibkan ke atasnya. Dan sesudah itu duduk diam sewaktu imam sedang berkhutbah, melainkan diampunkan segala dosanya dari Jumaat tersebut hinggalah ke Jumaat yang akan datang.” – (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
3. Surah Al-Kahfi
Membaca Surah Al-Kahfi pada malam Jumaat dan siangnya. Surah Al-Kahfi adalah antara surah yang boleh menghindarkan diri kita daripada fitnah dajal dan seterusnya memperoleh pengampunan dosa diantara dua Jumaat yang lain.
“Barangsiapa membaca Surah Al Kahfi pada hari Jumaat, maka akan dipancarkan cahaya untuknya di antara dua Jumaat.” – (Hadis Riwayat Al-Hakim dan Al-Baihaqi)
4. Zikir dan selawat
Memperbanyakkan amalan kebaikan seperti membaca zikir dan selawat. Contonya, zikir Jumaat seperti di atas itu boleh dibaca setiap masa pada hari tersebut.
5. Datang awal ke masjid
Ramai yang mungkin masih meremehkan untuk datang awal ke masjid setiap kali hendak solat Jumaat. Datang awal ke masjid membuatkan diri kita lebih tenang untuk memilih mana-mana saf.
Kita juga boleh lakukan solat sunat tahiyatul masjid, membaca Al-Quran dan mendengar khutbah dengan jelas.
6. Mandi sunat Jumaat
Mandi sunat Jumaat termasuklah bersihkan diri, memotong kuku, mencabut bulu, dan mengunting misai.
Imam Nawawi menyebut bahawa, disyariatkan untuk mandi sunat hari Jumaat bagi sesiapa yang ingin hadir menunaikan solat Jumaat.
Ini berdasarkan dari sebuah hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang hendak mendirikan solat Jumaat, dia hendaklah mandi.” – (Hadis Riwayat Muslim, no. 844)
7. Jalan kaki ke masjid
Kita sangat digalakkan untuk mengutamakan untuk berjalan kaki dari menaiki kenderaan ke masjid.
Setiap langkah penat, lelah, dan jauhnya kita melangkah itu pastinya mempunyai ganjaran pahala yang lebih besar nilainya.
Diharapkan semoga perkongsian kami berkenaan dengan zikir Jumaat ini dapat memberikan anda ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan amalan zikir harian sepanjang hari.
Sesungguhya zikir kita kepada Allah adalah untuk diri kita sendiri agar hati lebih tenang, fikiran dan jiwa lebih tenteram, diampunkan segala dosa, dan diberi kemudahan hidup di dunia dan akhirat.
Sumber:
- Kelebihan Hari Jumaat. Solusi Anak Muda
- Irsyad Hadith Siri Ke-365: Hari Jumaat Penghulu Kepada Segala Hari. Mufti Wilayah Persekutuan