Sujud Syukur: Panduan, Cara Bacaan, dan Kelebihannya
Apakah yang dimaksudkan dengan sujud syukur, dan kaitannya dalam segala kenikmatan yang telah Allah kurniakan bagi setiap manusia setiap hari?
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda mengenai panduan mengerjakan sujud syukur dengan lebih terperinci.
Apakah sujud syukur
Sujud syukur adalah sujud yang dilaksanakan oleh seseorang bila mana mereka mendapat suatu berita gembira ataupun simbolik kepada ucapan terima kasih yang diberikan kepada Allah SWT.
Sujud ini sunat dilalukan dalam dua keadaan iaitu apabila memperolehi anugerah, nikmat, atau berita gembira dan apabila terselamat daripada sebarang bencana, dan musibah.
Dalil pensyariatan sujud syukur
Berdasarkan hadis Nabi SAW daripada Abu Bakrah RA:
أَنَّهُ كَانَ إِذَا جَاءَهُ أَمْرُ سُرُورٍ أَوْ بُشِّرَ بِهِ خَرَّ سَاجِدًا شَاكِرًا لِلَّهِ
Maksudnya: "Adalah Nabi SAW ketika telah datang sesuatu perkara yang menggembirakan ataupun diceritakan sesuatu yang gembira dengannya akan turun sujud, bersyukur terhadap Allah SWT." - (Hadis Riwayat Abu Daud, 2774)
Dalam mazhab Syafie dalil pensyariatan kepada sujud ini boleh dilihat melalui sebuah hadis dari Abdurrahman Bin Auf:
Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya Jibril AS baru saja mendatangiku lalu memberi khabar gembira kepadaku, Jibril berkata,
“Allah berfirman: ‘Siapa yang bershalawat untukmu, maka Aku akan memberikan selawat (ampunan) untuknya. Siapa yang memberikan salam kepadamu, maka Aku akan mengucapkan salam untuknya’. Ketika itu, aku lantas sujud kepada Allah sebagai tanda syukur.” – (Hadis Riwayat Ahmad)
Hukum pelaksanaannya dalam Islam
Hukum melaksanakan sujud syukur adalah sunat. Dalam kata lain, bagi sesiapa yang melakukan sujud ini, ia akan memperoleh pahala sunat, dan tiada ganjaran pahala atau dosa diberikan kepada mereka yang tidak melaksanakannya.
Syarat-syarat sujud syukur
Berikut ini merupakan syarat sah sujud syukur:
- Suci daripada hadis kecil, dan hadas besar
- Menghadap kiblat
- Menutup aurat
Cara melakukannya
Dalam kitab fiqh Syafie dan Hambali, ada dinyatakan bahawa sifat sujud tersebut adalah sama seperti mana sujud sajadah di luar solat.
Berikut adalah tatacara lengkapnya:
- Berniat untuk melakukan sujud syukur ( Sahaja aku Sujud Syukur kerana Allah Taala).
- Kemudian, bertakbir seperti mana takbiratul ihram dengan mengangkat kedua-dua belah tangan kerana diqiyaskan dengan solat.
- Bertakbir sekali lagi tanpa mengangkat tangan yang mana takbir pada kali ini adalah untuk turun sujud.
- Sujud sekali sepertimana sujudnya di dalam solat. Bacaan ketika sujud syukur ini adalah bacaan sepertimana sujud di dalam solat dan boleh juga ditambah dengan lafaz puji-pujian kepada Allah.
- Bangun dari sujud dalam keadaan duduk dan memberi salam.
Bacaan sujud syukur
Doa 1
سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى
Subhana rabbiyal a’la
Maksudnya: "Maha Suci Tuhanku yang Maha Tinggi."
Doa 2
اللَّهُمَّ لَكَ سَجَدْتُ وَلَكَ أَسْلَمْتُ وَبِكَ آمَنْتُ سَجَدَ وَجْهِي
لِلَّذِي خَلَقَهُ وَصَوَّرَهُ فَأَحْسَنَ صُورَتَهُ وَشَقَّ سَمْعَهُ
وَبَصَرَهُ تَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ
Allaahumma laka sajadtu wa laka aslamtu wa bika aamantu, sajada wajhi lillazhi khalaqahu wa sawwarahu fa ahsana surotahu wa shaqqa sam’ahu wa basarahu, tabaaraka Allaah ahsan ul-khaaliqeen
Maksudnya: "Ya Allah, kepadaMu aku sujud dan kepadaMu aku berserah, dan padaMu aku beriman. Wajahku sujud kepada yang menciptakannya dan membentuknya dan membentuknya dengan baik, dan memunculkan pendengaran dan penglihatannya. Maha Suci Pencipta yang terbaik."
Doa 3
سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ للهِ، وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ الله، وَاللهُ أَكْبَرُ
Subhaanallaahi wal hamdu lillaahi, wa laa ilaaha illallaah, wallahu akbar
Maksudnya: "Maha Suci Allah, Segala puji bagi Allah, tiada Tuhan selain Allah, Allah Maha Besar."
Kelebihan sujud syukur
Dari Ma’daan Bin Abi Thalhah Al Ya’mary, katanya, “Aku pernah bertemu dengan Tsaubaan, maulaa (hamba) Rasulullah SAW lalu aku bertanya (kepadanya) ceritakanlah kepadaku suatu amalan yang dengan sebabnya aku dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga. Atau suatu amalan yang paling disukai oleh Allah. Lalu dia (Tsaubaan) diam.
Kemudian aku bertanya lagi. Dia juga diam. Kemudian aku bertanya kali yang ketiga, maka dia berkata, “Aku pernah bertanya tentang perkara itu kepada Rasulullah SAW lalu sabda baginda,
“Hendaklah engkau memperbanyak sujud kepada Allah kerana sesungguhnya engkau tidaklah sujud kepada Allah dengan satu sujud kecuali Allah akan tinggikan engkau dengan satu darjat dan hapuskan daripadamu satu kesalahan.”- (Hadis Sahih Riwayat Muslim)
Sujud mendekatkan diri kita kepada Allah. Apatah lagi sujud ini dilakukan oleh kerana rasa bersyukur kita kepada Allah atas kenikmatan yang diberikan Nya setiap hari.
Diharapkan semoga artikel ini dapat memberikan anda informasi yang bermanfaat untuk dijadikan panduan dalam beribadah setiap hari.
Sumber:
- Cara Sujud Syukur. Al-Ahkam
- Irsyad Al-Fatwa Ke-136: Sujud Syukur; Adakah Memerlukan Wudhu’ & Menghadap Kiblat? Mufti Wilayah Persekutuan
- #999 Sujud Syukur Pemain Bola Tanpa Wudhu dan Menghadap Kiblat. Maktabah Al Bakri