Adab Makan Dalam Islam Yang Betul, Elak Hina Makanan
Konten mukbang atau review makanan menjadi pilihan ramai anak muda di luar sana. Namun apa yang menjadi masalahnya adalah bila mana sesetengah dari mereka tidak tahu mengamalkan adab makan dalam Islam yang sepatutnya.
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan adab makan dalam Islam yang boleh anda praktikkan dalam kehidupan seharian.
Baca juga:
Budaya hina makanan? Apa kata rakyat Malaysia
Perkongsian ini adalah luahan dari seorang Pakar Hartanah dan Penulis Buku, Dr. Azizul Azli Ahmad. Kata beliau:
1. Sejak zaman ada sosial media, saya tak pernah nak upload apa benda saya makan. Saya berprinsip, tak semua yang kita mampu orang akan mampu. Makan diam diam.
2. Sejak kerajaan perkenalkan Menu Rahmah ini, budaya hina makanan makin menjadi-jadi. Di Tik Tok ada yang tambah dengan air oren sebab kering sangat katanya.
3. Kawan-kawan, jangan jadikan bahan makanan satu kehinaan. Nabi pesan dan sangat tak suka.
4. Benci dengan kerajaan, jangan hina makanan kita. Ahli parlimen pun buat ramai buat perangai purba.
5. Jadilah manusia yang rasioanal, tak suka jangan beli ambil dan makan. Dah makan tak sedap atau selesa, maklumkan baik-baik pada pemilik kedai.
6. Semalam saya singgah beli barang dapur di Mydin Ipoh, lewat di bahagian makanan ada yang minta menu Rahmah dan staf Mydin bagi dengan baik dan banyak.
7. Bagi orang lapar, sedap bukan keutamaan tetapi banyak dan kenyang itu adalah keutamaan mereka.
Hukum buat konten mukbang dalam Islam
Umumnya, hukum seseorang yang buat konten mukbang adalah harus selagi mana tiada dalil yang menunjukkan pengharamannya.
Atau dalam kata lain, selagi mana ia tidak bertentangan dengan prinsip hukum syarak, maka dibolehkan.
Namun halnya yang demikian, kita haruslah melakukan konten tersebut dengan berpandukan kepada adab makan dan minum yang telah digariskan dalam Islam.
Contohnya, makan makanan yang halal lagi baik, tidak makan secara berlebihan sehingga menyebabkan berlakunya pembaziran, tidak makan dengan gelojoh atau tergesa-gesa, menghidupkan sunnah-sunnah dan adab-adab yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.
Adab makan Rasulullah
1. Membaca basmalah dan doa ketika hendak makan
Sebelum memulakan suapan sebaiknya mulakan dengan bacaan basmalah dan doa terlebih dahulu agar makanan kita menjadi berkat dan membentuk darah daging yang baik.
Nabi Muhammad SAW bersabda:
إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ طَعَامًا فَلْيَقُلْ: بِسْمِ اللَّهِ، فَإِنْ نَسِيَ فِي أَوَّلِهِ فَلْيَقُلْ: بِسْمِ اللَّهِ فِي أَوَّلِهِ وَآخِرِهِ
Maksudnya: “Sekiranya seorang daripada kamu hendak makan, sebutlah nama Allah (Bismillah).
Sekiranya dia terlupa (menyebut nama Allah) pada awal (mula makan), maka sebutlah ‘Bismillahi awwaluhu wa akhirahu’ (Dengan nama Allah pada awal dan akhirnya).” – (Hadis Riwayat al-Tirmizi, hadis hasan sahih)
2. Jangan makan dan minum menggunakan tangan kiri
Tangan kiri kebiasaannya kita gunakan untuk mencuci najis, maka sangat tidak elok jika digunakan tangan yang sama untuk masukkan rezeki ke dalam mulut.
