Hukum Simpan dan Tanam Tali Pusat Bayi Dalam Islam
Apakah hukum menyimpan dan tanam tali pusat bayi yang baru dilahirkan?
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan hukum apabila seseorang itu simpan dan tanam tali pusat bayi.
Baca juga:
Apa itu tali pusat?
Tali pusat atau dipanggil juga sebagai umbilical cord adalah saluran yang menghubungkan janin ketika berada di dalam kandungan.
Antara ciri tali pusat adalah ia berwarna putih kebiru-biruan. Tunggul tali pusat, akan jatuh atau tertanggal dengan sendirinya dalam tempoh 10 dan 14 hari selepas kelahiran bayi.
Fungsi tali pusat pada bayi
Fungsi utama tali pusat ini untuk membawa makanan dan oksigen daripada ibu kepada bayi semasa proses kehamilan.
Selain itu, ia juga diperlukan untuk membawa bahan buangan daripada bayi agar badan ibu boleh menyingkirkannya.
Hukum simpan dan tanam tali pusat bayi
Umumnya, tali pusat akan dipotong oleh doktor selepas bayi dilahirkan.
Namun, ada juga sesetengahnya masyarakat yang menyimpan tali pusat kerana tradisi atas sebab tertentu. Antaranya seperti:
- Tujuan perubatan, sama ada disimpan bersama dengan uri di makmal ataupun disimpan kering.
- Tujuan kepercayaan bahawa ingin ditanam bersama apabila meninggal dunia, atau ditanam bersama-sama dengan adik beradik yang lain, atau apa-apa kepercayaan.
- Sebagai kenang-kenangan tanpa ada sebab yang jelas.
Dalam hal ini, Islam berpendapat hukum memotong tali pusat sejurus bersalin adalah wajib.
Hukum menanam tali pusat adalah sunat seperti mana hukum kuku, rambut dan darah seperti darah bekam sebagai penghormatan kepada tubuh badan manusia.
Sedangkan bagi hukum simpan tali pusat pula terbahagi kepada beberapa bahagian.
- Makruh hukumnya menyimpan tali pusat bayi jika tanpa tujuan atau sebagai kenangan.
- Harus sekiranya bagi tujuan perubatan yang terbukti oleh pakar perubatan, seperti kaedah rawatan stem cell (sel induk) yang boleh digunakan untuk merawat penyakit leukemia, thalassemia dan seumpamanya.
- Haram jika disimpan atas tujuan kepercayaan dan khurafat yang tidak ada sandarannya di dalam Islam.
KKM saran derma darah tali pusat
Mungkin tidak ramai orang tahu darah pada tali pusat boleh didermakan. Sebelum kita hurai dengan lebih lanjut, jom kita semak dulu apa itu darah tali pusat.
Darah tali pusat adalah darah yang mengalir daripada janin menerusi tali pusat ke uri (plasenta) ibu.
Untuk pengetahuan anda, darah tali pusat ini merupakan sumber yang kaya dengan sel stem hematopoietik.
Di mana ia dipercayai mampu merawat penyakit kanser berkaitan darah, sistem imun dan penyakit genetik.
Fungsinya sangat berguna untuk membantu menyelamatkan nyawa pesakit melalui transplantasi sel stem hematopoietik.
Berikut adalah kelayakan untuk menderma darah tali pusat:
- Ibu yang berumur 18 tahun dan ke atas.
- Telah berkahwin dan bukan ibu tunggal.
- Warganegara Malaysia.
- Usia kandungan 36 minggu dan ke atas.
- Ibu dan bapa bukan penghidap HIV.
- Ibu bukan seorang pembawa Hepatitis B atau C.
- Ibu tidak bekerja sebagai pelacur.
- Ibu tidak mengadakan hubungan seks dengan individu homoseksual.
- Ibu tidak mengadakan hubungan seksual dengan pesakit hemofilia yang pernah menerima rawatan factor concentrates.
- Ibu dan bapa tidak menghidap penyakit yang kronik.
- Ibu dan bapa tiada sejarah menghidap penyakit genetik.
Bagi anda yang berminat dan berhasrat untuk menjadi salah seorang penderma, anda boleh layari pautan berikut: https://pdn.gov.my/v2/
Diharapkan semoga perkongsian kami ini mengenai hukum tanam tali pusat bayi ini dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan.
Ibu muda masih mencari barangan bayi untuk keperluan kelahiran cahaya mata anda nanti?
Jangan risau, anda boleh penuhi semua keperluan bayi anda dari A sampai Z di mana-mana Kedai Barangan Bayi Terpilih & Dipercayai.
Sumber:
- Al-Kafi #717: Hukum Memotong dan Menyimpan Tali Pusat Bayi Selepas Lahir. Mufti Wilayah Persekutuan
- Dermalah Darah Tali Pusat Bayi Anda. My Health