Nama Malaikat Beserta Tugasnya Yang Perlu Kita Tahu

Umat Islam diwajibkan untuk beriman dengan malaikat seperti mana yang terdapat dalam Rukun Iman sendiri. Beriman kepada Malaikat adalah salah satu daripada beriman kepada perkara-perkara yang ghaib

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda nama malaikat dan tugasnya mereka yang perlu kita semua tahu.

Apa itu malaikat?

Malaikat sejenis makhluk ghaib adalah hamba dan ciptaan Allah yang dijadikan dari Nur.

Menurut Said bin al-Musaiyab berkata bahawa mereka itu bukan lelaki dan bukan perempuan, mereka tidak makan, tidak minum dan tidak tidur. 

Selain ini, mereka juga tidak berjantina, berpasangan, tidak bersuami atau isteri, tidak beribu atau berbapa, tidak beranak-pinak, tidak tidur, tidur makan dan minum serta mampu untuk menjelma kepada rupanya yang dikehendaki dengan izin Allah.

Dikatakan juga dalam Al-Quran bahawa malaikat ini taat kepada peritah Allah. Mereka tidak sesekali menderhakai Allah dengan apa-apa perkara sekali pun.

Hal ini seperti mana yang difirmankan Allah dalam Surah Al-Tahrim, ayat 6:

لا يعصون الله ما أمرهم ويفعلون ما يؤمرون

Maksudnya: “Mereka (Malaikat) tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” 

Ciri-ciri malaikat

Menurut Syeikh Abd al-Rahman Hasan Habannakah al-Maidani dalam bukunya Al-‘Aqidah al-Islamiyyah wa Ususuha, halaman, 235-240:

  • Makhluk daripada cahaya.
  • Malaikat bersama kita tetapi kita tidak dapat melihat mereka.
  • Malaikat mampu menyerupai segala sesuatu dan berubah bentuk.
  • Kekuatan dan kemampuan mereka luar biasa seperti memikul arasy dan meniup sangkakala.
  • Taat hanya kepada Allah SWT
  • Hampir kepada Allah SWT dan dimuliakan Nya.
  • Sebagai utusan kepada para Nabi.
  • Mampu naik dan turun daripada langit ke bumi tanpa sebarang masalah.
  • Takut hanya kepada Nya.
  • Makhluk sebelum terciptanya manusia.
  • Mempunyai sayap dua pasang, tiga pasang dan empat pasang.

Senarai nama malaikat dan tugasnya

Setiap malaikat mempunyai tugas-tugasnya yang tertentu yang telah diperintahkan oleh Allah.

Ada malaikat yang ditugaskan mengedarkan cakerawala, menurunkan hujan, mengatur rezeki, menumbuh dan menyuburkan tumbuh-tumbuhan dan tanam-tanaman, menghala dan menahan segala angin dan awan, menjaga dan menguasai gunung ganang, bukit-bukau, lautan dan lain-lain.

Terdapat 10 nama malaikat beserta dengan tugasnya sekali yang perlu kita sebagai umat Islam tahu. Berikut ini adalah panduan senarai nama untuk anda jadikan rujukan.

1. Jibrail

Diberikan tugas untuk menyampaikan wahyu kepada Rasul-Rasul Allah.

2. Mikail

Diberikan tugas untuk membawa rezeki yang ditentukan Allah kepada setiap manusia dan makhluk Allah yang lain.

3. Israfil

Diberikan tugas untuk meniup sangkakala apabila diperintahkan oleh Allah apabila tibanya hari kiamat nanti.

4. Izrail

Diberikan tugas untuk mencabut nyawa setiap manusia dan makhluk yang bernyawa atas muka bumi ini atas izin dan perintah Allah.

5. Munkar

Diberikan tugas untuk menyoal jenazah atau mayat dalam kubur.

6.Nakir

Diberikan tugas untuk menyoal jenazah atau mayat dalam kubur.

7. Raqib

Diberikan tugas untuk mencatatkan amalan kebaikan dan pahala manusia.

8. Atid

Diberikan tugas untuk mencatatkan amalan keburukan dan dosa manusia.

9.Malik

Diberikan tugas untuk menjaga pintu neraka.

10. Ridwan

Diberikan tugas untuk menjaga pintu syurga.

Hukum menamakan anak dengan nama-nama malaikat?

Menurut Imam al-Nawawi, mazhab Syafi’e dan jumhur ulama mengharuskan memberi nama anak dengan nama-nama para anbiya’ dan malaikat, dan tiada larangan yang tsabit daripada Nabi SAW berkenaan perkara ini. – (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 8/417)

Imam al-Buhuti daripada mazhab Hanbali juga sependapat dengan mazhab Syafi’e yang menafikan kemakruhan menamakan anak dengan nama malaikat. – (Rujuk Kasyaf al-Qina’ 3/27)

Selain itu, terdapat juga para ulama yang memakruhkannya, contohnya seperti Imam Malik yang memakruhkan penggunaan nama Jibril. Imam Ibn al-Qayyim pula memakruhkan penggunaan semua nama malaikat, dengan berdalilkan hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah ibn Jarrad R.A:

صحبني رجل من مزينة فَأتى النَّبِي صلى الله عَلَيْهِ وَسلم وَأَنا مَعَه فَقَالَ يَا رَسُول الله ولد لي مَوْلُود فَمَا خير الْأَسْمَاء قَالَ إِن خير الْأَسْمَاء لكم الْحَارِث وَهَمَّام وَنعم الِاسْم عبد الله وَعبد الرَّحْمَن وتسموا بأسماء الْأَنْبِيَاء وَلَا تسموا بأسماء الْمَلَائِكَة قَالَ وباسمك قَالَ وباسمي وَلَا تكنوا بكنيتي

Maksudnya: Seorang lelaki dari Mazinah bersamaku, dan Nabi SAW datang sedang aku bersama rakanku itu, lalu dia bertanya kepada Rasulullah SAW “apakah sebaik-baik nama?” Nabi SAW menjawab “sebaik-baik nama bagi kalian ialah al-Harith dan Hammam, dan dan seelok-elok nama ialah Abdullah dan Abdurrahman.

Namakanlah anak-anak dengan nama para anbiyaa’, dan jangan namakan mereka dengan nama para malaikat. Kawanku bertanya lagi “bolehkah kami menggunakan nama kamu (wahai Rasulullah)? Nabi SAW menjawab “ya, kalian boleh menggunakan namaku, namun jangan kamu menggunakan kuniyah aku.”

Kesimpulannya, menamakan anak dengan nama para malaikat hukumnya adalah harus, kecuali bagi nama-nama seperti Jibril, Mikail, Izra’il dan Israfil.

Sedangkan bagi nama-nama seperti Malik dan Ridhwan, tidak terdapat kemakruhan padanya.

Diharapkan semoga perkongsian mengenai senarai nama-nama malaikat ini dapat memberikan anda informasi yang bermanfaat dan berguna dalam memahami konsep beriman dengan malaikat dengan lebih baik.

Sumber:

  1. Al-Kafi #634: Ciri-Ciri Malaikat. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Beriman Kepada Adanya Malaikat. Mufti Terengganu
  3. Mufti Jelaskan Hukum Menamakan Nama Anak Dengan Nama Malaikat. Siakap Keli
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.