Qada Solat: Panduan Ganti Solat, Cara, & Hukum Mengerjakannya
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda tentang panduan penuh qada solat serta tips dalam istiqamah mengerjakannya.
Solat merupakan salah satu dari lima Rukun Islam yang menjadi tanggungjawab setiap Muslim.
Namun, terdapat situasi di mana seseorang mungkin terlepas waktu solat yang ditetapkan dan perlu melaksanakan solat yang tertinggal. Dalam Islam, ini dikenali sebagai qada solat.
Pengertian Qada Solat
Qadha’ solat adalah solat yang dilakukan untuk menggantikan solat fardhu yang tertinggal, sama ada disengaja atau tidak disengaja.
Walaupun solat fardhu seharusnya dilakukan pada waktu yang ditetapkan, Islam mengizinkan seseorang untuk mengqadhakan solat sebagai rahmat dan kemudahan bagi umatnya.
Allah berfirman dalam Surah An-Nisa’ ayat 103, maksudnya:
“Kemudian apabila kamu telah selesai (dari solat), maka ingatlah Allah di waktu kamu berdiri, di waktu kamu duduk, dan di waktu kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa aman (selesai solat), maka dirikanlah solat itu (seperti biasa). Sesungguhnya solat itu adalah fardhu yang ditetapkan atas orang-orang mukmin pada waktu-waktu yang telah ditentukan.”
Hukum mengerjakan qada solat
Setiap umat Islam yang meninggalkan solat fardhu adalah wajib untuk menggantikannya semula. Diceritakan dalam sebuah hadis dari Ibn Mas’ud, ketika Perang Khandak,
“Rasulullah SAW telah disibukkan dengan serangan Musyrikin sehingga terbenam matahari sedangkan Baginda tertinggal solat empat waktu.
Lalu Baginda meminta Bilal melaungkan azan, dan Baginda berdiri menunaikan solat Zuhur, kemudian Asar, kemudian Maghrib dan seterusnya Isyak.” – (Hadis Riwayat al-Tirmizi, al-Nasa’i dan Ahmad)
Hukum melewatkan solat tanpa keuzuran (dengan sebab yang benar-benar mendesak), apalagi ketika diluar waktunya adalah berdosa besar.
Mereka yang melakukan sedemikian wajib untuk mengantikkan semula solat fardhu tersebut dan bertaubat dengan sebenar-benar taubat untuk tidak mengulanginya lagi.
Niat qada solat
Berikut adalah lafaz niat untuk mengqadhakan solat dalam teks arab dan rumi yang boleh dijadikan panduan semasa solat.
1. Solat subuh (fajar) qada
Usolli fardhos subhi rak’ataini qadaan lillahi ta’ala
Sahaja aku Solat Fardu Subuh dua rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala
2. Solat zohor qada
Usolli fardhoz zuhri arba’a raka’atin qadaan lillahi ta’ala
Sahaja aku solat fardu Zuhur empat rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala”
3. Solat asar qada
Usolli fardhol asri arba’a raka’atin qadaan lillahi ta’ala
Sahaja aku solat fardu Asar empat rakaat qadha’ kerana Allah Ta’ala
4. Solat maghrib qada
Usolli fardhol maghribi salasa raka’atin qadaan lillahi ta’ala
Sahaja aku solat fardu maghrib tiga rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala”
5. Solat isyak qada
Usolli fardhol isya’i arba’a raka’atin qadaan lillahi ta’ala
Sahaja aku solat fardu Isyak empat rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala
Panduan mengerjakan solat ganti (fardhu)
Sebelum melaksanakan mengantikan solat, seseorang harus mengetahui cara-cara yang betul dalam melaksanakannya. Berikut adalah panduan penuh qada solat yang betul.
i. Niat: Niatkan di dalam hati untuk melaksanakan qadha solat yang tertinggal. Misalnya, “Sahaja aku Solat Fardu Subuh dua rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala.”
ii. Takbiratul Ihram: Seperti solat biasa, mulakan dengan Takbiratul Ihram dengan mengangkat kedua tangan ke telinga sambil mengucapkan “Allahu Akbar.”
iii. Rukun solat: Lakukan rukun solat seperti biasa, termasuk membaca Al-Fatihah, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud, dan duduk tasyahhud.
iv. Salam: Akhiri qadha solat dengan mengucapkan salam kepada kedua-dua belah bahu.
Tips untuk melaksanakan qada solat dengan sempurna
Berikut adalah beberapa tips yang boleh membantu umat Islam dalam melaksanakan solat ganti (fardhu) ini dengan baik:
1. Menyusun solat qada
Elakkan kekeliruan dan lupakan solat yang perlu diqada dengan menyusun solat yang tertinggal mengikut urutan waktu solat asal. Ini akan memudahkan seseorang untuk mengingati solat yang masih perlu diqada.
2. Beristiqamah
Cuba untuk mengqada solat yang tertinggal secara konsisten setiap hari. Misalnya, selepas solat fardhu, luangkan masa untuk mengqada solat yang tertinggal.
3. Sediakan waktu khusus
Tetapkan waktu khusus setiap hari untuk melaksanakan solat ganti tersebut. Ini akan membantu dalam membentuk disiplin dan memastikan solat yang tertinggal tidak terus berlarutan.
4. Jangan tunda
Jangan menunda-nunda pelaksanaan solat untuk diqadhakan. Segera tunaikan solat yang tertinggal apabila ada kesempatan dan waktu yang sesuai.
5. Berdoa dan istighfar
Memohon ampun kepada Allah dan berdoa agar diberi kekuatan dan kemampuan untuk melaksanakan solat qadha dengan sempurna.
Kesimpulan
Qada solat adalah solat yang wajib dilaksanakan bagi menggantikan solat fardhu yang tertinggal. Setiap Muslim perlu memahami pengertian, panduan, dan hukum pelaksanannya agar kita semua dapat menyempurnakan ibadah tersebut dengan baik.
Dengan berbekalkan pengetahuan ini dan mengamalkan beberapa tips yang telah disebutkan, semoga kita dapat menjalani kehidupan sebagai umat Islam yang taat dan menjalankan kewajipan solat dengan baik.
Ingatlah firman Allah dalam Surah Al-Ma’idah ayat 6:
“Dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau datang dari tempat buang air atau kamu telah bersentuhan dengan wanita, kemudian kamu tidak mendapatkan air, maka bertayammumlah dengan tanah yang baik (bersih); sapulah mukamu dan tanganmu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, Maha Pengampun.”
Semoga Allah SWT memberkati usaha kita untuk melaksanakan qada solat dan memperbaiki kualiti ibadah kita.
Sumber:
- Panduan Lengkap Solat Fardhu & Solat-Solat Sunat. Ustaz Muhammad Hatta Selamat. Pustaka Azhar.
- Ensiklopedia Solat. Rohidzir, Fuad & Wahid. Telaga Biru
- Tahqiq Al-Masa ‘il Siri Ke-1: Hukum Qadha Bagi Seseorang Yang Meninggalkan Solat Denga Sengaja. Mufti Wilayah Persekutuan