Solat Qada Dulu atau Solat Fardhu Dulu? Ini Penjelasannya

Apakah turutan solat yang betul? Yang mana satu perlu diutamakan sama ada solat qada dulu atau solat fardhu?

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan keutamaan dikerjakan solat qada dulu atau solat fardhu yang perlu anda tahu.

Baca juga:

Apa itu solat qada?

solat qada dulu atau solat fardhu

Solat adalah perkara penting dan menjadi paksi utama keimanan seseorang mukmin.

Ia merupakan rukun Islam yang kedua selepas mengucap dua kalimah syahadah.

Solat menjadi tiang agama yang telah difardukan ke atas orang Islam yang mukallaf.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Nisa, ayat 103 yang bermaksud:

إِنَّ ٱلصَّلَو‌ٰةَ كَانَتْ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ كِتَـٰبًا مَّوْقُوتًا

"Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya."

Manakala qada solat adalah solat yang dilakukan untuk menggantikan solat fardhu yang tertinggal, sama ada disengaja atau tidak disengaja.

Hukum mengqadakan solat

Setiap umat Islam yang meninggalkan solat fardhu adalah wajib untuk menggantikannya semula.

Diceritakan dalam sebuah hadis dari Ibn Mas’ud, ketika Perang Khandak.

“Rasulullah SAW telah disibukkan dengan serangan Musyrikin sehingga terbenam matahari sedangkan Baginda tertinggal solat empat waktu.

Lalu Baginda meminta Bilal melaungkan azan, dan Baginda berdiri menunaikan solat Zuhur, kemudian Asar, kemudian Maghrib dan seterusnya Isyak.” – (Hadis Riwayat al-Tirmizi, al-Nasa’i dan Ahmad)

Selain itu, daripada Anas Bin Mali RA, Nabi SAW bersabda:

مَنْ نَسِيَ صَلَاةً أَوْ نَامَ عَنْهَا، فَكَفَّارَتُهَا أَنْ يُصَلِّيَهَا إِذَا ذَكَرَهَا

“Sesiapa yang terlupa menunaikan solat atau tertidur daripada mengerjakan solat, maka kaffarahnya hendaklah ia menunaikan solat apabila ia mengingatinya.” - (Hadis Riwayat al-Bukhari, No.597 dan Muslim, No.684)

Hukum melewatkan solat tanpa keuzuran (dengan sebab yang benar-benar mendesak), apalagi ketika diluar waktunya adalah berdosa besar.

Mereka yang melakukan sedemikian wajib untuk mengantikan semula solat fardhu tersebut dan bertaubat dengan sebenar-benar taubat untuk tidak mengulanginya lagi.

Solat qada dulu atau solat fardhu dulu?

Persoalan mengerjakan solat qada dulu atau solat fardhu ini dijelaskan berdasarkan kepada Mazhab Imam Syafie.

Di sisi mazhab Syafie hukum bersegera menqada solat adalah wajib bagi orang yang meninggalkannya tanpa uzur syar’i.

Contohnya seperti tertinggal solat kerana sibuk bermain chess dan sunat (menqada solat) sekiranya seseorang meninggalkannya kerana uzur syar’ie seperti tertidur atau lupa yang tidak melampaui batas.

Dan keadaan demikian ialah ketika mana dia yakin tidak luput waktu solat fardhu tersebut iaitu yakin mendapat sekurang-kurangnya satu rakaat daripada solat fardhu tunai dalam waktu tersebut.

Disunatkan menjaga tertib solat ketika menqada solat-solat yang tertinggal seperti menqada solat subuh terlebih dahulu kemudian solat zohor dan seterusnya.

Diwajibkan menqada solat yang ditinggalkan tanpa uzur syar’ie terlebih dahulu daripada solat yang ditinggalkan kerana uzur syar’ie.

Dalam kata lain, para ulama fiqh bersepakat bahawa kita perlu solat qada dulu sebelum mendirikan solat fardhu.

Jika anda mahu qada solat Asar dalam waktu Maghrib, maka dahulukan solat qada, kemudian solat Maghrib.

Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan turutan sama ada solat qada dulu atau solat fardhu dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.

Sumber:

  1. Tahqiq Al-Masa’il Siri Ke-1: Hukum Qadha Bagi Seseorang Yang Meninggalkan Solat Dengan Sengaja. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Al-Kafi #1608: Mana Lebih Utama Mendahulukan Qadha’ Solat Fardhu Dahulu atau Mengerjakan Solat Fardhu Tunai. Mufti Wilayah Persekutuan
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.