Hal ini bertepatan dengan hadis daripada Rasulullah SAW:
إذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَأْكُلْ بِيَمِينِهِ وَإِذَا شَرِبَ فَلْيَشْرَبْ بِيَمِينِهِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَأْكُلُ بِشِمَالِهِ وَيَشْرَبُ بِشِمَالِهِ
Maksudnya: “Jika seseorang di antara kalian makan, maka hendaklah dia makan dengan tangan kanannya.
Jika minum maka hendaklah juga minum dengan tangan kanannya, kerana syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya pula.” – (Hadis Riwayat Muslim, hadis sahih)
3. Ambil makanan yang berhampiran dahulu
Nabi mengajar kita supaya tidak gopoh ketika mengambil rezeki, jadikan diri seorang yang beradab santun.
Adab di hadapan rezeki perlu dijaga, agar tidak terambil hak orang lain.
Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda:
الْبَرَكَةُ تَنْزِلُ وَسَطَ الطَّعَامِ فَكُلُوا مِنْ حَافَتَيْهِ وَلَا تَأْكُلُوا مِنْ وَسَطِهِ
Maksudnya: “Keberkatan itu turun di tengah-tengah makanan, maka mulailah makan dari tepinya dan janganlah makan dari tengahnya.” – (Hadis Riwayat Tirmidzi, hadis hasan sahih)
Hadis lain juga ada menyebutkan, daripada Umar bin Abi Salamah katanya:
كُنْتُ غُلاَمًا فِي حَجْرِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَتْ يَدِي تَطِيشُ فِي الصَّحْفَةِ: يَا غُلاَمُ سَمِّ اللَّهَ وَكُلْ بِيَمِينِكَ وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ
Maksudnya: “Sewaktu aku kecil di bawah jagaan Nabi SAW, tanganku sentiasa berlegar sekeliling talam (untuk mendapatkan makanan dan lauk). Nabi SAW berkata kepadaku:
“Wahai anak, sebut nama Allah (baca Bismillah), makan dengan tangan kananmu dan makanlah (ambillah makanan) yang hampir denganmu.” – (Hadis Riwayat Bukhari, hadis sahih)
4. Rasulullah makan tidak bersandar
Makan sambil bersandar menunjukkan kesombongan kita di depan rezeki dan Pemberi Rezeki.
Sebaliknya makan dengan tertib dan cermat sebagai tanda merendah diri dan bersyukur kepada Allah SWT.
Abu Juhaifah berkata, Rasulullah SAW bersabda:
لَا آكُلُ مُتَّكِئًا
Maksudnya: “Aku tidak makan sambil bersandar.” – (Hadis Riwayat Bukhari, hadis sahih)
5. Menjilat jari selepas makan
Menjilat jari selepas makan merupakan sunnah Rasulullah SAW yang sangat indah.
Tujuannya untuk mencari keberkatan kerana kemungkinan rezeki yang tertinggal itulah terdapat keberkatannya.
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:
إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَلْعَقْ أَصَابِعَهُ، فَإِنَّهُ لَا يَدْرِي فِي أَيَّتِهِنَّ الْبَرَكَةُ
Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu makan maka jilatlah jari-jarinya kerana sesungguhnya dia tidak tahu di manakah tempat yang mempunyai keberkatan.” – (Hadis Riwayat Muslim, hadis sahih)
6. Membaca doa selepas makan
Membaca doa sebelum dan selepas makan adalah sebagai tanda terima kasih kita kepada Allah SWT.
Rasulullah SAW juga ada bersabda:
مَنْ أَكَلَ طَعَامًا ثُمَّ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَطْعَمَنِي هَذَا الطَّعَامَ وَرَزَقَنِيهِ مِنْ غَيْرِ حَوْلٍ مِنِّي وَلَا قُوَّةٍ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ
Maksudnya: “Siapa memakan makanan kemudian membaca doa: “Segala puji bagi Allah yang telah memberikan makanan ini kepadaku sebagai rezeki, tanpa daya dan kekuatan dariku.”
Maka akan diampuni dosanya yang lalu dan yang akan datang.” – (Hadis Riwayat Abu Daud, hadis hasan)
Mudah-mudahan dengan makanan tersebut kita mendapat tenaga, diberi kelangsungan untuk hidup, tidak tersiksa dengan kebuluran, menjadikan kita hamba yang bersyukur, dll.
