Mandi Sunat Jumaat: Niat, Tatacara, Tempoh Waktu & Hikmahnya

Ibadah memang penting dalam Islam, namun untuk menjamin ibadah tersebut diterima atau tidak salah satunya adalah dengan menjaga kebersihan. Perkara ini tampak remah tetapi itulah yang menjadi keutamaannya. Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda mengenai mandi sunat Jumaat.

Apa itu mandi sunat?

Mandi sunat boleh ditakrifkan sebagai mandi yang dilakukan oleh seseorang untuk memperoleh pahala dan pujian dari Allah. Mandi sunat ini ada beberapa jenis yang boleh kita buat. Antaranya seperti;

  1. Mandi sunat Jumaat
  2. Mandi sunat dua hari raya
  3. Mandi sunat solat istisqa (minta hujan)
  4. Mandi selepas mandikan mayat
  5. Mandi gerhana matahari dan bulan
  6. Mandi sunat ihram
  7. Mandi sunat hendak memasuki Kota Mekah
  8. Mandi ketika hendak wuquf di Arafah

Bagi artikel ini, kita akan mengkhususkan tentang mandi sunat Jumaat. Mandi sunat ini adalah disunatkan kepada mereka yang hendak mengerjakan solat Jumaat.

Atau boleh juga mandi sunat ini bagi orang yang tidak wajib mengerjakan solat jumaat, seperti hamba sahaya, orang musafir, kanak-kanak dan orang-orang perempuan. Rasulullah SAW bersabda:

“Apabila seseorang kamu ingin menghadiri solat Jumaat maka hendaklah ia mandi.” – (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Hukum mandi sunat ini

mandi sunat jumaat

Hukum mandi sunat bagi hari Jumaat adalah sunat. Ini mengikut kepada pendapat dari Mazhab Syafie dan jumhur para ulama.

Penjelasan ini disokong riwayat daripada Samurah bin Jundub RA Rasulullah SAW bersabda:

من توضأ يومَ الجمعةِ فبها ونعمتْ . ومن اغتسل فالغسلُ أفضلُ

Maksudnya: “Siapa yang mengambil wuduk pada hari Jumaat maka ia adalah elok dan siapa yang mandi maka mandi itu afdhal.” – (Hadis Riwayat Tirmizi dan Baihaqi dan Al-Baghawi)

Siapa yang disunatkan melakukannya?

Dalam mengelaskan individu yang disunatkan untuk mandi pada hari Jumaat ini ada beberapa kategori berpandukan pendapat ulama:

  1. Mandi ini digalakkan bagi sesiapa yang ingin hadir ke solat Jumaat dan ditekankan pada hak lelaki itu lebih dituntut berbanding wanita.
  2. Sunat mandi pada hari Jumaat bagi mereka yang mendirikan solat Jumaat sekalipun solat tersebut tidak wajib atas mereka, seperti orang musafir, perempuan dan kanak-kanak
  3. Pendapat yang lain pula mengatakan bahawa mandi pada hari Jumaat, sunat bagi sesiapa sahaja sama ada yang mendirikan solat Jumaat ataupun tidak.

Tempoh waktu untuk mandi

Waktu mandi sunat pada hari Jumaat ini adalah bermula dari terbitnya fajar Sidiq. Sungguhpun begitu, waktu yang paling afdal untuk mandi adalah ketika hendak pergi ke masjid untuk menunaikan solat fardhu Jumaat.

Sedangkan, orang yang mandi setelah selesainya solat Jumaat tidak dikira sebagai mandi sunat Jumaat, kerana habisnya waktu mandi ini setelah selesainya solat Jumaat.

Tatacara mandi sunat pada hari Jumaat

Mandi sunat ini sama sahaja seperti mandi kita yang biasa. Namun, mandi sunat akan disertakan dengan niat. Berikut adalah niat mandi sunat tersebut.

“Sahaja aku mandi sunat jumaat kerana Allah Taala.”

Hikmah pensyariatan mandi sunat

Sebelum melaksanakan ibadah solat, kita disuruh untuk berwudhu atau bertayamum bagi memastikan diri kita sentiasa dalam keadan bersih, dan suci.

Namun begitu, cara paling baik untuk membersihkan diri adalah dengan mandi. Dengan mandi kita membersihkan keseluruhan tubuh badan kita dari kekotoran, habuk, dan najis.

Allah SWT sangat menyukai orang-orang yang sentiasa membersihkan dirinya. Ini dijelaskan dalam Surah Al-Baqarah, ayat 222 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”

Biarpun mandi sunat ini tidak menjejaskan amalan atau ibadah kita apabila ditinggalkan tetapi adalah satu kerugian besar sekiranya kita gagal memanfaatkan kesempatan tersebut untuk merebut pahala berganda.

Bahkan dalam sebuah riwayat muttafaq ‘alaih, Ibnu ‘Umar RA telah menceritakan bahawa pada suatu hari Jumaat, sedang bapanya Sayyidina ‘Umar al-Khatthab RA menyampaikan khutbah Jumaat, beliau terlihat Sayyidina ‘Utsman RA baru masuk ke dalam masjid, beliau pun menegur yang maksudnya:

“Waktu apakah sekarang ini?”

Lalu Sayyidina ‘Utsman RA pun menjawab yang maksudnya:

“Sesungguhnya tadi aku sangat sibuk, sehinggakan aku tidak sempat pulang dulu kepada keluargaku, lalu aku pun terdengar azan, maka aku tidak menambah (apa-apa selain daripada) berwuduk.”

Lalu Sayyidina ‘Umar RA pun berkata lagi yang maksudnya: “Dan juga (hanya) berwuduk? Sedangkan engkau telah mengetahui bahawa Rasulullah SAW telah memerintahkan supaya mandi.” – (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Semoga dengan perkongsian mengenai mandi sunat tadi, anda semua mendapat sesuatu ilmu yang bermanfaat dan berharga untuk diaplikasikan dalam kehidupan harian.

Sumber:

  1. Irsyad Al-Hadith Siri Ke-164: Mandi Pada Hari Jumaat. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Hukum Mandi Hari Jumaat. Ensiklopedia Hukum
  3. Mandi Niat Ikut Sunah Jadi Ibadah. Berita Harian
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.