7. Baginda tidak pernah mencela makanan
Adab ini harus dijadikan contoh ketika mendapatkan makanan kerana masih ramai di luar sana yang terpaksa mencari sisa makanan dalam timbunan sampah, makanan terbuang, mati kebuluran, dan sebagainya.
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata:
مَا عَابَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَعَامًا قَطُّ إِنْ اشْتَهَاهُ أَكَلَهُ وَإِنْ كَرِهَهُ تَرَكَهُ
Maksudnya: “Nabi Muhammad SAW tidak pernah mencela makanan sekali pun. Bila beliau berselera, maka beliau memakannya dan bila tak suka, maka beliau meninggalkannya.” – (Hadis Riwayat Bukhari, hadis sahih)
8. Makan di atas lantai
Apabila makan, Nabi Muhammad SAW akan meletakkan makanan di atas lantai (beralaskan saprah).
Hal ini disebutkan didalam hadis daripada Anas bin Malik r.a. berkata:
مَا أَكَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى خِوَانٍ وَلَا فِي سُكْرُجَةٍ وَلَا خُبِزَ لَهُ مُرَقَّقٌ قُلْتُ لِقَتَادَةَ عَلَامَ يَأْكُلُونَ قَالَ عَلَى السُّفَر
Maksudnya: “Nabi Muhammad SAW tidak pernah makan di atas meja dan tidak pula dengan piring. Dan beliau tidak pernah dibuatkan roti empuk.” Aku bertanya kepada Qatadah,
“Lalu di atas hamparan apa beliau makan?” ia menjawab, “Di atas daun kurma.” – (Hadis Riwayat Bukhari, hadis sahih).
Antara kelebihan makan di atas lantai antaranya dapat memberi kenangan indah bersama keluarga kerana saling menghadap dan duduk dalam jarak yang lebih dekat.
9. Makan minum sambil duduk
Makan atau minum sambil berdiri sebenarnya menunjukkan adab yang buruk terhadap makanan.
Ia bukan cara yang sihat ketika makan dan boleh datangkan kemudaratan.
Diriwayatkan bahawa Anas bin Malik r.a. menyatakan:
عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم أَنَّهُ نَهَى أَنْ يَشْرَبَ الرَّجُلُ قَائِمًا . قَالَ قَتَادَةُ فَقُلْنَا فَالأَكْلُ فَقَالَ ذَاكَ أَشَرُّ أَوْ أَخْبَثُ
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW melarang daripada meminum sambil berdiri. Qatadah bertanya bagaimana pula dengan makan (sambil berdiri)? Anas menjawab:
“Yang demikian itu adalah lebih buruk dan tercela.” – (Hadis Riwayat Muslim, hadis sahih)
10. Menangguhkan solat jika makanan telah terhidang dan badan berhajat kepadanya
Adab ini adalah untuk mengelakkan seseorang itu merasa lapar dan tidak khusyuk ketika melaksanakan solat.
Namun, berpadalah dalam menikmati juadah sekadar untuk melepaskan rasa teringin.
Bimbang terlalu banyak akan menyukarkan pergerakan solat yang akan diilakukan. Daripada Anas bin Malik r.a., Nabi SAW bersabda:
إِذَا وُضِعَ العَشَاءُ وَأُقِيمَتِ الصَّلاَةُ، فَابْدَءُوا بِالعَشَاء
Maksudnya: “Apabila dihidangkan makanan (makan malam) dalam keadaan solat didirikan maka mulakanlah dengan makanan.” – (Hadis Riwayat Bukhari, hadis sahih)
Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan adab makan dalam Islam dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.
Sumber:
- Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-693: Hukum Mukbang Dalam Islam. Mufti Wilayah Persekutuan
- Adab Makan dan Minum Mengikut Sunnah Nabi Yang Ramai Tak Tahu. Ustazah Asma’ Harun